Jumaat, 13 Jun 2014

Kerajaan timbang pengecualian cukai pengunaan petrrol RON95 dan diesel

Kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengecualikan rakyat daripada membayar cukai penggunaan petrol RON95 dan diesel apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini adalah kerana buat masa ini, dua komoditi bahan api itu dikecualikan daripada cukai jualan dengan kadar 58.62 sen seliter dan 40 sen seliter, masing-masing. Katanya, pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan merupakan satu jumlah tanggungan besar kepada kerajaan. “Namun, kerajaan masih belum memutuskan untuk mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. “Kerajaan ingin lihat setakat mana penjimatan (boleh dilakukan) daripada usaha ini sebelum membuat rasionalisasi subsidi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 di peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. GST akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan danperkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus. Ahmad berkata pada masa ini, harga RON95 adalah RM2.10 seliter iaitu 71 sen disubsidikan kerajaan, dan harga diesel iaitu RM2 selepas kerajaan menanggung subsidi sebanyak 74 sen. Beliau juga menerangkan jumlah subsidi petroleum yang terdiri daripada petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), dengan nisbah 50 peratus untuk petrol, diesel (40 peratus) dan LPG (10 peratus) dari tahun 2000 sehingga tahun ini. Katanya, kerajaan memberikan jumlah subsidi petroleum sebanyak RM3.425 bilion pada tahun 2000, RM2.398 bilion (2001), RM917 juta (2002), RM1.823 bilion (2003), RM4.788 bilion (2004), RM8.164 (2005), RM7.281 bilion (2006), dan RM8.770 bilion (2007). “RM15.378 bilion (2008 – peningkatan harga minyak di pasaran dunia), RM5.593 bilion (2009), RM9.065 bilion (2010), RM20.275 bilion (2011), RM24.726 bilion (2012), RM23.458 bilion (2013) dan anggaran tahun ini ialah RM22.24 bilion. Pemberian subsidi yang menjadi cabaran kerajaan,” katanya. Rafizi Ramli (Pandan-PKR) mencelah dan meminta kerajaan untuk memberitahu kenaikan harga barang akibat pelaksanaan GST lebih awal, dan jangan hanya membiarkan rakyat dan masyarakat peniaga terkejut dengan perkara itu. Kepada cadangan itu, Ahmad berkata kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli) yang mengandungi 1,000 jenis barang, tiga bulan sebelum GST dilaksanakan tahun depan. Beliau berkata buku panduan itu bertujuan bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati. “GST dilaksanakan untuk tujuan menambah hasil negara, secara telus, efektif dan cekap untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga lebih ketat menjelang Ramadan

Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. "Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba dan disusuli pula dengan Syawal, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat," kata Perdana Menteri dalam laman Facebook beliau hari ini. Najib turut berkongsi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk "Kerajaan Laksana Pelbagai Program Bantu Rakyat Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup - Muhyiddin" di laman Facebook dan Twitternya. Menurut berita itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini. Sambil menempelak tuduhan pembangkang kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan telah banyak melakukan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat termasuk melaksanakan Akta Kawalan Harga sebagai satu undang-undang yang melindungi kepentingan pengguna. "Hanya Malaysia sahaja yang mempunyai undang-undang mengawal harga barangan keperluan dan makanan ini, terutama menjelang musim-musim kritikal seperti waktu perayaan," kata Muhyiddin selepas merasmikan Program Jom Bertani di Kampung Nyior Tujuh, Jerteh, Terengganu, semalam. Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjamin daya saing global, Najib berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat masyarakat supaya lebih tepat mencerminkan kesejahteraan sebenar negara. "Malaysia menduduki ranking ke-56 daripada 156 negara dalam Indeks Kebahagian Dunia 2013 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Kemajuan mapan sesebuah negara dalam dunia global dan berdaya saing hari ini tidak boleh diukur semata-mata dengan prestasi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sahaja," katanya. Perdana Menteri berkata pertumbuhan pesat Malaysia ke arah mencapai status negara maju mestilah selari dengan status kesejahteraan rakyat. "Dalam penjelmaan intipati 1Malaysia, kita secara kolektif mesti memastikan semua rakyat Malaysia dapat maju bersama-sama dalam masyarakat yang saksama," katanya.

Trafik penumpang MAHB menunjukkan peningkatan

Trafik penumpang Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) naik sebanyak 2.1 peratus kepada 6.72 juta pada Mei 2014 berbanding 6.58 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah penumpang antarabangsa meningkat empat peratus dan sektor domestik mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2013. Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat sebanyak satu peratus pada Mei 2014 berbanding bulan yang sama pada 2013, katanya. "Trafik penumpang antarabangsa bertambah 4.5 peratus dan penumpang domestik susut 6.6 peratus," katanya. Trafik terminal bangunan utama KLIA berkurangan 7.9 peratus manakala trafik klia2/LCCT naik sebanyak 11.1 peratus, katanya. Sehingga Mei 2014, MAHB telah mengendalikan seramai 34.1 juta pergerakan penumpang yang mencatatkan pertumbuhan 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013. KLIA pula, mencatatkan 20.3 juta penumpang dengan pertumbuhan 11.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2013, katanya. Menurut MAHB, pergerakan domestik yang berkurangan pada tahun ini sebahagiannya disebabkan pada 2013, peratus penumpang melonjak berikutan adanya pergerakan pilihan raya umum. Mengenai masa hadapan, ia berkata Bank Dunia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dunia daripada 3.2 peratus kepada 2.8 peratus. "Ini mungkin mempunyai kesan ke atas perjalanan udara," katanya.