Isnin, 5 Mei 2014

TPPA akan dimuktamadkan sebelum penggal Obama tamat pada 2017

Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan sebelum penggal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berakhir pada Januari 2017. Duta AS ke Malaysia, Joseph Y Yun, berkata walaupun perjanjian perdagangan pelbagai hala itu pada asasnya rumit, semua rakan kongi mahu memuktamadkannya secepat mungkin. "Obama menamatkan penggal pentadbirannya pada 2017 dan kita kini pada Mei 2014. Oleh itu saya fikir beliau mempunyai banyak masa. "Semua negara mempunyai isu dan saya melihat ia akan dimuktamadkan ketika penggal Obama. Sudah pasti," katanya di majlis meja bulat media di kedutaan AS di sini, Isnin. Yun diminta mengulas sama ada perjanjian TPPA akan dimuktamadkan sebelum penggal pentadbiran Obama berakhir. Menurutnya, perjanjian perdagangan ini mempunyi banyak elemen, ia bukan setakat mengurangkan tarif dan ia perlu dimuktamadkan secara wajar di segi politik serta boleh diterima di peringkat domestik. TPPA adalah perjanjian yang AS, perunding utama dalam rundingan itu, berharap akan berperanan dalam membangunkan platform yang lebih luas untuk liberalisasi perdagangan di rantau Asia-Pasifik. Malaysia kini sedang berunding dengan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun untuk memuktamadkan TPPA itu. Yun berkata, mengikut Institut Ekonomi Antarabangsa, Malaysia mendapat manfaat paling besar daripada TPPA berkenaan. Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk TPPA, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Obama telah berbincang secara panjang lebar mengenai perdagangan serta pelaburan sehingga kepada sensitiviti domestik. "Mereka bersetuju yang setiap orang yang terbabit dalam TPPA perlu memahami semua isu, dan menyerahkan butiran terperinci kepada menteri masing-masing untuk diselesaikan supaya kita dapat mencapai penyelesaian yang baik dan terus bergerak ke depan," katanya. Kepada soalan bilakah AS menjangka tarikh akhir TPPA, Yun berkata, walaupun tiada tarikh ditetapkan, apa yang paling penting ialah mencapai perjanjian yang baik dan berkualiti tinggi. Kepada soalan lain, Yun berkata, perjanjian perdagangan itu mempunyai bidang yang luas dan mempunyai 29 bab dan negara terbabit masih berunding mengenainya. "Mesyuarat peringkat menteri seterusnya dijadual diadakan di Singapura. Jika anda mempunyai kepentingan khusus, anda mahu ia menyebelahi anda, tetapi jika anda tidak mempunyai kepentingan khusus, tolong bersabar sedikit dan jangan membuat pengadilan awal terhadap perjanjian itu," katanya. Ditanya mengenai sesetengah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menentang TPPA, Yun berkata: "Ia adalah mengenai bagaimana Malaysia menanganinya. Seperti yang anda tahu, selalu terdapat orang yang tidak gembira dengan perjanjian perdagangan itu. "Dalam kes ini, semua kajian menunjukkan Malaysia adalah pemenang terbesar dalam perjanjian ini. Terpulang kepada kerajaan anda untuk membuka jalan agar ia diterima secara meluas," katanya. -- BERNAMA

Proses pemilihan PKR cabang Lumut tegang

Perjalanan pemilihan PKR Cabang Lumut berlaku dalam suasana agak tegang apabila calon terlibat membuat beberapa bantahan berkenaan perjalanan pengundian.
Calon Ketua Cabang PKR Lumut, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid menyuarakan rasa tidak puas hati apabila proses pemilihan itu dilihat tidak teratur. Menurutnya, petugas pengundian tidak memberikan buku yang menyenaraikan nama calon bagi memudahkan pengundian. “Sepatutnya buku berkenaan diedarkan atau diletakkan di meja pengundian supaya perwakilan lebih senang untuk membuat pemilihan. “Keadaan juga dilihat kurang teratur apabila petugas pengundian tidak bersedia dari awal dari pelbagai sudut,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut menyifatkan, proses pengundian telus, namun harus memperbaiki beberapa perkara. “Kita harap petugas pengundian dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan ini supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya. Seorang lagi calon ketua cabang, Suwardi Sapuan turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pengundian dibuat, semalam. Katanya, pelbagai kelemahan berlaku termasuklah pengundi-pengundi dikelilingi oleh orang-orang tertentu ketika membuat pengundian. “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas hanya boleh berada di meja bertugas sahaja dan bukannya cuba mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan, ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidaktelusan dalam pemilihan. “Kita ada peraturan yang telah ditetapkan, tapi ada yang tidak mengikut,” katanya. Jawatan Ketua Cabang PKR Lumut memperlihatkan pertandingan dua penjuru membabitkan Muhammad Imran dengan Suwardi. Petikan Sinar Harian Muhammad Imran adalah calon baharu manakala Suwardi pernah memegang jawatan ketua cabang pada 2008 hingga 2010. Cabang PKR Lumut mempunyai kira-kira 3,000 perwakilan.

Kerajaan perlu selaras semula bidang tugas perkhidmatan pengangkutan darat- SPAD

Kerajaan perlu menyelaras semula peraturan dan bidang tugas agensi-agensi yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan darat bagi mengelak timbul salah faham terhadap tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan semula itu penting kerana sistem pengangkutan darat kini berkembang pesat dengan pelbagai jenis perkhidmatannya. "Ini penting untuk memudahkan pemahaman terhadap bidang tugas masing-masing, kita semua bekerja untuk satu matlamat iaitu menentukan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan," katanya. Syed Hamid berkata sebagai contoh apabila berlaku kemalangan melibatkan pengangkutan awam, orang ramai akan menunding jari kepada SPAD sedangkan terdapat jabatan atau agensi lain yang sepatutnya mengambil tindakan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) di sini Isnin. Syed Hamid berkata setiap agensi kerajaan disaran memahami akta masing-masing dan melaksanakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka. Sebanyak 19 pengusaha syarikat bas ekspres hadir dalam mesyuarat agung tahunan ke-21 itu dan antara usul mesyuarat itu termasuk cadangan menaikkan tambang bas ekoran kenaikan kos bahan api. Presiden Pembawa, Tajudin Mohamad Yunus berkata sudah tiba masanya kerajaan menimbang permohonan persatuan untuk menaikkan harga tambang bas kerana separuh daripada harga sekarang adalah kos yang ditanggung oleh syarikat termasuk kos operasi dan tol.BERNAMA