Jumaat, 31 Oktober 2014

BN sedang kenalpasti calon untuk PRU 14

Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti individu berbakat yang berpotensi menjadi calonnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib yang juga pengerusi BN berkata ini adalah antara persediaan awal parti untuk menghadapi PRU14. "Kita akan sedia calon lebih awal lagi. Kita perlu, pada peringkat awal ini, kenal pasti bakat dahulu sebelum kita tentukan calon. "Keduanya, kita belum tentukan pembahagian kerusi lagi," kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini, malam ini. Dalam itu, Najib berkata langkah-langkah juga akan diambil untuk memastikan kerjasama antara parti komponen BN terus diperkukuh melalui program-program bersama dan persefahaman pihak kepimpinan atasan. "Kalau pihak atasan ada kepimpinan positif, saya percaya anak buah lebih senang nak ikut," kata beliau. Najib berkata setiap parti komponen juga perlu melihat soal dalaman parti dan memperkukuh jentera masing-masing selain perlu menunjukkan tahap komitmen tinggi dalam memastikan kelangsungan kuasa BN. "Mesyuarat juga bersetuju untuk menjadikan kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini sebagai panduan dalam membuat persediaan lebih rapi untuk menghadapi cabaran pada masa depan," katanya. Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, perdana menteri berkata BN akan membuat persiapan sewajarnya dalam menghadapi pilihan raya itu. Sementara itu, Najib berkata BN juga akan mempertingkat usaha penerangan kepada rakyat mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam Bajet 2015, yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat dalam pembangunan negara. Beliau berkata ini termasuk menjelaskan kepada rakyat mengenai rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan April tahun depan serta konsep ekonomi rakyat yang dukungannya yang memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi rakyat berbanding ekonomi kapitalis. "Ini perlu diperjelas kepada rakyat supaya tujuan baik kerajaan dapat diterima dengan positif," katanya.

Pembalak haram; SPRM cadangan hukuman lebih berat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar pembalak-pembalak haram dikenakan hukuman lebih berat termasuk ‘hukuman sebat’ bagi membolehkan isu ini ditangani habis-habisan dan efektif. "Setakat denda sahaja tidak mencukupi. Kalau hukuman penjara tidak mencukupi juga, mungkin kita boleh mengkaji hukuman sebat... bergantung kepada kesesuaian dengan kesalahan yang dilakukan," kata. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, paling penting, hukuman mesti ada elemen 'deterent'. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti dan Pelancaran Kempen Tanpa Hadiah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini, hari ini. Baru-baru ini, SPRM melancarkan Ops Tukul yang membawa kepada penahanan pembalak-pembalak haram. Sembilan pembalak haram telah dituduh sejak minggu lalu. Ops Tukul dilancarkan SPRM bermula 20 Oktober lalu bagi membanteras aktiviti rasuah yang mengakibatkan berleluasanya pembalakan haram. Beliau berkata, Jabatan Perhutanan perlu menilai semula sistem dan prosedur yang sedia ada serta memperketatkan undang-undang. "Kalau ada masalah kelemahan undang-undang atau kekangan prosedur, mohon atasi perkara tersebut secepat mungkin. Kalau pegawai tidak mencukupi, kita kena selesaikan isu tersebut. "Hal ini sebab saya banyak menerima maklum balas berkenaan pelaksanaan penguatkuasaan di mana kawasan adalah luas dan pegawai tidak mencukupi. Pihak-pihak berkenaan haruslah memperluas kuasa mereka kerana ini adalah pelaburan untuk menyelamatkan harta sendiri," katanya. Mengulas mengenai Ops Tukul, beliau berkata, inisiatif penguatkuasaan yang dijalankan oleh SPRM telah menyelamatkan hasil khazanah kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM100 juta akibat aktiviti pembalakan haram. "SPRM telah mengambil tempoh sembilan bulan untuk mengumpul maklumat di Sarawak. “Kalau Jabatan Perhutanan berdepan dengan halangan dan kekangan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi, SPRM sedia membantu. "Biasanya, apabila balak dibawa ke pusat pengumpulan balak atau 'log pond', memang sukar untuk mengenal pasti dari kawasan mana balak itu berasal. Untuk itu, kita boleh gunakan 'remote sensing', kepakaran forensik dan DNA untuk mengatasi kekangan itu," jelas Datuk Sri Mohd Shukri. Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof menyambut baik kerjasama strategik bersama SPRM dalam menangani pembalakan haram dan pencurian pasir. "Pematuhan kepada Ikrar Integriti serta kempen tanpa hadiah merupakan antara tindakan seterusnya bagi kita. Kita tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah dalam apa-apa aspek perhutanan dan alam sekitar," tegasnya. - Bernama

SPAD kemukakan kepada kerajaan cadangan naikkan tambang bas ekspress

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan kepada kerajaan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang bas sehingga 30 peratus. Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, permintaan pengusaha bas itu wajar berikutan peningkatan kos yang ditanggung dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menimbangkannya. "Kami fikir permohonan itu munasabah oleh kerana keperluan yang mendesak. Kita sudah membuat syor kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran penjenamaan semula pakaian seragam pemandu bas ekspres Mutiara di sini, hari ini. Syed Hamid berkata, SPAD cuma menunggu keputusan muktamad daripada kerajaan untuk mengumumkannya kepada pengusaha bas ekspres. "Saya harap kerajaan akan membuat keputusan secepat mungkin. Saya fikir apa yang pasti diteliti kerajaan tentulah tidak membebankan rakyat selain mengelak timbul masalah lain," katanya. Syed Hamid juga berkata pengusaha dan pengendali bas ekspres Pantai Timur yang beroperasi di Hentian Putra Kuala Lumpur sudah diarah berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa 1 Disember ini. - Bernama

Rayuan kes liwat: Pegawai penyiasat tidak usik bekas mengandungi sampel Saiful

Hanya beg plastik yang mengandungi 12 bekas sampel yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang dibuka oleh pegawai penyiasat (ILO) dalam kes liwat membabitkan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukan bekas yang mengandungi calitan daripada rektum pengadu, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu berkata Supt (bersara) Jude Blacious Pereira mematuhi Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) apabila semua barang kes disimpan dalam sampul berasingan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia. Beliau berkata semasa pemeriksaan utama, Pereira telah menjelaskan perkara itu secara terperinci dan tidak pernah cuba untuk menyembunyikan tindakannya seperti yang didakwa pihak pembela. "Apa yang beliau lakukan sebenarnya mematuhi betul-betul apa yang dikehendaki di bawah IGSO dengan meletakkan setiap bekas dalam sampul berasingan dan menandakan sampul-sampul itu. "Beliau tidak membuat apa-apa penandaan pada bekas itu atau membukanya kerana ia telah dimeterai oleh Dr Siew Sheue Feng dan doktor itu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menandatangani pada cap setiap satu daripada bekas itu, " kata Muhammad Shafee. Muhammad Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap pensabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Peguam kanan itu juga memberitahu barisan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa untuk menyokong tindakan pegawai penyiasat itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan salinan IGSO yang jelas menyatakan bagaimana bahan bukti harus dikendalikan dan disimpan sebelum dihantar kepada ahli kimia. Muhammad Shafee berkata di peringkat Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan berjaya meyakinkan dalam hujahnya bahawa ada kemungkinan sampel itu diusik yang membolehkan penasihat PKR itu dibebaskan. Bagaimanapun, di Mahkamah Rayuan, pihak pendakwa berhujah bahawa apabila ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Adora Saidon memeterai bahan bukti, semua bekas masih utuh dan tidak terusik dan mahkamah bersetuju serta meminda keputusan Mahkamah Tinggi. Beliau menjelaskan bahawa sampel intim Mohd Saiful itu dikumpul oleh dua orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Khairul Nizam pada 28 Jun 2008. "Sampel itu dibawa kembali oleh pegawai penyiasat dan disimpan di dalam loker di pejabatnya selama hampir 48 jam sebelum beliau membawanya keluar pada 30 Jun 2008 dan menghantarnya kepada ahli kimia," katanya. Muhammad Shafee juga berkata sampel yang diambil dari bilik lokap Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tiba di jabatan kimia pada 17 Julai 2008. "Pihak pembelaan bergantung kepada teori konspirasi bahawa sampel telah diusik, tetapi di mahkamah ini, kami berhujah mengenai analisis yang dijalankan oleh ahli kimia terhadap kesan air mani. "Bagaimanapun, pada perbicaraan mendengar rayuan kali ini, mereka (pihak pembela) berhujah mengenai kemungkinan pegawai penyiasat berjaya mendapatkan sampel DNA perayu (Anwar) dari suatu tempat dan meletakkannya bersama sampel yang diambil daripada pengadu," katanya. Mengenai isu berlaku gangguan dalam rantaian proses pengumpulan bahan bukti, Muhammad Shafee berkata tidak berlaku sama sekali kerana pegawai penyiasat mematuhi apa yang dikehendaki di bawah IGSO walaupun beliau mengaku tidak mendengar nasihat Dr Siew supaya sampel itu disimpan dalam penyejuk beku untuk melindunginya. Muhammad Shafee akan menyambung hujah pada Isnin dan pihak pembelaan pula akan menjawab hujahnya pada Selasa. Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan kes Liwat: Tidak mungkin Saiful mereka bukti- Shafie Abdullah

Saiful Bukhari Azlan tidak mungkin mereka-reka bukti kerana terdapat kebenaran yang nyata dalam keseluruhan keterangan berhubung dakwaan dia diliwat Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini. Ketua Pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Saiful, pengadu dalam kes itu, boleh mengada-adakan bukti, tetapi dia tidak berbuat demikian. "Terdapat banyak kebenaran. Anak muda ini tidak mungkin mereka-reka cerita. Dia boleh menafikan beberapa perkara tertentu, tetapi dia tidak berbuat demikian, jadi dia adalah saksi yang jujur," katanya. Muhammad Shafee berkata Saiful menjawab dengan spontan soalan yang dikemukakan di mahkamah dan memberi penjelasan mendalam, satu persatu apa yang berlaku, sebelum dan selepas dakwaan liwat itu. Beliau juga berhujah Saiful diganggu secara seksual oleh Anwar di tempat kerjanya sebelum kejadian itu yang mana dia menjadi perhatian seorang yang paling dominan, berpengaruh dan berkarisma. Muhammad Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Beliau berkata, penderaan seksual itu berlaku dalam tempoh empat bulan sebelum Saiful berhenti menjadi pembantu peribadi Anwar. Muhammad Shafee menjelaskan terdapat tanda yang menunjukkan kejadian liwat pada 26 Jun 2008 itu, bukan kali pertama berlaku berdasarkan keterangan Saiful dan dia turut menunjuk cara bagaimana ia berlaku. "Saksi (Saiful) berkata perbuatan itu kasar. Katanya dia merasa sakit di bahagian rektum dan 'senak perut' dan 'Anwar memancutkan air maninya ke dalam dubur saya seperti biasa'," hujah beliau. Muhammad Shafee berkata perkataan 'seperti biasa' menunjukkan kejadian itu berlaku lebih daripada sekali. Beliau berkata, Saiful berkata selepas mereka berbincang tentang jadual kerja, Anwar mendekatinya dan berkata, "Can I f... you today?" Muhammad Shafee berkata perkataan itu hanya boleh disebut jika seseorang benar-benar mengenali individu berkenaan. Menyifatkan Saiful sebagai seorang saksi yang jujur, Muhammad Shafee berkata pengadu turut menunjuk cara perbuatan liwat itu di kondominium di hadapan hakim perbicaraan. Beliau berkata pada mulanya Saiful enggan menerima tawaran Anwar untuk melakukan liwat, tetapi apabila Anwar mulai berang, kedua-dua mereka pergi ke bilik tidur utama tempat kejadian liwat itu berlaku. Muhammad Shafee juga berhujah sekiranya tiada sebarang hubungan antara mereka berdua, apa perlunya Anwar memberi sut pakaian Brioni (pakaian mewah jenama Itali) kepada Saiful. "Malah saya sendiri pun tidak memiliki (pakaian mewah jenama Brioni); kita tahu betapa mahal harganya," kata Muhammad Shafee. Beliau berhujah Anwar membawa Saiful dalam lawatan ke luar negara iaitu ke Singapura dan Hong Kong, dan semasa di Singapura pengadu diberi AS$1,000 sebagai elaun. Beliau berkata, walaupun Saiful gagal meneruskan pengajian di universiti, Anwar memberi kepadanya elaun yang tinggi dan pengadu mempunyai bilik sendiri di pejabat. Dalam hujah yang lain, beliau berkata Saiful bukan subahat, kerana terdapat kes undang-undang yang menyatakan mangsa penderaan seksual tidak boleh diperlakukan seperti itu. Muhammad Shafee berkata, selaku pelajar yang tercicir daripada universiti, Mohd Saiful tidak mungkin mengada-adakan cerita dan berbohong melainkan dia seorang yang sangat bijak. Mengenai kenyataan Anwar dari kandang tertuduh, beliau berkata perayu mendakwa tuduhan liwat itu adalah konspirasi politik dengan mengaitkan individu tertinggi dalam negara, perdana menteri sehinggalah kepada pegawai penyiasat. Muhammad Shafee berkata, Anwar juga 'menyerang' hakim perbicaraan, yang boleh membawa kepada menghina mahkamah. "Sesiapa yang mensabitkan beliau adalah sebahagian daripada konspirasi dan tidak jujur, tetapi apabila beliau dibebaskan, itu bukanlah sebahagian daripada konspirasi," hujah beliau. Beliau turut menarik perhatian terhadap kegagalan Anwar memanggil saksi alibinya, yang sangat penting dalam kes perayu. Selepas mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan itu untuk bersambung pada Isnin, Muhammad Shafee memberitahu wartawan, setakat ini beliau selesai membentangkan 20% daripada hujahnya. – Bernama Ti

Rayuan kes Liwat: Anwar ada hubungan dengan Saiful-Pendakwaraya

Pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata elaun dan manfaat yang diberikan kepada si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan menunjukkan wujud apa yang boleh ditakrifkan sebagai "hubungan" di antara mereka. Saiful, seorang bekas pelajar tercicir, berpakaian sut mahal dan diberi elaun lumayan serta dihantar ke luar negara, kata ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penghujahan di Mahkamah Persekutuan hari ini. Merujuk keterangan Saiful, Shafee berkata bekas pembantu ketua pembangkang itu dibayar gaji pokok RM1,000 tetapi diberi elaun US$1,000 bagi perjalanan ke Singapura dan HK$1,000 semasa dihantar ke Hong Kong. Saiful juga berpakaian sut jenama mahal, kata Shafee, yang menambah perkara itu perlu diberi perhatian dalam menunjukkan wujud "hubungan". Anwar, 67, dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. Mahkamah Persekutuan masuk hari keempat perbicaraan rayuan Anwar melawan sabitan salah dan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Rayuan Mac lalu. Sepanjang tiga hari sebelum ini, pihak pembelaan mempertikaikan kredibiliti Saiful serta pakar kimia dan pegawai penyiasat yang mengurus sampel DNA yang dijadikan bahan bukti kes. Hari ini juga kedengaran bahasa lucah di mahkamah ketika Shafee memperincikan perbualan antara Anwar dan Saiful sebelum kejadian liwat dikatakan berlaku. Dalam perbualan tersebut, Anwar dalam satu pertanyaan kepada Saiful seolah-olah berkata pelakuan seks berlaku "hari ini", di mana menurut Shafee, "hari ini" membawa maksud hubungan seks mungkin pernah berlaku sebelumnya.

Kerajaan ada pilihan jika harga minyak menurun- Ahmad Maslan

Kerajaan mempunyai dua pilihan sekiranya harga minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Beliau berkata, pilihan pertama ialah kerajaan boleh menurunkan harga minyak (RON95) sekiranya harga minyak dunia turun kepada serendah RM1.72 seliter dan mengenakan cukai jualan 58 sen. "Pilihan kedua, kerajaan boleh menurunkan harga minyak sehingga ke paras itu (RM1.72) mengikut pasaran dunia dan tidak mengenakan cukai jualan, namun tidak dapat mengutip hasil yang boleh digunakan untuk membangunkan negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Balai Raya Mohamad Noh di Jelutong Laut di Pontian, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan jika harga minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan. Buat masa ini, harga minyak RON95 ialah RM2.30 seliter tanpa cukai. Sehingga semalam, minyak mentah Brent turun di bawah AS$87 setong berikutan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS. Beliau yang juga ahli Parlimen Pontian berkata kedua-dua pilihan itu merupakan antara perkara yang akan dibincangkan termasuk mengkaji struktur skim penstrukturan semula subsidi bahan api baharu pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal pada Rabu depan. Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Masalah yang dihadapi sekarang ialah untuk mendapatkan semula RM23.5 bilion bagi tahun lalu dan RM21 bilion pada tahun ini yang dibayar kepada syarikat minyak untuk membolehkan kita menurunkan harga minyak," katanya. Mengulas langkah kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo, turut dikenali sebagai Jokowi yang berhasrat mengubah struktur subsidi bahan api, Ahmad berkata secara tidak langsung ia membolehkan rakyat Malaysia lebih memahami berhubung langkah pengurangan subsidi minyak. Katanya, kedua-dua negara menghadapi masalah sama apabila memberi subsidi yang tinggi untuk menurunkan harga minyak tetapi pada masa sama, golongan berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi paling ramai menerima subsidi itu berbanding mereka yang miskin atau sederhana miskin. Jokowi dilaporkan merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel kira-kira 50% dalam tempoh dua minggu selepas majlis angkat sumpah jawatan, tindakan yang dijangka menjimatkan kerajaan kira-kira AS$13 bilion (RM39 bilion) tahun depan. Sementara itu, katanya jumlah syarikat perniagaan yang mendaftar bagi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) meningkat apabila hampir 2,500 syarikat mendaftar setiap hari. Setakat ini, katanya 115,289 buah syarikat sudah berbuat demikian. Perkembangan terbaru itu menyebabkan kerajaan meningkatkan sasaran awal sebanyak 123,000 kepada 200,000 buah syarikat yang berdaftar sehingga tarikh akhir, 31 Disember ini. – Bernama -