Rabu, 16 Mac 2016

PAS UMUM RAKAN PERMUAFAKATAN BARU

PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Bagaimanapun nama bagi pemuafakatan itu belum diputuskan. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebuah sekretariat akan diwujudkan antara PAS dan Ikatan yang disertai kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk merangka dan berbincang agenda kerjasama berkenaan. "Kita tidak mahu pakatan pembangkang yang bertindak secara ekstrem dan menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang dengan cara berkenaan tidak boleh selesaikan masalah. "Jika mahu membangkang, bukanlah secara melulu, perlu disertai nasihat, kemukakan cadangan yang baik...apa sahaja perkara baik yang kerajaan lakukan kita akan sokong, yang tak baik kita akan nasihat...itu langkah kita," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kerjasama itu di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini. Turut hadir, Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan. Ketika ditanya kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih berjalan seperti biasa. Beliau turut mengalu-alukan parti-parti politik lain yang menerima konsep tersebut untuk menyertai permuafakatan itu. Sementara itu, Abdul Kadir berkata hubungan baharu itu dapat mengukuhkan agenda politik yang lebih terbuka, matang dan sejahtera. Beliau menolak dakwaan Ikatan sebagai parti 'setahun jagung' yang mahu menumpang populariti PAS, sebaliknya menganggap PAS sebagai parti tunjang yang sama kuat dengan UMNO untuk menyelesaikan isu-isu rakyat dan negara. "Kita bukan nak lawan kerajaan bermati-matian, bukan juga nak lawan dengan Pakatan bermati-matian..kita hanya mahu setiap masalah rakyat diselesaikan dengan cara baik," katanya.

SAYA TETAP ISTIQAMAH JALANKAN TUGAS UNTUK NEGARA-NAJIB

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan beliau dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan tetap beristiqamah dan fokus dalam menjalankan pentadbiran walau apapun serangan politik yang diterima. "Walau apapun serangan, kita (BN) jangan hilang hala tuju, jangan hilang fokus. Kita tetap komited untuk laksanakan pelan kalau kita berjaya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di Dewan Rakyat hari ini. Annuar dalam soalan tambahannya bertanya adakah Najib sedar beliau berhadapan dengan tekanan dan kempen benci yang rancak dijalankan serta apakah pendirian perdana menteri berhubung perkara itu. Najib berkata beliau sedar dan tidak hairan dengan apa yang berlaku terhadapnya dan akan terus komited melaksanakan pelan ekonomi yang dirancang. "Kalau kita terus istiqamah dan konsisten, lambat laun rakyat akan hargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan," katanya. Najib dalam masa sama turut menyatakan perbandingan berhubung apa yang berlaku terhadap dirinya kini dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran yang dilemparkan kepada beliau seperti mahazalim, mahafiraun dan lain-lain, tapi sekarang ni (boleh) duduk bersama pembangkang pula," katanya. Najib berkata beliau bertanggungjawab kepada rakyat dan akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau apabila siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai dilakukan. "Saya serahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang 1MDB malah (isu) RM2.6 bilion juga, ada proses yang ditentukan pihak berkenaan. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap diteruskan," kata Najib.-BERNAMA

AHLI CUEPACS DIMINTA TIDAK TERLIBAT PERHIMPUNAN DEKLARASI MAHATHIR

Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam perhimpunan 'Deklarasi Mahathir' yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor pada 27 Mac ini. Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya tidak bersetuju dengan perhimpunan itu. "Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan ada dalam kalangan mereka terlibat sama. "Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu seperti menjatuhkan kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat isu semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini Rabu. Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil, sekaligus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat. Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.BERNAMA