Rabu, 18 Ogos 2010

Melayu harus sedar pakatan pembangkang



UMNO Selangor hari ini meminta semua orang Melayu dan umat Islam di negeri ini supaya sedar akan matlamat sebenar pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menghapuskan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, kesedaran di kalangan golongan itu amat penting bagi memastikan hak orang Melayu serta bumiputera lain termasuk Islam, terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak berhasrat untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan menegakkan Islam di negara ini.

“Orang Melayu tidak seharusnya lupa bahawa mereka telah dijajah dan dinafikan hak selama 446 tahun bermula sejak zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511.

“Kini adakah orang Melayu sudah puas dengan kemerdekaan yang dinikmati sejak 1957 sehingga mahu bersekongkol dan membiarkan pihak lain mewujudkan ‘perlembagaan baru’ yang jelas mengenepi hak bumiputera dan kedudukan Islam?

“Perlembagaan baru ini sebenarnya membuktikan agenda serta rancangan sebenar pakatan pembangkang dalam usaha mereka menduduki tampuk pentadbiran di negeri-negeri dan juga negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Harussani, Ahad lalu mengenai kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang dirangka oleh pihak-pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Menurut Harussani, paling mengejutkan ‘perlembagaan baru’ itu dikatakan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim semalam mengesahkan wujudnya ‘perlembagaan baru’ itu dan menyatakan ia adalah perbuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meraih sokongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang menyelar sikap sebilangan orang Melayu yang bersekongkol dengan kewujudan ‘perlembagaan’ sedemikian dan menyifatkan mereka sebagai ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’.

Ini kerana, katanya, tindakan mereka yang cuba memainkan sentimen penghapusan hak bumiputera dan kedudukan Islam itu adalah tidak bertanggungjawab seolah-olah satu pengkhianatan kepada agama dan bangsa mereka sendiri.

“Orang Melayu dijajah berpunca daripada orang Melayu sendiri sebagaimana Si Kitol dan Raja Mendeliar mengkhianati serta memecahbelahkan orang Melayu sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan penjajah.

“Namun hari ini, dua watak dalam sejarah Melayu ini seolah-olah muncul kembali apabila ada pemimpin Melayu (PKR dan Pas) bersekongkol dengan pihak lain untuk menghapuskan hak bangsa dan kedudukan Islam sendiri hanya kerana mahu berkuasa di Putrajaya,” tegasnya.

NOTA KAKI: Kebimbingan orang Melayu sudah sampai ke tahap yang kritikan hari ni, memandangan pertelingkahan sesama Melayu semata-mata untuk menegakkan idealogi politik masing masing dan sudah membawa kepada isu pegangan agama.

Mereka yang rakus kuasa, sudah mula hilang pertimbangan dan mula bertindak di luar kewarasan. Ada pihak yang pernah berusaha untuk mewujudkan perbincangan bagi mencari titik perpaduan untuk bangsa dan agama mula diangggap sebagai pembelot.

Kenyataan dikeluarkan sehingga seolah olah hilang pertimbangan yang bukan saja adat sopan bangsa Melayu tetapi hukum Agama.

Dan tidak hairanlah kalau bangsa lain mula bangun dan berani secara terbuka mula mempersoalkan hak orang Melayu dan mula menuntut kesamarataan kerana banga Melayu semakin lemah dan semakin kerap dihina bangsa sendiri.

Sedarlah bangsaku, masa sudah terlalu pendek untuk kita mengikut rentak fahaman sendiri, kembalikan kepada asas asal kita dan perpijak di bumi nyata. Jangan sampai sanggup mengadai Agama dan Bangsa demi bagi mendapatkan kuasa.

Seharusnya kuasa digunakan untuk menegakkan Agama dan memperkuatkan Bangsa,bukan melakukan sesuatu yang diluar tabii, dengan bertindak sebaliknya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai penderhaka- Zahid



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebagai penderhaka kepada negara kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai aset pertahanan negara di luar negara, lapor Berita Harian Online.

“Kenyataan itu amat jijik, tidak bermaruah dan beretika yang bertujuan memburukkan imej negara di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama penduduk di masjid jamek, Sungai Keli Hutan Melintang, dekat Bagan Datoh, malam semalam.

Beliau mengulas tuduhan Nurul Izzah dalam temubual bersama akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain mendakwa aset canggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai usang dan terpakai.

Berikutan kenyataan itu, panglima tentera laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dilaporkan berkata ketua sel pasukan kapal selam TLDM, kapten Abdul Rahman Ayub, membuat laporan polis berhubung pembohongan wakil rakyat PKR itu di balai polis Hulu Kelang.

Ahmad Zahid berkata, beliau kesal dengan kenyataan palsu berkenaan dan menegaskan seseorang ahli parlimen sepatutnya mempunyai tata etika dan bercakap sesuatu yang benar mengenai negara ketika berada di negara luar.

“Tetapi cara beliau (Nurul Izzah) memburuk-burukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mempunyai agenda politiknya tersendiri.

"Kedudukan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sudah beberapa kali saya jelaskan di Parlimen, saya sebut kapal selam itu boleh menyelam, kalau tak mana boleh sampai dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar di Sabah,” katanya kepada Berita Harian.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan TLDM membuat laporan polis amat wajar bagi membersihkan nama baik ATM.

Beliau memberi amaran kepada semua ahli parlimen terutama dari parti pembangkang supaya jangan cuba mempolitikkan isu pertahanan negara yang boleh menganggu-gugat keselamatan negara.

"Walaupun ahli politik mempunyai perbezaan pendapat tetapi janganlah cuba mengeksploitasi perkara yang benar dengan kenyataan berunsur palsu," katanya-.Sumber Malaysiakini.