Rabu, 13 Mac 2013

Lahad Datu : Tindakan Kerajaan Selaras Dengan Tuntutan Islam

Hukum asal menumpahkan darah seorang Muslim adalah haram dan berdosa besar. “Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim”. ( HR. An-Nasa’i dan at Tarmidzi) Pihak kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan kes pencerobohan di Lahad Datu tanpa sebarang pertumpahan darah. Kerajaan lebih mengutamakan penyelesaian melalui pintu rundingan dengan harapan pihak penceroboh akan keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius. Namun setelah menceroboh Sabah bermula pada 12 Februari, tidak ada tanda-tanda bahawa mereka akan keluar dari Sabah secara aman malah mereka telah menyerang dan membunuh 2 anggota keselamatan negara pada 1 Mac diikuti 6 lagi pada hari berikutnya. Melihat tragedi pertumpahan darah ini, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa mereka mesti menyerah diri. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 9 : “Sekiranya ada dua golongan dari orang-orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu dari keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat, 49: 9) Keengganan pihak penceroboh menerima pelan perdamaian membuatkan pihak berkuasa Malaysia tiada pilihan selain daripada mengambil tindakan ketenteraan untuk memerangi mereka. Pertumpahan darah sesama Muslim sudah tidak dapat dielakkan namun hukum yang berbeza terpakai kepada 2 pihak ini. Pihak anggota keselamatan yang terkorban secara zahirnya dikategorikan sebagai syahid akhirat iaitu orang yang terbunuh secara zalim manakala pemberontak Sulu pula masuk kategori bughoh atau qutta’ toriq (penceroboh atau perompak). Pihak pemberontak beranggapan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah di Sabah sedangkan di dalam Islam, kisah nostalgia perkara-perkara lampau mengenai status pemilikan hak ke atas tanah sama sekali tidak boleh diambil kira. Sama seperti halnya Malaysia dan Singapura di mana Malaysia tiada hak untuk menceroboh dan mengusir penduduk Singapura keluar. Dalam konteks ini, sesiapa yang mempertahankan wilayahnya daripada dicerobohi, dia dikira berada di pihak yang benar. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 9 : “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Mumtahanah, 60: 9) Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya, “Siapa yang meninggal karena mempertahankan hartanya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela keluarganya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela agamanya maka ia syahid, dan siapa yang meninggal kerana mempertahankan darahnya maka ia syahid.” (riwayat Abu Dawud) Terdapat 2 perbezaan pendapat dalam hal menguruskan jenazah orang yang mati syahid samada perlu dimandikan atau tidak jenazahnya namun pendapat dalam Mazhab Syafie dilihat lebih kuat kerana Nabi Muhammad SAW hanya meninggalkan solat bagi orang yang mati syahid di dalam peperangan dengan kafir sahaja. Adapun orang yang syahid selain itu (seperti mati tenggelam, tertimbus runtuhan dan wabak penyakit), hukumnya kembali kepada asal iaitu diwajibkan mandi dan solat ke atas jenazah mereka. Gelaran Asy-Syahid pula sewajarnya tidak diletakkan di hadapan nama para pejuang yang terkorban kerana kita akan dilihat cuba mendahului hukum dan takdir Allah dalam menentukan syurga bagi seseorang. Al-Imam Al-Bukhari menjelaskan larangan ini di dalam satu bab yang khusus melalui kitab sahihnya “Bab Larangan Menggelarkan Seseorang itu Syahid”. Syahid adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT. Hanya Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW yang berhak menentukan bahawa mereka tergolong dalam ahli syurga kerana gugur di medan perang yang boleh kita kategorikan sebagai Asy-Syahid seperti mana Saidina Hamzah dan sahabat-sahabat yang lain. Jenazah bughoh juga hendaklah diuruskan secara terhormat kerana walaupun perbuatan mereka adalah salah dan berdosa besar, namun ini tidak menjadikan mereka kafir dan kita perlu berlaku adil dalam hal ini kerana syariat sentiasa menuntut kita sebagai orang Islam supaya berlaku adil dan bertindak di atas garis panduan syarak.sumber:http://networkedblogs.com

PENGAKUAN MOHD FAREEZ..

"Saya masih ahli keadilan. Tanggungjawab saya untuk bersuara dan berkata benar: 1) Sehingga hari ini, saya masih lagi ahli keadilan dan Setiausaha Politik Zuraida dan Pegawai Diplomasi Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak pernah meletak jawatan dan juga tidak pernah disuruh untuk berhenti bertugas oleh kedua2nya. 2) Saya memahami situasi, keadaan dan alasan sehingga memaksa Zuraida untuk mengeluarkan kenyataan tersebut. (menafikan) 3) Sehingga hari ini juga, saya tetap komited bersama perjuangan Keadilan dan sebagai ahli parti - adalah hak saya untuk bersuara, sejajar dengan perlembagaan parti yang ditetapkan. 4) Saya berharap Puan Presiden, Datin Seri Wan Azizah tidak memecat saya kerana adalah tanggungjawab buat saya untuk bercakap benar. Bahaw Wan Azizah TIDAK LAYAK untuk memimpin Keadilan menjelang pilihanraya akan datang kerana beliau sendiri tidak boleh bertanding kerusi Parlimen. 5) Di manakah maruah parti jika pemimpin Presiden sendiri tidak boleh bertanding? 6) Namun, saya tetap bersedia dengan sebarang tindakan parti termasuk tindakan disiplin atau pemecatan. 7) Walau bagaimanapun, andai ianya tetap berlaku - demi mempertahankan hak saya, saya juga bersedia dan tidak teragak2 untuk membongkar perihal sejak bila WUJUD PERASAAN CEMBURU DAN HASAD DENGKI Wan Azizah terhadap saya. 8) Pimpinan harus faham bahawa sikap cemburu melampau Wan Azizah terhadap beberapa pemimpin dan pekerja di dalam parti ini lambat laun akan menghancurkan keadilan. 9) Kelangsungan Keadilan dan kecemerlangan Pakatwn Rakyat adalah lebih utama dan prioriti berbanding kepentingan individu dan peribadi Wan Azizah. "

JANGAN PERKECIL PASUKAN KESELAMATAN- ZAHID

Rakyat diingatkan supaya tidak sesekali memperlekeh atau memperkecil kemampuan pasukan keselamatan yang sedang berjuang menentang pengganas Sulu dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat sebaliknya perlu bersatu memberi sokongan moral kepada pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara. "Inilah masa dan ketika paling sesuai untuk rakyat bersatu padu bersama-sama memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan keselamatan negara. "Pasukan keselamatan kita sedang berusaha menghapuskan penceroboh militan ini di Sabah, jadi saya harap kita ketepikan perbezaan pendapat serta politik di kalangan kita kerana ini soal pertahanan dan keselamatan negara," katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiar secara langsung dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, dekat sini. Ahmad Zahid bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di pangkalan udara itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua perajurit negara iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, yang terkorban dalam Operasi Daulat di Lahad Datu semalam. Beliau turut menasihatkan anggota pasukan keselamatan agar sentiasa berhati-hati semasa menjalankan operasi itu. "Penceroboh militan ini berpengalaman serta terlatih, jadi anggota yang sedang bertugas di Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Kampung Tanduo perlu beringat dan berhati-hati," katanya. Beliau juga percaya pengganas militan itu mempunyai budaya berdendam yang diamal dari satu generasi ke satu generasi terutama apabila anggota kumpulan mereka tewas dalam apa jua pencerobohan yang mereka lakukan. Justeru itu, Ahmad Zahid meminta pasukan keselamatan agar sentiasa berada dalam situasi siapsiaga setiap masa. – Bernama

PANGLIMA TENTERA DARAT BIDAS PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas sebenar dan bukan satu sandiwara sebagaimana yang dicanangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. “Saya tidak faham jika orang kata sandiwara. Nyawa dipertaruhkan... kami menghadapi musuh sebenar dan bukan lakonan. “Dua anggota tentera dan lapan anggota polis terbunuh, adakah itu sandiwara? Tepuk dada tanya selera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengkebumian Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Bayu Lalang, di sini, hari ini. Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah. Seorang lagi anggota tentera, Kpl Ahmad Farhan Ruslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu. Terdahulu, lebih 3,000 hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut ketibaan jenazah dua pahlawan negara itu, yang diterbangkan melalui pesawat Charlie C-130, pada kira-kira 9.50 pagi. Jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah ibu bapanya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh. Jenazah Ahmad Farhan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor. Menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berani, Zulkifli berkata siasatan mendapati Ammad Hurairah sempat berbalas tembakan dengan beberapa pengganas sebelum gugur di medan perang. “ATM akan membantu keluarga Allahyarham, apa saja yang kita mampu,” katanya. Zulkifli turut menyampaikan sumbangan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Ismail Husin, 55, iaitu ayah kepada Ahmad Hurairah selepas pengkebumian tersebut. Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut hadir pada pengebumian itu meminta rakyat Malaysia bersatu dan menghentikan spekulasi berhubung soal keselamatan negara memandangkan ramai anggota keselamatan gugur ketika berjuang di perbatasan. “Hentikan sagala tohmahan dan fitnah ini yang akhirnya akan meruntuhkan kita dan kita bertanggungjawab sebagai warganegara yang setia pada negara. Kita tak mahu satu pun suara sumbang yang memberi kata-kata yang menunjukkan kita tidak peka dengan kehibaan (yang dialami keluarga mangsa). “Kita semua rakyat Malaysia amat terhutang budi dan kita berdoa semoga barisan hadapan akan teruskan perjuangan mereka untuk pastikan negara kita selamat sampai bila-bila,” katanya. Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohd Sharom Nordin berkata pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham mencerminkan sikap taat dan setia kepada negara walaupun nyawa yang menjadi pertaruhannya. “Kalau ada lagi orang mengatakan ini semua sandiwara, saya tak tahu nak cakap apa... rakyat kita, tentera kita sendiri... hari ini anak Kelantan telah mempertaruhakan nyawa untuk kedaulatan negara. “Hilangkan syak wasangka, ini satu pengorbanan yang diterima Allah S.W.T.,” katanya. — Bernama