Jumaat, 24 Oktober 2014

PR bangkitkan pelbagai isu untuk tutup kelemahan sendiri

Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan pelbagai isu kebelakangan ini supaya rakyat lupa tentang krisis Selangor yang menyaksikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai menteri besar, kata Datuk Ibrahim Ali. Presiden Perkasa itu berkata, apa sahaja peluang yang boleh dijadikan isu akan digunakan sebagai modal, terutamanya DAP yang dilihat paling ghairah mengaburi mata rakyat. "Apa-apa sahaja isu, mereka akan jadikan modal. Tambahan lagi PR cedera baru-baru ini. Jika main bola antara BN dan PKR, pemain PKR kena buang padang seorang dalam isu menteri besar Selangor. "Sekarang PR, terutama DAP, ghairah cuba hendak baiki kecederaan ini yang dikira parah dengan membangkitkan lain-lain isu, hendak selindung dan bagi rakyat lupa apa yang berlaku di Selangor. Itu permainan mereka sekarang,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider. PKR pada Ogos memecat Khalid kerana enggan mematuhi keputusan parti memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baru. Krisis Selangor yang berlarutan selama lapan bulan menyaksikan Mohamed Azmin Ali berjaya dilantik sebagai menteri besar walaupun PKR dan DAP hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal kepada pihak istana. Pencalonan Dr Wan Azizah kurang disenangi PAS, terutama presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang tidak bersetuju wanita menjawat jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan negeri terkaya di Malaysia itu. Ibrahim berkata Putrajaya tidak perlu mengulas sebarang kenyataan atau dakwaan yang dilemparkan pemimpin PR kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Katanya, apa yang perlu diberi perhatian Barisan Nasional (BN) ialah bagaimana mengatasi kos sara hidup dan mengurangkan beban kehidupan rakyat. "Pada pandangan saya, strategi BN tidak perlu respon kepada isu. Lagi respon, lagi mengada-ngada dan dibesarkan. "Yang penting bagi BN, jangan buang masa, fokus bagaimana menjadikan rakyat gembira,” katanya. Ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu beliau disiasat mengikut Akta Hasutan, Ibrahim berkata: "Saya sudah dinasihatkan tidak boleh komen. Saya sudah terangkan dulu. Jadi tidak payah saya ulang. Isu ini sudah tidak berbangkit.” Sementara itu, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut diminta mengulas keputusan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diumumkan Selasa ini. Katanya, menjadi harapannya agar Saiful Bukhari Azlan diberikan pembelaan sewajarnya apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan minggu hadapan. "Saya tidak mahu dahului keputusan mahkamah. Saya sentiasa berdoa supaya Saiful yang menjadi mangsa kepada tragedi ini diberi pembelaan sewajarnya. "Amat malang saya tengok salah seorang anak muda Malaysia dijadikan mangsa pemimpin. Orang ramai memberi sokongan kepada Anwar atas dasar politik. “Yang menyokong mereka orang yang bercakap soal keadilan, moral, akhlak dan ketelusan. Tetapi Saiful hanya manusia biasa, dia tinggal seorang melawan kesnya,” katanya kepada The Malaysian Insider. Ibrahim berkata Saiful selama ini sudah cukup menanggung derita dan malu serta terpaksa menunggu jangka masa lama mendapatkan keadilan. "Saya bukan memihak kepada Saiful. Saya hanya memihak kepada keadilan. Keadilan bukan hanya dilaksana tetapi ia dapat dilihat. "Orang lain bila menerima penyeksaan, kita tengok cepat mereka dapat pengadilan bermakna perbicaraan dalam masa setahun boleh selesai. "Bagi Saiful, dia terpaksa menunggu begitu lama. Kalau ada orang yang membela Saiful, orang yang membela Saiful akan dituduh berkonspirasi,” katanya yang juga pernah menjalani hukuman Akta Keselamatan Dalam Negeri bersama Anwar pada 1974.

Semangat Hijrah dijadikan tunjang transformasi negara-PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sentiasa mencontohi serta menjiwai roh dan semangat peristiwa hebat Hijrah sebagai tunjang kepada transformasi dan pembangunan negara yang realitinya mempunyai masyarakat berbilang kaum. Beliau berkata ini selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif. "Justeru dengan berwahanakan Gagasan 1Malaysia, kita menggarap semangat Hijrah ini ke dalam agenda transformasi nasional," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1436H. Najib berkata prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial perlu dijadikan asas bermasyarakat melatari landskap kehidupan rakyat Malaysia yang harmoni. Beliau berkata berpandukan semangat Hijrah, beliau membentangkan Bajet 2015 bertema 'Ekonomi Keperluan Rakyat' baru-baru ini untuk terus memperkukuh kemapanan ekonomi negara, memperkasa transformasi dan mendahulukan keperluan rakyat. "Harapan kita ialah Malaysia akan terus berkembang melalui pelaksanaan program transformasi ekonomi yang telah kita rancang," katanya. Perdana Menteri turut merujuk kejayaan Malaysia baru-baru ini menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi tempoh 2015-2016. "Ini adalah bukti pengiktirafan dunia kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia. Malah ini juga perlu dilihat sebagai satu penerimaan dunia kepada pendekataan wasatiyyah (bersederhana) berpaksikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara," katanya. Dalam pada itu, Najib berkata tarikh 1436 Hijrah mengingatkan umat Islam kepada penetapan takwim Islami oleh Saidina Umar Al-Khattab yang merupakan satu bentuk inovasi dalam tadbir urus terbaik semasa pemerintahan Khilafah Islamiah. Peristiwa Hijrah merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Yathrib (Madinah) pada 622 Masihi.

Pulau Pinang larang tukang masak warga asing tahun depan

Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan melarang warga asing daripada bekerja sebagai tukang masak utama di gerai penjaja mulai 1 Jan 2015. Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata majlis eksekutif negeri membuat keputusan itu selepas 86 peratus daripada responden dalam satu kaji selidik menyokong cadangan berkenaan. Beliau berkata syarat penjaja jalanan hanya menggunakan tukang masak tempatan akan menjadi antara kriteria dalam permohonan lesen penjaja. "Penjaja akan diberi tempoh peralihan setahun mulai 1 Jan tahun depan untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan peraturan baharu ini, yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bukan serta-merta," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat. Lim berkata keputusan itu terpakai bagi semua penjaja jalanan, kedai kopi, kompleks penjaja dan medan selera pusat beli-belah. "Warga asing boleh membantu tukang masak atau menjadi pembantu dapur di kedai tetapi tukang masak utama mestilah rakyat tempatan untuk memelihara warisan masakan," katanya sambil menjelaskan bahawa peraturan itu tidak terpakai bagi restoran. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata semua penjaja perlu mematuhi peraturan itu menjelang 1 Jan 2016. "Penjaja yang tidak mematuhinya akan dikenakan tindakan, termasuk dibatalkan lesen perniagaan," katanya. Chow berkata menurut kaji selidik berkenaan, 86.02 peratus bersetuju Majlis Perbandaran Pulau Pinang menarik balik lesen penjaja yang menggunakan khidmat tukang masak asing manakala 13.98 peratus menolaknya. Beliau berkata pelekat bertulis 'Penang Food is the Best' akan diberi kepada kedai yang mematuhi peraturan itu.BERNAMA

Salam Maal Hijrah buat semua para sahabat dan rakan rakan...

Maal Hijrah Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral. Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: 'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya' (Ali Imran:103) Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat. Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud: 'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.' Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia. Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh. Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud: 'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.' Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah. Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi. Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam. Roh Maal Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap. Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa. Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material. Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah. Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam. Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu. Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri. Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh' (al-Anbiya:105) Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya. Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul. Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya. Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini. Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Maal Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

Malaysia terus dapatkan bantuan pakar berhubung tragedi MAS

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kini berada di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bantuan berhubung dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) tahun ini. USA Today melaporkan beliau akan mengunjungi Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat Anthony Foxx dan melawat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal, Kanada minggu depan. Menyentuh Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac, Liow memberitahu media AS itu bahawa operasi pencarian kini meliputi fasa laut dalam dan bantuan negara berkenaan dipohon dalam konteks peralatan selanjutnya. "Sekarang kami memerlukan lebih peralatan untuk meninjau sama ada terdapat lebih banyak teknologi dan kepakaran untuk menjejaki pesawat itu," katanya berhubung operasi di Lautan Hindi bagi mengesan MH370, yang hilang bersama 239 orang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur. Semasa melawat ke ICAO, Liow dijangka memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sistem mengesan penerbangan untuk mengelak pesawat daripada hilang seperti MH370, menurut laporan itu. Liow, yang turut memberi tumpuan terhadap tragedi Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine pada 17 Julai lepas, akan menggesa ICAO menerima pakai resolusi untuk akses lebih baik di tapak nahas. Para penyiasat dilaporkan masih tidak mendapat akses ke kawasan nahas di timur Ukraine. Insiden itu menyaksikan 298 orang yang berada dalam pesawat terkorban termasuk lebih 40 warga Malaysia. Bangkai pesawat perlu diperiksa oleh pakar keselamatan untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat Malaysia itu, kata Liow kepada USA Today. Beliau turut memaklumkan apa yang mungkin menyebabkan pesawat itu terhempas. "Kami mengesyaki peluru berpandu membedil pesawat itu," katanya.