Sabtu, 21 Jun 2014

Tengku Adnan bidas pencetus spekulasi perletakan jawatan TPM

Ahli Umno dan Barisan Nasional diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau terpengaruh dengan khabar angin berkaitan peletakan jawatan pemimpinnya, yang dilihat hanya akan mencetuskan perpecahan dalam parti itu. Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ahli Umno dan BN perlu bersatu hati menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memacu negara menjadi sebuah negara maju. "Janganlah kita jadi pencetus kepada pepecahan, negara yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang bergerak ke hadapan. "Kita nak jadi negara maju, banyak agenda pemimpin kita perlu selesaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wilayah Persekutuan Bebas Denggi anjuran Yayasan Kesejahteraan Bandar dan Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak di sini, hari ini. Mengulas dakwaan seorang ahli parti, yang juga setiausaha bahagian BN di Wilayah Persekutuan, kononnya Muhyiddin akan bercuti panjang dan tempat beliau akan dipangku sementara oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Tengku Adnan berkata: "Orang ini, dia tak suka Umno ini tenang, BN tenang. Kerajaan BN sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah. Saya tak tahu apa nak jadi kepada negara kita kerana banyak sangat orang (seperti) ini. Barangkali nak tengok negara kita hancur." Semalam perdana menteri berkata laporan media sosial bahawa timbalannya akan berundur daripada Kabinet hanyalah 'rekaan politik' pihak tertentu. Najib berkata sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN pula, Muhyiddin sentiasa bersama-sama dalam segala usaha memperkukuh dan memantapkan perjuangan Umno dan BN dan ini merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak perlu dilakukan antara beliau serta Muhyiddin. - Bernama

Khalid arah Exco siasat Azmin

Kerajaan negeri mengarahkan tiga anggota exconya memantau perbelanjaan dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta mendapatkan laporan pihak terlibat dalam transaksi projek PJ Sentral Development (PJ Sentral) melibatkan anak syarikat PKNS Holdings Sdn Bhd. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, arahan tersebut melibatkan exco Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail untuk mendapatkan laporan serta penjelasan mengenai transaksi projek berkenaan sebagaimana yang didedahkan Bahagian Audit Dalaman PKNS sebelum ini. Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan penjelasan dan laporan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali. "Perkara (laporan mengenai PJ Sentral) ini dilakukan oleh Bahagian Audit Dalaman PKNS. Berdasarkan laporan audit dalaman itu, dinyatakan masih belum mendapat keterangan daripada Azmin Ali. "Bagaimanapun, saya telah meminta tiga anggota exco ini membuat penelitian mengenai perkara ini. Saya rasa semua orang yang bertanggungjawab mesti membuat laporan dan penjelasan mengenai perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang menyatakan bahawa Bahagian Audit Dalaman PKNS gagal mendapatkan penjelasan Azmin berhubung isu anak syarikatnya, PKNS Holdings dalam transaksi berkaitan projek PJ Sentral. Laporan tersebut turut menyatakan pihak audit dalaman PKNS itu gagal meneruskan siasatan mereka ekoran 'kesukaran mendapatkan tarikh yang sesuai' untuk bertemu Azmin yang juga ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif, untuk disiasat. Pada 27 Februari lalu, PKNS dilaporkan gagal dalam samannya terhadap Nusa Gapurna Development Sdn Bhd (Nusa Gapurna) dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) berhubung pelanggaran perjanjian pemegang saham berkaitan kepentingan dalam PJ Sentral Development Sdn Bhd. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hasnah Mohammed Hashim yang menolak saman itu setelah mendengar keterangan enam saksi dan memerintahkan PKNS membayar kos RM100,000 kepada Nusa Gapurna dan RM50,000 kepada MRCB. - Bernama

Pertukaran MB-Khalid anggap itu cerita lama

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan gesaan agar beliau berundur dari kerusi Menteri Besar Selangor yang kembali kedengaran sebagai isu lama. Khalid ketika menjawab soalan pemberita semalam berkata, beliau tidak kisah dengan ungkitan gesaan itu dan menghormati pandangan pihak tersebut. “Tidak mengapa, itu pandangan mereka. Saya sudah dengar semua ini sejak tahun 2013 lagi,” katanya dipetik Selangorkini. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian sumbangan dana kepada enam sekolah Tamil di Kuala Selangor, semalam. Gerakan untuk menukar Khalid bermula ketika 'Kajang Move' yang digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu. Bagaimanapun 'projek' tersebut sedikit terganggu apabila Anwar hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dalam isu fitnah liwat II. Bagaimanapun gesaan ini kembali kuat kedengaran sejak kebelakangan ini ekoran beberapa isu yang berlaku di negeri itu di mana Khalid dilihat lebih bertindak bersendirian dan mengenepikan pandangan ketiga-tiga parti yang berkongsi kuasa di negeri itu. Antaranya isu pembinaan Lebuhraya Kidex, isu rampasan bible Melayu, serta isu penstrukturan semula industri air. - HARAKAHDAILY

Rampasan Bible- MAIS perlu berunding dengan Peguam Negara-PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berunding dengan Peguam Negara (AG) jika ia berpendapat AG perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Peguam Negara baru-baru ini memutuskan bahawa tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut dibuat pada Januari lepas, sekali gus menutup kes berkenaan. Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata penyelesaian isu rampasan kitab tersebut milik Persatuan Bible Malaysia itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan dan Undang-undang Negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat. "Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mestilah menghormati keputusan yang dibuat," katanya. Najib juga berkata kerajaan negeri Selangor, Mais dan Jais yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan semula kitab Bible tersebut atau sebaliknya. "Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain. "Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan juga kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam," katanya dalam kenyataan itu. Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988. Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

Angkasa aktif mempromosi penubuhan koperasi masjid

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini mengukuhkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dalam usaha mempromosi penubuhan koperasi kariah masjid di seluruh negara. Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata justeru itu Majlis Agama Islam perlu bertindak efektif dalam mengenalpasti sumber ekonomi yang boleh dimajukan di kawasan kariah masjid mereka termasuk tanah wakaf untuk faedah penduduk setempat. "Majlis Agama Islam lebih dekat dengan kariah masjid, jadi maklumat lebih mudah disampaikan dan Angkasa sedia menyalur khidmat nasihat dan mengadakan program bimbingan kepada jawatankuasa masjid yang berminat menubuhkan koperasi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Pendidikan Zakat dalam Ekonomi Koperasi di sini hari Sabtu. Katanya Majlis Agama Islam perlu menjadi pemudah cara dalam melihat peluang ekonomi berimpak tinggi yang boleh diterokai dan penyertaan koperasi itu nanti tidak terhad kepada jawatankuasa masjid malah anggota masyarakat yang mampu menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing. "Dengan ini mana-mana anggota masyarakat boleh terlibat dalam koperasi, tidak perlu bebankan 100 peratus kepada kariah masjid kerana keutamaan mereka adalah aktiviti agama," katanya. Abdul Fattah berkata terdapat 6,302 kariah masjid di seluruh negara dengan 230 daripadanya telah menubuhkan koperasi dan Angkasa menyasar mewujudkan 800 lagi pertubuhan sedemikan menjelang akhir tahun ini. Beliau berkata antara aktiviti perniagaan yang boleh diceburi ialah perkhidmatan tuisyen, inap desa, katering, agen pelancongan, perusahaan dobi dan kedai runcit. Dalam perkembangan lain beliau berkata pusat dialisis milik Angkasa akan dibuka di Kepala Batas sebelum akhir tahun ini. Katanya pusat yang mempunyai tujuh mesin dialisis dengan kos RM1 juta itu sebenarnya telah siap sepenuhnya di Bayan Baru tahun lepas tetapi tidak mendapat lesen operasi pada saat akhir berikutan masalah pengezonan. "Di kawasan itu telah terdapat pusat dialisis lain jadi kita terpaksa pindahkannya ke Kepala Batas," katanya. A

KKMM nafi tidak bertindak terhadap penyebar fitnah

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan bahawa ia tidak bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah yang memburuk-burukkan kerajaan, institusi raja dan kesucian agama Islam terutama dalam laman sosial. Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, malah pihaknya sudah mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut akta-akta yang ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. "Malah melalui agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut melakukan tindakan yang sama terhadap mereka yang bersalah", katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Komuniti 1Malaysia dan Unit Komunikasi Rakan IT Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis berkenaan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman, ADUN Selising, Zulkifli Ali dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Ramly Yusoff. Johari berkata siasatan yang dilakukan agensi berkaitan akan dilanjutkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun beliau mengakui bukan mudah untuk pihaknya mengambil tindakan segera terhadap sesuatu dakwaan dan fitnah kerana ia memerlukan bukti yang cukup untuk mensabitkan kesalahan itu. Mengenai Unit Komunikasi Rakan IT yang pertama ditubuhkan di Kelantan, katanya kementeriannya akan memperluaskan penubuhannya ke seluruh negara secara berperingkat. Beliau berkata unit itu, yang diterajui golongan muda, mampu menangkis sebarang bentuk dakyah yang dilemparkan pihak tertentu yang membabitkan isu-isu semasa. Katanya kementerian akan membantu penubuhan unit itu termasuk peralatan yang diperlukan supaya ia lebih berfungsi sebagai alat penyebaran maklumat yang tepat dan sahih.