Khamis, 19 Jun 2014

Keadaan Nik Aziz bertambah baik

Sakitpun boleh baca lagi akhbar Harakah,” ujar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil tersenyum sebaik sahaja melihat kami menghampiri katilnya petang ini. Ketika diminta mengulas berhubung kesihatannya, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau berasa sihat namun mudah letih. “Perkara ini berlaku mungkin saya tersalah makan, atau mungkin sebab saya menggunakan nada suara agak tinggi terutama sewaktu kuliah. “Tetapi bila berada di sini beberapa hari, alhamdulillah kesihatan saya semakin baik hari ke hari, mungkin juga sebab saya banyak berehat di sini,” ujarnya. Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM, pada Jumaat lalu selepas mengadu kesihatannya terganggu. Beliau dijangka dibenrkan keluar wad dalam masa terdekat. Dalam pertemuan dengan Harakahdaily hari ini, beliau bagaimanapun memohon umat Islam seluruhnya mendoakan kesihatannya. “Semoga hayat yang masih berbaki dapat saya gunakan untuk Islam,” katanya.Petikan Harakahdaily

PAC-Kaedah pengedaran diesel subsidi banyak kelemahan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendakwa kaedah pengedaran minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi. Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keadaan itu dilihat boleh membawa kepada banyak ketirisan sehingga berlaku penyalahgunaan diesel bersubsidi dan penyeludupan bahan itu. "Sebagai contoh, sekarang mereka gunakan 'fleet card' yang diberikan kepada pengguna kategori tertentu yang boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan kad itu di stesen-stesen petrol. "Tetapi, kad ini mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had dan ini menyebabkan pihak yang menggunakannya dapat menikmati diesel bersubsidi dengan lebih," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengenai perancangan kedua-dua kementerian itu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dan penyeludupan diesel bersubsidi. PAC memanggil kedua-dua kementerian itu berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lepas mengenai kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai jumlah wang yang banyak dalam akaun bank dipercayai hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Nur Jazlan berkata PAC bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan Alias hari ini berhubung perancangan KPDNKK untuk menangani masalah itu dan bercadang memanggil semula ketua setiausaha itu bagi memberi penjelasan lanjut. PAC juga mahu mendapatkan penjelasan terperinci daripada kementerian itu berhubung kaedah penggunaan teknologi maklumat (IT) dan data dalam menjalankan penguatkuasaan. "Jika mereka guna cara lama untuk membuat pengawasan berdasarkan aduan orang ramai dan menggunakan ramai pegawai penguatkuasaan, ini akan melibatkan belanja yang besar bagi membayar gaji dan kos operasi. "Tetapi, jika ada penggunaan IT dengan cara mengumpulkan data kementerian, mungkin ini boleh merekod transaksi dan seterusnya mempunyai maklumat yang besar untuk membuat penguatkuasaan," katanya. Pada sesi taklimat itu, PAC juga turut diberitahu mengenai penggunaan sistem teknologi nano bagi memantau pengedaran diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDNKK selama empat tahun sebelum ia diberhentikan. Nur Jazlan berkata KPDNKK menjelaskan sistem itu terpaksa dihentikan berikutan kegagalannya mengesan diesel bersubsidi selain memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan.BERNAMA

Wanita UMNO ke seluruh negara perjelas isu GST

Pergerakan Wanita Umno akan menjelajah ke setiap negeri untuk memberi taklimat mudah berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada anggotanya di peringkat akar umbi. Pengerusi Biro Pengguna Wanita Umno Datuk Hasnah Salam berkata taklimat itu akan memberi penerangan kepada kira-kira 1.3 juta anggotanya untuk disampaikan kepada orang ramai. Beliau berkata taklimat itu dilakukan kerana maklumat berkaitan GST telah diseleweng oleh pihak pembangkang sehingga orang ramai keliru dengan cukai berkenaan yang dianggap membebankan rakyat. "Saya yakin Wanita boleh turun padang untuk sampaikan maklumat GST kepada orang ramai. Jika mereka ke pasar dan jumpa rakan-rakan lain, mereka boleh sampaikan apa itu GST dan ini lebih mudah orang ramai faham. "Wanita dikerah untuk menjadi mata telinga kepada kerajaan dalam usaha menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai, khususnya mereka yang hanya mendapat informasi mengenai GST di kedai kopi," katanya selepas merasmikan Taklimat GST dan Isu Halal di Bangunan Umno Kedah hari ini. Hasnah juga berkata Kedah merupakan negeri pertama jelajah Taklimat GST dan selepas ini, program itu akan diadakan di Kuantan, Pahang sebelum ke negeri lain. Beliau berkata wakil pergerakan Wanita Umno yang menyertai taklimat itu akan membawa maklumat ke peringkat bahagian dan cawangan bagi membolehkan semua anggotanya mengambil bahagian untuk memberi pemahaman kepada orang lain. Katanya, penceramah Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga diminta menyampaikan maklumat berkaitan GST dalam bahasa mudah atau dialek dan tidak menggunakan bahasa teknikal yang rumit.

RM400 juta pembelian netbook untuk guru-Shabery

Sebanyak RM400 juta dibelanjakan oleh kerajaan bagi pemberian Netbook 1Malaysia kepada guru sepertimana yang dijanjikan bersempena sambutan Hari Guru baru-baru ini. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi pembiayaan tersebut kerajaan menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pemberian akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. "Untuk fasa ini sebanyak 48 pembekal telah dilantik oleh kementerian untuk membekal Netbook 1Malaysia kepada 400,000 guru. "Antara jenama netbook yang akan diagihkan kepada guru ialah Lenovo, Samsung, Asus, Acer dan juga HP," katanya di Dewan Rakyat, hari ini. Ahmad Shabery berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah (PKR-Lembah Pantai) yang bertanyakan mengenai kos yang ditanggung oleh kementerian dalam membekalkan 400,000 Netbook 1Malaysia kepada guru-guru bersempena sambutan Hari Guru. Dalam pada itu, tambah Shabery, pemberian tersebut menunjukkan bahawa bukan hanya pelajar yang perlu dilengkapi dengan kemudahan netbook dalam usaha memastikan penggunaan teknologi secara menyeluruh dalam bidang pendidikan. "Ada yang berkata bahawa kalau kita bagi pada murid-murid sahaja siapa yang akan mengajar murid-murid tersebut, maka ada pandangan yang guru-guru juga perlu dibekalkan. "Sebab itu pada tahun ini kita kembangkan pada guru-guru dan ini sebahagian daripada hadiah Hari Guru kami daripada kementerian kepada guru-guru," katanya Beliau juga menegaskan netbook yang dibekalkan kepada pelajar mempunyai jaminan dan kualiti terbaik. "Memang ada isu yang berkaitan dengan kualiti dan sebagainya, tetapi semuanya kita sudah beritahu bahawa mereka yang memperolehinya akan dibekalkan dengan satu tahun jaminan (waranti) dan ada lebih kurang 174 tempat di seluruh negara jika ianya rosak. "Selagi tempoh jaminan masih ada saya rasa tidak menjadi alasan untuk kita mengatakan bahawa program ini tidak baik," katanya

Letak Jawatan TPM- Muhyiddin serah kepada Perdana Menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selagi khidmatnya diperlukan. "Setakat hari ini, tak ada apa-apa pun perkara yang dibangkit melibatkan kedudukan saya," kata beliau. Semalam, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno. Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan. "Rombakan Kabinet adalah hak perdana menteri. Kemungkinan akan berlaku sebab beliau dah nyatakan akan bawa masuk beberapa pemimpin parti politik dari MCA dan Gerakan," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14 di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, khabar angin itu mungkin timbul berikutan hubungan baik beliau dalam kerajaan khususnya dengan Perdana Menteri, selain tidak menolak ekploitasi sesetengah pihak terhadap kedudukan kerajaan yang bertambah kukuh selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas. "Kedudukan saya terserah kepada beliau (perdana menteri), tapi selama masa saya berada dalam Kabinet, beliau dah biasa berbincang dengan saya,"katanya. Menurutnya hubungan baik antara beliau dan Perdana Menteri juga membolehkan apa-apa perbincangan dilakukan dari hati ke hati. "Kalau ada apa-apa berkaitan masa depan saya pun, saya akan bincang dengan Perdana Menteri juga," katanya. Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya kestabilan parti dan kerajaan yang akan menjurus kepada kestabilan negara. "Kestabilan negara bergantung kepada keupayaan kita untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh, dan apa juga spekulasi tidak boleh membawa kesan buruk kepada mana-mana pihak. "Bagi saya keutuhan kerajaan dan kekukuhan Umno dan BN itu yang utama. Jangan mereka salah baca, kononnya boleh berjaya cetuskan keadaan tidak menentu untuk eksploitasi keadaan," katanya. Justeru, Muhyiddin meminta semua pihak khususnya anggota Umno dan BN untuk memahami tujuan sebenar di sebalik khabar angin yang ditimbulkan itu. "Mungkin sebab sengaja nak timbulkan spekulasi supaya wujud satu keadaan ketidakstabilan atau pertembungan puak-puak dalam parti atau kerajaan saya dengan sesiapa yang lain supaya boleh menangguk di air keruh dan dapat faedah daripadanya," katanya. Beliau juga yakin anggota parti yang mahir dan bijak membaca keadaan politik negara tidak akan mudah dipengaruhi khabar angin yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab.

MAS tidak akan ditutup-PM Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak timbul isu kebarangkalian kerajaan akan menutup syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS), buat masa ini. Beliau berkata walaupun MAS mencatat kerugian, hala tuju syarikat itu masih belum diputuskan, dan implikasi kewangan kepada kerajaan adalah berdasarkan keputusan yang akan ditentukan hasil kajian Khazanah Nasional Bhd, sebagai pemegang saham terbesar. "Pihak Kerajaan telah membincangkan isu kerugian MAS dan telah memutuskan Khazanah segera menjalankan kajian mendalam bagi mengenal pasti punca kerugian MAS dan opsyen penyelesaian terbaik. "Khazanah, selaku pemegang saham terbesar MAS, telah pun memulakan kajian berkaitan prestasi masa lampau dan prestasi semasa syarikat penerbangan itu. "Hasil kajian akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Khazanah sebaik sahaja ia dimuktamadkan bagi membolehkan hala tuju MAS ditentukan," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta Najib, selaku Menteri Kewangan, menyatakan sama ada syor menutup MAS merupakan pelan pemulihan kewangan MAS, yang mengalami kerugian RM4.1 bilion, sejak tiga tahun lalu. Beliau juga meminta Najib memberi butiran kerugian sepanjang tempoh ini, kesan negatif penutupan MAS kepada pekerja, pemilik saham serta kerugian yang akan ditanggung Kerajaan daripada aspek geran dan jaminan kewangan yang diberikan. Perdana Menteri berkata MAS mencatatkan kerugian pada 2011, dengan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion ekoran kelembapan pasaran industri penerbangan, terutama bagi perkhidmatan kargo. Selain itu, peningkatan kos operasi merangkumi kos bahan api dan kos bukan bahan seperti peruntukan pemulangan pesawat, peruntukan susut nilai pesawat kargo, dan peruntukan usang, turut menjadi faktor kerugian. Namun, Najib berkata melalui pelaksanaan langkah-langkah strategik dalam pelan perniagaannya yang komprehensif, MAS berjaya memulihkan prestasi kewangan syarikat dan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM431 juta pada 2012, berbanding RM2.52 bilion pada tahun sebelumnya. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013, Najib berkata MAS mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus kepada RM15.1 bilion berbanding RM13.8 bilion pada tahun sebelumnya, berikutan peningkatan jumlah trafik penumpang. "Bagaimanapun, MAS masih mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM1.174 bilion. "Kerugian ini disebabkan peningkatan kos bahan api, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dolar US dan kos pemulangan pesawat," katanya. Bagi tempoh suku pertama tahun ini pula, Najib berkata MAS mencatat kerugian sebanyak RM443 juta berbanding kerugian RM279 juta pada tahun sebelumnya. "Lebihan kapasiti pasaran menyebabkan tekanan kepada struktur kadar tambang dan mengurangkan hasil syarikat," kata Perdana Menteri.

Isu Bible-Sultan Selangvor arah JAIS ikut undang undang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada naskah Bible dalam bahasa Melayu yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) perlu dipulangkan atau dilupuskan. Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu perkara itu dilaksanakan mengikut proses dan prosedur perundangan sedia ada dan terpakai. "Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan," katanya dalam kenyataan di sini. Beliau berkata titah Sultan Selangor adalah selaras dengan arahan di dalam minit yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara yang menyatakan "berhubung Bible Al-Kitab yang dirampas, pihak Jais diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang". Justeru itu, katanya Jais perlu segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya. “Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak yang terlibat. "Sultan Selangor juga berpendapat isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat dengan mengesyorkan jalan penyelesaian yang tidak berpandukan kepada undang-undang dan syor-syor yang tidak munasabah," katanya. Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meminta ahli politik supaya tidak menggunakan isu Bible itu untuk kepentingan peribadi, kumpulan ataupun parti mereka. Sebelum ini, Peguam Negara, Abul Gani Patail mengumumkan bahawa pendakwaan tidak akan dilakukan berhubung rampasan Bible itu dan kes berkenaan ditutup. Jabatan Peguam Negara telah meneliti fakta dan bukti yang terkandung di dalam kertas siasatan berhubung rampasan itu dan memutuskan ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. Berikutan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jais memulangkan Bible berkenaan kepada PBM. Bagaimanapun, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata MAIS tidak bersetuju dengan arahan Kerajaan Selangor dengan alasan ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah 'ALLAH' di dalam Bible yang didakwanya bercanggah dengan enakmen itu. - Bernama

26 kes pembuangan bayi dilaporkan suku pertama tahun ini

Sebanyak 26 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara pada suku pertama tahun ini, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Sabah empat kes dan Sarawak dan Negeri Sembilan masing-masing tiga kes. Azizah menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di sini, Khamis yang bertanyakan statistik dan tindakan kerajaan untuk membendung isu berkenaan. Tambahnya sejak 2011 hingga 2013, 46 wanita telah diambil tindakan kerana kesalahan membuang bayi. Bagaimanapun jenis tindakan dan golongan umur wanita tidak diberitahu dengan terperinci. Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort berkata buat masa ini kementerian masih tidak mempunyai statistik kes pembuangan bayi hasil hubungan antara wanita tempatan dan lelaki pendatang asing. Bagi menangani isu pembuangan bayi, kementerian kini mempunyai tujuh program antaranya memperkenalkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan pada 2009, katanya. Selain itu, Program Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial (Pekerti) juga diperkenalkan pada 2012 sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah dengan menyasarkan murid Tahun enam, pelajar Tingkatan tiga dan Pendidikan Khas. "Pada 2012, 2,376 pelajar daripada 33 buah sekolah mengikuti program ini. Projek ini terus dilaksanakan pada 2014 dengan mengadakan kursus Training for Trainers (TOT) pada September 2014 kepada tiga buah sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas," katanya.

Pendakwaan terhadap keling DAP Penang, R S N Rayer ditangguh

Pendakwaan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang sepatutnya dilakukan hari ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak. Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Rayer, berkata pihaknya menerima notis tentang penangguhan itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-undang Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani pagi ini. "Kami tidak pasti apa yang berlaku dan perkara ini jarang berlaku, pihak kami akan mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negera mengenainya," katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah di sini Khamis. Semalam Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Rayer, 43, yang juga seorang peguam, akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 berikutan terdapat 14 laporan polis berhubung kenyataan wakil rakyat berkenaan. Adun daripada DAP itu sebelum ini mencetuskan kemarahan anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu selepas mengeluarkan perkataan 'Umno celaka' pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, 20 Mei lepas. Rayer bukan sahaja enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu malah mengulanginya dalam ceramah terbuka DAP ketika berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor. Selain Gobind Singh, Ramkarpal Singh dan S.Raveentharan juga mewakili Rayer.

DUta Khas OIC mengenai Etnik Islam Rohingya akan bentang pelan tindakan

Sebulan selepas dilantik sebagai Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar membentangkan pelan tindakan beliau dalam satu mesyuarat khas di sini. Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Hubungan OIC mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar untuk membincangkan perkembangan terkini berhubung isu dan cabaran yang dihadapi kaum berkenaan. Ia diadakan di luar Sesi ke-41 Majlis Menteri-menteri Luar yang berakhir Khamis. "Beliau mengalu-alukan kehadiran anggota Kumpulan Hubungan ke mesyuarat khas ini dan mengucapkan terima kasih kepada Duta Khas mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar, bekas Menteri Luar Malaysia (Tan Sri) Syed Hamid Albar, yang dijemput untuk memberi taklimat kepada anggota Kumpulan Hubungan tentang perancangan terkini beliau," menurut Sekretariat OIC yang berpusat di Jeddah, menerusi satu kenyataan. "Syed Hamid memberi taklimat kepada mesyuarat ini berkaitan wawasan dan perancangan beliau dalam menangani isu Etnik Islam Rohingya di Myanmar," jelas kenyataan itu. Dilantik oleh Iyad bulan lepas, peranan Syed Hamid sebagai Duta Khas adalah untuk memperkukuhkan usaha-usaha diplomatik antara OIC dan pihak berkuasa serta negara-negara serantau dan antarabangsa yang lain. Ini penting dalam menggalakkan keamanan dan mengembalikan keharmonian kaum, khasnya antara penduduk bukan Islam dan Islam, di negara itu melalui proses dialog komprehensif. Ketua Pengarah Kesatuan Arakan Rohingya Dr Wakar Uddin membentangkan taklimat berkaitan perkembangan terkini isu Etnik Islam Rohingya dan menggesa negara anggota OIC agar menyalur lebih banyak bantuan. Kumpulan Hubungan OIC turut dianggotai Mesir, Arab Saudi, Senegal, Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Bangladesh, Djibouti, Turki, Afghanistan dan Emiriah Arab Bersatu.