Sabtu, 10 Mei 2014

Malaysia bukan negara Pak Turut-PM

Malaysia bukan menjadi negara "Pak Turut" hanya kerana mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar). Perdana menteri berkata Malaysia berpegang kepada prinsip tersendiri dalam mengamalkan dasar luar dan tidak pernah dipengaruhi mana-mana negara. Beliau turut menolak dakwaan Malaysia seolah-olah dikawal dua kuasa besar dunia itu apabila mempunyai hubungan baik dengan mereka. "Prinsip kita ialah untuk berbuat baik dengan semua negara berdasarkan kepada pertimbangan apa yang kita fikirkan patut. Kita bukan negara Pak Turut...tak pernah... kita ada pendirian kita yang bebas," katanya dalam program Ruang Bicara Khas Bernama TV Bersama Perdana Menteri. Program itu disiarkan melalui saluran Astro 502 pada 9 malam ini. Beliau diminta mengulas lawatan Presiden Amerika Barack Obama ke Kuala Lumpur baru-baru ini serta pandangan kononnya Malaysia dikawal negara itu dan juga China. Perdana menteri ditemu ramah selama sejam oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Mengenai lawatan Obama, Najib berkata beliau telah menyatakan kepada presiden Amerika itu tentang pendirian kukuh Malaysia yang akan terus memperjuang keadilan dan hak bagi rakyat Palestin yang menderita sejak lebih enam dekad. "Dalam hal ini, kita tak ada kompromi tentang apa yang kita hendak perjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin, kita teruskan. "Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh ada hubungan strategik dengan Amerika Syarikat," katanya. Lawatan Obama ke Kuala Lumpur hujung bulan lepas adalah yang kedua oleh presiden Amerika dalam tempoh hampir 50 tahun. Dalam lawatan itu, Najib dan Obama sepakat meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Amerika kepada perkongsian komprehensif yang menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara termasuk dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pendidikan.

KLIA2 tidak pernah mengenakan bayaran RM3 yang dikutip Air Asia

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengulangi kenyataan yang ia tidak mengenakan bayaran RM3.00 di klia2 yang diperkenalkan AirAsia. Pengendali lapangan terbang itu berkata, jambatan udara dan kemudahan daftar masuk kegunaan umum adalah ciri standard kebanyakan lapangan terbang utama di seluruh dunia. Semua ini lazimnya dianggap kos operasi biasa kepada syarikat penerbangan, sama seperti utiliti, pengendalian darat, bahan bakar, caj pendaratan atau parkir, katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, MAHB berkata, perpindahan AirAsia tidak lancar sepenuhnya dan semua pihak bekerjasama rapat meminimumkan kesulitan yang dihadapi penumpang. Selepas AirAsia memulakan operasi sepenuhnya di klia2 pada 9 Mei lalu, terminal berkenaan mengendalikan lebih 60,000 penumpang dalam tempoh 24 jam daripada tengah malam 8 Mei sehingga tengah malam 9 Mei. "Kami telah menghulurkan sokongan dan bantuan segera untuk menyelesaikan masalah dihadapi AirAsia, sama seperti MAHB bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi memastikan operasi berjalan lancar," katanya. MAHB berkata, ia menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengkaji perancangan tenaga kerja dan ketersediaan sumber untuk aktiviti pengendalian darat. Pengendali lapangn terbang itu juga telah menempatkan tenaga kerjanya sendiri bagi membantu syarikat penerbangan dengan banyak aspek operasi, katanya. MAHB berkata, pertukaran pintu yang terlalu banyak oleh AirAsia memberi kesan kepada banyak penerbangannya serta menimbulkan kesulitan kepada penumpang. "Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu bagi menambah baik saluran komunikasi dan penyelarasan antara kakitangannya dan lapangan terbang. "Dalam mesyuarat penyelarasan harian dengan AirAsia hari ini, MAHB mengulangi komitmennya untuk membantu AirAsia menangani isu terbabit dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhannya," katanya. – Bernama,

Kementerian Pelancongan perlu jadi badan pengawal selia membenteras kegiatan penipuan pakej umah

Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran menjadi badan pengawal selia untuk membanteras kegiatan penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa. Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata dua kementerian itu perlu berbincang untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu termasuk dengan menyenarai hitam agensi berkaitan. "Sudah sampai masanya titik noktah masalah ini dilakukan kerana Tabung Haji tidak punyai hak kuasa untuk senarai hitam ejen-ejen yang langgar undang-undang. "Saya harap dua kementerian ini dapat menggembleng tenaga mengatasinya sebab hanya mereka yang boleh menyenarai hitam ejen yang menipu dan menganiaya rakyat tidak berdosa," katanya. Beliau ditemui selepas dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini. Abdul Azeez juga menyarankan Kementerian Pelancongan menghantar pegawainya membuat tinjauan di Makkah, Madinah dan Jeddah untuk mendapatkan maklumat harga hotel, penerbangan dan logistik untuk memudahkan mereka menyenarai hitam ejen pelancongan yang memperdaya orang ramai. Beliau berkata TH bersedia membantu dua kementerian itu mengedalikan talian bebas tol untuk membolehkan mangsa membuat aduan. Sambil meminta Kementerian Pelancongan memantau agensi pelancongan yang 'tumbuh bak cendawan', beliau berkata pakej umrah dilaksanakan oleh agensi pelancongan lain kerana TH tidak mampu menguruskannya sendirian setelah memberi tumpuan kepada pengurusan haji yang melibatkan kira-kira 28,000 jemaah. Abdul Azeez turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran mengerjakan umrah dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebaliknya mendapatkan pandangan dan nasihat percuma di mana-mana cawangan TH tawaran pakej umrah. Beliau yang juga Anggota Parlimen Baling berkata mereka juga boleh menyemak senarai agensi pelancongan yang bertauliah dan berdaftar dengan TH. -- BERNAMA

MCA tidak tanding PRK Bukit Gelugor

MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini, kerana mahu memberi tumpuan kepada isu hudud. Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden di Ipoh, Perak, hari Sabtu. Menurutnya parti itu mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap krisis Perlembagaan yang dicetuskan oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud. "MCA perlu berusaha secara sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti melindungi Perlembagaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA negeri di sini. Beliau berharap orang ramai dan penyokong parti akan memahami bahawa parti itu perlu membuat keputusan yang tepat dalam masa yang kritikal. Turut hadir pengerusi MCA negeri Datin Paduka Chew Mei Fun dan barisan kepimpinan MCA negeri. PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 undi. Ong berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menerima keputusan parti itu selepas berbincang serta mendengar pendapat pimpinan tertinggi dan akar umbi parti itu. Ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan akar umbi, Ong berkata terdapat pelbagai pandangan daripada mereka, bagaimanapun kebanyakan anggota parti mahukan MCA memperkukuh kedudukan parti selain memberi fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau berkata walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi memastikan isu-isu berbangkit mendapat perhatian sewajarnya. Sementara itu, Chew berkata Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang berpendapat pelaksanaan hukum hudud oleh PAS bakal mencetuskan krisis Perlembagaan. Beliau berkata MCA negeri akan menumpukan segala tenaga dan masa untuk menangani krisis itu dan parti itu juga akan mengadakan lebih banyak dialog dan usaha untuk mengekalkan integriti Perlembagaan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei ini.