Selasa, 12 April 2016

VETERAN UMNO GESA TUN M DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG UNDANG

Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara. Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri. "Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar. Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional. "Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini. "Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.BERNAMA

SPR MESYUARAT KHAMIS TENTUKAN TARIKH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11. Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat akan diadakan di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di sini pada pukul 9.30 pagi dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh bagi hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya itu, katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata pengerusi SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu. Pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas. Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata Sarawak kini di bawah kerajaan sementara mengikut Perlembagaan Negeri apabila terbubarnya DUN Sarawak hari ini. "Kerajaan sementara akan meneruskan urusan dan berfungsi seperti kerajaan negeri. Tidak banyak beza. "Namun begitu, kerajaan sementara tidak boleh meluluskan apa-apa projek," katanya kepada Bernama dan RTM di pejabatnya di sini. Mengikut Artikel 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, Asfia berkata dewan akan bersidang dalam tempoh 120 hari bermula dari hari ini. Dalam tempoh ini, beliau berkata kedudukan ketua menteri dan Jemaah Menteri kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

ISU JATUHKAN MB JOHOR, HALIMAH SADIQUE NAFI TERBABIT

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Halimah berkata beliau tidak faham bagaimana timbulnya 'cerita-cerita' tidak betul itu sekali gus menyifatkan ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor. "Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul. "Kami timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan. "Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan," katanya. Anggota Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn, di sini hari ini. Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar. Halimah berkata kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini. Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat. "Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerakkan untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor," katanya.BERNAMA