Isnin, 14 Mac 2016

TINDAKAN TEGAS TERHADAP ANUGERAH DARJAH GELARAN PALSU

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah tindakan tegas wajib diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan penganugerahanan gelaran darjah tanpa pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri Perak untuk mengekang ia daripada terus berleluasa. Baginda bertitah jika perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan supaya aktiviti itu dapat dibanteras secara berkesan. "Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga. Pihak yang terbukti bersalah, wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-165 di Istana Iskandariah di sini. Sultan Nazrin bertitah pendirian mendiamkan diri dan tidak membetulkan kesalahan oleh pihak berkuasa boleh ditakrif sebagai merestui dan mengizinkan kesalahan terus dilakukan dan aktiviti penipuan terus berlaku. Titah baginda, berdasarkan makluman daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain laporan media, aktiviti penganugerahan darjah oleh pihak tidak berkenaan sememangnya sahih berlaku di Perak serta dikomersialkan untuk mengaut keuntungan. "Aktiviti dilakukan oleh beberapa individu dengan mencipta darjah gelaran tertentu, ditawarkan kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran. "Penerima dianugerahkan ketinggian darjah gelaran mengikut harga yang sedia dibayar yang mana gelaran 'Datuk Seri' diletakkan harga yang lebih tinggi daripada gelaran 'Datuk'," titah baginda. Selain itu, Sultan Nazrin bertitah para pembeli darjah diberikan kad keahlian dan surat khas yang menjamin mereka memiliki imuniti serta kebal daripada tindakan undang-undang disamping diberi lambang untuk diletakkan pada kenderaan. Baginda menegaskan bahawa aktiviti itu merupakan satu penipuan dan ia bukan sahaja mencemarkan Institusi Raja, Istana dan kerajaan, malah turut mempersendakan darjah kebesaran serta penerima anugerah yang sahih. Titah Sultan Nazrin, pihak PDRM juga telah mendedahkan nama individu tertentu kepada baginda dan mempunyai hubung kait sejarah dengan kerabat Diraja Perak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti itu. Baginda menegaskan anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat atas nama Negeri Perak Darul Ridzuan, terletak di bawah budi bicara Raja pemerintah. Titah baginda nama individu yang dicalonkan untuk menerima darjah dan pingat berdasarkan rekod jasa dan khidmat bakti kepada Raja pemerintah dan negeri Perak akan disaring, ditapis dan dinilai oleh Jawatankuasa Dewan Negara sebelum disembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Perak. "Kesemua bakal penerima anugerah akan dihubungi secara rasmi melalui surat yang turut memaklumkan darjah atau pingat bakal diterima selain menetapkan tarikh istiadat penganugerahan. "Semua istiadat penganugerahan dilangsungkan di Balai Rong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan kesemua penerima akan menerima anugerah daripada Sultan Perak melainkan dalam keadaan tertentu diwakilkan kepada pemangku raja ataupun Raja Muda Perak," titah baginda. Sultan Nazrin bertitah para penerima anugerah tidak pernah dikenakan sebarang bayaran dan sama sekali tidak disyaratkan untuk memberi apa-apa sumbangan derma dalam bentuk material mahupun kewangan kepada raja, istana, kerajaan atau kepada mana-mana tabung. "Orang awam yang didampingi untuk ditawarkan anugerah negeri Perak dengan dikenakan bayaran tertentu, dinasihatkan untuk menghubungi dan membuat laporan kepada polis dan kerjasama ini amat penting supaya aktiviti penipuan ini dapat segera dihentikan," titah baginda.BERNAMA

PAS REBUT KERUSI DENGAN PKR DI PRN SARAWAK

PKR akan berbincang dengan PAS mengenai calon yang akan diturunkan ada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang. Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata perbincangan itu penting bagi mengelak pertindihan kerusi calon pembangkang. "Hal itu perlu bagi mempertahankan kerusi calon 'satu lawan satu' dan kami harap PAS tidak menolak proses perbincangan. "Masih ada ruang untuk perbincangan, biasanya kerusi calon ini kita bincang sampailah sebelum penamaan calon," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. Beliau berkata perubahan yang ingin dibuat oleh parti pembangkang perlu dibuat secara kolektif bukan secara bersendirian. PAS baru-baru ini mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan bulan depan. Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri ini calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN. Sebelas kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut, katanya.BERNAMA

PROGRAM REHIRING PATI PENDEKKAN HINGGA JUN

Tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring yang dijadualkan berakhir pada 30 Disember dipendekkan kepada 30 Jun ini, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN). Program Rehiring dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 15 Feb 2016 bagi PATI dari 15 negara sumber sedia ada. KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga 10 Mac, sejumlah 15,822 orang PATI telah didaftarkan di bawah Program Rehiring, meliputi 9,738 orang PATI warganegara Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 orang PATI warganegara lain. KDN berkata prestasi Program Rehiring masih tidak memuaskan walaupun hampir sebulan ia dilaksanakan beserta operasi penguatkuasaan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Jabatan Imigresen ekoran masih terdapat ramai majikan yang didapati menggaji PATI. "Oleh yang demikian, kerajaan ingin menyeru agar para majikan menggunakan peluang yang ada untuk menyertai Program Rehiring bagi membolehkan PATI dikeluarkan permit kerja yang sah," katanya. KDN berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil. Pada masa yang sama, mana-mana majikan yang mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan. KDN berkata permohonan Program Rehiring oleh majikan dan PATI hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rehiring.imi.gov.my dan syarat-syarat terperinci program juga boleh dimuat turun di laman web yang sama. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Program Rehiring mengikut warganegara iaitu Indonesia di 03-149 4788 atau enquiry@imantki.com, Myanmar (07-333 4797/07-333 6797) atau enquiry@homme-osc.com, lain-lain warganegara (03-7801 8888) atau rehiring@myeg.com.my Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-8880 1555 atau 03-8880 1557 pada setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.BERNAMA

USAHA JATUHKAN PM NAJIB BUKTI PEMBANGKANG BIMBANG PRU 14

Kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal bertahan sehingga hari ini walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan ujian telah melahirkan kebimbangan pembangkang untuk berdepan pilihan raya umum ke-14. Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) berkata pembangkang yang terpaksa mengheret beberapa tokoh lama dalam politik untuk bersama-sama mereka dalam agenda menjatuhkan perdana menteri melalui Deklarasi Mahathir membuktikan pembangkang tidak yakin kepada kemampuan mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara demokrasi. "Kalau kita seperti perdana menteri (Najib), dah lama tumbang dengan pelbagai serangan, deklarasi rakyat...pihak mereka tidak yakin pada pilihan raya akan datang, disebabkan kewibawaan perdana menteri, mereka guna deklarasi rakyat untuk menjatuhkan perdana menteri," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini hari ini. Abdul Rahman juga menyifatkan Najib sebagai perdana menteri paling 'cool' oleh kerana beliau tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pembangkang dan beberapa tokoh politik negara sebelum ini yang tidak berhenti-henti mendesaknya meletak jawatan. Menurutnya dasar-dasar tranformasi yang dibawa oleh Najib sejak 2010 banyak membawa perkembangan positif kepada usaha untuk mensejahterakan rakyat khasnya dari segi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan selain mengurangkan masalah pengangguran. Persidangan dewan bersambung esok.

MAIK DILANTIK AGENSI PELAKSANA PROGRAM WANG IHSAN KELANTAN

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini memeterai perjanjian bagi melantik majlis itu sebagai agensi pelaksana Program Wang Ihsan negeri Kelantan. Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya di sini menjelaskan dengan termeterainya perjanjian itu, MAIK akan berkongsi dana Wang Ihsan negeri Kelantan pada nisbah 50:50 dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP Kelantan) bagi melaksanakan Program Wang Ihsan tertakluk kepada siling RM25 juta setahun bagi setiap agensi pelaksana. "Fokus pelaksanaan program masih dikekalkan kepada program pembasmian kemiskinan, bantuan persekolahan, ibu tunggal dan anak yatim. "Pelantikan MAIK sebagai agensi pelaksana bersama JPP Kelantan adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Istana Negeri Kelantan," menurut Kementerian itu. Pada majlis itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah manakala MAIK diwakili Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan olah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra merangkap Yang Dipertua MAIK dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut kenyataan itu, penglibatan MAIK diharapkan dapat memperluas dan meningkatkan lagi keberkesanan Program Wang Ihsan Kelantan.

UMNO PERLU JADI PARTI YANG INKLUSIF- KU ADNAN

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata parti perlu menjadi sebuah parti yang inklusif untuk memenangi hati rakyat. Beliau meminta anggota parti di peringkat akar umbi supaya tidak membuat program 'syok sendiri' malah sepatutnya turun padang untuk bertemu masyarakat cdan bertanyakan keadaan. "Barulah masyarakat sayang pada parti kita," katanya ketika merasmikan persidangan tahunan pergerakan Wanita Umno cawangan-cawangan dalam Bahagian Batu, di sini. Beliau juga mahukan para perwakilan diberikan pendedahan dan maklumat yang betul agar mereka tidak menyampaikan maklumat yang salah kepada masyarakat. "Sekarang ini adalah zaman fitnah. Apa salah perdana menteri kita dalam mentadbir negara ini. Tidak ada seorang perdana menteri yang mahu mengakui kesilapan-kesilapan sebuah kerajaan. Tetapi perdana menteri kita mengaku. "Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna, bukanlah sebuah parti yang sempurna. Tetapi kita sanggup untuk berubah menjadi lebih baik demi negara kita," katanya, yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan. Tengku Adnan juga meminta para perwakilan berhati-hati dengan peperangan persepsi yang memberikan persepsi negatif terhadap Umno, kerajaan dan presiden Umno. Sementara itu, satu deklarasi juga turut dibuat oleh Umno Bahagian Batu pada majlis tersebut bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Ketuanya, Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkata pihaknya juga bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno. Deklarasi itu juga turut mengecam dan membantah tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa orang pemimpin Umno yang terlibat dalam menandatangani deklarasi bersama pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.BERNAMA

MALAYSIAN INSIDER HENTI OPERASI MULAI MALAM INI

The Edge Media Group membuat keputusan menutup portal beritanya, The Malaysian Insider (TMI), mulai tengah malam ini. Menurut kenyataan media dalam talian, The Edge Markets, pengarang TMI, Jahabar Sadiq berkata penutupan itu dibuat atas sebab komersial. "The Edge Media Group membuat keputusan menutup The Malaysian Insider mulai tengah malam ini atas sebab komersial. Barangkali, kami mengambil tindakan tepat dengan keluar daripada talian betul-betul mulai pertengahan Mac," katanya. Menurut sumber daripada portal berita itu, satu perjumpaan antara 59 petugas dan pihak pengurusan TMI akan diadakan di ibu pejabat TMI di Petaling Jaya hari ini. Sementara itu, terdapat laporan bahawa ketua pegawai eksekutif The Edge Media Group Ho Kay Tat berkata syarikat itu mengalami kerugian RM10 juta sepanjang tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih TMI pada Jun 2014. Pada 25 Feb, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada The Malaysian Insider. SKMM berkata tindakan itu diambil kerana kandungan portal berita itu didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.BERNAMA