Selasa, 25 Jun 2013

Kerajaan tidak takut dengan Malaysian Spring

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan tidak gentar dengan penggunaan ungkapan ‘Malaysian Spring’ untuk menggambarkan usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan ‘rakyat’ untuk melahirkan rasa tidak puas hati, selagi tindakan mereka tidak melangkaui batas undang-undang negara. Perdana menteri berkata mereka yang menggunakan perkataan ‘rakyat’ semata-mata untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diberi ruang membantah selagi tindakan seumpama itu tidak melangkaui batas undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. “Jika tindakan sudah langkaui batas undang-undang Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak teragak-agak untuk bertindak agar kedaulatan negara terus dihormati,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Soalan Abdul Latiff yang menyentuh pandangan kerajaan mengenai penggunaan perkataan ‘rakyat’ untuk melahirkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan PRU13 dan cubaan mewujudkan ‘Malaysian Spring’ menjadi soalan pertama yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat penggal pertama ini. Soalan serupa turut dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Najib berkata sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia. “Malah jika diamati dan diteliti, keadaan negara yang bergolak angkara rusuhan dan pergolakan jalanan, tidak ada perkara positif yang terhasil daripadanya. Ekonomi dan politik di negara-negara itu masih tercalar akibat persengketaan dan tidak nampak sebarang tanda untuk pulih seperti sedia kala,” katanya. Terdahulu, Najib berkata perbezaan pandangan bukan penyebab malapetaka dan punca perpecahan, sebaliknya jika ditangani dan diurus dengan baik, ia mampu mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat dan memajukan negara. Kerajaan, katanya, mengakui kematangan dan kebijaksanaan rakyat dengan memberi hak untuk memilih kepimpinan negara melalui peti undi yang menjadi kaedah terbaik yang boleh diamalkan mana-mana negara. “Ironinya, mereka yang lantang menyuarakan mengenai ketidakadilan, menerima pula keputusan di kawasan yang dimenangi mereka,” katanya sinis. Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff, kerajaan belum berhasrat untuk mewajibkan rakyat untuk mengundi. Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik. “Apa-apa undang-undang jika difikirkan baik, perlu dilihat dahulu sama ada ia boleh dikuatkuasakan secara praktikal atau tidak,” katanya. – Bernama

Ghani Othman dilantik Pengerusi Sime Darby

Bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Sime Darby Bhd yang baru berkuat kuasa 1 Julai, bagi menggantikan pemangku Pengerusi Tan Sri Samsudin OSman. Abdul Ghani, 66, akan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Sime Darby manakala Samsudin ditukar menjadi Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Sime Darby, demikian menurut konglomerat itu di dalam satu kenyataan hari ini. "Abdul Ghani telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Disember 1993 sehingga Mac 1995 sebelum menjadi Menteri Besar Johor sehingga Mei 2013," katanya. Samsudin dilantik sebagai pemangku Pengerusi Sime Darby berikutan persaraan Tun Musa Hitam sebagai pengerusi pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada 8 Nov, 2012. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengalu-alukan pelantikan Abdul Ghani, sambil menyatakan ia baik bagi kumpulan multinasional itu. "Sime Darby berbesar hati menerima beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah dan kami yakin beliau akan membantu menyumbang bagi mengemudikan syarikat itu ke tahap lebih tinggi lagi dan bagi mengharungi tempoh yang mencabar," katanya. - Bernama