Jumaat, 11 Januari 2013

Himpunan Jadi Taktik Terakhir Selepas Fitnah dan Manipulasi Gagal

Pakatan pembangkang telah terbukti ketandusan idea lantaran pelbagai perkara yang dilaksanakan mereka dalam usaha untuk memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk menyerang peribadi para pemimpinnya menemui jalan mati, kata Penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Dr. Zainal Kling. Soalnya, apa lagi yang tinggal untuk dilaksanakan oleh pakatan pembangkang sebagai taktik terakhir mereka bagi menghidupkan semangat ahli-ahlinya dikalangan rakyat selain daripada mengadakan perhimpunan? “Sebelum ini pelbagai fitnah dan manipulasi telah dilontarkan oleh pakatan pembangkang tetapi dengan gerakan berterusan kepimpinan BN yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjaga kebajikan rakyat maka mereka gagal mendapat pulangan apa-apa,” katanya kepada UMNO-Online. Tegas beliau, biar apa pun nama himpunan yang diadakan oleh pakatan pembangkang tetapi yang jelas ia telah ditolak oleh rakyat lantaran lebih banyak keburukan yang berlaku dan mengganggu kesejahteraan awam berdasarkan beberapa siri himpunan yang lalu. “Perhimpunan adalah pilihan terakhir mereka kerana banyak perkara yang dilakukan gagal dan jika mahu bergantung kepada kemantapan parti secara jelas tidak ada apa yang boleh dibanggakan. “Jika mahu mengharapkan kepada pentadbiran mereka ternyata tidak apa yang boleh dijadikan sebagai bukti kerana di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor mereka berdepan dengan pelbagai isu bersama rakyat. “Jika melihat kepada kedudukan Pas hari ini maka perpecahan terang-terangan berlaku lantaran perbezaan pendapat dikalangan golongan ulama dan kepimpinannya sementara PKR lebih diselimuti dengan masalah moral pemimpinnya selain DAP yang sekarang kacau-bilau dan dikecam hebat kerana pemilihan Jawatan Kuasa Pusat (CEC) dikatakan tidak telus.” Beliau yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan bahawa nama PR yang diketengahkan oleh mereka amat sesuai sebagaimana perlakuan parti terbabit yang lebih bertumpu kepada ‘public relation’. Dilaporkan pakatan pembangkang akan menganjurkan himpunan yang dinamakan Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang mensasarkan kehadiran sejuta rakyat di Stadium Merdeka. – MediaUMNO 1