Selasa, 6 Mei 2014

Tiga kumpulan penguatkuasa pantau PRK Bukit Gelugor- SPR

Tiga pasukan penguat kuasa yang turut dianggotai wakil parti yang bertanding akan membantu memantau kelancaran proses pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dijadualkan 25 Mei ini. Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata pasukan itu akan turut dianggotai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas dan wakil Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Beliau berkata setiap pasukan akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Paya Terubung, Ayer Itam dan Seri Delima. "Tugas mereka bermula selepas hari penamaan calon. Mereka akan memantau bahan-bahan kempen, ceramah...mereka akan mengambil tindakan sekiranya parti yang bertanding tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan SPR," katanya kepada Bernama di sini. Beliau menasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar mendapatkan pas masuk daripada pengurus pilihan raya bagi membolehkan penyokong mereka menyertai proses penamaan calon Isnin ini (12 Mei). Azizal berkata pihaknya menyediakan tiga khemah untuk penyokong parti di perkarangan Dewan Sri Pinang, di sini dan setiap calon yang berhasrat untuk bertanding hanya dibenar membawa masuk 100 penyokong ke perkarangan dewan. Beliau berkata sebanyak 1,095 orang akan ditugaskan sepanjang pilihan raya kecil itu meliputi pegawai pengurus sehinggalah pemandu. Sebanyak 17 pusat daerah mengundi akan dibuka pada pilihan raya kecil itu dengan 139 saluran untuk undi biasa dan empat saluran untuk undi awal, katanya. Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan buku Daftar Pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor kini boleh membelinya di pejabat SPR negeri dengan harga RM331.80. Tinjauan Bernama di pejabat SPR negeri semalam mendapati para petugas sibuk menyiapkan peralatan peti undi dan membuat persiapan untuk proses penamaan calon Isnin ini. Kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai keluasan 28km persegi dengan jumlah pengundi berdaftar sehingga 17 April lepas ialah 82,431 orang. Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas. Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.BERNAMA

HUDUD- Jawatankuasa tenikal perlu membabitkan ulama bebas-Tun M

Jawatankuasa teknikal pusat berhubung pelaksanaan hukum Hudud atau undang-undang jenayah Syariah harus terdiri daripada para ulama bebas dan sesuai yang tidak terbabit dalam politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata ini bagi mengelakkan pandangan yang prejudis terhadap jawatankuasa itu dan bagi memastikan pelaksanaan hukum tidak memberi manfaat kepada pihak-pihak tertentu. "Perkara utama ialah untuk mempunyai para ulama yang sesuai yang tidak terbabit dalam politik untuk mengkaji perkara ini dan memberi fatwa mereka. Bukan orang-orang yang jelas menggunakan hudud untuk meraih undi," katanya. Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas memerhatikan prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari Selasa terhadap bekas ahli politik dan aktivis sosial Dr Kassim Ahmad atas dakwaan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama. Pada 2 Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebuah jawatankuasa teknikal pusat akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi mengkaji pelaksanaan undang-undang jenayah syariah atau hukum Hudud di Kelantan. Jamil Khir berkata penubuhan jawatankuasa itu membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan Kelantan dan PAS. Selain mengkaji pelbagai aspek pelaksanaan undang-undang itu, jawatankuasa itu juga akan menjelaskan perkara itu di semua peringkat termasuk parti-parti politik. Sementara itu, Dr Mahathir juga berharap kontroverisi dalam pelaksanaan hudud akan membantu orang ramai memahami apa itu hudud dan bagaimana ia digunakan dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama. Berhubung tindakan MCA menolak hukum itu dan sama ada ia boleh memecahbelahkan Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata beliau tidak fikir ia boleh menjejaskan parti itu. "Umno percaya hudud sebagai sesuatu yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis, namun apabila ia digunakan oleh sebuah parti politik (PAS) mereka akan menterjemahkannya secara berat sebelah," katanya.

Teresa Kok didakwa terhadap tuduhan menerbitkan klip video menghasut

Ahli P‪arlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok "Onederful" Malaysia CNY 2014' , yang disiarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina tiga bulan lalu. Teresa yang berbaju kurung merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norsharidah Awang. Berdasarkan pertuduhan, Teresa, 50, didakwa menerbitkan klip video itu di laman web YouTube yang mana transkrip terjemahaan dalam Bahasa Malaysia mengandungi ayat menghasut. Kesalahan didakwa dilakukan di alamat 90-02- 07 Aparmen Putra Ria Jalan Bangsar, kira-kira jam 9 pagi, 1 Februari 2014. Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin. Bagaimanapun menurutnya bergantung kepada budi biacara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap tertuduh dengan jumlah yang munasabah. Bagaimanapun Peguam Teresa, Datuk C Param memohon mahkamah memberikan bon jaminan peribadi atas kapasiti anak guamnya sebagai pemimpin masyarakat yang tidak mungkin akan melarikan diri, selain memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis. Mahkamah membenarkan Teresa diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan kes. Mahkamah turut menetapkan empat hari bermula bermula 2 September depan untuk perbicaraan kes itu. Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil antara 10 hingga 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu. Turut hadir sebagai peguam bela peguam Sankara Nair, Gobind Singh Deo. Dalam klip video berdurasi 11 minit itu, Teresa bertindak sebagai hos dalam bual bicara pengamal feng shui yang bertanya secara berjenaka, mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan harga barang dan isu keselamatan di Sabah.‬Petikan SInar Harian

Polis teliti rakaman video mengenalpasti individu pukul pengamal media

Polis Kuala Lumpur sedang meneliti rakaman video dan gambar perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) pada Khamis lepas bagi mengenal pasti individu yang memukul pengamal media. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada hari yang sama setelah diserang oleh sekumpulan individu dikatakan peserta perhimpunan. "Pengamal media dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu sisatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sii, hari Selasa. Beliau berkata, polis akan mengedar gambar individu yang terlibat dalam pergaduhan itu di media dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. Dalam kejadian Khamis lepas, sekumpulan individu yang menyertai perhimpunan membantah CBP di Dataran Merdeka bertindak mengasari petugas media yang membuat liputan sehingga ia mencetuskan kekecohan. Terdahulu, Mohmad turut menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh yang digantikan oleh Datuk Law Hong Soon. Amar Singh dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, (Siasatan dan Perundangan) di Bukit Aman manakala Law sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama enam tahun. Law yang telah berkhidmat selama 36 tahun mempunyai pengalaman luas dalam mengendali kes jenayah. -- BERNAMA

Anak Karpal SIngh sedia tanding di PRK Bukit Gelugor

Anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, pada 25 Mei ini. Peguam kelahiran Pulau Pinang berusia 38 tahun itu mengesahkan namanya antara calon yang disenarai pendekkan. Bagaimanapun, katanya terserah kepada DAP untuk membuat keputusan. "Saya bersedia untuk itu (PRK) dan telah memaklumkan kepada mereka (DAP) jadi saya serahkan keputusan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati Karpal Singh di Sekolah Tinggi Han Chiang, di sini Isnin malam. Mengenai sama ada kakaknya, Sangeet Kaur Deo merupakan antara calon terpilih, Ramkarpal berkata kakaknya tidak disenaraikan dan ia telah disalah laporkan sambil menambah pengumuman calon akan dilakukan pada Rabu. Ditanya sama ada Karpal Singh secara peribadi meminta beliau untuk menyertai politik, Ramkarpal berkata bapanya ada membayangkan perkara itu kepada abang-abangnya dan beberapa yang lain, namun tidak secara peribadi kepadanya. Karpal Singh, dalam biografi pertama bertajuk 'Karpal Singh-Tiger of Jelutong' telah mencalonkan anaknya Ramkarpal untuk menggantikan beliau sekiranya kehilangan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan. Ditanya sama ada beliau berminat menyertai politik, Ramkarpal berkata: "Secara tidak langsung, saya terlibat dalam politik sepanjang hidup saya. Minat itu hanya dikembangkan sejak beberapa tahun,". Ramkarpal, yang secara rasmi menyertai DAP tahun ini, bercakap buat pertama kalinya di khalayak umum semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan Karpal Singh berada disisinya, di Sekolah Tinggi Han Chiang. PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh (DAP) dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei. Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi. -- BERNAMA

Kes culik terbaru di Lahad Datu satu ancaman serius-KM Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kes penculikan terbaru melibatkan seorang pengurus sebuah syarikat pusat penternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu adalah satu ancaman keselamatan membimbangkan. Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) berkata kejadian penculikan itu adalah serius dan perlu dibanteras secara habis-habisan. "JKKN Sabah telah memberi perhatian serius dan usaha bersepadu akan dijalankan bagi mempertingkat lagi kawalan keselamatan terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa. Kira-kira pukul 2.45 pagi tadi, lima lelaki bersenjata, dipercayai jenis M16, menculik Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhou, China yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong. Sehubungan itu, Musa berkata langkah drastik akan diambil bagi membendung ancaman itu termasuk melaksanakan Kawasan Kawalan yang akan mengehadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan dan sesiapa ingin memasuki kawasan itu perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya JKKN juga akan mewujudkan pangkalan hadapan di kawasan strategik bagi memantau keselamatan perairan Sabah selain pelaksanaan 'Kawasan Berkurung' di kawasan berisiko iaitu tidak ada pergerakan dibenarkan. Perinciannya akan diteliti PDRM. Menurut Musa langkah jangka pendek dan panjang juga akan dilaksanakan termasuk membuat penyesuaian kepada organisasi, perjawatan dan pengisian pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selain mewujudkan radar berkeupayaan tinggi. Katanya keupayaan anggota keselamatan dari segi logistik seperti jumlah bot laju di kawasan berrisiko tinggi juga akan dipertingkatkan selain mengukuhkan pelaksanaan gerak saraf untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menjadi barisan pertahanan di Esscom. Musa berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) komunikasi Esscom juga akan diperbaiki supaya maklumat disalurkan dengan pantas kepada semua agensi keselamatan di lapangan serta menguatkuasakan 'laluan khas' dengan segera di kawasan berisiko iaitu pergerakan bot dan kapal mesti mengikut laluan yang dibenarkan sahaja. Katanya JKKN akan meningkatkan keupayaan logistik seperti mewujudkan sokongan logistik melalui konsep 'kapal induk' untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos. "Saya suka menegaskan bahawa sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi JKKN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan rakyat dan para pengunjung di negeri ini sentiasa terpelihara. "Justeru, JKKN menyeru supaya semua pihak, khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah, sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan di Sabah berada pada tahap tinggi," katanya. -- BERNAMA