Rabu, 26 Mei 2010

10,000 Orang Dijangka Hadir Perhimpunan Anti-Samy




Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri pelancaran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad ini, melebihi jangkaan awal 7,000 orang, dakwa bekas timbalan ketua Pemuda MIC V Mugilan.

"Pada hari itu, saya kata 7,000 orang tetapi sekarang angka itu telah meningkat kepada 10,000 orang kerana kami sedang mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak," Mugilan berkata pada sidang akhbar di sebuah restoran India di sini Rabu.

Mereka yang dijangka datang termasuk anggota MIC, pemegang saham Maika dan kaum India yang bukan anggota MIC.

Mugilan juga berkata beliau sendiri yang telah menempah Dewan Merdeka di PWTC untuk perhimpunan pada Isnin lepas dan bukan Umno seperti yang didakwa oleh ketua Pemuda MIC T Mohan semalam.

Oleh kerana dewan tersebut boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang, beberapa layar besar akan dipasang di luar dewan untuk yang lain mengikuti perhimpunan itu.

Mugilan, yang dipecat oleh presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu Khamis lepas, mendesak presiden MIC itu berundur Julai ini.

"Pada mulanya, saya mendesak beliau untuk berundur akhir tahun ini tapi sekarang saya telah menukar strategi dan membuat keputusan untuk mendesak beliau berundur pada bulan Julai ini," kata Mugilan.

Katanya, keputusan terbaru itu diambil selepas mendapati sokongan untuk mendesak Samy Vellu adalah "terlalu kuat dan sentimen anti-Samy Vellu ini bagus".

Mugilan berkata beliau akan mengumumkan satu pelan pada pelancaran itu untuk mendesak Samy Vellu berundur lebih awal.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas anggota jawatankuasa kerja pusat K.P.Samy dan G.Kumar Aamaan yang juga dipecat Samy Vellu pada Isnin lepas.

Ditanya jika perhimpunan itu gagal mendesak Samy Vellu membut demikian, Mugilan berkata: "Kami akan memberitahu media bahawa Samy Vellu adalah pemimpin terbaik. Kami akan duduk diam dan menyerah."

Mugilan juga menunjukkan resit penempahan Dewan Merdeka dengan bayaran awal RM5,000 bertarikh 24 Mei.

"Resit penempahan dewan itu atas nama saya, kita telah membuat bayaran awal RM5,000 pada 24 Mei. Saya telah berjumpa dengan orang PWTC pada hari Isnin dan telah menempah sebagai orang biasa," katanya sambil menafikan tuduhan Mohan.

Katanya, resit tersebut telah diserahkan di Balai Polis Dang Wangi bagi memohon permit dari polis untuk mengadakan perhimpunan ituyang belum diterima lagi.BERNAMA

Berdosakah Saya Sebagai Siam Malaysia?"


Berdosakah Saya Sebagai Siam Malaysia?"


BERJAYA DALAM DUKA... (Dari kiri) Syalit Keowmani Eh Sau, Phisnukh Uttraphan Pim, Elicesa Lalitta Ea Chuan, Maleewan Perashot, Sukeht Thavil dan Vicsofee Sukahut Som mendengar penerangan daripada Boon Som Inong (kanan) mengenai kegagalan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Wat Siam Telok Wan Jah, Alor Setar, baru-baru ini.



Bekas almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman ialah seorang berketurunan Siam.

Masyarakat Siam di Malaysia dianggarkan kira-kira 60,000 orang. Kehidupan mereka tertumpu di beberapa negeri utara, iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand - tanah asal mereka.

Kira-kira 2,000 (bancian 2008) berada di Perak, 6,000 (2008) di Perlis, 30,000 (2007) berada di Kedah dan 13,000 (2008) berada di Kelantan. Menurut ensiklopedia Wikipedia, secara politiknya masyarakat Siam Malaysia dikenali dengan status bumiputera, iaitu status yang sama dengan Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan masyarakat Portugis Melaka.

Mereka juga adalah ahli UMNO dan boleh membuat simpanan dalam saham amanah, ASB dan ASN.

Menurut ensiklopedia itu lagi, kebanyakan masyarakat itu mengamalkan cara hidup Melayu. Ini dibuktikan dalam masyarakat Siam Kelantan. Tiada siapa yang boleh meneka Melayu atau Siam jika mereka bercakap Melayu.

Kitaran masyarakat mereka sedang berkembang, dari segi intelektual dan taraf hidup. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan yang amat menyokong kerajaan BN dan penyokong kuat UMNO. Mereka boleh menjadi penentu pada sesuatu pilihan raya dalam kawasan yang kosentrasi besar masyarakat itu.

Namun apa yang saya temui mengenai masyarakat ini baru-baru ini amat mengejutkan. Apakah mereka ini tercicir? Apakah mereka ini tidak dipedulikan? Apakah anak-anak mereka yang cerdik dan pandai disisihkan?

Persoalan ini bermain di fikiran saya. Boon Som a/l Inong, rakan saya yang juga bekas wartawan agensi berita asing dan bekas setiausaha akhbar dua Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet, seorang aktivis masyarakat Siam, membawa saya menyelami masyarakat beliau itu.

Sayu saya melihat wajah-wajah anak- anak Siam yang cerdik pandai ini tercicir. Mereka ini adalah aset dan modal insan yang berharga bagi masyarakat itu, khasnya dan negara amnya.

Kanak-kanak ini yang amat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia, belajar dalam sistem pendidikan negara. Di mana mereka ini sekarang selepas peperiksaan SPM baru-baru ini? Di masa kanak-kanak sebaya mereka bergembira dapat menjejaki ke pusat pengajian tinggi atau ke pusat- pusat matrikulasi, ke mana kanak-kanak Siam ini berada?

Sila lihat senario ini. Ia berlaku dalam negara kita ini dan dalam masyakat kita ini.

1. Vicsofee Sukahut a/p Som 921216-02-5300, SPM 2009 ( 8A 1B), SMK Bandar Baru Darul Aman - tercicir.

2. Sukeht a/p Thavil 920831- 02-5412, SPM 2009 (10A), MRSM Kubang Pasu - tercicir.

3. Maneewan a/p Perashot 920212- 02-5712, SPM 2009 (9A1B), Sekolah Menengah Sains Mohd. Jiwa, Sungai Petani - tercicir.

4. Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan 921005-03-5146, SPM2009 (6A2B3C) SMK Tumpat, Kelantan - tercicir.

5. Syalit Keowmani a/l Eh Sau 920210-02-5727, SPM2009 (7a, 2b) SM Sains Pokok Sena, Kedah - tercicir.

Turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat ialah:

Phisnukh Uttraphan a/l Pim, 900904-03-5146 memperoleh keputusan 11A SPM 2007, antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.

Menurut bapa Phisnukh, Pim, 57, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Siam Kelantan, kegagalan itu telah menyebabkan anaknya hilang semangat untuk belajar. Beliau terpaksa pindahkan anaknya ke sekolah lain ke Tingkatan 6, kerana Phisnukh malu untuk menghadapi rakan sekolahnya.

Pim dari Kampung Terbak Kelantan berkata, pada pemerhatian beliau tiada seorang pun masyarakat Siam Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang Peperiksaan SPM 2009 berjaya ke pusat-pusat matrikulasi atau ke IPTA.

''Kami masyarakat keturunan Siam, yang rata-rata ahli UMNO dan layak melabur dalam ASB dan dianggap bumiputera memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan persepsi negatif tentang dasar meritrokrasi dan 1Malaysia.

''Ini kerana pelajar dan ibu bapa masyarakat Siam mengetahui bahawa rakan pelajar bumiputera setingkatan dengan mereka yang mendapat keputusan kurang daripada 5A mendapat pelbagai tawaran sama ada ke program matrikulasi, IPTA atau program Asasi Sains.

''Sebagai kaum yang memiliki taraf ekonomi dan taraf pendidikan yang masih rendah (rata-rata terdiri daripada petani dan penoreh getah) saya memohon pihak kerajaan mempertimbangkan atau memberi kelonggaran bagi pelajar keturunan Siam untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam institusi kerajaan.

Dengar suara Perashot a/l Pom, 54, pula. ''Saya amat kecewa kerana anak saya Maleewan mendapat kelulusan 9A gagal ke kursus matrikulasi dan IPTA.

''Saya tidak mampu lagi menghantar anak saya ke IPTS memandangkan pendapatan saya agak rendah dan menanggung seorang lagi kakaknya yang masih belajar di tahun kedua IPTS," kata juruteknik dari Air Hitam, Kedah ini.

Walaupun anaknya gagal. Perashot masih menaruh harapan. ''Pihak berwajib tolong semak sama ada mereka terlepas pandang. Harap masalah anak saya mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk masa depan adik-adiknya kemudian.

''Anak saya belajar bersungguh- sungguh harap kerajaan tidak mensia-siakan harapannya dan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.

Dengar pula suara Vicsofee Sukahut a/p Som, 18, dari Kampung Huma, Jalan Wang Tepus, Jitra, Kedah. Beliau mendapat 8A1B.

''Saya tidak tahu apa yang perlu saya sebutkan lagi, semuanya gagal, terserah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan permohonan saya.

''Bukan irihati dan berhasrat dengki kepada sesiapa tetapi rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang daripada saya hampir semuanya mendapat tempat di matrikulasi dan IPTA.

''Kadang-kadang saya tertanya apakah dosa saya dilahirkan sebagai rakyat berketurunan Siam di Malaysia. Kami sentiasa mendokong dasar kerajaan, penyokong setia kerajaan BN tetapi dalam pendidikan kami dipinggirkan malah boleh dianggap dianaktirikan.

''Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan dan menggubalkan kembali dasar pengambilan masyarakat Siam di matrikulasi dan IPTA. Kecemerlangan sepatutnya dihadiahkan imbuhan bukannya kekecewaan," kata bekas pelajar SMK Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini.

Saya tergamam mendengar kata- kata gadis manis Vicsofee ini.

Saya juga tiada daya untuk membantunya dan rakan-rakan senasibnya yang cemerlang itu.

Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan - Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan IPTA yang bersimpati untuk menyelamatkan potensi kanak-kanak itu. - Utusan Malaysia