Isnin, 23 Ogos 2010

Tidak Wajar Tinggalkan Doa Untuk Agong Dalam Khutbah Jumaat: Jakim



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendapat tindakan meninggalkan doa untuk Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan raja-raja, adalah tidak wajar kerana mendoakan pemimpin negara merupakan satu amalan mulia.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata khatib yang bertugas perlu membaca teks yang disediakan oleh panel teks khutbah Jumaat dan diperakukan pihak berkuasa agama negeri.

"Tindakan mengubah isi kandungan khutbah perlu dielakkan agar tidak menimbulkan sebarang implikasi buruk kepada masyarakat Islam.

"Jakim juga menyeru kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi agama, khususnya masjid yang sangat mulia di sisi Islam.

"Tindakan itu akan memberi kesan negatif seperti menimbulkan perpecahan dan kegelisahan di kalangan umat," katanya dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.

Wan Mohamad juga menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan membiarkan perkara itu disiasat pihak berkuasa dengan lebih terperinci bagi mengetahui perkara sebenar sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Mengenai tindakan mendoakan kesejahteraan kepada orang bukan Islam, beliau berkata berdasarkan maslahah umat Islam, amalan itu tidak salah, tetapi mesti dilakukan pada waktu dan tempat yang bersesuaian.BERNAMA