Khamis, 29 Mei 2014

Sultan Johor titah kaji rayuan ambil kembali Batu Putih

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor supaya menubuhkan sebuah pasukan khas supaya mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh. Sultan Ibrahim bertitah langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan sini Khamis. Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi. Baginda bertitah pembangunan itu yang akan memberikan impak besar terhadap ekonomi Johor sepatutnya turut memberi faedah kepada rakyat Johor. Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja. "Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah baginda. Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara alam sekitar negeri Johor. Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan. Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta bahawa mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan terpaksa bekerja pada hari Jumaat. Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik masing-masing. Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas. "Saya ingatkan pikullah amanah yang diberikan rakyat dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti politik," titah baginda.

PM Najib beri penghormatan terakhir kepada Almahrum Sultan Azlan Shah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Khamis memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, yang mangkat Rabu. Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, tiba di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada 9 pagi dan akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan enam hari yang bermula Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Beliau diiringi Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut bertemu kerabat diraja Perak untuk merafak sembah ucapan takziah atas kemangkatan baginda. Istiadat penghormatan terakhir dimulakan dengan kumpulan orang awam dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi sebelum disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing dari 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari. Ini diiikuti Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan dari 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang. Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar. Jenazah baginda kini disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. Baginda memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984.

Agensi pemantau subsidi diesel perlu dirombak besar besaran- PAC

Agensi-agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab memantau subsidi diesel perlu dirombak secara besar-besaran dalam usaha membanteras penyeludupan diesel ke negara jiran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed. Nur Jazlan berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada pengurusan tertinggi agensi-agensi berkenaan dan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan segera. "Jenayah ini bukan baharu dan melihat daripada statistik yang dikeluarkan SPRM, penguatkuasaan dijalankan sejak lima tahun lalu, tetapi kegiatan penyeludupan terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan malam ini. Beliau berkata kerajaan perlu memikirkan mekanisme baru dalam membanteras gejala itu termasuk mewajibkan semua pegawai dan kakitangan agensi penguatkuasaan mengisytiharkan harta mereka secara berkala. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu atau Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir berkata perubahan harus dilakukan supaya struktur ekonomi ditingkatkan setimpal dengan perubahan taraf hidup semasa khususnya kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan layak. Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara.

Raja Nazrin Shah diisytihar Sultan Perak yang baru

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada Khamis diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pengisyitharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membuat pengumuman itu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, pada pukul 3.15 petang. Raja Nazrin, 58, kini dikenali sebagai Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Sultan Nazrin, yang merupakan putera sulung Sultan Azlan Shah, menggantikan ayahanda bagindanya yang mangkat semalam. Sultan Nazrin kemudian melafazkan sumpah yang berbunyi: "Adalah kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah." Setelah melafazkan sumpah, baginda menurunkan tandatangan di atas surat sumpah disusuli laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh para hadrin. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, sebelum Sultan Nazrin meletakkan tangan dan mengucup keranda Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya disempurnakan pemakaman jenazah. Istiadat pengisytiharan pelantikan Sultan Perak yang baharu disempurnakan sejurus selesai sesi penghormatan terakhir pada pukul 3 petang. Dewan Negara Perak yang bersidang semalam telah memperkenankan pelantikan Sultan Perak yang baharu. Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar hari ini. BERNAMA