Rabu, 15 Oktober 2014

Tamrin tinggalkan PAS kerana nasib dua "barua" parti itu

Kesabaran anak bekas timbalan perdana menteri, Mohd Tamrin Abdul Ghafar sampai ke kemuncak apabila melihat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar. Tamrin berkata, tindakan PAS yang menggantung keahlian Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad menghantar surat letak jawatan ke Ibu Pejabat PAS semalam. "Pada saya, tindakan PAS itu amat salah. Apa yang mereka (Adun) buat adalah mempertahankan keputusan muktamar PAS, iaitu mesti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR). "Tetapi PAS bertindak sebaliknya. Dua Adun ini mengambil keputusan menentukan PAS bersama PR, itu saja. Jadi apa salahnya?" katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) di Kelab Sunway Lagoon di Petaling Jaya, malam tadi. Saari dan Hasnul pada 12 Oktober lalu dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS kerana melanggar arahan parti. Sepanjang tempoh penggantungan itu, mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti parti, namun masih diberi ruang merayu dalam tempoh 15 hari. Tamrin berkata, bukan saja krisis Selangor tetapi beberapa pandangan mengenai isu lain juga pernah dikemukakannya kepada pemimpin PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi tidak diambil perhatian. "Sebelum itu, masalah Pilihan Raya Umum (PRU) begitu juga. "Ada beberapa perkara yang gagal ditunaikan PAS semasa menabur janji PRU13 lalu. PAS mungkir janji. Itu bukan stail politik saya," katanya. Beliau berkata, dirinya juga kecewa kerana pemimpin PAS gagal menunjukkan contoh imej sebuah parti Islam yang baik. "Saya tidak ada masalah dengan PAS. Parti tidak tersasar daripada landasannya, cuma pemimpinnya saja yang lari daripada perjuangan asal. "Siapa pemimpin itu? Ianya jelas," katanya tersenyum. Katanya, hasrat untuk keluar parti dinyatakan kepada beberapa pemimpin tertinggi PAS, tetapi tidak ada pertemuan empat mata dengan Hadi atau Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ditanya sama ada tindakannya itu seperti cuba mempengaruhi ahli PAS lain supaya mengikut jejak langkahnya, beliau menafikan. Katanya, keputusan itu adalah kehendaknya sendiri dan tidak dipengaruhi sesiapa. "Saya percaya ramai yang tidak gembira dengan apa yang terjadi dalam PAS, ia sangat ketara. "Mungkin (ramai ahli akan keluar parti) memandangkan ada pemimpin yang membuat ramalan itu tetapi saya tidak mempengaruhi sesiapa, terpulang kepada mereka," katanya yang tidak bercadang kembali semula kepada Umno mahupun parti lain dalam PR. Sebaliknya, beliau mahu fokus kepada GAP dan memerhatikan perjalanan dunia politik dan bebas bersuara sebagai rakyat awam. Anak Tun Ghafar Baba itu menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk menarik diri daripada menjadi ahli parti Islam itu berkuatkuasa semalam. Pada 2012, bekas Adun Ayer Molek dan Ahli Parlimen Batu Berendam Umno itu menyerahkan borang keahlian parti kepada Hadi dalam satu majlis di Gombak. GAP dilancarkan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa yang mensasarkan agenda utama, iaitu menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran akibat perkauman demi kesejahteraan generasi akan datang. Menentang perkauman dan ekstremis agama, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu bagaimanapun menegaskan perjuangan GAP tidak menolak prinsip Perlembagaan Persekutuan. "Barah perkauman ini ada dalam semua budaya, dan perjuangan kami adalah agar semua dapat menyatakan ‘Kata Tak Nak Kepada Perkauman’," katanya.sumber: themalaysianinsider.com

Pemuda UMNO memberi tumpuan menyelesaikan masalah golongan muda

Pergerakan Pemuda Umno tidak lagi bergantung kepada kekuatan bersuara sebaliknya menggunakan pendekatan sejauh mana sayap parti itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti akan dianggap retorik jika hanya bersuara tanpa membawa solusi kepada masalah golongan muda seperti isu peluang pekerjaan, pemilikan rumah di kawasan bandar dan kenaikan kos sara hidup. "Hari ini kita hidup dalam persekitaran politik yang kompetitif, hari ini anak muda mempunyai minat, pandangan tak sama, pelbagai isu yang diperjuangkan. "Yang mana kita lihat dalam kepelbagaian minat, kita kena mencari apa yang mereka cari, bukan semua minat dalam politik, bagaimana kita dapat mencetus idea yang boleh memikat mereka," katanya dalam Forum Evolusi Politik Anak Muda Malaysia - Dulu, Kini dan Akan Datang di sini pada Rabu. Forum itu merupakan program pertama anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI). Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Pemuda Umno sentiasa berusaha membantu golongan muda dengan mencadangkan beberapa solusi kepada kerajaan bagi menangani masalah mereka. "Kini apa isu besar yang diperlukan belia ialah rumah, dan Pemuda Umno turut bersama menyuarakan masalah itu kepada kerajaan, dan pelbagai langkah telah diambil termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Rumah Transit bagi membantu golongan belia," katanya. Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan Pemuda Umno dalam menyuarakan suara belia kepada kerajaan, dan kerajaan telah mengambil langkah penyelesaian tanpa membebankan fiskal negara. Katanya, jika pendekatan ini terus dilaksana, golongan muda akan melihat Umno sebagai solusi masalah mereka sekali gus menarik mereka memberi sokongan kepada parti itu. Khairy turut menegaskan meskipun Pemuda Umno cuba memenuhi kehendak generasi muda untuk kekal relevan namun ini tidak bermakna pergerakan itu mengorbankan perjuangan sebenar parti bagi mempertahan agama, bangsa dan negara.

PAS tidak halang sesiapa keluar parti

PAS tidak menghalang mana-mana individu yang ingin keluar dari parti berkenaan atas dasar menghormati hak seseorang itu untuk berbuat demikian. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menegaskan ia berbeza jika seseorang itu memohon untuk menyertai parti, yang mana memerlukan pertimbangan jawatankuasa pusat untuk menerima atau menolaknya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Datuk Tamrin Ghafar untuk keluar dari parti Islam itu, pagi tadi. "Kita tidak boleh halang mana-mana yang hendak keluar parti. Jika itu hasrat dia, kita terima. Tak boleh halang. "Kalau nak masuk (sertai PAS), itu kena dipertimbangkan sama ada nak terima atau tidak. Perlu dibawa ke peringkat jawatankuasa kerja untuk memutuskannya. Itu lain. Tapi, kalau nak keluar, kita tak boleh halang," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily. Mengulas lanjut, Mustafa yang kini tidak berada di Kuala Lumpur mengatakan bahawa beliau belum menerima surat daripada Tamrin. Bagaimanapun, pegawai di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut, telah memaklumkan kepada beliau berkenaan surat tersebut yang dihantar pembantu Tamrin pagi tadi. "Saya belum terima surat tersebut sebab saya tidak berada di Kuala Lumpur. Cuma pegawai di pejabat memaklumkan ada surat dari Tamrin yang diserahkan pembantunya, dan telah dicop terima oleh pejabat. "Bila saya ke Kuala Lumpur nanti, saya akan meneliti surat tersebut. Tapi jika beliau dah umumkan keluar parti hari ini, maka begitulah keadaannya. Kita tak boleh halang," tegas beliau. Surat 'Menarik Diri Sebagai Ahli PAS' yang ditandatangani Tamrin pada jam 9.10 pagi dan kira-kira sejam kemudian terus dihantar ke pejabat Setiausaha Agung PAS melalui serahan tangan di ibu pejabat parti itu. Anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak memaklumkan alasan mengapa bertindak demikian. - HARAKAHDAILY

13 ditahan dipercayai menyertai kumpulan Militin Negara Islam IS

Polis menahan 13 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), di sebuah kedai makan, di Shah Alam, semalam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada pelajar, pekerja buruh dan pekerja kilang. Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). "Mereka ditahan berdasarkan pemantauan polis kerana dipercayai sedang bersiap sedia untuk pergi ke Syria melalui Turki," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kolaborasi Strategik Polis Diraja Malaysia bersama MyTeksi. Beliau berkata polis turut mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab merekrut semua individu itu namun enggan mendedahkan dalangnya kerana ia masih dalam siasatan. "Kita kesan mereka melalui laman sosial seperti Facebook di internet, jadi mereka ini kebanyakannya pergi ke sana secara bersendirian dengan biaya sendiri," kata Khalid. Beliau berkata, polis juga telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup laman-laman web seperti Facebook yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan di Syria. Setakat ini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan militan. Sejak polis mengesan pembabitan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara Syria yang bergolak itu, lima orang telah terbunuh dan enam cedera. Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya berhubung sindiket menggodam mesin juruwang automatik (ATM), Khalid berkata polis sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Antarabangsa (Interpol) sekiranya kumpulan itu melarikan diri ke luar negara. "Biarlah polis siasat perkara ini terlebih dahulu, sama ada mereka yang terlibat masih dalam negara atau di luar negara," katanya. Sindiket yang dipercayai terdiri daripada warga Amerika Latin menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Johor dan Melaka membabitkan kerugian hampir RM3 juta, bulan lepas. Kumpulan itu dipercayai menggodam sistem ATM menggunakan sim kad telefon dan teknologi telefon canggih tetapi tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka. - Bernama

39 rakyat Malaysia dikaitkan dengan gerakan militan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan seperti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun setakat ini polis belum dapat mengesahkan pembabitan mana-mana individu berkenaan dalam aktiviti Jihad Al-Nikah. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Jihad Al-Nikah atau jihad seksual merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita dikatakan menawarkan diri mereka untuk memenuhi keperluan seksual militan. Ahmad Zahid berkata sekiranya terdapat bukti yang kukuh berhubung penglibatan mereka dalam aktiviti gerakan militan, kerajaan akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada. Ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Pertubuhan 1966. "Kerajaan tidak pernah mengiktiraf mana-mana entiti, pertubuhan atau pakatan yang terlibat dengan elemen militan di dalam atau luar negara," tegas Ahmad Zahid.BERNAMA

Pelan Strategik Pelancongan Asean hampir selesai dilaksana- Nazri Aziz

Kira-kira 75 peratus daripada 86 langkah yang disusun dalam Pelan Strategik Pelancongan Asean (ATSP) 2011-2015 selesai dilaksanakan. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pelan itu digubal bagi meningkatkan daya saing serta kerjasama pelancongan Asean dalam menuju ke arah penubuhan Komuniti Asean pada 2015. ATSP, katanya, memberi fokus terhadap strategi serampang tiga mata iaitu memajukan produk serantau bersifat pengalaman dan inovatif, meningkatkan kualiti sumber manusia, perkhidmatan dan kemudahan dan menambah baik kemudahan perjalanan serta kesalinghubungan Asean. Dengan ATSP 2011-2015 menuju ke penghujungnya dan kewujudan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2015 semakin hampir, pertubuhan pelancongan kebangsaan Asean sudah mula mengkaji tentang pelan susulannya, kata beliau. Mohamed Nazri berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk 'AEC 2015 - Where is Tourism Heading?" pada Pacific Asia Travel Association (PATA) Hub City Forum: Kuala Lumpur di sini hari ini. Kata Mohamed Nazri: "Dalam tempoh pasca ATSP 2015, Asean diharapkan menjadi destinasi pelancongan berkualiti, yang menawarkan pengalaman unik serta bersifat pelbagai dan komited kepada tanggungjawab, kelestarian dan pembangunan pelancongan bersifat inklusif." Beliau berkata strategi seterusnya perlu disusun bagi menambah daya saing, meningkatkan pembangunan modal insan serta mengukuhkan gandingan strategik dalam kalangan negara anggota Asean dan sektor swasta. Strategi berkenaan, katanya, perlu juga menitikberatkan tentang usaha memperbanyakkan produk pelancongan bersama dan pembangunan pakej, menambah baik kesalinghubungan melalui udara, darat dan laut, menyelesaikan isu kemudahan visa serta pengurusan krisis dan perubahan iklim. Forum sehari itu dihadiri kira-kira 250 peserta, yang terdiri daripada anggota persatuan pengembaraan dan perdagangan tempatan dan antarabangsa.BERNAMA