Isnin, 23 Jun 2014

Tidak ada PRK bagi DUN Bukit Assek, Sarawak

Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Sarawak berikutan kematian wakil rakyat DAP, Wong Ho Leng, minggu lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Beliau berkata keputusan SPR itu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. Berdasarkan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN. "PRK hanya perlu diadakan di DUN Bukit Assek sekiranya tempoh mandat kurang daripada tiga tahun. Kematian berlaku selepas itu, iaitu dua tahun terakhir atau selepas tiga tahun pertama. "Jadi dalam Perlembangan Malaysia dan juga dalam Perlembagaan Sarawak, tidak ada pilihan raya kecil perlu diadakan walaupun berlaku kekosongan kerusi di luar jangka. Itu keputusan dalam perlembagaan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Inovasi SPR 2014 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPR 2013, di sini hari ini. Wong, 54 yang juga bekas Pengerusi DAP Sarawak meninggal dunia di Pusat Perubatan Rejang, Sibu pada 21 Jun akibat barah otak. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, Wong memenangi kerusi DUN Bukit Assek dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chieng Huong Toon dan calon Bebas Hii Tiong Huat dengan majoriti 8,827 undi. Abdul Aziz berkata sidang DUN Sarawak bermula 20 Jun 2011, manakala tarikh kematian wakil rakyat DAP itu dengan tempoh berkenaan adalah tiga tahun satu hari bermakna lebih sehari daripada peraturan mewajibkan PRK. "Tempoh matang DUN Sarawak ialah pada 20 Jun 2016. Bagaimapun Ketua Menteri boleh mengadakan pilihan raya lebih awal daripada tempoh matang tersebut dengan dipersetujui Yang Dipertua Negeri Sarawak dan undang-undang sedia ada," katanya. Menurutnya pihak SPR juga masih belum menerima maklumat rasmi daripada Speaker DUN Sarawak mengenai kematian bekas Anggota Parlimen DAP Sibu itu. Pada majlis hari ini, 47 pegawai SPR diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 48 pegawai menerima sijil kepujian, selain 35 pegawai yang berkhidmat lebih 40 tahun dan 19 pegawai yang akan bersara diraikan oleh Abdul Aziz. - Bernama

RM1.6 bilion untuk pembinaan lapangan terbang baru kulim

Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah, bagi memenuhi peningkatan penerbangan ke wilayah utara, dijangka melibatkan kos RM1.6 bilion, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar). Kos berkenaan termasuk pengambilan tanah, pembinaan infrastruktur asas lapangan terbang dan dua landasan, katanya. Mukhriz berkata kajian dilakukan dan penting bagi negeri-negeri utara untuk mempunyai satu lagi lapangan terbang antarabangsa memandangkan Lapangan Terbang Bayan Lepas yang sedia ada di Pulau Pinang mungkin akan mencapai kapasiti maksimum dalam dua tahun. "Satu lagi faktor yang membimbangkan ialah lapangan terbang itu mempunyai satu landasan, yang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung lebih banyak pesawat. Pendaratan oleh pesawat kargo telah dikurangkan lebih 10% dalam tempoh tiga tahun lepas. "Wilayah utara berkembang dan memerlukan perkhidmatan dan kemudahan kargo udara," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pejabat Bina Darulaman Bhd di Kuala Lumpur hari ini. Mukhriz berkata bukan mudah bagi lapangan terbang Pulau Pinang mempunyai landasan kedua memandangkan kilang-kilang terletak berhampirannya, sambil menambah bahawa cadangan penambakan laut untuk memanjangkan landasan itu sebagai "lebih mudah bercakap daripada melakukannya". "Penyambungan landasan tidak membantu... peningkatan penerbangan hanya dengan lebih banyak landasan dan tidak memanjangkan yang sedia ada," katanya. Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Jepun di Osaka, yang dibina melalui proses penambakan laut, mengambil kira-kira 10 tahun. Mukhriz berkata adalah lebih murah untuk membina lapangan terbang di tanah besar dan bukannya melalui penambakan laut, sambil menambah bahawa lebih 600 hektar tanah ladang getah tersedia di Kulim untuk lapangan terbang yang dicadangkan itu yang boleh mempunyai sehingga empat landasan. Beliau berkata lapangan terbang itu, jika diluluskan oleh kerajaan persekutuan, boleh menjadi lapangan terbang serantau, untuk menampung kawasan di selatan Thailand. – Bernama, 2 - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembinaan-lapangan-terbang-di-kulim-dijangka-rm1.6-bilion-kata-mukhriz#sthash.yRe3Xk4E.dpuf

PDRM bertegas dalam membenteras isu perdagangan manusia

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tegas dalam melaksanakan pelbagai langkah yang perlu bagi membanteras isu pemerdagangan manusia di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Namun, katanya PDRM memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan usaha itu dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan imej negara. Ketika diminta mengulas Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan di Washington DC pada 20 Jun lepas, beliau berkata pelbagai perkara perlu diperincikan bagi melihat jika ada kelemahan yang boleh dibaiki. "Ini laporan satu negara sahaja tetapi bagi pihak polis, kita ada langkah untuk bendung pemerdagangan manusia," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Khalid ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan PDRM bagi pelaksanaan penawaran program akademik peringkat sarjana muda dan diploma kepada pegawai dan anggota polis. Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat itu meletakkan Malaysia pada Senarai Pemerhatian Tahap 3 daripada kedudukan sebelum ini di Tahap 2. Wisma Putra dalam satu kenyataan Ahad menyatakan rasa kesalnya terhadap laporan itu kerana Malaysia amat serius dan komited dalam usahanya menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran. Sementara itu, Khalid berkata polis akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin berikutan berlakunya kes penyeludupan warga asing dipercayai menggunakan Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini. Pihaknya akan memberi tumpuan utama pada tahap pengawasan di sempadan negara termasuk di Sabah bagi mencegah kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang. "Untuk Sabah, kita akan tambah lebih ramai anggota untuk mengawal di kawasan sempadan selain menambah peralatan keselamatan bagi memastikan tiada kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang," katanya