Sabtu, 21 Ogos 2010

Pembangkang Semakin Galak Membuat Janji- Najib



Kecenderungan pihak pembangkang yang semakin galak membuat janji ketika ini lebih dilihat kepada usaha mereka sekadar untuk memancing undi pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pihak pembangkang akan semakin menjadi-jadi membuat janji apabila pilihan raya umum dilihat semakin hampir.

"Mereka akan buat apa-apa janji ini dan semakin dekat dengan pilihan raya, semakin banyaklah janji yang mereka akan tabur," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kuih raya Angkatan Tentera Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pihak pembangkang yang dilihat semakin galak membuat janji untuk rakyat.

Antara yang terbaru ialah kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sasaran pakatan pembangkang ialah supaya setiap isi rumah menikmati pendapatan RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Najib berkata rakyat perlu bijak menilai setiap janji yang dibuat sama ada ia adalah janji yang berpijak di bumi yang nyata atau hanya sekadar fantasi semata-mata.

"Dalam sistem demokrasi, tiada ubatnya (menangani pelbagai janji sedemikian) melainkan kemampuan rakyat untuk membuat penilaian berdasarkan pemikiran matang dan rasional. (Janji yang dibuat) Itu perkara biasa... pada pilihan raya dulu pun macam-macam janji dibuat, pada kali ini mereka tambah lagilah janji-janji mereka.

"Sebab itulah kita (kerajaan Barisan Nasional) tetap dengan perancangan kita yang realistik seperti Model Baru Ekonomi, seperti NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan sebagainya yang kita percaya satu perancangan yang disokong dengan fakta dan kajian yang mendalam," kata Najib.

Perdana Menteri berkata pihak pembangkang tidak pernah meneliti setiap janji yang dibuat itu sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak kerana apa yang penting mereka hanya inginkan sokongan rakyat untuk mendapat kuasa memerintah.

"Yang penting sekali mereka janji sesuatu yang menyeronokkan pengundi untuk menyokong mereka, ini semua strategi politik mereka sahaja," katanya.

Ditanya kecenderungan pihak pembangkang membuat pelbagai janji itu sebagai petanda pilihan raya umum ke-13 akan dilaksanakan tahun depan, Najib berkata: "Wallahualam...".

Najib kemudiannya turut menghadiri majlis mengacau dan penyampaian bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai anjuran akhbar Kosmo!, Wanita Umno dan beberapa badan bukan kerajaan di Dataran Pekan di sini.-Bernama.

Sumbangan untuk fakir miskin di Masjid Al Zakirin





Masjid Al Zakirin, Taman Wilayah menjadi tuan rumah bagi program penyampaian Sumbangan kepada fakir miskin, masjid dan surau sekitar kawasan Parlimen Batu, anjuran UMNO bahgian berkenaan.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
Datuk Raja Nong Chik diadakan sebelum majlis berbuka puasa yang turut diertai oleh penduduk setemat dan 150 penerima bantuan hari raya.

Turut hadir, Ketua Umno bahagian Batu, Datuk Yahaya dan barisan jawatankuasa UMNO Bahagian serta Datuk Nordin, Pengerusi Masjid Al Zakirin dan barisan jawatankuasa.