Khamis, 6 November 2014

Jangan terburu buru kritik fatwa- Titah Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini meminta umat Islam supaya tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami perkara itu dengan sepenuhnya. Baginda bertitah umat Islam perlu bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik. "Beta menyatakan demikian supaya tidak mahu wujud sebarang pertelagahan dan perbalahan sesama umat Islam dalam pelaksanaan urusan agama sehingga maruah agama Islam jatuh, mudah dipersenda dan dipertikai pihak yang tidak bertanggungjawab," titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini. Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali. Sultan Selangor bertitah sesuatu fatwa bukan hanya dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja, malah dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan profesional yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk dalam bidang perundangan. "Mereka akan berbincang dan menentukan sesuatu hukum, setelah mengambil kira hukum-hukum di dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab yang berkaitan. "Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri Selangor hanya akan menjadi sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan Beta," titah baginda. Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu keamanan, perpaduan dan pembangunan yang telah dibina dan dipertahankan hancur atau dimusnahkan oleh mereka yang bersikap melampau hanya disebabkan kejahilan atau dipengaruhi hawa nafsu serta unsur-unsur ekstremis luar. Baginda menyeru umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah Islam. Baru-baru ini, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan mahu memohon semakan kehakiman mengenai fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengisytiharkan pertubuhan itu membawa fahaman sesat iaitu liberalisme dan pluralisme. - Bernama

Kenyataan Anwar bagai menyerang integriti mahkamah- Shafie Abdullah

Pihak pendakwaan pada Khamis mengadu kepada Mahkamah Persekutuan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media dalam talian menyerang integriti Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir penasihat PKR itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan berkata Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail, sebagai penjaga kepentingan awam dan pegawai kanan mahkamah, mahu perilaku Anwar dalam 'mencemuh' Mahkamah Persekutuan direkodkan. "Mungkin kenyataan paling memalukan yang pernah diucapkannya ialah apabila beliau berkata mahkamah adalah alat kerajaan dan tidak bebas," kata beliau ketika merujuk kepada satu artikel berjudul 'Go back to law school, Anwar tells Shafee.' Peguam kanan itu yang bertindak sebagai pendakwa raya berkata pihak pendakwaan tidak membangkitkan perkara itu untuk mengganggu prosiding rayuan tetapi untuk memberi ruang kepada Anwar menjelaskan sendiri kenyataannya itu atau memohon maaf kepada mahkamah. Pada ketika ini, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pembelaan, mencelah dengan meminta barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempertimbangkan sama ada terdapat keperluan bagi pihak pembelaan untuk menangani isu itu. Bagaimanapun, Hakim Arifin yang berkata mahkamah mengambil perhatian terhadap aduan itu, mengarahkan peguam Ramkarpal Singh untuk memulakan penghujahannya bagi membalas hujah Muhammad Shafee pada prosiding rayuan kes liwat. Muhammad Shafee kemudiannya memberitahu pemberita bahawa Peguam Negara telah mengarahkan beliau untuk membangkitkan perkara itu selepas Anwar menuduh mahkamah sebagai berat sebelah dan bekerjasama dengan kerajaan. "Kami membangkitkan perkara ini terutama untuk menghalang beliau daripada terus membuat kenyataan dan juga untuk mempertahankan integriti badan kehakiman negara," kata beliau. Ketika ditanya mengenai kemungkinan prosiding menghina mahkamah diambil terhadap Anwar, beliau berkata Peguam Negara belum memutuskan mengenai perkara itu, tetapi kemungkinan besar akan berbuat demikian apabila mahkamah menyampaikan penghakimannya berhubung dengan rayuan utama. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Tuduhan, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pelaburan RM7.18 bilion 1MDB di Pulau Cayman ditarik balik

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pelaburan RM7.18 bilion oleh 1Malaysia Development (1MDB) yang didakwa dipindahkan ke satu akaun sulit di Pulau Cayman, United Kingdom, telah ditarik balik dengan pulangan. Beliau berkata 60 peratus daripada dana itu telah dibawa balik dan bakinya akan dibawa kembali sebelum akhir tahun ini. "Pulangan pada akhir tahun 2013 untuk pelaburan ini hanya setakat enam hingga tujuh peratus," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini Khamis. Dalam pada itu, beliau juga menafikan kerajaan pernah mengeluarkan surat sokongan bagi menjamin pinjaman RM9.6 bilion oleh 1MDB ke atas pinjaman bernilai RM5.8 bilion. Ahmad berkata tindakan 1MDB melabur di Kepulauan Cayman juga bukan satu kesalahan memandangkan pelaburan itu dikendalikan oleh pengurus dana antarabangsa berlesen. "Jadi, tidak wujud tuduhan-tuduhan yang mengatakan wang itu hilang, perkara itu tidak wujud. Lebih-lebih lagi, dakwaan pakatan pembangkang berhubung kerajaan menyalurkan peruntukan 1MDB adalah tidak benar. "Tiada apa-apa tanggungan, hutang dan bayaran faedah terakru yang perlu ditanggung oleh kerajaan," katanya. Ahmad berkata kerajaan memberi jaminan terhadap pinjaman itu setelah dimaklumkan tentang keupayaan 1MDB memperoleh keuntungan menerusi 15 stesen janakuasa miliknya. Beliau turut memperbetul dakwaan kurang tepat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang mempertikai bagaimana 1MDB boleh diberi projek janakuasa tenaga bernilai RM11 bilion pada kos RM3 bilion. Menurut Ahmad, projek yang dimaksudkan Anwar ketika membahaskan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu itu sebenarnya dinamakan 'Projek 3B' dan bukannya 'projek RM3b'. Selain itu, katanya, tuduhan Anwar kononnya cadangan untuk mengeluarkan tawaran permulaan awal (IPO) bagi sebuah syarikat bernama 'Vertis Energy' bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB adalah tidak tepat. "Tidak ada syarikat bernama 'Vertis Energy', ia cuma nama kod bagi 1MDB Energy," ujarnya. Ahmad berkata, pengeluaran IPO adalah untuk menyenaraikan syarikat tersebut di Bursa Malaysia dan tiada kaitan dengan ura-ura menyelamatkan 1MDB.

Hutang negara tidak jejas kedudukan ekonomi- PM Najib

Hutang kerajaan Malaysia tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, malah pencapaian ekonomi negara turut dicemburui negara lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata hutang negara berada pada paras 53 peratus (daripada Keluaran Dalam Negara Kasar), iaitu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain. Beliau berkata kedudukan ini dilihat tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, dan ia turut dipersetujui oleh negara luar. "Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam, beliau (Rutte) mengakui keadaan ekonomi Malaysia jauh lebih baik berbanding kedudukan ekonomi Belanda. "Saya memetik kata-kata Rutte, "Saya mencemburui prestasi ekonomi anda," katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Khamis. Tan bertanyakan kaedah yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah hutang negara, kenaikan kos perbelanjaan sektor awam dan kos sara hidup. Mengulas mengenai hutang isi rumah, Najib berkata ia berada pada tahap 80 peratus, berbeza dengan Amerika Syarikat, yang membawa kepada krisis subprima. "Hutang isi rumah negara, sebahagian besarnya adalah hutang untuk membeli rumah. Jadi, ada aset sokongan dan aset beli rumah terus meningkat. Walaupun pada tahap 80 peratus, namun kita mesti sedar, (bahawa) sebahagian besar merupakan hutang membeli rumah, dan nilai aset ini akan terus meningkat," katanya. Namun, Najib berkata kerajaan akan memantau agar hutang isi rumah tidak naik terlalu tinggi serta mampu menguruskan dan menambahkan pendapatan rakyat. Kepada soalan tambahan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal), beliau berkata Malaysia mengamalkan prinsip ekonomi bebas dan terbuka, yang berlandaskan kepada pertumbuhan pasaran, dengan pencapaian yang sangat menggalakkan. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Najib berkata kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah yang terbaik dalam kalangan negara anggota Asean dan antara yang tertinggi di dunia. Mansor ingin mengetahui peranan serta tahap kejayaan agensi pelaksanaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Unit Perancang Ekonomi (EPU). "Namun, kalau kita lihat jurang pendapatan antara kaum, bandar dan luar bandar, (kedudukannya) bertambah baik. Cuma etnik sahaja tidak meningkat. Ini yang kita akui, ada juga cabaran tetapi pendekatan kita adalah untuk menberi tumpuan dan bantuan kepada golongan 40 peratus pendapatan terendah (B40)," kata Najib. Najib berkata hanya langkah kerajaan secara berterusan akan menghasilkan kesan jangka panjang, dan sekiranya kerajaan memperkenal Cukai Keuntungan Modal seperti yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang, ia akan membawa kesan negatif kepada ekonomi negara. Kepada soalan asal Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Najib berkata langkah berkesan dalam mengemudikan Model Baharu Ekonomi (MEB) berjaya mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan rakyat secara keseluruhannya. Katanya ini ditunjukkan melalui pengurangan pekali Gini (suatu ukuran penyerakan statistik) daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012, dan berdasarkan data awalan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES), pekali Gini terus berkurangan kepada 0.421 pada tahun ini. Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah berkesan dalam mengemudikan MEB ke arah merapatkan jurang kekayaan yang melebar semula sekarang, sebagaimana berjayanya Kerajaan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tambah Najib, ketidakseimbangan pendapatan di bandar dan luar bandar juga berkurangan dengan secara perbandingan di bandar menurun daripada 0.423 pada 2009 kepada 0.410 pada 2014. Di luar bandar, dalam tempoh tahun yang sama, turut berkurangan daripada 0.407 kepada 0.307, katanya. Secara ringkasnya, Najib berkata MEB menyasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita Malaysia kepada AS$15,000, dan memperoleh AS$444 bilion dalam pelaburan menjelang 2020 berpaksikan tiga komponen iaitu pencapaian status negara maju, kemampan ekonomi dan prinsip keterangkuman. Mengulas mengenai isi rumah pendapatan 40 peratus terendah, beliau berkata kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada isi rumah tersebut termasuk masyarakat Orang Asli, Bumiputera minoriti Sabah dan Sarawak dan sebilangan komuniti India. "Mudah-mudahan segala usaha murni ini akan mencapai matlamatnya, demi membina dan mewajahkan Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya, maju, moden dan progresif serta pembangunan yang bersifat terangkum," katanya.