Jumaat, 14 November 2014

UMNO Johor komited berjuang lebih giigih untuk PRU 14

Umno Johor pada Jumaat ini menzahirkan komitmennya untuk berjuang dengan gigih bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) memenangi kesemua kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). "Saya dan Umno Johor nekad bersama-sama dengan rakan-rakan dalam BN dan akan berusaha dengan lebih gigih, bekerja dengan lebih keras, untuk memastikan Umno dan BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Insya-Allah," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Konvensyen Umno Johor di sini, pada Jumaat. Konvensyen dua hari itu yang dihadiri pemimpin dan anggota daripada 26 bahagian Umno di negeri ini, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno. Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata Umno negeri yakin ia akan menjadi benteng paling kukuh bagi BN di Semenanjung Malaysia pada PRU14. Malah, katanya Umno Johor akan membantu BN membentuk kerajaan dengan majoriti yang lebih besar dan diyakini. Mohamed Khaled berkata kehilangan 18 kerusi pada pilihan raya umum ke-13 merupakan pengalaman yang membingungkan dan pahit bagi Uno Johor tetapi pada masa sama, menghasilkan kesedaran yang mendalam. Sehubungan itu, katanya Umno Johor akan meneruskan usaha bagi mengukuhkan kedudukan, pengaruh dan kuasa orang Melayu sebagai sebahagian daripada strategi transformasi untuk mengukuhkan parti. "Parti ini tidak akan sama sekali lupa terhadap tanggungjawabnya untuk bangsa Melayu," kata Mohamed Khaled. Beliau berkata Umno Johor juga akan memperkukuhkan BN yang telah berjaya menjadikan Malaysia antara negara paling moden, selamat, mempunyai ekonomi berdaya saing, harmoni dari segi sosial dan politiknya stabil. Mohamed Khaled berkata Umno Johor tidak akan menjadi "parti senja" atau "parti di hujung usia" sebaliknya menjadi pilihan golongan muda, yang dipimpin oleh gabungan mereka yang bijak dan progresif. Sehubungan dengan itu, beliau mengumumkan penubuhan badan pemikir Umno Johor yang dinamakan "Johor Institute For Strategy, Economic Advancement and Democracy" (JISEAD). JISEAD berperanan sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran idea besar dan pemikiran luar biasa yang dapat memberi manfaat kepada parti, bangsa dan tanah air, katanya. -- BERNAMA

Kejayaan UMNO perlu diterjemahkan menerusi peti undi

Umno mesti berjaya bukan sahaja dalam konteks sebuah parti politik tetapi kejayaan itu perlu diterjemahkan menerusi peti undi dalam pilihan raya umum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Presiden Umno itu berkata kayu pengukur yang paling penting bagi Umno sebagai sebuah parti politik adalah kejayaannya mengekalkan kuasa pemerintahan negara. "Ujian yang paling muktamad adalah kekuasaan kita, yang harus diterjemahkan melalui peti undi pada pilihan raya kerana ia merupakan kayu pengukur yang paling penting," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Umno Negeri Johor, di sini, pada Jumaat. Sebagai presiden parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN), katanya beliau mahu melihat Umno yang ditubuhkan di Istana Besar, Johor Baharu, berjaya dan terus mengekalkan kuasanya.
Konvensyen dua hari itu di Hotel Berjaya Waterfront di sini, dihadiri lebih 700 ahli Umno negeri mewakili 26 bahagian. Selain Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pemimpin parti pusat yang hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan. Menyentuh mengenai ucapannya yang menyebut mengenai pengislahan parti, Najib mengulangi pendiriannya bahawa ia perlu bermula dengan anggota dan pemimpin parti itu sendiri. "Ia mesti terbit daripada kita sendiri, bermula daripada cinta kepada parti. Ia perlu dipegang oleh semua anggota Umno dengan semangat daya juang berhabis-habisan tanpa mengira ganjaran, kedudukan dan kepentingan," katanya. Apa yang penting menurutnya adalah Umno berjaya dan terus berkuasa. Mengenai nasihatnya supaya kepimpinan muda diberi tempat dalam parti, beliau berkata, ia mesti bersandarkan kepada kedudukan di sesuatu kawasan itu. Pemimpin-pemimpin muda dalam Umno perlu dibimbing dan diberikan peluang untuk menyumbang kepada parti, katanya. -- BERNAMA

Proses pengislahan Umno perlu bermula dengan muhasabah diri- PM Najib

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota parti bahawa proses pengislahan Umno perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan dalam usaha untuk menguatkan parti. Perdana Menteri berkata proses pengislahan bukan terletak kepada kepimpinan tertinggi Umno semata-mata tetapi mesti merangkumi kesemuanya, termasuk akar umbi. "Pengislahan bermaksud kita ada motivasi untuk berjuang demi kepentingan parti. Kalau ahli Umno disenangi dan diyakini, itu merupakan proses pertama kebolehpercayaan pada Umno," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini pada Jumaat. Beliau turut menegur sikap sesetengah anggota Umno yang lebih mementingkan diri sendiri dan kurang semangat cintakan parti. "Macam dulu, bila Tunku Abdul Rahman (Presiden Umno ketika itu) tidak cukup duit untuk pergi London (runding tentang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia)), ada ahli-ahli yang menghulurkan bantuan tetapi sekarang, bila minta buat kerja, ada yang tanya, apa yang dapat," kata Najib secara sinis, mengundang sorakan daripada lebih 800 perwakilan Umno Johor yang hadir pada konvensyen dua hari itu.
"Jangan hanya kaya material tetapi tidak kaya daya juang dan semangat sayangkan parti. Kalau kita ada semangat cintakan parti, kita akan buat kerja yang luar biasa," katanya. Beliau berkata pengislahan perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan. "Kita harus sedar dalam mengamalkan demokrasi terbuka ini, kesudahannya, 'it's a game of numbers'. Kita harus menambah lagi sokongan kita yang seterusnya diterjemahkan kepada bilangan kerusi yang semakin meningkat untuk menjamin kekuatan kita yang lebih utuh. "Kalau parti kuat, kalau parti masih berkuasa, perjuangan boleh diteruskan," kata Najib. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata anggota Umno perlu berfikiran terbuka sekiranya mahu menarik lebih ramai golongan muda menyertainya untuk menjadikan parti kekal relevan. "Kalau kita terpaksa bagi laluan, bagilah laluan pada orang lain (orang muda contohnya), Barulah parti kita dilihat sebagai parti dinamik, parti segar dan parti berwibawa," katanya. Merujuk ucapan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyentuh pengislahan moden dan progresif, inklusif, Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kaum lain, Najib berkata itulah antara ramuan dan gerak kerja yang diperlukan untuk kelangsungan parti pada masa depan. "Tidak salah saya cakap yang proses kebangkitan semula Umno adalah amat wajar bermula di sini (Johor). Di bumi inilah kebangkitan semula Umno Johor dan Barisan Nasional sebagai tunjang kekuatan kita. Saya amat sedar yang kelangsungan mesti dimulakan dengan kubu kuat Umno," kata beliau. Konvensyen itu, yang bermula pada Jumaat, turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.BERNAMA

JPA teliti kes yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti kes-kes penjawat awam yang dikenal pasti terlibat dalam salah laku seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 baru-baru ini. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata JPA sedang meneliti kesalahan mereka dan mengumpul maklum balas daripada semua kementerian yang terlibat, termasuk surat tunjuk sebab salah laku penjawat awam yang terlibat. "Sekarang masih dalam peringkat permulaan penyiasatan...kami perlu meneliti apa kesalahan yang dibuat oleh penjawat awam yang terlibat, termasuk meminta mereka menyatakan sebab barulah boleh mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Patriotisme JPA 2014 di Kuala Lumpur, hari ini. Rabu lepas pada sesi bersama media berhubung Laporan Ketua Audit Negara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata laporan itu antara lain memberi lima teguran melibatkan 46 pegawai awam dikenal pasti untuk prosiding tatatertib. Sementara itu, Zabidi juga memberitahu laporan penuh audit bahasa yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke atas jabatan dan agensi kerajaan sejak tahun lepas akan dikeluarkan pada Jun 2015. Zabidi berkata audit itu menunjukkan keprihatinan DBP untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam. "Pengauditan bahasa Melayu adalah perlu bagi memastikan semua penjawat awam mengguna dan memartabatkan bahasa kebangsaan dengan baik, sama ada dari segi pertuturan ataupun penyediaan dokumen rasmi. "Setakat ini, lebih 30 jabatan dan agensi kerajaan menjalani audit bahasa sepanjang tahun ini bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan," katanya. Zabidi berkata JPA sentiasa menjalankan pelbagai program untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. "Di samping memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan, penjawat awam juga perlu menguasai pelbagai bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris dengan baik kerana ia merupakan bahasa antarabangsa. "Namun dalam usaha menguasai pelbagai bahasa, kita jangan lupa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita," tegasnya. – Bernama

PAS mahu DAP tutup mulut

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali memberi amaran kepada rakan komponen PR supaya tutup mulut dan berpuasa daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan kerjasama politik parti pembangkang. Beliau menegaskan, tindakan menegur dan mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak menguntungkan PR, lebih-lebih lagi yang dibuat oleh pimpinan DAP. "Pimpinan parti mesti ambil sikap berpuasa daripada kenyataan yang tidak baik. Berpuasa lebih baik dari membuat kenyataan yang tidak baik. "Saya suka memperingatkan bahawa PR tiada lagi langkah untuk memerintah Malaysia, syaratnya ialah perpaduan mestilah diperkukuhkan. "Isu-isu yang bersifat sampingan, yang tidak menguntungkan PR yang dibangkitkan oleh mana-mana pimpinan parti perlu dielakkan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, semalam. Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kritikan terbuka terhadap Abdul Hadi sebagai satu siri serangan yang sedang giat digerakkan sejak akhir-akhir ini bukan sahaja oleh pimpinan DAP bahkan dilakukan oleh pimpinan Pas sendiri. Beliau menegaskan tindakan mempertikaikan kewibawaan Abdul Hadi itu kini menjadi satu trend yang disyaki mempunyai agenda peribadi pihak tertentu termasuk mahu Ahli Parlimen Marang itu berundur. "Saya rasa kenapa isu ini dibangkit sejak akhir-akhir ini adalah satu siri serangan kepada Presiden bukan hanya Lim Guan Eng, bahkan juga beberapa ahli Parlimen selain ahli Pas. "Saya rasa ia satu agenda yang tidak membantu dalam usaha kita untuk mengukuhkan PR," ujarnya. Beliau berkata demikian mengulas gesaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang sebulat suara supaya Abdul Hadi dapat hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang.

Teguran Presiden terhadap UMNO Selangor harus dijadikan peringatan

Teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Umno Selangor baru-baru ini perlu dijadikan peringatan untuk semua jentera parti di seluruh negara agar terus memenangi hati rakyat, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah. Sehubungan dengan itu, beliau berkata anggota Umno juga perlu menangani cabaran luar dengan terus bergerak memberi pelbagai penerangan kepada rakyat supaya para pengundi khususnya pengundi atas pagar yakin terhadap Umno. Beliau berkata dengan usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai transformasi bagi memacu pembangunan negara, tiada sebab untuk rakyat tidak menyatakan sokongan berbelah-bahagi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN). "Sekiranya Umno dan BN kalah pada PRU-14, maka saya rasa ia sesuatu yang gelap dan malang buat orang Melayu dan negara," kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bengkel politik pada Konvensyen Umno Johor di sini, Jumaat. Pada Konvensyen Umno Selangor 1 Nov lepas, Najib, yang juga Presiden Umno itu memberi teguran keras kepada kepimpinan Umno Negeri Selangor kerana masih belum dapat memenangi hati rakyat dan pengundi di negeri berkenaan. Dalam masa yang sama, Ibrahim turut mengingatkan agar ahli Umno terus menangani masalah dalaman di kalangan anggota parti dengan segera bagi memastikan parti ditunjangi orang Melayu itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sekaligus kekal relevan. Ibrahim, yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno, berkata kegagalan Umno dalam menangani masalah itu dibimbangi menjadikan orang Melayu tidak dapat memerintah negara ini buat selama-lamanya sekiranya parti itu dan BN kalah pada pilihan raya akan datang. "Masalah dalaman khususnya perpaduan dalam kalangan anggota perlu diselesaikan segera dengan bermuhasabah dan bersatu padu demi parti tanpa mengambil kira kepentingan peribadi," kata beliau. Ibrahim berkata sehubungan itu juga, konvensyen Umno Johor merupakan landasan terbaik untuk parti menyedari cabaran politik hari ini dan isyarat untuk anggota parti bekerja bersungguh-sungguh demi survival parti.