Sabtu, 29 November 2014

Bagi kuasa kepada Peguam Negara mempertahankan Tanah Rizab Melayu

Pergerakan Wanita UMNO memohon kerajaan memberi kuasa kepada Peguam Negara sebagai ‘penjaga kepentingan awam’ bagi mempertahankan Tanah Rizab Melayu di seluruh negara. Ketua pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia bertujuan membolehkan tanah rizab Melayu yang dibatal oleh pihak berkuasa negeri untuk tujuan pembangunan wajib diganti oleh kerajaan negeri berkenaan. “Daripada rekod (tanah rizab Melayu) semakin hari semakin terhakis. Ada negeri bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), apa akan jadi pada tanah rizab ini? “Wanita UMNO meminta Perdana Menteri untuk menguruskan pindaan perlembagaan supaya memberi kuasa kepada Peguam Negara sebagai ‘custodian of the public interest’ untuk berkuasa membuat petisyen kepada mana-mana negeri di mana tidak ada ganti wajib atau ganti semula tanah rizab Melayu,” katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya khuatir kegagalan mempertahankan tanah rizab Melayu bakal memberi kesan besar kepada anak cucu orang Melayu. Dalam pada itu, Shahrizat berkata pergerakan itu juga meminta Kementerian Pendidikan supaya mempertimbangkan pembelajaran bahasa ketiga seperti Arab, Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran elektif di sekolah menengah bertujuan mengikat perpaduan. Katanya tanpa mengabaikan martabat bahasa Melayu, pembelajaran bahasa berkenaan boleh menjadi alat komunikasi yang penting dalam aspek perpaduan. Sementara itu, Puteri UMNO mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan potongan gaji 10 peratus ke atas semua pekerja lelaki di sektor awam dan swasta yang sudah berkahwin untuk dikreditkan terus ke dalam akaun isteri mereka. Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah itu bertujuan menjamin golongan wanita yang berkahwin mendapat nafkah dan menguruskan rumah tangga dengan lebih baik. “Ramai juga wanita di luar sana nasib tidak terbela kerana tidak mendapat nafkah sewajarnya daripada suami mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat mungkin Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kewangan dapat berbincang mengenai cadangan ini,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada PAU. Beliau berkata langkah tersebut penting dalam membela nasib wanita yang menurutnya telah memberi majoriti undi bagi memungkinkan kemenangan BN pada pilihan raya umum lepas. Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memperkenalkan langkah tersebut untuk pegawai ATM berpangkat Leftenan Muda dan ke atas yang dikenakan potongan menerusi Peruntukan Paksa ATM dan dikreditkan ke dalam akaun isteri.

PM Najib akan buktikan GST adalah untuk kepentingan rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta rasionalisasi subsidi bertujuan membolehkan lebih banyak pembangunan dilakukan dan bukan untuk membebankan rakyat. Beliau berkata perolehan hasil daripada CBP dan pengurangan perbelanjaan untuk subsidi akan dibelanjakan bagi pembangunan kawasan luar bandar, meningkatkan mutu pendidikan negara, menyediakan perumahan, meningkatkan kemahiran orang Melayu dan rancangan pembangunan lain. "Peruntukan dibelanjakan untuk kawasan luar bandar mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan mesti kita tambah lagi...pendapatan rendah orang Melayu kerana apa?. Kerana kebanyakannya kelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Kita kena beri latihan peningkatan kemahiran, kita kena tambah lagi," katanya. Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 pada Sabtu. Kata beliau Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai institusi lambang Melayu dan bumiputera juga harus diberi tambahan peruntukan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Melayu menerima biasiswa agensi berkenaan. Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata CBP yang diamalkan di lebih 160 negara adalah lebih adil kerana ia boleh membendung perbuatan mengelak cukai oleh peniaga sehingga mewujudkan jurang percukaian sehingga 30 peratus. "Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma...tak adil, mereka patut bayar cukai kerana mereka patut menampung perbelanjaan untuk rakyat bersama," katanya. Menyentuh mengenai rungutan umum pertumbuhan ekonomi yang tidak dirasai oleh orang ramai, katanya pertumbuhan ekonomi membawa maksud peningkatan perolehan negara dan membolehkan kerajaan menampung kos pentadbiran. "Katakan dapat dua tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanannya. Apatah lagi dalam tahun 1997 bila ekonomi merudum, kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian, jabatan kerajaan sampai TNT (tuntutan perjalanan rawatan) untuk penjawat awam terpaksa kita hadkan," katanya. Kata beliau ketiadaan pertumbuhan ekonomi akan turut membantutkan usaha Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera kerajaan yang bertujuan untuk mengagihkan kekayaan dan merapatkan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera. Ekonomi Malaysia berkembang 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini dan merupakan kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negara Asean. Dalam penggulungannya, Najib turut menyentuh mengenai pembangunan tanah rizab Melayu yang dibangkitkan perwakilan bagi memberi nilai yang menguntungkan kepada pemilik tanah. "Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan, national land code (Kanun Tanah Negara 1965) dan juga enakmen-enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada pinjaman instrumen Islam memajukan tanah-tanah rizab Melayu. "Satu jawatankuasa telah pun ditubuhkan dan laporannya telah pun disediakan dan saya minta supaya semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik," katanya. Sementara itu, bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Melayu yang belum mempunyai pekerjaan, perdana menteri juga mengumumkan jumlah penyertaan graduan di bawah Skim Latihan 1Malaysia ditambah 100 peratus. Sejak dilancarkan pada 2011, SL1M berhasil membantu 42,000 graduan menganggur mendapat pekerjaan dengan meningkatkan tahap kebolehpasaran atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Jangan pertikai hak orang Melayu, Raja dan Agama Islam- PM Najib

Perhimpunan Agung Umno 2014, berakhir dengan mesej tegas dan lantang Presiden Umno bahawa hak keistimewaan orang Melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, tidak boleh dipertikaikan lagi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara. "Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain. "Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang...kerja lain tak jadi. Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja," katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Sabtu. Ketegasan Perdana Menteri itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,700 perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, malahan mereka yang mengikuti ucapan itu di luar dewan. Najib berkata atas rasa tanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara serta menangani tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perlembagaan negara, maka Akta Hasutan 1948 dikekalkan. "Orang kata Akta Hasutan tak demokratik, akhbar antarabangsa serang saya. (Tuduh) saya mungkir janji, guna kekerasan. "Saya nak beritahu, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri jaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita," kata Najib, yang mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Khamis. Menyorot kembali bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan, mengecapi keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau menekankan bahawa konsep solidariti adalah asas kejayaan itu. Najib turut menjelaskan bahawa solidariti yang beliau tegaskan semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan telah menjadi antara topik perbahasan Perhimpunan Agung Umno kali ini bermaksud: 'bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu'. Dalam pada itu, Najib turut menempelak pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai ibu segala rasuah kerana cuba menawarkan sejumlah wang yang besar kepada seorang pemimpin Umno untuk membawa Anggota Parlimen BN menyertai pembangkang pada 2008. Perdana Menteri turut menyelar amalan nepotisme pihak pembangkang yang 'mengorbankan' anggotanya yang tidak bersalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang lain untuk memegang jawatan. "(Pembangkang) boleh pula suruh wakil rakyat (mereka) letak jawatan (sebab) isteri nak bertanding. Suruh menteri besar (MB) yang tak ada kesalahan letak jawatan sebab isteri nak jadi MB. "Inilah nepotisme terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia. Seranglah pembangkang," tegasnya. Menyentuh isu peremajaan yang hangat dibahaskan perwakilan pada perhimpunan agung tahun ini, Najib mengingatkan 3.47 juta anggota parti itu bahawa Umno perlu menyusun strategi terbaiknya dalam merealisasikan agenda pengkaderan parti. Menyedari 'kedinginan' antara segelintir pemimpin lama dan baharu yang wujud sejak dahulu, beliau sekali lagi menegaskan kepentingan seluruh generasi dalam Umno bekerjasama dalam satu haluan. "Kalau kita dok kerling belakang kita dan rasa ada orang nak serang kita, sampai bila pun tak akan wujud solidariti. Tapi, dalam masa itu, mana yang patut..(kita) berilah peluang," kata Najib. Bagaimanapun, katanya, peluang itu hanya akan diberikan kepada orang muda yang benar-benar layak dan menepati ciri-ciri Jil Umno yang telah digariskan. Najib berkata apa yang penting adalah setiap anggota parti itu perlu meremajakan semula roh perjuangan Umno dalam diri masing-masing.

Pelan strategik bagi menjayakan agenda peremajaan UMNO perlu disediakan-Hishammuddin

Satu pelan strategik perlu disediakan segera bagi menjayakan agenda peremajaan Umno untuk menarik minat generasi muda, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata kewajarannya supaya konsep peremajaan parti bukan hanya berkisar pada usia atau jawatan semata-mata. "Sebagai Naib Presiden saya bersetuju, agenda peremajaan wajib dijadikan agenda utama parti," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini hari ini. Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Khamis, mengumumkan beberapa langkah peremajaan termasuk membuka pendaftaran keanggotaan secara terus secara online dan mewujudkan generasi pewaris kepimpinan masa depan Umno atau Jil-Umno. Beliau berkata langkah peremajaan dan kemudahan pendaftaran anggota baharu Umno adalah sebahagian daripada proses program transformasi parti yang dilaksanakan sejak 2009. Hishammuddin berkata sebelum ini Umno telah melaksanakan pelbagai perubahan termasuk penghapusan kuota untuk bertanding, penambahan perwakilan automatik ke perhimpunan agung dan penurunan kuasa memilih kepada akar umbi dengan jumlah yang lebih besar. Umno juga telah melaksanakan transformasi dalam penghapusan yuran dan dalam mempermudahkan penyertaan anggota, katanya. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih rumah keluarga angkatan tentera darat, laut dan udara, sebagai menghargai perjuangan mereka dalam menjamin keamanan negara. "Usaha pemantapan sektor keselamatan dan pertahanan negara akan direncana secara strategik dalam Pelan Pembangunan Rancangan Malaysia ke-11. "Ia penting kerana kita berhadapan dengan ancaman bentuk baharu yang menuntut kita memperkasakan aset dan kelengkapan," katanya. Hishammuddin berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam usaha penambahbaikan kebajikan bekas perajurit bagi membela golongan itu. Sementera itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda, sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh. Mengambil contoh pilihan raya umum di India untuk jawatan perdana menteri yang ditandingi calon berusia 64 tahun dan seorang lagi calon berusia 40 tahun baru-baru ini, beliau menegaskan faktor mesra golongan muda dengan memanfaatkan teknologi baharu dan media sosial membolehkan calon 64 tahun daripada Bharatiya Janata Party (BJP) menewaskan pesaingnya yang jauh lebih muda. "Peremajaan itu tidak semata-mata pada umur, peremajaan itu dalam konteks yang lebih menyeluruh. Bila tengok cara mereka (calon di India) berkempen, calon lama telah membawa diri macam orang muda dengan menggunakan media sosial, Facebook, Twitter dan polisi yang mesra orang muda, cergas dan dinamik. "Calon muda pula tak tunjuk keremajaannya, tidak melibatkan diri di media sosial, polisi pun ditakuk lama, akhirnya gelombang pengundi muda yang tentukan keputusan pilihan raya tersebut telah memberi sokongan kepada calon umur 64 tahun," katanya dalam ucapan penggulungan. Khairy turut memberi contoh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkannya telah melalui proses peremajaan apabila mempunyai ramai pengikut di media sosial, termasuk mengikuti trend semasa bergambar 'selfie'. "Bukan saya minta pemimpin-pemimpin lama, ketua-ketua bahagian pakai seluar ketat, baju sendat dan sarung kaki merah jambu macam saya, itu bukan autentik, itu dah lunatik. Peremajaan itu juga tidak terhad kepada orang muda dalam Umno, orang lama dalam Umno saya yakin boleh melakukan peremajaan tersebut," katanya. Menteri Belia dan Sukan itu turut menegaskan peremajaan tidak seharusnya menjadi platform mudah bagi pemimpin muda untuk dilantik bagi apa-apa jawatan, sebaliknya mestilah berdasarkan kelayakan. "Peremajaan tak bermakna laluan percuma orang muda dilantik itu dan ini... kalau tak layak memang tak layak. Kalau kita layak kita patut menerimanya. Buat kerja dengan baik, tolong bahagian kuatkan parti dan kalau ada rezeki Alhamdulillah. "Itu yang kami faham tentang peremajaan, bukan rampasan kuasa. Itulah yang kita faham cara orang Melayu yang penuh dengan kesabaran dan hormat kepada orang lama," katanya. Khairy berkata gandingan pemimpin lama dan baharu diperlukan bagi terus memperkukuh dan mengarusperdanakan parti supaya dapat meraih kembali sokongan rakyat khususnya orang muda.BERNAMA

Pindaan Akta Hasutan dibentang pada Sidang Dewan Rakyat akan datang

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang. Perdana Menteri turut mengarahkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan akta itu dengan tegas selepas ia diluluskan kelak. "Kita minta polis buat siasatan rapi, kita minta SKMM buat siasatan sewajarnya juga. Supaya kita beri isyarat jelas (bahawa) tiada sesiapa harus takut dan bimbang kalau tidak melanggar undang-undang dalam negara. "Jangan jadi penghasut antara kaum dan agama. Ini jelas, tiada 'warning' lagi lepas ini. Kita nak pastikan setiap orang, kaum dan agama hormati satu sama lain," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Presiden Umno itu terdahulu mengumumkan pengekalan akta itu semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Khamis, dengan memasukkan dua peruntukan khas bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Najib menjelaskan beliau memilih pentas Umno untuk membuat pengumuman pengekalan akta itu atas rasa tanggungjawab terhadap semua anggota parti berkenaan. "Kalau suara Umno nak Akta Hasutan dikekalkan, maka saya pilih untuk terima hasrat ahli-ahli Umno seluruhnya. Tambah lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, pemimpin Umno, semua kata itulah pendirian yang sebaiknya," katanya. Kata Najib, keputusan itu bukanlah bermaksud kerajaan tidak berlaku adil kepada orang lain, sebaliknya menegaskan akta itu akan melindungi semua rakyat tidak kira kaum dan agama. "Bagaimanapun, saya tak boleh arahkan Peguam Negara kerana dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak, jadi saya minta ketegasan Peguam Negara untuk jalankan pendakwaan," kata perdana menteri. Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dikemukakan buat kali pertama pada Julai 2012, dan akan digantikan dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Sementara itu, Najib dalam sidang media berkata pengekalan Akta Hasutan 1948 adalah bagi melindungi keselamatan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya orang Melayu serta Bumiputera sahaja. "Ini tentang perlindungan untuk semua. Kami tidak mahu sebarang konflik agama dan kaum berlaku di negara ini. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengelak perkara ini daripada berlaku, itu yang paling penting," katanya. Beliau berkata tindakan memperlekeh hak istimewa orang Melayu, Raja dan agama Islam serta hak bukan Melayu, boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. "Kita mesti elak itu daripada berlaku kerana ia tidak menguntungkan sesiapa dan akta ini juga melindungi hak bukan Melayu dan bukan Islam," kata Najib. Perdana Menteri berkata keputusan mengekalkan akta itu bukan langkah terkebelakang oleh kerajaan kerana langkah menjulang demokrasi telah dilaksanakan sebelum ini dengan memansuhkan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 15 Sept 2011.

KERIS 2314 senjata UMNO untuk kembalikan majoriti dalam PRU 14

Modul latihan dikenali KERIS 2314 bakal menjadi senjata Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata modul latihan yang dirangka Biro Latihan dan Penyelidikan Umno itu dipersetujui presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibantu beberapa pakar. Menteri Dalam Negeri itu berkata modul pengkaderan dan tarbiah itu bertujuan melahirkan Jil-Umno (generasi pewaris kepimpinan masa depan Umno) dalam usaha meremajakan parti keramat orang Melayu itu. KERIS yang dimaksudkan adalah 'Karisma.Ehsan.Rasional.Iltizam.Setia'. "Bagi nombor keramat 2314 itu pula, 2.3 adalah sasaran kita untuk menebus kembali jumlah kerusi sebanyak dua pertiga pada PRU14 setelah dua penggal kita gagal, manakala 14 adalah sempena PRU14," katanya dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Ahmad Zahid berkata Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan modul latihan itu perlu dihadiri anggota Majlis Tertinggi, ketua-ketua bahagian serta para perwakilan Umno. Menyentuh mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI), Ahmad Zahid berkata sehingga Isnin lepas, sejumlah 89,977 warga asing diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi penguatkuasaan. Daripada jumlah itu, sejumlah 27,469 adalah pendatang tanpa izin. Ahmad Zahid berkata punca lambakan PATI di negara ini disebabkan ejen yang tamak dan tidak bertanggungjawab. "Saya telah tegaskan, hukuman sebat perlu dikenakan kepada ejen yang menjadi dalang pemerdagangan manusia ini di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang sejajar dengan protokol Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya. Dalam perkembangan lain, bagi memastikan tindakan lebih tegas dan segera diambil terhadap penghasut selaras dengan pindaan Akta Hasutan 1948, Ahmad Zahid berkata akta itu dikekalkan dengan memasukkan peruntukan khas melindungi agama Islam dan agama lain. Keputusan mengekal dan menambah baik akta itu dinyatakan Najib semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada perhimpunan parti pada Khamis. "Itu komitmen berterusan bagi menjamin kemakmuran negara yang dikecapi kini dikekalkan," katanya. "Untuk rekod sehingga kini, seramai 40 orang ditahan di bawah Akta Hasutan dan tahun ini saja, 12 orang ditahan. Apabila akta ini diperkasakan, saya akan ambil tindakan segera kepada pesalah-pesalah ini," katanya. Bagaimanapun, katanya, kerajaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Peguam Negara.