Jumaat, 10 Julai 2015

Bank Negara perlu bertindak terhadap kebocoran maklumat bank-Ismail Sabri

Bank Negara Malaysia dan pihak polis digesa segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kebocoran maklumat perbankan yang kerap dilaporkan akhir-akhir ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat gesaan itu berkata melindungi maklumat peribadi pelanggan perlu menjadi keutamaan setiap bank melalui pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989(BAFIA) dan Akta Perlindungan Peribadi 2010. "Bank Negara perlu ambil tindakan, kalau tidak kepercayaan masyarakat kepada institusi-institusi bank akan menurun. "Siapa yang nak percaya kepada bank lagi kalau akaun boleh dikongsi dan disebarkan kepada orang ramai," katanya pada majlis pelancaran Pasar Tani Khas Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2015, di sini Jumaat. Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata beberapa insiden akaun bank dikongsi dan disebarkan kepada orang ramai menjadi bukti akan kelemahan institusi perbankan di negara ini dalam melindungi akaun dan data peribadi pelanggan. "Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan segera masa depan institusi perbankan di negara akan terjejas," katanya.

Dakwaan Sarawak Report terhadap Rosmah Mansor berniat jahat

Dakwaan laporan Sarawak Report semalam terhadap isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bahawa sejumlah RM2 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank milik beliau adalah tidak berasas dan berniat jahat. Firma guaman Tetuan Noorhajran Mohd Noor yang dilantik Rosmah berkata dalam satu kenyataan Jumaat malam akaun bank yang dirujuk oleh Sarawak Report adalah akaun peribadi anak guamnya yang dibuka pada tahun 1984 semasa beliau bekerja dengan Island & Peninsular Sdn. Bhd., (kini dikenali sebagai I&P Group Sdn. Bhd) untuk kemudahan beliau. Pada masa itu lokasi syarikat yang dimaksudkan dan Perwira Habib Bank Bhd (nama terdahulu Affin Bank Bhd) terletak dalam bangunan yang sama, Wisma Equitorial di Jalan Sultan Ismail, di sini. Kenyataan itu juga menyebut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang bermatlamat ke arah meningkatkan kestabilan sistem kewangan, pihak bank sepatutnya memberikan perkhidmatan yang adil, profesional dan bertanggungjawab selain daripada berusaha melindungi hak dan kepentingan pelanggan mereka. Perlindungan dan kerahsian serta kekangan terhadap pertanyaan khusus kepada pelanggan tertentu juga diberikan di bawah Akta yang sama. Laporan Sarawak Report menampakkan seperti bank tidak melaksanakan fungsinya terhadap anak guamnya dan diharap Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan siasatan dengan kadar segera dalam tempoh 72 jam dan mengeluarkan penemuan terhadap pendedahan tanpa kebenaran oleh pihak bank yang dimaksudkan. "Anak guam saya berpandangan kegagalan BNM untuk menyiasat dengan segera akan menghakis kepercayaan pelabur dan pengguna institusi kewangan," katanya. Ia akan memberi persepsi negatif terhadap kawalan institusi kewangan, sistem pembayaran, entiti berkaitan lain, pasaran wang dan pasaran mata wang asing, katanya. Dakwaan laporan Sarawak Report terhadap anak guamnya yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk mencemar nama baik dan memburuk-burukkan kewibawaan dan integriti anak guamnya yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Berdasarkan dakwaan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya kandungan laporan itu terbukti menyalahi undang-undang negara. "Anak guam saya tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau menyeleweng dana dan sekeras-kerasnya menafikan sebarang kaitan dengan dana daripada 1MDB. Laporan itu adalah tidak sopan, berbentuk ancaman, palsu dan berniat untuk mengganggu anak guam saya," katanya. Clare Rewcastle Brown diketahui umum sebagai Ketua Pengarang Sarawak Report. Dengan mengeluarkan laporan yang tidak benar terhadap anak guam saya dan berdasarkan semangat kewartawanan yang bertanggungjawab, Sarawak Report sepatutnya mempunyai justifikasi terhadap laporan itu. Anak guam saya mengharapkan laporan yang bertanggungjawab, beretika dan memiliki kepatuhan moral terhadap keadilan dan ketepatan.

Jangan ambil kesempatan isu 1MDB- KPN

Semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melakukan sesuatu yang boleh mencemar keharmonian dan keamanan negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Berikutan itu, Khalid berkata beliau telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap seorang ahli politik yang mengeluarkan kenyataan tentang adanya demonstrasi besar-besaran mengenai isu tersebut. "Saya beri ingatan tegas di sini kepada sesiapa sahaja tidak kira ahli politik atau NGO, jangan ambil kesempatan terhadap isu (1MDB) sekarang," katanya pada sidang media di sini Jumaat. Terdahulu, beliau merasmikan Program Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Bandar Hilir, di sini hari ini. Baru-baru ini, seorang Ahli Parlimen menyatakan beliau tidak menolak berlaku demonstrasi besar-besaran membabitkan penyertaan individu, parti politik dan NGO. Ahli Parlimen itu dilaporkan berkata jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak meletakkan jawatan atau berehat sementara ketika siasatan ke atasnya sedang dijalankan, suara menuntut demonstrasi itu akan lebih kuat. Mengulas laporan terbaru Sarawak Report yang mendakwa RM2 juta telah didepositkan ke dalam akaun isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Khalid berkata akaun itu akan disiasat jika ada kena mengena dengan kes 1MDB tersebut. Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah di negara ini menurun kira-kira 14 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Katanya sebanyak 56,175 kes jenayah dicatat dalam tempoh itu tahun ini berbanding 65,336 kes pada tahun lepas. "Jenayah jalanan juga menuruh sebanyak 27 peratus, manakala jenayah ragut dan pecah rumah masing-masing turun sebanyak 19.1 peratus dan 10.4 peratus tahun ini," katanya. Ditanya mengenai tangkapan dua lelaki tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan IS di Syria, Khalid berkata polis akan terus memantau perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. "Mereka ini sebenarnya telah jauh terpengaruh dengan militan tersebut dan kita tidak akan membiarkan mereka ini mengancam keselamatan negara. "Ada beberapa lagi yang sudah kita kenal pasti. Kita akan tahan mereka apabila pulang ke negara ini," katanya. Pada 2 dan 7 Julai lepas, polis menahan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur, yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria dan merancang melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang.

Isu akaun bank PM:Beri peluang Pasukan Petugas Khas jalankan tugas-Khairy

Beri kepercayaan dan peluang kepada Pasukan Petugas Khas berhubung dakwaan penyaluran dana ke dalam akaun Perdana Menteri menjalankan tugas mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Katanya beliau yakin pasukan itu akan menjalankan siasatan sedalam mungkin dengan adil tanpa memberi keistimewaan kepada mana-mana pihak walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dikaitkan dengan kes itu. "Daripada apa yang saya lihat mereka sangat proaktif, mereka sudah pergi ke pejabat 1MDB dan mengambil dokumen berkaitan, kita perlu mempunyai keyakinan terhadap institusi yang terlibat. "Reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dipertaruhkan di sini dan atas sebab itu saya yakin pasukan akan mengeluarkan laporan yang boleh dipercayai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Youth Trailblazers Challenge, di sini hari ini. Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadap siasatan yang dijalankan oleh pasukan itu. Pasukan itu terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menjalankan siasatan berikutan dakwaan The Wall Street Journal kononnya wujud penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri. Diminta mengulas mengenai laporan terbaru Sarawak Report bahawa RM2 juta dideposit ke dalam akaun bank yang dikatakan milik isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Khairy berkata jika terdapat maklumat baharu yang muncul ia sudah pasti akan turut disiasat pasukan itu. "Saya pasti semuanya akan disiasat termasuk tuduhan baharu itu. Tiada siapa terkecuali daripada undang-undang," katanya.

Wanita UMNO setuju tindakan PM Najib terhadap WSJ

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal adalah satu perkara yang wajar bagi menepis segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. "Saya merasakan Najib wajar mengambil tindakan undang-undang tersebut dan menerangkan perkara ini kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini hari ini. Shahrizat berkata ahli politik pada hari ini harus kuat dan menerima hakikat bahawa dunia politik sekarang amat berbeza berbanding masa lalu kerana ia bukan hanya melangkaui sempadan Malaysia tetapi turut merentasi dunia global berikutan beberapa siri kontroversi yang ditempuh oleh Perdana Menteri kebelakangan ini. Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Semalam, Perdana Menteri mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal berkaitan dakwaan itu. Bertindak bagi pihaknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai. Pada majlis itu, Shahrizat menyampaikan 6,000 kotak mengandungi kain pelekat dan kuih raya kepada para anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya nanti, terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia. Turut hadir ialah Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Zaitun Ab Samad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Wan Abdul Rahman Abdullah. Sementara itu, Parti Makkal Sakti Malaysia menggesa pihak berkuasa agar mengenal pasti dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit yang mencetuskan isu pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Presidennya Datuk R.S. Thanenthiran berkata perkara itu perlu dilakukan segera oleh Kementerian Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia berikutan perbuatan tersebut dilihat berniat menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi. Tambahan pula ia disalurkan ke luar negara khususnya kepada The Wall Street Journal (WSJ) dan portal berita Sarawak Report yang berpangkalan di London. Kita berharap pihak yang berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terbabit," katanya pada sidang media khas bagi menyokong kepimpinan Najib di sini Khamis. Dalam pada itu, Thanenthiran berkata keputusan Najib untuk mengambil tindakan undang-undang akan memberi satu pengajaran kepada mana-mana media dan media sosial agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada masa akan datang. Katanya, tindakan tersebut mampu mengekang anasir-anasir luar yang ingin menjatuhkan ekonomi serta memporak-perandakan keharmonian kaum di negara ini. "Kami menyokong sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri kerana ia mampu mengekang tindakan entiti yang tidak bertanggungjawab dan dengan sengaja ingin menjatuhkan kepimpinan negara secara berterusan. "Selain itu, Najib juga dilihat dapat memperbetulkan keadaan dan persepsi rakyat terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau berhubung isu 1MDB," katanya.