Jumaat, 20 Ogos 2010

Pemimpin Umno perlu utamakan perpaduan- Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kepimpinan Umno supaya mengutamakan perpaduan di semua peringkat demi masa depan parti dan negara.

Berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 6,000 penduduk Perlis di Dewan 2020 di sini beliau meminta supaya semua pihak berusaha sedaya upaya menggunakan apa cara sekalipun bagi mewujudkan perpaduan itu.

Najib yang juga Presiden Umno seterusnya meminta para pemimpin Umno supaya mengetengahkan corak kepimpinan yang boleh membawa perubahan, di samping bekerja kuat, menunaikan setiap janji dan mengambil berat masalah rakyat.

"InsyaAllah kepimpinan akan sentiasa dihormati dan dimuliakan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 53 penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan para peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh Perlis, selepas solat Maghrib.

Sementara itu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang turut hadir di majlis itu juga menyampaikan sumbangan kepada 62 anak yatim daripada asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis, di majlis yang sama.

Terdahulu sebelum menghadiri majlis berbuka puasa, Najib dan isteri menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid di Istana Arau.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.