Ahad, 24 Februari 2013

KRISIS PEMBANGKANG JOHOR BAGAI BOM JANGKA

Kemelut pembahagian kerusi terus menghantui pakatan pembangkang dan episod terbaru yang melanda Johor menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai kesepakatan walaupun pemimpin peringkat pusat mengatakan perkara itu telah diselesaikan dan dipersetujui oleh semua parti. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari percaya perebutan itu umpama “bom jangka” yang bakal memusnahkan impian masing-masing yang ternyata satu contoh klasik tikam menikam antara parti pembangkang. Tegasnya lagi apa yang berlaku itu menunjukkan kesepakatan yang dikatakan oleh pembangkang itu hanyalah sekadar ucapan sahaja sedangkan realitinya masing-masing terutamanya DAP dan PKR masih mencari-cari kawasan selamat yang membabitkan pengundi bukan Melayu.
“Johor adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, sebab itu pembangkang lebih cenderung di kawasan majoriti pengundinya bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai peluang di kawasan pengundi Melayu. “Sebab itu, DAP dan PKR berebut untuk bertanding di kawasan bukan Melayu kerana beranggapan peluang mereka lebih cerah untuk menang, seperti apa yang berlaku di Parlimen Gelang Patah apabila DAP ingin bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali, sedangkan pada pilihan raya lalu, pembangkang diwakili oleh PKR,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah antara DAP dan PKR di Johor sehingga memaksa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Mazlan berkata, sepatutnya Pengerusi PKR, Datuk Chua Jui Meng bertanding di Parlimen Bakri kawasan yang pernah diwakilinya ketika bersama Barisan Nasional sehingga 2004, namun perkara itu sukar dilaksanakan kerana DAP berjaya memenangi parlimen berkenaan pada pilihan raya 2008. “Jui Meng merasakan auranya masih ada di Bakri, tetapi terpaksa akur kepada DAP, sebab itu dia mengumumkan untuk bertanding di Gelang Patah, pada 2008 PKR bertanding di kawasan berkenaan tetapi kalah dengan majoriti melebihi 30,000 undi kepada BN. “Sementara itu, DAP pula berkeyakinan tinggi di Gelang Patah dalam suasana politik sekarang walaupun tidak pernah menang di kawasan berkenaan sejak dahulu kerana kawasan itu adalah kerusi tradisi DAP sebelum diserahkan kepada PKR apabila pakatan pembangkang ditubuhkan pada 2008,” katanya. Menurutnya, PKR lebih cenderung kepada kawasan pengundi bukan Melayu di Johor kerana menyedari pelung mereka lebih cerah berbanding kawasan pengundi Melayu, sebab itu mereka lebih memberi tumpuan kepada kerusi berkenaan. Beliau berkata, di samping itu, PKR juga juga cuba mengintai di kawasan yang dilihat mempunyai potensi untuk menang seperti di Segamat kerana jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

BERANI KERANA BENAR...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13. Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang. Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri. Di bawah seksyen 'Maklumat Lanjut', selepas ayat - 'Saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya ini kerana:' Najib menulis "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu memberikan teladan yang baik. Hanya calon yang dianggap telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada sebuah kerajaan yang amanah, dihormati oleh rakyat". Presiden TI-Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan menandatangani dokumen itu sebagai saksi. Turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di bangunan Perdana Putra ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). Ikrar itu menetapkan calon perlu mematuhi prinsip benar, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah. Calon juga perlu mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh, mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan; dan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri berkata sebaik sahaja nama calon-calon Barisan Nasional bagi pilihan raya umum diumumkan, beliau akan memastikan semua calon akan menandatangani ikrar itu. "Calon-calon Barisan Nasional dan parti komponennya telah melalui proses semakan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kini sewajarnya mereka menunjukkan komitmen mereka bagi pilihan raya yang bersih dan adil dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.
"Tanggungjawab memenuhi ketetapan ikrar ini terletak dengan langkah menandatangani ikrar ini dan adalah merupakan hak mutlak semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka berpegang kepada ikrar ini. Mari kita berusaha bersama-sama ke arah menambahbaik proses pilihan raya," katanya. Beliau berkata butiran mereka yang telah menandatangani ikrar itu akan dimuatkan dalam laman web Transparency International, dan tanggungjawab orang ramai ialah menjadi 'mata dan telinga untuk memantau pematuhan wakil rakyat mereka terhadap standard berkenaan. Sementara itu ketika ditemui selepas majlis itu, Paul Low berkata orang ramai boleh berkomunikasi dengan calon menerusi maklumat diberikan mereka dalam laman web TI di http://timalaysia-electionpledge.org.my. Beliau berkata ikrar itu bukan mengenai parti tetapi individu; beliau menjangkakan semua calon dan pemimpin parti, daripada parti kerajaan, pembangkang dan mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang, akan tampil dan menandatangani ikrar itu. "Kerana saya percaya demi Malaysia, kita perlu mengubah budaya politik ini, untuk memastikan integriti dan memerangi rasuah menjadi keutamaan setiap pengubal undang-undang," katanya.