Rabu, 30 April 2014

Peserta perhimpunan membantah cukai langgar syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012

Peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) mula berkumpul di lima lokasi di ibu negara dengan segelintir mereka dilihat melanggar syarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. Sekalipun polis telah berkompromi dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan secara aman dan perlu mematuhi APA 2012, tinjauan Bernama mendapati ada segelintir daripada mereka membawa kanak-kanak dan kain rentang dan perbuatan itu jelas melanggar syarat-syarat dalam APA 2012. Mereka yang terbabit dilihat mula berkumpul sejak 9.30 pagi di sekitar pusat beli belah Sogo, Masjid Negara, KLCC, Kampung Baru dan Dataran Maybank. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh dalam sidang medianya semalam memberi peringatan tegas kepada peserta perhimpunan dan pihak penganjur agar mematuhi syarat APA 2012 demi keselamatan umum setelah mereka dibenarkan untuk berhimpun secara aman Khamis. "Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, pembesar suara, kain rentang dan senjata ketika perhimpunan sedang berlangsung," katanya. Antara kain rentang yang dibawa mereka tertera perkataan "GST Cukai yang melampau satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia", "Tak nak GST" dan "TPPA makes Malaysia colony of USA" (TPPA menjadikan Malaysia tanah jajahan Amerika). Tinjauan Bernama juga mendapati keadaan lalu lintas di sekitar ibu negara masih terkawal. Setakat 11 pagi ini, jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur berkata tiada penutupan jalan dilakukan di ibu negara. Turut kelihatan beberapa anggota polis mengadakan rondaan di kawasan-kawasan strategik di ibu negara dan kawalan ketat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di lokasi perhimpunan iaitu di Dataran Merdeka.

Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pekerja- Muhyidddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan terus menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta jasa warga pekerja di negara ini terhadap kemajuan negara. Dalam kenyataan sempena Hari Pekerja esok, beliau berkata ketika ini, kadar pengangguran negara adalah antara yang terendah di dunia iaitu 3.2 peratus dan ekonomi negara dijangka berkembang antara lima dan 5.5 peratus tahun ini. Beliau berkata selain keamanan yang wujud, sokongan dan sumbangan golongan pekerja kepada usaha dan dasar kerajaan juga merupakan 'tulang belakang' kepada kemajuan negara selama ini. "Warga pekerja di negara kita amat bertuah kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Pekerja tahun ini dalam keadaan persekitaran ekonomi negara yang terus berkembang," katanya. Sempena Hari Pekerja, Muhyiddin berharap hubungan antara kerajaan dan warga pekerja serta kesatuan-kesatuan pekerja akan menjadi bertambah baik. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga pekerja yang telah tekun bekerja untuk memacu negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi. Tanpa anda semua warga pekerja yang tekun dan berdedikasi, negara kita tidak mungkin dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. "Negara sangat menghargai sumbangan saudara-saudari semua

KLIA2 selamat untuk operasi-Hishammuddin

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah selamat untuk operasi dan memenuhi semua piawaian antarabangsa yang perlu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata ini berdasarkan jaminan yang diberikan oleh badan pakar antarabangsa termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan laporan yang disediakan oleh perunding tempatan. "Kami tidak pernah berkompromi mengenai aspek keselamatan di klia2. Laporan menyatakan bukan sahaja selamat dalam semua aspek tetapi juga memenuhi piawaian antarabangsa. "Kita lihat aspek keselamatan berhubung kait dengan perjalanan penumpang, dunia tanpa sempadan dan penting bagi agensi-agensi terlibat seperti Kastam, polis, bomba, Jabatan Kerja Raya dapat bekerjasama. Kerana ini menggambarkan keupayaan negara bangsa kita," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan stesen Express Rail Link (ERL) di klia2 di sini, hari ini. Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. Terminal penerbangan tambang rendah itu dijadual dibuka pada 2 Mei sementara Air Asia akan memindahkan semua operasi dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) ke lapangan terbang baharu itu pada 9 Mei. klia2 boleh menampung sehingga 45 juta penumpang setahun. Hishammuddin berkata banyak cabaran yang perlu ditangani oleh klia2 termasuk pergerakan penumpang, perjalanan dari Lapangan Terbangsa Antarabangsa KL (KLIA) ke klia2, dan memastikan semua agensi bekerjasama. "Ini adalah projek ikonik yang kita perlu sama-sama banggakan. Jelas dari segi semua yang terlibat bahawa perjalanannya bukan mudah, namun berjaya dilaksanakan. "Semua ujian telah dijalankan tetapi saya ingin mengambil kesempatan terlebih dahulu untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan dan rakan-rakan saya dalam Kabinet yang terbabit bagi memastikan tarikh (pembukaan) yang dijadualkan menjadi kenyataan. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar esok," kata beliau. Sementara itu, Hishammuddin mengesahkan bahawa kos RM100 juta bagi landasan ERL ke klia2 sebenarnya bagi penyambungan landasan sejauh 2.2 kilometer dan bukan satu kilometer seperti dilaporkan. Beliau juga menjelaskan bahawa caj tambahan RM2 bagi perkhidmatan ERL dari KLIA ke klia2 adalah untuk tujuan penyelenggaraan dan kerja-kerja operasi. "Kita perlu membuat perancangan masa depan dan berupaya menyalurkannya kepada generasi akan datang. Oleh itu, kami mengambil kira aspek ini sekarang," kata beliau. -- BERNAMA

MH370- Laporan awal akan dikeluarkan esok- Hishammuddin

Laporan awal tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dikeluarkan Khamis, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata laporan itu adalah serupa seperti yang dikemukakan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). "Saya rasa tiada apa-apa masalah untuk mengeluarkan laporan itu. Tetapi kami telah memutuskan sebagai satu pasukan, bahawa ia akan dikeluarkan esok. "Persetujuan itu saya minta dalam perbincangan saya dengan Australia dan pihak berkepentingan lain dalam misi pencarian, saya telah membentangkan dan melaporkannya kepada Kabinet pagi ini dan saya mendapat mandat yang perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Express Rail Link (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 11 (klia2) di sini, Rabu. Komitmen kerajaan untuk mengeluarkan laporan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan berlepas ke Australia minggu depan untuk berbincang tentang fasa baharu misi mencari MH370 yang sekarang tertumpu di kawasan laut dalam dan termasuk aspek kewangan. Beliau berkata sebarang pengumuman berhubung kos operasi bagi fasa baharu juga akan dibuat minggu depan jika pihak-pihak berkaitan mencapai kata sepakat dan persetujuan mengenainya. "Tetapi kami tidak tahu tentang kosnya sehingga kami memutuskan di mana hendak memulakan pencarian, apakah aset yang akan digunakan dan siapa yang akan membekalkan aset-aset itu," katanya dan menambah tiga jawatankuasa peringkat kementerian sedang meneliti perkara itu. Dalam sidang media di Canberra pada Isnin, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata operasi mencari sekarang memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada pencarian di dasar laut membabitkan kawasan lebih luas. Beliau berkata fasa baharu membabitkan khidmat kontraktor komersial yang memiliki kepakaran tinggi dalam operasi pencarian di laut dalam dengan kosnya dianggarkan AUD60 juta (RM184 juta). Abbott berkata Australia akan akan memohon "sumbangan berpatutan" daripada negara-negara lain yang menyertai operasi mencari. Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kerajaan PAS Kelantau mahu jumpa PM bincang isu Hudud

Kerajaan Kelantan akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperjelas dua draf undang-undang persendirian tentang hukum hudud yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Disember tahun ini. Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dua draf berkenaan kini telah siap dirangka dan menunggu masa untuk dibawa kepada Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen. "Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan menemui Perdana Menteri selaku ketua kerajaan Persekutuan secara rasmi. "Setakat ini kita tunggu 'green light' (untuk bertemu Perdana Menteri) sahaja lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Negeri di sini hari ini. Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum Islam itu yang bakal mewujudkan mahkamah syariah khas yang dibarisi beberapa hakim syarie dan sivil untuk menghakimi pesalah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) itu. Turut dibentuk adalah mahkamah rayuan syariah khas yang terdiri daripada lima hakim, dua daripadanya mempunyai latar belakang undang-undang sivil. "Kita telah mempunyai senarai nama hakim-hakim berkenaan yang tidak boleh didedahkan lagi," katanya. Beliau berkata hak melantik hakim-hakim itu adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan pelantikan perlu mendapat perkenan Sultan Kelantan. Mengenai tentangan rakan sekutu mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Mohd Amar berkata PAS sama sekali tidak akan mempedulikan tentangan itu yang komited untuk terus melaksanakan hukum Allah SWT di Kelantan.

Zahid bidas kerajaan negeri pimpinan pembangkang berat sebelah

Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sebenarnya bersikap berat sebelah apabila enggan mengizinkan kawasan di negeri tadbiran mereka digazetkan sebagai kawasan perhimpunan untuk protes sesuatu isu. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun mereka (kerajaan negeri pimpinan pembangkang) dilihat bersungguh-sungguh untuk mengadakan perhimpunan namun apabila dipelawa untuk memberikan kawasan bagi tujuan itu, mereka menolak. "Kita hairan di negeri yang diperintah mereka apabila Kementerian Dalam Negeri meminta kawasan tertentu untuk digazetkan mereka sendiri menolak...ini bermakna mereka hanya boleh 'berkokok' tetapi di peringkat pelaksanaan dari segi menggazetkan kawasan di sekitar kawasan pentadbiran mereka, mereka tidak izinkan ertinya mereka 'double standard' (berat sebelah). "Sebagai contoh Stadium Shah Alam sepatutnya digazetkan sebagai tempat untuk mereka berhimpun namun ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri (Selangor)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel jenayah pemerdagangan orang di sini, Isnin. Beliau berkata Akta perhimpunan Aman 2012 merangkumi kebenaran menggazetkan kawasan tertentu sebagai lokasi perhimpunan dan kerajaan negeri pakatan pembangkang seharusnya memberikan alasan kukuh mengapa mereka enggan membenarkan kawasan di negeri pentadbiran mereka digazetkan. "Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengizinkan...mereka sepatutnya dapat memberikan jawapan konkrit bagi penolakan itu. Mereka hanya mampu bercakap di Parlimen sedangkan apabila di peringkat pelaksanaan, lain yang mereka lakukan," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan adanya perbincangan yang menyentuh hak kebebasan berhimpun dalam pertemuan dua hala antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, semalam. Sementara itu, mengulas kenyataan Obama bahawa Malaysia perlu mengamalkan kesamarataan kepada semua rakyat dan golongan minoriti bagi meningkatkan kemakmuran dan pembangunan negara, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah lama memberikan peluang tersebut kepada golongan berkenaan. "Kami (kerajaan) memberikan peluang samarata kepada bukan Islam dan saya fikir kerajaan Malaysia (agama rasminya Islam) bersikap adil terhadap (penganut) semua agama dan saya tidak fikir wujud sebarang halangan untuk mengamalkan apa juga kepercayaan dan agama. "Saya fikir sikap prejudis atau pendapat berat sebelah terhadap agama lain mesti dielakkan...kita perlu menghormati agama lain bagi memastikan orang lain menghormati agama kita," katanya.

Majlis Senator Malaysia kesal lawatan Obama dipolitikkan

Majlis Senator Malaysia (MSM) kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di negara ini baru-baru ini. Presiden MSM Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata golongan itu didapati melemparkan pelbagai tohmahan kononnya kerajaan menekan dan menghalang Obama daripada bertemu dengan pemimpin pembangkang. Katanya tuduhan itu bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi merupakan tohmahan liar dan tidak bertanggungjawab kerana tidak ada sebab bagi kerajaan berbuat demikian kepada tetamunya, apa lagi terhadap pemimpin sebuah negara kuasa besar. "Namun, MSM berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Obama yang menghormati tuan rumah negara yang dikunjunginya. Sebagai pemimpin yang pernah menetap di Indonesia serta terdedah kepada budaya timur, MSM percaya beliau sangat memahami tradisi ini," katanya dalam kenyataan di sini Rabu. MSM juga menyifatkan lawatan Obama sebagai penghormatan kepada negara dan rakyat. "MSM percaya ini disebabkan Malaysia terkenal sebagai negara yang sentiasa mengamalkan sikap dan pendekatan kesederhanaan dalam menjalin hubungan serta menangani pelbagai isu dan konflik dengan negara-negara jiran, serantau dan antarabangsa," katanya. Lawatan sulung tiga hari Obama ke Malaysia, kedua dalam tempoh 48 tahun selepas kunjungan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966, menyaksikan penerokaan pelbagai bidang termasuk perjanjian kerjasama bernilai RM6.53 bilion antara firma tempatan dengan Amerika dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Ahad, 27 April 2014

Malaysia Boleh mampu beri inspirasi kepada negara lain- Obama

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah. "Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'. "Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad. Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini. "Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia. Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri. "Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika," kata beliau. Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka. Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan - seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan - bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan. "Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat 'bekerjasama' yang saya fikir kebanyakan anda amalkan," kata beliau. Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim. Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan. Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara. Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan. "Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan," kata beliau. Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda. "Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras. "Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat," kata beliau. Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi. Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu. "Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku. Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan. YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.

Pertingatkan hubungan dikalangan golongan muda antara Amerika Syarikat dan Malaysia

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata pentadbiran beliau ingin mempertingkat hubungan antara rakyat dengan rakyat, terutama dalam kalangan golongan muda, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia. Obama berkata AS dan Malaysia kini menjalin kerjasama lebih rapat pelbagai bidang selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepakat untuk memperluas hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keselamatan dan perdagangan ketika Najib melawat Washington kira-kira empat tahun lepas. Dalam kenyataan bersama dengan Najib selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan bersempena lawatan bersejarahnya ke Malaysia, Obama berkata beliau gembira kerana kedua-dua negara kini menyusun pelbagai usaha melalui perkongsian komprehensif. Beliau berharap perkongsian Malaysia-Amerika akan berkembang ke arah mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, terutama dalam kalangan golongan muda. "Pemuda-Pemudi Amerika dan Malaysia kaya dengan potensi dan kami ingin sama-sama mempertingkat usaha membuka lebih banyak peluang kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, gender atau bahasa," katanya. Obama berkata beliau dan Najib bersetuju melanjutkan program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) untuk beberapa tahun lagi. "Syukur kerana program ini mencatat kejayaan besar dalam membawa anak muda Amerika ke Malaysia bagi mengajar Bahasa Inggeris," katanya sambil menyuarakan harapan agar golongan muda Amerika boleh berkongsi perspektif beliau yang dibesarkan di rantau Asia Tenggara. Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Obama berkata mereka bersetuju bahawa isu yang menjadi kepentingan Malaysia perlu diselesai segera bagi membolehkan satu persetujuan komprehensif dicapai. Beliau berkata mereka akan menyertai beberapa pemimpin perniagaan menandatangani tiga perjanjian perdagangan bernilai lebih US$1 bilion (RM3.2 bilion) melibatkan perdagangan dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara. Obama berkata melalui perkongsian komprehensif, Malaysia dan AS akan memperluas kerjasama bidang keselamatan dan mempertingkat keselamatan maritim serta kestabilan serantau. "Kami amat bersetuju dengan pandangan ASEAN dan Malaysia bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara aman, tanpa ugutan, dan semua negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa," katanya. Beliau berkata Amerika berharap dapat menjalin kerjasama dengan negara ini dalam isu keselamatan dan maritim apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015. Obama sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang pertama oleh presiden Amerika sejak hampir 50 tahun lepas.

Sabtu, 26 April 2014

SPRM syorkan gubal dasar larangan pengurniaan tanah dan projek kepada keluarga terdekat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar semua kerajaan negeri menggubal satu dasar melarang pengurniaan projek atau tanah kepada keluarga terdekat anggota pentadbiran. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata langkah itu penting bagi mengelak persepsi wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Kita akan mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri besar dan ketua menteri. Sebenarnya langkah ini sudahpun dimulakan. "Saya juga telah meminta pengarah-pengarah (negeri SPRM) mengambil langkah mengadakan perbincangan bersama ketua kerajaan negeri," katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti dan Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di Kuala Lumpur, Sabtu. Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina menandatangani CIP, antaranya Persatuan Belia Kristian Malaysia, Persatuan Graduan Muda dan Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia. Abu Kassim menggesa lebih ramai pihak tanpa mengira kaum tampil menyokong agenda memerangi rasuah kerana ia amat penting untuk memastikan kejayaan misi berkenaan. "Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh SPRM dalam menangani isu rasuah di negara kita akan hanya menjadi sia-sia tanpa sokongan semua pihak, apabila ada yang enggan memberikan maklumat berhubung rasuah kepada SPRM," katanya. Beliau berkata cadangan pindaan Akta SPRM 2009 yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini akan memperkukuh usaha suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah. "Antara pindaan yang disyorkan ialah aspek berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pembentukan sebuah suruhanjaya perkhidmatan khusus bagi SPRM. "Selain itu, peruntukan baharu berkaitan liabiliti korporat dan penyiasatan membabitkan kekayaan di luar kemampuan juga sedang diteliti," katanya. --BERNAMA

Malaysia boleh manfaatkan kekuatan dari pelbagai etnik yang ada-Obama

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan lebih cerah bagi generasi akan datang. Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama. "Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal daripada sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di Amerika atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman. "(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya. Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara Amerika dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu, yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Pemimpin Amerika itu menyelit beberapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka. Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirnya dengan ungkapan "Terima kasih banyak". Beliau menggunakan perkataan "bekerjasama" apabila menyentuh tentang perkongsian antara Amerika dengan Malaysia dan "boleh spirit" bagi merujuk kepada slogan "Malaysia Boleh". Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang Sabtu untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina. Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966. Mengimbau kembali lawatan Johnson ke sini, Obama berkata bekas presiden Amerika itu menulis dalam memoirnya "betapa kagumnya beliau tentang kesegaran dan minat luar biasa yang beliau lihat pada wajah rakyat di sini dan di seluruh Asia Tenggara". "Dan saya juga begitu ingin melihat semangat 'boleh' yang sama itu esok, apabila saya berpeluang berbicara dengan anak muda dari seluruh Asia Tenggara di Universiti Malaya," kata Obama pada majlis itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Sambil menoleh kepada Najib, beliau berkata: "Tuan Perdana Menteri, saya amat berharap kita boleh bekerjasama dan saya berikrar akan menyuntik semangat yang sama ke dalam usaha kita. "Malam ini, saya hanya ingin menyampaikan ucapan terima kasih saya atas kemurahan hati yang anda pamerkan kepada kami hari ini -- kemurahan hati yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada keluarga saya sejak pemilihan saya (sebagai presiden)." Obama menceritakan kepada hadirin satu episod dalam kehidupannya berkaitan kesukaan ibunya terhadap batik, kain yang tidak asing kepada rakyat Malaysia. Beliau bercerita tentang pameran batik yang memperagakan sebahagian daripada koleksi batik milik ibunya yang dianjurkan Muzium Keseniaan Islam Malaysia dua tahun lepas. "Ibu saya memang sukakan batik. Saya masih ingat ketika masih kecil dan membesar di Jakarta, beliau akan pulang ke rumah dari pasar dengan tangannya penuh menjinjing kain batik dan membentang kain itu di dalam rumah untuk menghayatinya sebelum dijadikan pakaian," kata Obama. "Oleh kerana saya masih kecil ketika itu, saya tidaklah seteruja seperti beliau," tambah beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin. Menurut Obama, bagi ibunya, batik bukan hanya sekadar satu fesyen, tetapi merupakan hasil usaha dan punca rezeki bagi para ibu dan wanita muda yang begitu tekun menghasilkannya. "Ia adalah jendela untuk menjengah ke dalam kehidupan orang lain -- budaya dan tradisi mereka serta harapan mereka. Dan ia begitu bermakna serta menjadi sebahagian daripada semangat beliau. "Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana meraikan sebahagian daripada kehidupan ibu saya itu. Terima kasih semua," katanya. Obama juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas layanan luar biasa yang ditunjukkan kepada beliau dan delegasinya. "Bagi pihak negara saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang diberi kepada kami hari ini," katanya sambil menyuarakan kegembirannya kerana dapat melakukan lawatan bersejarah ini. --BERNAMA

Jumaat, 25 April 2014

BN perlu bertanding PKR Bukit Gelugor- Tun M

Barisan Nasional (BN) perlu bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang walaupun peluang untuk menang tipis, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata soal turun bertanding perlu menjadi keutamaan, bukan faktor menang atau kalah. "Di PRK Sungai Limau (Kedah) lepas macam itu juga, ramai yang kata BN tak perlu letak calon sebab PAS tetap akan menang, tetapi BN tetap bertanding. "Soal utama adalah pertandingan untuk menunjukkan sekurang-kurangnya ada orang yang tidak bersetuju walaupun kalah," katanya selepas melancarkan buku 'Saya, SPR dan Pilihan Raya' tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar di sini hari ini. Dr Mahathir mengulas pandangan beberapa pihak yang menyifatkan BN pasti tewas pada PRK Bukit Gelugor, dan oleh itu tidak perlu meletakkan calon. Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP pada 17 April lepas akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam. SPR menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dengan penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal dijadualkan 21 Mei.

MH370- Kerajaan akan keluarkan laporan awal minggu depan-PM

Laporan awal berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mungkin dikeluarkan minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Komitmen kerajaan untuk pencarian MH370 yang tidak henti-henti itu, saya juga menggunakan satu pasukan pakar siasatan dalaman dan dapatan awal mungkin dikeluarkan minggu depan," kata Najib dalam akaun Facebooknya hari ini. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara laut China selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya, di sepanjang dua koridor - koridor selatan yang merentas dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200, bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Awal bulan ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjanji bahawa sebarang data yang akan dijumpai selepas ini daripada kotak hitam pesawat itu akan dimaklumkan kepada orang ramai. Pada Rabu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata mereka telah menghantar laporan awal berhubung insiden itu kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah badan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi penerbangan global. Sementara itu, dalam temu bual eksklusif dengan pakar penerbangan stesen penyiaran CNN Richard Quest, Najib berkata tiada apa yang memalukan Malaysia dalam laporan itu. "Saya hanya mahu pasukan ini melaluinya namun atas nama ketelusan kami akan mengeluarkan laporan itu minggu depan, kami akan mengeluarkannya," katanya. Ketika ditanya berhubung apa yang membuatkan beliau begitu yakin dengan data Inmarsat, Najib berkata: "Apabila saya bertemu pasukan (mencari dan menyelamat) nak tahu, mereka merupakan pakar-pakar terpenting dalam industri penerbangan, seperti yang anda tahu, mereka memang pakar. "Saya tanya mereka, kamu yakin. Saya tanya mereka berulang kali, kamu yakin dan jawapannya " kami pasti seperti apa yang kami yakin"," katanya. Najib berkata insiden MH370 adalah berbeza daripada insiden Air France dan Silk Air. "Ini benar-benar tidak pernah berlaku sebelum ini. Apa yang kami ada untuk kami? Apakah buktinya? Buktinya semata-mata bersandarkan kepada (bunyi) ping, yang kami analisis. Itu sahaja yang kami ada," katanya. -- BERNAMA

Perhimpunan Agung Umno ditetapkan 28 Okt hingga 1 Nov

Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung dari 28 Okt hingga 1 Nov, kata Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Najib berkata perhimpunan lima hari itu bermula dengan taklimat presiden pada 28 Okt, diikuti perhimpunan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 29 Okt. "Perasmian Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 30 Okt dan berakhir pada 1 Nov," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini hari ini. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota Majlis Tertinggi Umno yang lain. Najib berkata anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi forum antarabangsa yang akan diadakan sempena perhimpunan agung parti tonggak Barisan Nasional(BN) itu. Beliau juga mengumumkan 11 Mei sebagai tarikh sambutan ulang tahun Umno ke-68, bermula dengan majlis tahlil, solat Maghrib, bacaan Yasin dan doa kesyukuran, diikuti majlis menaikkan bendera Umno dan ucapan presiden parti. Dalam perkembangan lain, Najib berkata sidang panel rayuan Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Umno menolak rayuan dan mengekalkan hukuman digantung keanggotaan selama dua penggal bagi Ketua Umno Bahagian Bakri Datuk Saipolbahri Suib dan anggota jawatankuasa bahagian sama, Uzir Sahid. "Rayuan Ketua Penerangan Bahagian Bakri Yaacob Jamian dan Naib Ketua Wanita Bahagian Bakri Safiah Siwon pula diterima dan diberikan amaran sebagai hukuman," katanya. Kesemua mereka terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti tahun lalu. Sementara itu, Najib berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno memutuskan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepong dikekalkan kepada Datuk Norizan Ali selepas meneliti bantahan Umno Bahagian itu. Beliau turut berkata BN belum memutuskan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, Pulau Pinang. Ditanya sama ada BN akan meletakkan calon MCA untuk kerusi itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata: "Belum fikir lagi sebab terlalu awal. Kita akan bincang dengan presiden MCA". Secara tradisinya, kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik MCA. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK kecil itu diadakan pada 25 Mei selepas penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal ialah 21 Mei. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lepas. Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN, Teh Beng Yeam.

Selasa, 22 April 2014

Lebih 400,000 pelajar belum melunaskan pinjaman PTPTN

Seramai 425,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum melunaskan pinjaman mereka dengan jumlah tunggakan hampir RM3.5 bilion, sehingga Mac tahun ini. Ketua Eksekutifnya Agos Cholan berkata PTPTN memandang serius jumlah tunggakan itu dengan pelbagai langkah dilakukan bagi memastikan kutipan perbadanan itu terus meningkat. "Perlu diingat PTPTN akan menyenaraihitam nama peminjam sekiranya tiada bayaran diterima dalam tempoh 20 bulan. "Kita mengambil langkah mesra, bukan tak bayar sebulan terus blacklist," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Sahabat PTPTN Peringkat Nasional di sini hari Selasa. Mengulas lanjut, Agos berkata setakat ini, 130,000 peminjam disenaraihitamkan, namun 45,000 daripada jumlah itu telah tampil untuk berunding dengan PTPTN supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai itu. Dalam pada itu, beliau berkata PTPTN menyasarkan peningkatan kepada 23 peratus dari segi jumlah kutipan bayaran balik pinjaman melalui kaedah potongan gaji tahun ini. "Kami menyasarkan peningkatan kutipan bayaran balik lima peratus tahun ini berbanding tahun lepas, dan kami berharap peminjam yang membuat pemotongan gaji pula meningkat daripada 12 peratus menjadi 23 peratus," katanya.BERNAMA

Pemandu bas ekspres harus menjalani ujian air kencing setiap hari

Semua pemandu bas ekspres akan menjalani ujian air kencing di semua terminal bas pada setiap hari mulai hari ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi. "Jika dahulu kita buat hanya pada setiap musim perayaan tetapi kini kita akan buat setiap hari untuk memastikan tahap kesihatan pemandu bas sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kemalangan bas di sini hari Selasa. Beliau berkata operasi yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu ini akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Jelasnya lesen memandu akan ditahan serta-merta sekiranya pemandu tersebut gagal (positif) dalam ujian air kencing itu. Selain dari itu, katanya pihak JPJ juga akan membuat operasi penyamaran sebagai penumpang setiap hari bermula hari ini. "Anggota JPJ ini akan menyamar dan merekodkan kesalahan-kesalahan para pemandu sepanjang perjalanan, dan sekiranya terdapat kesalahan saman akan dikeluarkan serta-merta sebaik bas tersebut sampai ke destinasi," katanya. Katanya, pihak JPJ juga akan membuat pemeriksaan ke atas bas ekspres dan persiaran di hentian rehat dan rawat bagi memastikan setiap bas mempunyai dua orang pemandu. "Mengikut peraturan bas yang melakukan perjalanan lebih dari 300km mesti mempunyai pemandu kedua dan ini akan dikuatkuasakan mengikut ketetapan di bawah Kaedah 10B Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan arahan ini akan berkuatkuasa serta-merta," tegasnya. Timbalan Menteri itu berkata arahan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk meletakkan nombor kenderaan bas dan nombor telefon untuk membuat aduan pada setiap tempat duduk di bas mulai 1 Julai. "Jadi sekiranya penumpang ini mendapati pemandu bas tersebut memandu laju mereka boleh terus membuat khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui nombor tersebut," katanya. Selain itu, katanya, pemasangan sistem pengesan global (GPS) akan diwajibkan pada setiap bas ekspres dan bas persiaran dalam masa dua bulan ini. "Dengan sistem ini, setiap bas akan dapat dipantau oleh syarikat masing-masing sama ada bas tersebut melanggar had kelajuan, tidak mengikut laluan yang ditetapkan dan pihak SPAD juga dapat memantau jika sistemnya diganggu," katanya. Selain itu, kata Abdul Aziz kerajaan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Institut Memandu akan memperkenalkan kurikulum yang baru untuk pemandu mulai 1 Jun. Dalam konteks ini, penggubalan ini mengambil kira perkembangan dalam industri pemotoran, sistem jalan raya dan tingkah laku yang pelbagai. "Ciri kurikulum yang baru termasuk meningkatkan kemahiran, penekanan konsep pemanduan berhemah dan budaya mengutamakan keselamatan sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju," katanya. -- BERNAMA

Ahad, 20 April 2014

Dua Menteri Besar bakal diganti?..

Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mendakwa pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal membuat penukaran dua menteri besar tidak lama lagi. Bagaimanapun, Awang yang berkata demikian melalui kolumnya dalam akhbar milik Umno itu tidak menyatakan dua negeri yang akan menyaksikan pertukaran menteri besar. "Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai. "Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus," katanya dalam ruangan bisik-bisik Awang Selamat, edisi mingguan Utusan Malaysia hari ini. Kolumnis Utusan itu percaya Najib juga sudah mempunyai senarai pengganti calon menteri besar berkenaan. Jika benar, persoalan lebih menarik ialah siapa pengganti mereka? Beberapa nama calon yang dilihat berwibawa sudah pun dikenal pasti. "Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," katanya. Awang berkata, pertukaran dalam pentadbiran negeri wajar dilakukan dan ia tidak perlu dilakukan hanya semasa berlaku pilihan raya umum atau negeri semata-mata. "Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu," katanya. Kolumnis itu juga berharap peralihan pentadbiran tidak hanya ditumpukan kepada jawatan menteri besar namun jawatan dalam parti. “Bukan sahaja kepimpinan negeri, ramai yang menyimpan harapan agar perdana menteri yang juga presiden Umno menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti," katanya. petikan- MalaysiaInsider

Sabtu, 19 April 2014

Lebih 10,000 beri penghormatan terakhir pada mendiang Karpal Singh

Lebih 10 ribu orang membanjiri Dewan Sri Pinang di sini hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh yang maut dalam kemalangan jalan raya Khamis lepas. Suasana sedih dan suram menyelubungi perkarangan dewan itu yang dihadiri segenap lapisan masyarakat seawal pukul 8 pagi bagi memberi penghormatan kepada mendiang yang lebih dikenali sebagai 'Tiger of Jelutong'. Upacara penghormatan itu dimulakan oleh orang awam pada 9 pagi, diikuti kepimpinan kerajaan negeri, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, wakil-wakil parti politik, kumpulan profesional dan persatuan agama. Turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta barisan exco kerajaan negeri dan kepimpinan DAP. Upacara sembahyang agama Sikh oleh anggota keluarga diadakan di Dewan Sri Pinang sebelum mayat Karpal Singh yang diletakkan di dalam keranda yang diselimuti hamparan bergambar harimau diusung oleh anak-anak dan keluarga terdekat mendiang keluar dari dewan itu. Perarakan membawa jasad mendiang Karpal Singh menggunakan van dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung pada pukul 11.30 pagi itu kemudian membuat tiga 'persinggahan bermakna' bagi membolehkan sesi fotografi dijalankan. Tiga persinggahan itu ialah kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier's Institution, sekolah lama Karpal Singh. Upacara pengebumian anggota Parlimen Bukit Gelugor itu diberi penghormatan negeri dan bendera negeri Pulau Pinang dikibar setengah tiang bermula tarikh kematiannya hingga hari persemadian. Terdahulu, kediaman Karpal Singh di 144A, Jalan Utama di sini, dipenuhi saudara mara, sahabat handai, kenalan dan orang awam serta pihak media seawal 6 pagi. Upacara sembahyang agama Sikh secara tertutup oleh anggota keluarga berlangsung pada kira-kira 7 pagi sebelum mayat mendiang dibawa keluar setengah jam kemudian untuk dibawa ke Dewan Sri Pinang dengan anggota keluarga terdekat. Karpal Singh maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung, di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan di laluan utara itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius. -- BERNAMA

Helipad akan dibina kawasan pendalaman Kemaman- Shabery Cheek

Beberapa kawasan pendaratan helikopter (helipad) akan dibina di pedalaman Kemaman yang sering dilanda banjir bagi memudahkan penyaluran bantuan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata sejumlah peruntukan sudah diterima bagi tujuan itu. "Kita sudah melihat beberapa lokasi strategik untuk tujuan itu," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan berbentuk televisyen, peti sejuk, dapur dan tilam serta bantal bernilai RM5,000 kepada 331 mangsa banjir Kampung Geliga Permai. Menurut Ahmad Shabery antara kawasan yang dipertimbang untuk pembinaan helipad itu ialah Air Putih, Pasir Gajah dan Seberang Tayor yang teruk terjejas ketika bah awal Disember tahun lepas. Dalam bencana itu, Felda Seberang Tayor paling teruk terjejas apabila kesemua 132 peneroka di kawasan berkenaan kerugian harta benda selepas kediaman mereka dinaiki air hingga ke bumbung. Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata sebuah pangkalan hadapan dan pusat pemindahan baharu juga akan dibina memandangkan beberapa pusat pemindahan mangsa banjir turut tenggelam dalam kejadian itu. Kemaman antara daerah paling teruk terjejas dalam bencana hujung tahun lepas yang turut menenggelamkan Kuantan, Pahang. Di Terengganu daripada 19,205 keluarga, kira-kira 14,000 adalah di Kemaman. Bantuan banjir sumbangan kerajaan pusat itu diagih kepada semua mangsa banjir secara berperingkat sehingga akhir bulan ini. Mengenai penyaluran bantuan yang agak lewat, Ahmad Shabery berkata perkara itu disebabkan ada beberapa masalah termasuk masalah stok barangan elektrik serta logistik.BERNAMA

MH370- Pencarian diteruskan dengan kemungkinan penambahan aset

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi jaminan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan diteruskan, walaupun terdapat rancangan operasi berkenaan akan dibincang dan dibuat penilaian semula.

Katanya pasukan operasi mencari di bawah seliaan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan Australia dan pihak terbabit, bagaimanapun menimbang pendakatan lain, termasuk meluaskan skop pencarian dan menggunakan aset lain yang mungkin relevan dengan pencarian itu yang memasuki hari ke-43 Sabtu.

Selain terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja mencari di dalam air, pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan menambah penggunaan aset komersial dalam operasi itu, katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu "dalam masa beberapa hari lagi".

"Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam air autonomi) untuk membantu usaha mencari," kata Hishammuddin.

-- BERNAMA

Jumaat, 18 April 2014

MH370- Pencarian belum menemui bukti kukuh

Masih tiada lagi bukti kukuh tentang pesawat Malaysia Airlines MH370 ditemui daripada empat misi mencari dalam air kenderaan dalam air autonomi (AUV), Bluefin-21, di selatan Lautan Hindi sejak Isnin. Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) berkata, AUV itu setakat ini telah mencari kira-kira 110 kilometer persegi. Ia telah dihantar untuk misi kelimanya hari ini, menurut agensi itu dalam kenyataan di sini pada Jumaat. Bluefin-21 yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan dikesan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu. Ia menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan. Menurut JACC, operasi mencari pada Jumaat yang masuk hari ke-42, akan melibatkan 11 pesawat tentera dan 12 kapal dengan kawasan pencarian visual meliputi kira-kira 51,870 km persegi, membabitkan tiga kawasan. Berdasarkan ramalan cuaca hari ini, operasi akan berdepan dengan cabaran angin timur selatan dan hujan bertaburan di beberapa tempat, menurut agensi itu. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Selepas analisis berdasarkan data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Pengamal media mesti bersifat adil dan mempunyai fakta yang cukup-TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengamal media di negara ini supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan kepentingan nasional dan tanah air. Beliau berkata ini kerana kewartawanan bertanggungjawab adalah yang membina, menjaga dan memelihara apa yang telah dibina sedangkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab adalah sebaliknya. "Menjadi responsif kepada kepentingan nasional dan memajukannya adalah sebahagian daripada karakter media global. "Apatah lagi dengan peledakan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, dunia jurnalisme yang menyaksikan kemunculan akhbar-akhbar dalam talian, penyebaran berita melalui twitter juga facebook, maka cabaran mempertahankan agenda nasional sesungguhnya menjadi amat besar," katanya ketika berucap merasmikan Malam Wartawan Malaysia 2014 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Petronas, di sini, malam ini. Muhyiddin berkata dalam perjalanan membina sebuah negara bangsa yang bersatu-padu, stabil, aman, makmur dan berjaya, peranan pengamal media yang bertanggungjawab adalah sangat penting. "Biar secanggih mana teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik di media cetak, elektronik mahupun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab sebagai wartawan tidak pernah berubah," katanya. Muhyiddin berkata arus permodenan tidak boleh menyanggah prinsip asas pemberitaan yang hakikatnya bersifat universal serta terpakai dahulu, kini dan selama-lamanya. "Berita yang ditulis tidak boleh semberono, mesti berpaksikan fakta dan paling penting adil kepada subjek yang ditulis. Kesungguhan untuk memartabatkan profesion kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat, jujur dan sahih harus diberi tumpuan dan penekanan yang jitu. "Tuntutan itu sejajar dengan peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya yang mereka ingin sampaikan," katanya. Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya tidak menjadi wartawan 'kering minda' atau yang popular kerana menulis berita tidak benar, mengejar sensasi dan didorong oleh agenda tertentu yang disebar pula kepada pembaca. Beliau berkata peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat malah turut terlibat dalam isu pendidikan, perkembangan ekonomi negara, politik semasa, kebudayaan dan hiburan. "Tanggungjawab media dalam menyampaikan informasi, mendidik, membentuk jati diri masyarakat dan seterusnya menjadi ejen transformasi minda dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk sesebuah masyarakat itu yang lebih bermoral, bermaruah dan berdaya saing, merupakan prinsip yang harus dipegang teguh oleh pengamal media," kata Muhyiddin. Bagaimanapun, katanya apa yang melegakan dan membanggakan beliau adalah komuniti wartawan di negara ini, terutama dalam kalangan media arus perdana, mempunyai komitmen jitu untuk menjadikan prinsip kewartawanan bertanggungjawab sebagai pegangan mereka. "Hal ini dapat kita saksikan dalam laporan mereka sewaktu kita menghadapi tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang masih kekal misteri, walaupun (operasi mencari) sudah memasuki hari yang ke-42 hari ini. "Apabila kita meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam pelaporan MH370, kita akan dapati bahawa apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam jurnalisme adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan yang jelas tentang standard tersebut," katanya. Muhyiddin berkata laporan media mengenai MH370 juga tidak terkecuali daripada elemen patriotisme oleh wartawan negara yang terlibat dalam pencarian pesawat tersebut. Semua wartawan daripada organisasi media yang berbeza itu diikat dengan unsur psikologi yang sama serta bersaing memaparkan kebenaran dengan objektif menyerlahkan aspirasi nasional masing-masing, katanya. "Berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh media-media dari pelbagai negara dalam melaporkan kehilangan MH370, kita harus sedar bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang bersifat global. "Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan momokan kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara termasuk di Malaysia," katanya. Muhyiddin turut memuji dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kerajaan kepada semua wartawan dan media tempatan yang terlibat dalam melaporkan mengenai kehilangan MH370. "Anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Adalah jelas bahawa kita bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada audien dalam bentuk menyampaikan maklumat serta berjuang memaparkan kebenaran dengan suatu kesedaran nasional," katanya.

Mahkamah rayuan putuskan adalah selamat untuk mensabitkan tuduhan liwat terhadap Anwar

Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan. Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar). Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan. Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media Jumaat, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan. "Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan. Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar. Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara. Dua lagi hakim yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh. Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya. "Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu. Mereka berkata mahkamah telah meneliti keterangan Mohd Saiful Bukhari dan bersetuju penuh dengan hakim mahkamah tinggi apabila beliau mendapati bahawa tidak sukar untuk memahami kenapa Mohd Saiful berbuat begitu disebalik menegaskan beliau tidak merelakan perbuatan Anwar itu. Panel berkenaan berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung kredibiliti Mohd Saiful dan tiada yang tidak munasabah dalam keterangannya. Mereka juga menyatakan kelewatan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat tidak memudaratkan kes pihak pendakwaan selagi terdapat penjelasan yang kukuh dan boleh diterima berhubung kelewatan itu. Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas kejadian liwat itu. Mengenai isu pengesahan identiti "Lelaki Y", mahkamah memutuskan keterangan ahli kimia Nor Aidora Saedon dari Jabatan Kimia Malaysia adalah amat penting. Ketiga-tiga hakim berkata Nor Aidora membangunkan profil DNA "Lelaki Y" daripada eksibit iaitu sebatang berus gigi berwarna putih, sehelai tuala kecil "Good Morning" dan satu botol plastik air mineral yang telah kosong yang diperolehi dari sel lokap yang Anwar merupakan satu-satunya penghuni di situ. Selepas menjalankan analisisnya, Nor Aidora mendapati "Lelaki Y" adalah penyumbang yang sama dengan DNA diambil daripada eksibit ditemui di lokap itu dan beliau merumuskan penyumbang DNA dan "Lelaki Y" adalah daripada sumber sama. Panel itu menegaskan undang-undang akan gagal melindungi masyarakat sekiranya mahkamah menerima kemungkinan-kemungkinan andaian yang akan merencatkan pelaksanaan undang-undang dengan adil. Anwar dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu. Beliau diwakili barisan peguam iaitu mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur manakala pihak pendakwa raya diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.BERNAMA

Khamis, 17 April 2014

Islam tidak galak umatnya ucap "Rest in Peace" (RIP)

Umat Islam tidak digalak untuk mengucapkan ucapan "Rest in Peace (RIP)" kepada seseorang bukan Islam kerana ianya berunsur keagamaan yang diambil daripada Kristian, kata Majlis Fatwa Kebangsaan. Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka; www.e-fatwa.gov.my, Majlis Fatwa Kebangsaan berkata umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk menyampaikan rasa simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut bukan Islam selagi ia tidak memberi implikasi keagamaan. "Seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam. "Bagaimanapun, Islam tidak menghalang mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti 'Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda' atau 'kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda," kata kenyataan itu. Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi menerima banyak ucapan "RIP" daripada pengguna laman sosial. Kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki Karpal berlanggar dengan sebuah lori seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan. Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian. Berhubung ucapan 'Rest in peace', Majlis Fatwa Kebangsaan berkata:"Ia juga mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin; "May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace." Katanya, perkataan itu adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18, dan turut diukir di batu nisan si mati. "Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan," katanya. Kenyataan itu turut berkata, ucapan berkenaan turut bergantung kepada niat seseorang yang memberikan ucapan tersebut. "Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang. "Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus," katanya.

Karpal Singh banyak menyumbang untuk negara- Tun M

Walaupun berpegang pada ideologi politik yang berbeza, bekas Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, yang maut dalam kemalangan, banyak menyumbang kepada negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar). Beliau berkata Karpal sering mengkritik kerajaan apabila beliau melihat sesuatu perkara yang tidak betul. "Sebahagian daripada kritikannya mungkin tidak betul tetapi ada juga yang mempunyai asas. Kita memerlukan pembangkang yang bercakap munasabah," katanya ketika mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang peguam tersebut. Dalam kemalangan pukul 1.10 pagi tadi, Karpal, 73, maut, apabila kenderaan serba guna jenis Toyota Alphard yang dinaikinya bersama empat orang lain melanggar sebuah lori lima tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Karpal dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang ketika kejadian itu berlaku. Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 40-an. – Bernama

MH370-Pendekatan pencarian dilihat semula jika masih gagal mencari bukti

Pendekatan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang tertumpu di selatan Lautan Hindi mungkin akan dilihat semula jika maklumat hasil pencarian yang kini memasuki hari ke-41 hari ini tidak mencapai matlamatnya, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Australia Tony Abbott dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi. "Abbott menyatakan jika dalam masa yang ditentukan bukan dari segi hari tapi dari segi apa-apa yang maklumat kami terima kalau itu sudah tidak sampai matlamat, satu pengumuman akan dibuat di mana mungkin kita perlu kaji dan timbangkan semula pendekatan yang digunakan. "...ini tidak bermakna kami akan hentikan operasi mencari tapi ia mengenai bagaimana pencarian dilakukan, mungkin juga di kawasan lain," katanya dalam sidang media selepas majlis penghargaan sempena penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata selain membuktikan sebarang tindakan berhubung misi mencari pesawat itu tidak dibuat tanpa melibatkan perbincangan bersama, perbualan Najib dengan Abbott itu juga menunjukkan hubungan istimewa antara kedua-dua pemimpin. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan 26 negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Pencarian di selatan Lautan Hindi bermula 20 Mac lalu iaitu hari ke-13 usaha pencarian antarabangsa ke atas MH370 selepas Abbott mengumumkan imej satelit negara itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat berkenaan. Dalam perkembangan sama Hishammuddin berkata, misi mencari dan siasatan punca kehilangan pesawat MH370 sama sekali tidak dipengaruhi oleh pelbagai spekulasi yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab. "Kami tidak akan melayan perkara yang boleh menjejaskan siasatan dan misi pencarian, malah percaya setiap spekulasi akan terjawab apabila jawatankuasa siasatan dan panel inkuiri yang dibentuk selesai melakukan siasatan," katanya. Hishammuddin berkata cadangan untuk menubuhkan sebuah panel penyiasatan antarabangsa yang sepatutnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri semalam terpaksa ditangguhkan hingga ke mesyuarat Kabinet akan datang. "Kami tidak sempat mengedarkan kertas itu kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan komen. Jadi saya akan membentangkan kertas itu lagi kepada Kabinet dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai status panel pakar sehingga Kabinet membuat keputusan," katanya. Hishammuddin mengulangi adalah tidak adil bagi kerajaan Malaysia untuk hanya memberi tumpuan kepada keluarga warga China dalam insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pesawat MH370 yang hilang juga melibatkan 14 warga negara lain dalam pesawat itu termasuk rakyat Malaysia. Beliau juga berkata buat masa ini tidak perlu bagi kerajaan untuk membeli peralatan baharu sepenunhnya seperti satelit dengan radar, hanya kerana tragedi MH370, tetapi yang paling penting ialah untuk menaik taraf semua teknologi yang dimiliki. "Saya sendiri mendengar taklimat...dan DSA 2014 memberikan peluang bagi saya untuk melihat kekuatan dan kelemahan kita. Tetapi akhirnya kita perlu menyerahkan kepada tentera udara dan pengguna tentang apa yang terbaik," katanya. – Bernama,

Rabu, 16 April 2014

MH370- Hishammuddin menghargai laporan media tempatan

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menghargai media Malaysia bagi pelaporan berita secara bertanggungjawab sejak pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada 8 Mac. Beliau berkata (daripada) tragedi itu menunjukkan perlunya memastikan pelaporan berita tidak dibuat secara sembarangan dalam usaha memberi maklumat kepada awam tentang insiden berkenaan. "Ini amat penting kerana pelaporan berita secara sembarangan, terutama perkara-perkara berkaitan keselamatan negara dan sensitif, boleh membawa kepada spekulasi. "Ia akan membawa kepada kekeliruan dan tidak dipercayai dalam kalangan orang ramai, sering kali dengan akibat yang tidak dapat dipulihkan. Begitu besar kuasa yang ada pada media," katanya. Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Abdul Rahim Bakri pada majlis makan tengah hari menghargai peranan media sempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Rabu. DSA 2014, yang akan berlangsung sehingga Khamis merupakan pameran teknologi dan peralatan statik pertahanan, serta bagi penyelesaian keselamatan generik dan sistem persenjataan terkini untuk memenuhi keperluan pasukan keselamatan negara dan negara rantau Asia Pasifik. Mengakui media amat berkuasa, Hishammuddin dipetik sebagai berkata kuasa itu datang dengan tanggungjawab besar. "Anda (media) amat penting dalam memaparkan kedudukan dan kemajuan Malaysia secara positif di mata dunia, yang juga boleh dilihat dalam siri pameran DSA," katanya. Berhubung pameran itu, Hishammuddin berkata sokongan diberikan media Malaysia sekali lagi meletakkan negara ini secara positif dalam peta dunia. "Tidak dinafikan, mata dunia kini bertumpu kepada kita, dan kita, sebagai sebuah negara, memang memerlukan kekuatan dan sokongan media untuk membolehkan Malaysia menyinar sebagai penyuluh kepada seluruh dunia," katanya. --BERNAMA

FB 1 Juta rakyat Malaysia sokong Shabery Cheek berminat jahat- Shabery Cheek

Akaun Facebook '1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek' adalah berniat jahat dan langsung tiada kena mengena dengan saya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu. Anggota Parlimen Kemaman itu berkata beliau juga akan membuat laporan polis tentang perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan akan meminta sendiri kepada pihak Facebook untuk memadam akaun tersebut. "Saya terkejut bila nama saya digunakan untuk buka akaun ini. Sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang perkara ini sebelum ini, daripada sana (akaun Facebook terlibat) membuat posting yang tidak sewajarnya dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini Sabtu malam. Beliau terdahulu menghadiri Malam Aspirasi Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Bengkel Pemukiman Transformasi KKMM. Akaun Facebook dengan nama '1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek' membuat pelbagai posting yang menghina bangsa dan agama malah turut menghina institusi raja di negara ini dan Polis Diraja Malaysia. Akaun itu didapati dimulakan pada 29 Mei tahun lepas dan sehingga berita ini ditulis akaun yang didakwa dikendalikan pentadbir bernama 'Amran Pekida' itu telah memperoleh 2,328 likes. Ahmad Shabery berkata perbuatan menggunakan nama orang lain dalam akaun Facebook sememangnya telah banyak berlaku, justeru beliau meminta kepada orang ramai tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan posting dalam akaun seperti itu dan tidak tuduh-menuduh sehingga perkara tersebut dapat disiasat. "Sebab itu (kita tekankan) konsep klik dengan bijak (bagi) mendidik orang ramai supaya bijaksana membuat sebarang penilaian tentang apa mereka perolehi dalam mana-mana perkara dalam talian," katanya. Diminta mengulas mengenai dakwaan SKMM tidak tegas dalam membendung perkara seperti ini, beliau berkata Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 14 juta akaun Facebook yang merupakan antara jumlah tertinggi pemilikan akaun itu dalam sesebuah negara dan akaun itu ditadbir oleh pihak Facebook sendiri bukan SKMM. "Oleh kerana kita amalkan sistem terbuka kita tidak boleh sekat Facebook, nak marah (akaun tertentu dalam) Facebook kita tutup semua itu tidak wajar atau membuat pendaftaran tertentu juga tidak wajar...ini tidak boleh dibuat dan boleh beri kesan negatif pada kita," katanya. -- BERNAMA

Tun M cadang tambak Johor diroboh untuk bina jambatan persahabatan Malaysia SIngapura

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan pembinaan 'Jambatan Persahabatan' yang dicadangkan kerajaan. Beliau berkata Tambak Johor menyebabkan pelbagai masalah terutama yang melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor Baharu. "Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor. "Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas teruk di Johor Baharu kerana jambatan tidak dibina," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Leaders in Today's Society: Issues, Challenges and Way Forward' di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Rabu. Dr Mahathir berharap kerajaan tidak akan membina jambatan di tempat lain dan kemudian meninggalkan Tambak Johor di tempatnya kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Johor. "Ia (Tambak Johor) perlu diroboh, jika tidak tak adalah persahabatan," katanya. Dr Mahathir melahirkan kekecewaan beliau berhubung pembatalan projek pembinaan 'Jambatan Bengkok' di Selat Johor, sebelah Malaysia menghubungkan Tambak Johor ke Singapura. Beliau berkata sewajarnya jambatan berkenaan dibina kerana Tambak Johor menghalang pergerakan aliran air timur-barat yang boleh digunakan bagi tujuan komunikasi. Pada 7 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pembinaan 'Jambatan Persahabatan' semasa sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas kedua-dua mereka mengakhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di Putrajaya.

Selasa, 15 April 2014

PM Najib bidas pembangkang yang dakwa mampu selesaikan misteri MH370 dalam "satu saat"

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang kononnya mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dalam "satu saat". Beliau menyifatkan dakwaan pemimpin tersebut sebagai tidak masuk akal dan memperbodohkan rakyat Malaysia. Najib berkata kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke-39, hari ini memerlukan sokongan dari negara luar berikutan kerumitan dan cabarannya yang di luar dugaan. "Ini memang tidak masuk akal sama sekali malah memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini Selasa. Pada 5 April lepas, sebuah akhbar Cina menyiarkan sebuah artikel wawancara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majalah Southern Weekly bahawa jika dirinya Perdana Menteri, beliau hanya memerlukan satu saat untuk menyelesaikan isu kehilangan pesawat MH370. Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia. Pada 24 Mac, Najib mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston, hari ini berkata sebanyak sembilan pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal membantu dalam misi pencarian MH370. Selain itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang untuk membuat pencarian di udara membabitkan 62,063 kilometer persegi dan lokasi sasaran berada pada 2,170 kilometer barat laut Perth. -- BERNAMA

Pandang ke hadapan berhubung usaha mencari pesawat M370-Hishammuddin

Semua pihak digesa memandang ke hadapan berhubung operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, bukan berpatah balik dan cuba menyalahkan sesiapa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata menuduh Malaysia bersalah berhubung kehilangan pesawat itu adalah tidak berasas dan oleh kerana kejadian itu belum pernah berlaku, maka tiada duluan untuk dijadikan tanda aras dalam usaha mencarinya. Hishammuddin menyatakan demikian apabila ditanya tentang urutan masa Malaysia berkongsi maklumat ketenteraannya yang sensitif dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan kehilangan pesawat itu pada 8 Mac. "Anda melihat terlalu jauh ke belakang, sedangkan ketika ini kami berusaha untuk mengecilkan fasa operasi pencarian. Malangnya, kita masih membuat spekulasi tentang perkara yang tidak bersifat memandang ke hadapan. "Apa yang ingin saya lakukan mengenai penubuhan jawatankuaaa peringkat kementerian dan panel penyiasat antarabangsa yang akan dibentang kepada Kabinet beberapa hari lagi adalah untuk menangani semua isu itu. "Tapi, apa yang penting sekarang adalah memandang ke hadapan dan kami bergerak ke fasa seterusnya dalam usaha mencari. "Adalah tidak wajar bagi anda hendak menyalahkan Malaysia. Apakah yang akan anda lakukan apabila menghadapi sesuatu yang dunia tidak pernah menghadapinya sebelum ini. "Apakah tanda aras yang hendak anda jadikan ukuran?" kata menteri itu kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Selasa. Hishammuddin berkata maklumat akan diberi apabila pesawat berkenaan atau kotak hitam dijumpai. Ditanya tentang perlunya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail ke United Kingdom untuk membincangkan tentang hak milik terhadap kotak hitam dan sama ada terdapat komplikasi dari segi undang-undang mengenainya, Hishammuddin berkata: "Kabinet mengarahkan Gani meneliti perkara itu memandangkan 26 negara terlibat dalam misi mencari pesawat berkenaan. "Jadi, terdapat cabaran daripada segi diplomatik dan undang-undang, ada waris dan sebab itulah kami menubuhkan tiga jawatankuasa berkenaan (melibatkan tiga kementerian) agar tanggungjawab mengenainya boleh diagihkan sesama mereka yang berpeluang mendapat nasihat pakar paling baik," katanya. Hishammuddin menegaskan sekali lagi bahawa keutamaan beliau adalah mencari kebenaran dan beliau secara peribadi berpendapat siapa yang akan menjadi pemilik kotak hitam berkenaan adalah tidak penting. "Ia untuk mengetahui perkara sebenar dan mendedahkan apa yang terkandung dalam kotak hitam itu," katanya. Mengenai laporan tentang kehadiran seorang peguam Amerika di rumah keluarga penumpang pesawat MH370, Hishammuddin berkata ia sesuatu yang membimbangkan dan beliau menasihati keluarga terbabit supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan agar ia dapat ditangani dengan sewajarnya. Hishammuddin berkata satu pasukan penyiasat akan ditubuhkan, dianggotai tiga jawatankuasa kementerian (Pengangkutan, Pertahanan dan Luar Negeri) yang diketuai tiga timbalan menteri masing-masing, manakala memorandum mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet, mungkin minggu depan. "Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin akan meneliti pelbagai isu berkaitan waris penumpang Penerbangan MH370, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi akan meneliti terma rujukan pasukan antarabangsa dan perkara teknikal dalam penyiasatan, manakala Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan menyelia dan memantau penghantaran aset mencari bagi mengesan pesawat berkenaan," katanya. Pada 5 April, Hishammuddin mengumumkan penubuhan sebuah pasukan penyiasat antarabangsa dan tiga jawatankuasa peringkat kementerian untuk menyiasat dan menyelaras usaha mencari pesawat MH370. Terdapat juga satu kumpulan berkaitan keselamatan penerbangan yang akan mengkaji rekod penyenggaraan, struktur dan sistem; kumpulan operasi yang akan membuat pemeriksaan terhadap alat perakam penerbangan dan meteorologi; dan kumpulan perubatan serta faktor kemanusiaan yang akan meneliti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup.