Khamis, 7 April 2016

KES 1MDB PENGAJARAN KEPADA KERAJAAN- SALLEH

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) harus menjadi pengajaran kepada kerajaan. Beliau berkata kerajaan memerlukan pengurus yang profesional, kompeten dan berpengalaman apabila menguruskan wang pembayar cukai. "Telah banyak kali kita menyaksikan kerugian akibat kelemahan keputusan. Untuk mendepani cabaran, kita perlu menyerahkan tugas itu kepada orang yang berkelayakan. Dan ini harus menjadi strategi yang diamalkan," kata beliau menerusi catatan dalam blog terbaharunya (sskeruak.blogspot.my) di sini, Khamis malam. Hari ini, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu "kurang memuaskan" menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat. Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014. Salleh berkata PAC tidak berkhidmat dengan kerajaan tetapi ia mewakili Parlimen dan anggotanya terdiri daripada kerajaan dan pembangkang. Beliau menjelaskan laporan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali terdapat konsenses daripada semua anggota PAC dengan sebulat suara mencapai kesepakatan bahawa dapatan laporan itu adalah faktual dan tidak boleh dipersoalkan. Sementara itu, beliau berkata tidak ada bukti mengenai apa-apa aktiviti jenayah, wang RM42 bilion wang 1MDB tidak hilang dan RM2.6 bilion daripada wang 1MDB tidak dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Apa yang disebut hanyalah dakwaan pengurusan yang tidak cekap dan andaian bahawa pasti Perdana Menteri sedar tentang perkara ini, dan walaupun jika tidak sedar, beliau juga harus bertanggungjawab," katanya. Salleh berkata memikul bertanggungjawab bagi pengurusan yang tidak cekap atau kelemahan keputusan perniagaan adalah jauh menyimpang daripada dakwaan mencuri berbilion-bilion wang pembayar cukai untuk kegunaan peribadi. "Perwaja, Proton, kerugian Forex RM30 bilion, Maminco, dan banyak lagi, semuanya ialah kes sama ada kelemahan pengurusan atau keputusan perniagaan yang tidak bijak. Tetapi tiada siapa yang diminta dipenjarakan kerana mencuri melibatkan wang pembayar cukai wang," katanya. Beliau berkata Najib telah "dibicarakan" dalam media dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum. Salleh berkata di bawah Najib, perbahasan dan kebebasan bersuara dibenarkan dengan lebih meluas daripada masa lalu dan meminta rakyat Malaysia membezakan antara kebebasan bersuara dan fitnah.BERNAMA

VETERAN UMNO MINTA PM NAJIB JANGAN LAYAN TUDUHAN KAITKAN 1MDB

Veteran Umno Malaysia (Veteran) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak lagi melayan sebarang tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata laporan yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini jelas mendapati perdana menteri tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat berkenaan, termasuk dakwaan bertanggungjawab dengan kehilangan wang RM42 bilion dan tuduhan menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi. Mustapha berkata pihaknya sememangnya menunggu laporan dan pengesahan PAC yang diketuai Datuk Hassan Arifin itu. "Veteran yakin, laporan PAC yang keanggotaannya terdiri dari wakil-wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah telus dan tidak boleh dibeli atau disogok. Oleh itu, tidak ada sebab keputusan itu harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang rasional, kecuali mereka yang tidak mahu mengalah dan mahu menegak benang basah serta berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa perdana menteri untuk tidak lagi membazir masa melayan kerenah mereka yang memang berniat jahat dan cuba menjatuhkan beliau dengan secara tidak sah dan tidak mengikut lunas saluran demokrasi. "Sekiranya selepas laporan PAC ini masih ada pihak yang masih menuduh Najib terlibat dengan kehilangan wang 1MDB dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, Veteran mahu supaya Najib mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka," katanya. Mustapha berkata pihaknya juga mahu laporan PAC itu diperjelaskan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pihak termasuk media. Justeru, katanya, pihak terlibat termasuk menteri-menteri, ketua jabatan dan pemimpin BN perlu turun padang untuk memperjelaskan keputusan PAC itu. "Tindakan ini perlu dilakukan bukan untuk membersihkan nama Najib tetapi untuk membersihkan nama kerajaan yang tercemar dengan tuduhan dan fitnah liar oleh pembangkang dan mereka yang mahu Najib dijatuhkan sebagai ketua kerajaan," katanya.

WANITA UMNO JOHOR TOLAK DAKWAAN ADA USAHA JATUHKAN MB

Pergerakan Wanita Umno Johor pada Khamis menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan adanya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Ketua Wanita Umno Negeri Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata seluruh kepimpinan Wanita Umno Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar. Menurutnya, Mohamed Khaled bukan sahaja dilihat sebagai Menteri Besar yang berjaya membawa perubahan dan kemajuan dalam pentadbiran tetapi juga kepada pengurusan kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai aspek untuk kepentingan rakyat dan bangsa Johor. "Menteri Besar Johor juga telah berjaya membawa perpaduan dan permuafakatan di kalangan pimpinan Umno pelbagai lapisan dan peringkat. (Jadi) tidak perlulah kita melayan isu-isu yang boleh melemahkan jentera dan parti. Saya menyeru seluruh ahli Wanita Umno pelbagai peringkat terus bekerja keras membantu Menteri Besar Johor dalam menangani permasalahan dan menjaga kebajikan rakyat seterusnya memastikan pengukuhan parti dipertahankan demi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Khamis. Sharifah Azizah berkata Johor dengan cara dan acuan tersendiri pastinya memerlukan lebih banyak sentuhan ajaib daripada Menteri Besar Johor bagi melakar kejayaan bangsa Johor kini dan masa hadapan. "Rekod cemerlang ditunjukkan Mohamed Khaled selama ini menjadikan tiada sebab untuk beliau digantikan dengan orang lain. Wanita Umno berharap rakyat menolak dengan sekeras-kerasnya adu domba yang cuba dikaitkan di antara Mohamed Khaled dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau. Wanita UMNO Johor yakin jalinan persahabatan dan keakraban Mohamed Khaled dan Najib amat erat malahan hala tuju kepimpinan Menteri Besar Johor hari ini seiring dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan pusat. Sementara itu, Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim pula menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pukat terlabuh, ikan tak dapat'. "Kami dari Pergerakan Pemuda Umno Johor ingin menegaskan bahawa sebarang gerakan bagi menukar Menteri Besar Johor adalah satu perkara yang mengarut dan membazir masa," katanya dalam satu kenyataan berasingan. Menurut Hahasrin, di bawah pentadbiran Mohamed Khaled negeri Johor terus maju dan menghasilkan pendapatan ekonomi negeri progresif dan hasilnya menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) Johor mencatatkan pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai RM93.7 billion pada tahun 2014 sahaja. "Selain itu, banyak perkara yang mensejahterakan dan mengutamakan rakyat telah banyak dijalankan. Ini dapat dilihat menerusi Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat," kata Hahasrin sambil menambah Pergerakan Pemuda Umno Johor tetap teguh bersama-sama Menteri Besar Johor. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Md Jais Sarday pula berkata barisan kepimpinan kerajaan Negeri Johor dan Umno Johor akan terus mendokong kepimpinan Mohamed Khaled dalam menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan semua sahabat, rakan serta seluruh rakyat Johor yang berdiri teguh bersama Menteri Besar kita," katanya menerusi akaun Facebook rasminya. Semalam, sebuah portal melaporkan adanya gerakan untuk menggantikan Mohamed Khaled.

KENYATAAN PENGERUSI PAC MENGENAI ISU 1MDB

Kenyataan Media YB Dato’ Hasan bin Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen
1) Hari ini, PAC membentangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu. 2) PAC yang dianggotai 14 Ahli Parlimen sembilan ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada Kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) 3) PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB. 4) PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. 5) Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB. 6) PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini. 7) PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang. 8) PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini 9)Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil. Dato’ Hasan bin Arifin Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Merangkap Ahli Parlimen Rompin

LAPORAN PAC BUKTI TUDUHAN TERHADAP PM TIDAK BENAR

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB membuktikan tuduhan yang mengatakan ada 'tangan ghaib' yang memperoleh faedah atau pengarahan terhadap sesuatu transaksi adalah tidak benar. "Laporan ini jelas menunjukkan keadaan adalah sebaliknya," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri. "Penelitian harus dibuat terhadap syor-syor yang telah dibuat jawatankuasa ini termasuk badan-badan penguatkuasaan yang perlu melakukan siasatan terhadap mantan ketua pegawai eksekutif yang telah menguruskan badan (1MDB) ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti disyor oleh PAC. PAC membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB di Dewan Rakyat. Antara syornya ialah meminta pihak berkuasa supaya menyiasat bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan. Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata laporan PAC harus diterima sebagai laporan rasmi dan tidak dijadikan polemik politik. "Dengan ini, saya harap perkara ini (laporan) tidak jadi polemik politik sebaliknya diterima sebagai satu laporan rasmi yang dibuat oleh PAC di mana lantikan ini dibuat oleh Jawatankuasa Hak yang telah ditentukan oleh anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang," katanya. "Mereka (PAC) tentunya telah meneliti terdapat urusniaga yang dijalankan tidak berdasarkan peraturan urusniaga yang memerlukan daya keuntungan sesuatu projek itu dan dalam perkara ini serahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan," katanya.BERNAMA

KERAJAAN AMBIL LANGKAH SEGERA SELESAIKAN MASALAH 1MDB-PAC

Kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mula timbul pada November 2014, menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). PAC dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di Parlimen di sini Khamis, berkata pada Januari 2015, pengurusan tertinggi baharu syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu telah dibawa masuk. "Selepas itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menumpukan perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah syarikat. "Suatu kajian strategik telah dilaksanakan dan rumusan dibentangkan pada Februari 2015. Susulan itu, 1MDB dan MKD telah membentangkan pelan rasionalisasi kepada Jemaah Menteri pada 29 Mei 2015," menurut laporan jawatankuasa Parlimen itu. Menurut laporan setebal 106 muka surat itu, sehingga Januari 2016, aset 1MDB adalah RM53 bilion melebihi hutang RM50 bilion. Pada 4 Mac 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat dwipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen. PAC dipengerusikan anggota Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin manakala naib pengerusinya ialah anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw. Ahli-ahli jawatankuasanya yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen BN, dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.BERNAMA

LAPORAN PAC-42 BILION TIDAK HILANG DARIPADA 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB. "Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu. "Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Najib berkata kini sudah jelas bahawa dakwaan dilemparkan Dr Mahathir terhadap 1MDB didorong oleh kepentingan peribadi, "bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan". Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Kabinet pada Mac 2015 untuk meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB susulan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap 1MDB, seperti dakwaan Dr Mahathir bahawa RM42 bilion telah hilang. "Untuk memastikan ketelusan proses ini, kami juga telah mengarahkan supaya dapatan-dapatan itu dihantar untuk semakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang - sebuah badan dwipartisan yang turut dianggotai anggota Parlimen pembangkang," katanya. Najib berkata selepas melalui proses yang lengkap dan menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan laporan mengandungi dapatan-dapatannya di Parlimen. "Laporan ini mewakili konsensus oleh anggota PAC, dan dapatan-dapatannya adalah berdasarkan fakta dan beratus-ratus jam menyemak dan menyiasat. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana mengeluarkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad. "Selepas membacanya, saya mendapati laporan PAC menunjukkan bahawa RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB, seperti didakwa oleh Tun Mahathir," katanya. Najib berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap "pelan ekonomi dan memperkukuhkan ekonomi - yang terus menunjukkan daya tahan dalam berdepan cabaran-cabaran global".

MARA DISKAUN 50 PERATUS PINJAMAN BAGI PELAJAR YANG GAGAL

Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran MARA yang gagal dalam pengajian mereka, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa. Annuar berkata tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan. "Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis. Pada sidang media itu, Annuar berkata peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah diberi tawaran diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun. Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik. "Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000," katanya. Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka. Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal Mara http://insentif50.mara.gov.my dan dibuka sehingga 31 Dis tahun ini sahaja. "Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun," katanya. Beliau berkata MARA adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar menyamakannya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memang meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar. "Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun MARA ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat," katanya.