Selasa, 28 Januari 2014

Tindakan Anwar memalukan- Aziz Kaprawi

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi Dun Kajang selepas sehari wakil rakyatnya meletak jawatan disifatkan sebagai memalukan. Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Ab Aziz Kaprawi, tindakan itu secara jelas berlaku permaian politik dalam PKR. "Bukan itu sahaja lebih memalukan apabila seorang pemimpin yang menganggap dirinya sebagai berintergriti dan berwibawa dengan mudah mempermainkan kepercayaan yang telah diberikan rakyat. "Sepatutnya PKR menghormati setiap undian yang diberikan kepada mereka. PRU13 baru sahaja berlalu, undi rakyat dibuat main-main hanya untuk kepentingan politik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina 2014. Aziz yang juga Ahli Parlimen Sri Gading itu juga berkata, PKR sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan bijak bukan mengheret rakyat dalam masalah mereka. Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Anwar adalah calon PKR bagi Dun Kajang selepas , Lee Chin Chen mengosongkan kerusi itu semalam. Pengumuman itu menguatkan lagi desas desus bahawa Anwar bakal menggantikan Khalid sebagai meredakan kemelut antara dua pemimpin PKR . Pada pengumuman itu dibuat Anwar juga meminta agar BN tidak meletakkan calon bagi memudahkan laluan kepadanya.

ADUN Kajang khianat kepercayaan rakyat...

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh telah mengkhianati kepercayaan pengundi apabila meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semalam. Gabungan itu menegaskan ini kerana Lee baru sahaja menjadi wakil rakyat selama lapan bulan. Langkah itu telah menjejaskan amalan demokrasi kerana ia menyokong tanggapan salah kononnya pilihan raya di Malaysia lebih memihak kepada parti-parti politik dan ahli politik daripada mengenai rakyat, menurutnya. "Alasan bagi peletakan jawatan Lee, dilaporkan dalam media adalah "untuk kebaikan PKR secara menyeluruh", mencerminkan penghakiman lemah di pihak dirinya serta parti diwakilinya. "Mengejutkan bahawa PKR bersetuju dengan peletakan jawatan oleh Lee dan telah menamakan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon dalam pilihan raya kecil (akan datang). Ini menunjukkan politik kotor dan patut dikutuk," menurut Bersih dalam kenyataan di sini hari ini. Gabungan itu mengulas langkah Lee mengosongkan kerusi itu semalam, dan langkah itu, seperti didakwa beberapa pemerhati, sebagai langkah memberi laluan kepada Anwar untuk menyertai Dewan Undangan Negeri Selangor. Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang, dikatakan akan mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor akan datang. Bagaimanapun, dalam sidang akhbar hari ini, Anwar menafikan kerusi DUN Kajang dikosongkan bagi tujuan membolehkan beliau memegang jawatan Menteri Besar Selangor, kononnya bagi meredakan pertelingkahan antara Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali. Gabungan itu menyatakan pihaknya kesal kerana pilihan raya kecil perlu diadakan dan wang rakyat akan dibazirkan hanya untuk "memenuhi hasrat dan impian" beberapa orang. Sementara itu Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berkata langkah Adun itu juga jelas tidak bertanggungjawab kerana lebih mengutamakan agenda parti dan telah membuang masa dan wang rakyat. "Sekiranya (Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim mahu mengambil alih dan kemudian menjadi Menteri Besar Selangor, ia memperlihatkan wajah sebenar beliau dan parti tersebut. "Tindakan itu membayangkan agenda peribadi itu lebih penting dari rakyat dan mewujudkan persoalan adakah beliau dapat menumpukan perhatiannya sebagai Adun (dan anggota Parlimen) di dua kawasan dan kemudian sebagai Menteri Besar," katanya kepada Bernama. Beliau berkata tindakan parti politik itu tidak bagus untuk masa depan demokrasi Malaysia kerana ia perlu bersandarkan pada suara rakyat dan bukan undi untuk kepentingan peribadi atau memberi tempat untuk pemimpin tertentu. Anwar hari ini dinamakan PKR sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan Lee. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata pemilihan Anwar dibuat selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pagi ini. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia Dr Azmi Hassan berkata tindakan Anwar untuk bertanding di DUN Kajang dilihat untuk menyelesaikan masalah dalam parti PKR Selangor itu sendiri dan mengambil jalan tengah iaitu beliau sendiri menjadi menteri besar. "Langkah yang diambil Anwar tidak menghairankan atau mengejutkan kerana ini dilihat sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan parti tersebut dari berubah kepada keadaan yang lebih teruk. "Adalah tidak adil untuk mempergunakan pengundi di Kajang dan mereka perlu memikirkan apakah mereka itu rela dipergunakan," katanya. Bekas anggota Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ibrahim Saad juga mempersoalkan tindakan Anwar dan kebolehannya sekiranya beliau menang dalam pilihan raya kecil itu. Beliau yang pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semasa Umno negeri di bawah pimpinan Anwar, menyifatkan Anwar sebagai seorang yang banyak mempunyai rancangan dan agenda peribadi. "Berkemungkinan Anwar telah bertukar alamatnya iaitu di Selangor dan membenarkan beliau bertanding di kawasan itu seperti yang tertulis di dalam undang-undang dan Anwar juga pernah menggunakan alamat rumah saya di Permatang Pauh untuk bertanding bagi menjadi wakil rakyat kawasan itu," katanya.

PAS Selangor belum tentu terima Anwar sebagai Menteri Besar

PAS Selangor tidak semestinya menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar (MB) malahan akan meletakkan wakilnya sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan tersebut, kata Mohd Khairudin Othman. Menurut setiausaha PAS Selangor itu, selagi tidak timbul isu penggantian menteri besar, parti Islam itu hanya menjadi pemerhati sahaja. “Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai. “Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebagai calon utama kita,” katanya dalam satu kenyataan. Kenyataan dikeluarkan selepas sidang media PKR pagi tadi yang turut disertai wakil PAS dan DAP yang memaklumkan Anwar akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas dikosongkan. Semalam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan kerana dikatakan mahu memberi laluan kepada Anwar yang mahu menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor. Menurut Mohd Khairudin, pihaknya mengikuti perkembangan politik di Selangor secara langsung dan berhati-hati. “Kita akan menghantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat dan terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian. Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN,” katanya. “Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat (PR) kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR,” katanya. PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee semalam. Keputusan itu diumumkan oleh Abdul Khalid di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. “Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang,” kata Abdul Khalid. Petikan The Malaysiainsider.

Perlantikan MB Selangor di bawah kuasa Sultan

Disebalik spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan akan meletak jawatan ekoran tekanan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun hakikatnya pelantikan jawatan itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor. Menurut pakar undang-undang di Selangor Datuk Salehuddin Saidin, pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959. Katanya menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN, selaku Menteri Besar. Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar, katanya. Pada masa sama, seseorang Menteri Besar juga haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam sepertimana yang telah termaktub dalam undang-undang berkenaan, katanya. Salehuddin berkata pemilihan seseorang individu untuk menjadi Menteri Besar adalah dibuat oleh sesebuah parti yang mendapat sokongan majoriti daripada rakyat dalam pilihan raya. "Parti yang memenangi pilihan raya itu boleh mengemukakan calon-calon Menteri Besar untuk pertimbangan Sultan Selangor. Sultan Selangor akan memilih seorang Menteri Besar yang difikirkan layak oleh baginda," katanya. Semalam Abdul Khalid dilaporkan menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dan memberikan laluan kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dinamakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, sekiranya ada pertandingan, untuk mengambil alih tempatnya. Penyandang DUN Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerusi itu semalam. Abdul Khalid dilaporkan berkata beliau akan berundur daripada jawatannya sebagai Menteri Besar dengan syarat ia mendapat persetujuan daripada semua komponen parti dalam pakatan pembangkang selain mendapat perkenan daripada Sultan Selangor. -- BERNAMA

Kembali melakar catatan tanpa prajudis..

Agak lama tidak muncul dalam ruang sempit ini,sebaik sahaja pilihanraya umum selesai, selepas sedikit sumbangan kepada perjuangan untuk Agama Bangsa dan Tanahair dapat diabadikan. Namun perkembangan semasa politik tanahair terasa terpanggil untuk kembali ke gelanggang ini bagi bercakap yang berani kerana prinsip BERANI UNTUK BENAR masih tidak lekang dan tidak ada kekang. Pastikan gelanggang Pilihanraya Kecil DUN Kajang akan menjadi ruang pertarungan dalam membetulkan persepsi dan mempertahankan realiti. Moga kita akan mulai bertemu selalu di ruang ini untuk kali ini dan seterusnya demi Alif Ba Ta... Sampai jumpa...