Sabtu, 6 Disember 2014

Jangan politikkan laporan RCI pendatang tanpa izin di Sabah

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta pihak pembangkang supaya berhenti mempolitikkan laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah. Katanya pembangkang, termasuk ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi peluang untuk mengemukakan bukti berhubung isu berkenaan semasa dipanggil memberi keterangan ketika prosiding RCI namun nampaknya beliau tidak memanfaatkan ruang berkenaan sebaik-baiknya. "Sebab itu, saya minta parti pembangkang, sebelum komen mengenai perkara ini, pergilah tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Perhimpunan Bulanan Jabatan dan Agensi Persekutuan Sabah di sini pada Jumaat. Mengenai penyelesaian isu PATI di Sabah meskipun laporan RCI sudah dikeluarkan, Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata semua pihak mesti memahami masalah berkenaan secara mendalam termasuk latar belakang sosio-ekonomi Sabah yang berjiran dengan Filipina dan Indonesia serta sejarahnya. Selain kedudukan Sabah yang begitu hampir dengan negara jiran, kedatangan PATI ke negeri itu juga antara lain disebabkan pertalian persaudaraan atau kekeluargaan masih wujud antara rakyat Sabah dengan rakyat negara jiran berkenaan. Justeru Abdul Rahman berpandangan bahawa penyelesaian jangka panjang kepada isu PATI di Sabah boleh dilakukan sekiranya suasana politik selatan Filipina dalam keadaan stabil dan pelaksanaan dasar memakmurkan negara jiran.

TPM kecewa dengan usaha pendaftaran pengundi baru BN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dilihat masih ketinggalan dalam usaha mendaftar pengundi baharu. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana parti pembangkang didapati lebih aktif turun padang untuk mendekati pengundi baharu termasuk pergi ke kawasan kampung di seluruh negara. “Saya tidak berpuas hati dengan usaha BN mendaftar pengundi baharu kerana dilihat tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kerja tersebut berbanding pembangkang. “Tindakan itu boleh memberi kesan kepada BN terutama menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Pemangku Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - UTUSAN ONLINE

Akta Hasutan bukan alat politik kerajaan BN

Akta Hasutan 1948 bukan alat politik untuk menutup ruang kritikan terhadap kerajaan atau menyekat kebebasan bersuara rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata tujuan akta itu adalah untuk mengekang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan yang menghasut dan menghina kaum, agama dan Raja-Raja Melayu. "Akta Hasutan 1948 bukan alat politik. Jika hendak mengkritik kerajaan, boleh. Tiada kritikan (terhadap kerajaan) yang kita boleh tuduh di bawah Akta Hasutan tetapi kalau ada tindakan melampaui batas, menghina agama atau kaum, itu baru hasutan. "Akta Hasutan bukan melindungi parti politik tetapi perisai untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis #katakita Townhall 'Keharmonian Kaum', di sini Sabtu. Pada majlis itu, Khairy menjadi panelis bersama-sama pengamal undang-undang, JR Tey, menjawab pelbagai pertanyaan hadirin berkenaan isu keharmonian kaum dan Akta Hasutan 1948. Selain kenyataan menghina kaum, agama dan institusi Diraja, Khairy berkata kenyataan menggalakkan pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948. Menteri itu menegaskan penguatkuasaan Akta Hasutan itu juga perlu dilakukan secara adil terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau kedudukan seseorang itu. "Pelaksanaan (akta itu) mestilah adil," katanya. Mengenai kenyataan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun semalam yang 'hairan' tentang keputusan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948, Khairy berkata beliau telah berjumpa Yun semalam. Dalam pertemuan tersebut, Khairy berkata beliau menjelaskan kepada Duta Amerika Syarikat itu tentang keputusan kerajaan mengekalkan akta berkenaan. "Beliau (Yun) memaklumkan kepada saya, kerajaan Malaysia perlu membuat penjelasan kepada masyarakat dunia. Saya rasa kita boleh buat penjelasan supaya mereka memahami kenapa kita kekalkan Akta Hasutan," katanya. Penjelasan tentang Akta Hasutan itu, Khairy berkata bukan bermaksud Malaysia meminta keizinan dunia untuk mengekalkan akta itu tetapi sekadar menjelaskan langkah kerajaan mengekalkannya. Ketua Pemuda Umno itu juga berkata kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menerusi laman Twitter, berhubung perbicaraan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu campur tangan urusan dalaman Malaysia. "Ini campur tangan dalam soal kehakiman negara kita. Badan kehakiman Malaysia yang tentukan tentang kes itu dan bukan Naib Presiden Amerika Syarikat untuk memberitahu kita. Ia usaha untuk mendahului keputusan mahkamah," katanya. Negara kuasa besar itu, menurut Khairy perlu 'cermin diri sendiri' sebelum mengkritik Malaysia kerana mereka juga sedang berdepan pelbagai kepincangan termasuk berkenaan isu hubungan kaum dan kekerasan anggota polis. "Mereka juga perlu menutup pusat tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba yang menahan lebih 200 tahanan tanpa bicara," katanya.