Selasa, 14 Oktober 2014

KKMM cadang wujudkan Jabatan Media Sosial- Shabery Cheek

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mempertimbang cadangan mewujudkan Jabatan Media Sosial bagi menggantikan Jabatan Penerangan yang dilihat masih menggunakan cara konvensional untuk menyebarkan maklumat berhubung dasar kerajaan. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata alternatif lain ialah menguatkan Jabatan Penerangan supaya menjadi lebih faham dari segi penggunaan media sosial dalam melaksanakan kerja-kerja penerangan. "Tiada masalah untuk kita mengambil berat akan cadangan itu demi menguatkan lagi (prestasi) Jabatan Penerangan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini. Perkara itu disuarakan Noh yang turut meminta kementerian mengambil tindakan terhadap pemilik akaun media sosial yang memburukkan kerajaan dan usaha kumpulan militan merekrut pelajar sekolah melalui laman sosial seperti laporan media hari ini. Mengulas lanjut persoalan yang dibangkitkan Anggota Parlimen Tanjung Karang itu, Ahmad Shabery berkata 11 kes didakwa sepanjang tahun ini berhubung kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata mengharamkan Facebook bukan tindakan terbaik dalam menangani penyalahgunaan media sosial dan kerajaan tidak berniat menutup aplikasi berkenaan. Menurutnya, pengalaman negara lain dalam soal ini boleh dijadikan panduan termasuk satu pandangan mahkamah yang menyatakan manfaat menutup platform media sosial adalah kecil berbanding kebaikan yang terhasil daripada platform itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan