Rabu, 19 November 2014

PAS bidas pemimpin DAP

Mana-mana parti dalam PR boleh mengundur diri jika tidak boleh menerima kelebihan dan kekurangan parti lain, kata Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau berkata demikian apabila DAP masih tidak henti-henti mengeluarkan kenyataan mengenai Pas walaupun merasakan segala kemelut dalam PR sudah berakhir. "Saya tidak faham mengapa masih ada kenyataan buruk mengenai Pas selepas selesai kemelut Menteri Besar Selangor. "Jika DAP rasa tidak boleh sejalan lagi dengan kami, mereka boleh ambil langkah undur diri. Ini kerana dalam PR hanya ada borang masuk, tiada borang keluar. Jadi jika DAP rasa ada yang tidak kena pada Pas, mereka undurlah diri dan biarkan Pas bersama PKR meneruskan perjuangan politik kami," katanya, semalam. Beliau berkata, apabila ada kenyataan yang dibuat, seolah-olah tuduhan atau berprasangka buruk, sudah tentu ia menjadi tanda tanya mengenai perkara yang dibangkitkan. "Kalau ada rasa tidak puas hati, seharusnya perlu menggunakan saluran yang betul. Saya salah seorang ahli jawatankuasa pimpinan tertinggi parti. Jadi, kalau ada yang tidak puas hati, boleh bawa dalam mesyuarat atau panggil sahaja untuk bincang dari hati ke hati. "Bercerita kepada umum bukan cara terbaik, malah boleh menimbulkan lebih banyak konflik. Seperti saya katakan, jika ada yang rasa tidak boleh duduk dalam PR, mereka boleh tarik diri. Dalam PR tiada tiket keluar, ada tiket masuk sahaja. Jadi kenalah undur diri," katanya.Petikan Sinar Harian

Penubuhan mahkamah khas GST sedang dibincang

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bagi mengkaji penstrukturan penubuhan mahkamah khas Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Dewan Rakyat diberitahu Rabu. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata mahkamah khas itu akan mendengar kes pengguna terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya berikutan pelaksanaan CBP yang akan bermula 1 April tahun depan. "Selain dari kewujudan mahkamah ini, langkah penguatkuasaan juga akan diperhebatkan bagi mengesan peniaga atau pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di sini. Beliau berkata sebanyak 2,200 pegawai penguat kuasa ditugaskan memantau harga barangan susulan pelaksanaan CBP. Sementara itu, katanya kementerian juga tidak akan berkompromi dengan anggota penguat kuasannya yang didapati terlibat dengan gejala rasuah semasa menjalankan tugas mereka. Katanya setakat ini seramai enam anggota penguat kuasa telah dikenakan tindakan kerana didapati terlibat dengan rasuah. Ahmad Bashah juga berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memantau pemaju perumahan bagi mengelak mereka menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan cukai berkenaan. Mengulas cadangan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang mencadangkan agar meningkatkan hukuman denda terhadap syarikat yang terlibat dengan kegiatan penipuan gores dan menang, katanya pihaknya akan mengkaji cadangan berkenaan. Katanya sejak 2005 hingga Oktober lalu sebanyak 505 kes diambil tindakan melibatkan nilai RM15.46 juta. "Dari jumlah berkenaan 168 telah dikenakan kompaun dan denda melibatkan jumlah RM1.85 juta, ini menunjukan KPDNKK mengambil serius dalam memerangi kegiatan secara haram ini," katanya. Katanya, KPDNKK akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap sindiket gores dan menang di seluruh negara termasuk menjalankan program-program kesedaran kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan sindiket berkenaan.BERNAMA

DBKL tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan lesen penjaja kepada warga asing untuk mereka berniaga di mana-mana tapak peniagaan di ibu negara. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebaliknya, apa yang berlaku ialah terdapat sesetengah warga tempatan yang memiliki lesen itu menyewakannya kepada warga asing. "Apa yang menjadi masalah, contohnya di pasar borong, ada pemilik lesen menyewakan lesen mereka kepada warga asing dan mendapatkan keuntungan daripada sewa tersebut. "Pemilik lesen juga akan menunggu di tapak peniagaan terbabit sebagai langkah persediaan sekiranya pegawai penguatkuasa DBKL datang untuk menyiasat tapak perniagaan itu," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat kementerian di Dewan Rakyat pada Rabu. Beliau berkata apabila pegawai penguatkuasa DBKL datang untuk merampas lesen atau menyita tapak terbabit, pemilik asal lesen terbabit akan tampil dan mengemukakan dokumen dan bukti serta mengaku lesen atau tapak perniagaan itu miliknya. Anggota Parlimen Putrajaya itu turut menafikan DBKL kurang melakukan penguatkuasaan sehingga warga asing boleh menjalankan perniagaan di tapak penjaja di ibu negara. Sebaliknya, beliau menjelaskan penguatkuasaan sukar dilakukan secara menyeluruh berikutan kekurangan pegawai penguatkuasa yang terpaksa menjalankan penguatkuasaan di kawasan lain. "Kita ada kira-kira seribu pegawai penguatkuasa, inilah pegawai kita yang menjalankan penguatkuasaan di tapak-tapak penjaja, menjaga 'parking' dan sebagainya... memang sukar," katanya. Tengku Adnan berkata walaupun penguatkuasaan itu sukar namun pihaknya akan mengambil cabaran berkenaan dan akan mencari mekanisme untuk menyelesaikan isu tersebut. Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sedang mengkaji untuk membina tempat letak kereta bertingkat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara berikutan kesesakan teruk di kawasan berkenaan. "Kita sedar masalah ini amat ketara. Kita sedang lihat macam mana kita boleh bangunkan dan ada kawasan PPR yang telah kita kenal pasti. Mungkin kita boleh laksanakan secara berperingkat," katanya. Selain itu, beliau berkata kementerian memerlukan peruntukan besar untuk memperbaiki atau menggantikan saluran pembentungan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mengatasi masalah banjir. Katanya, terdapat kira-kira 5,000 kilometer saluran pembetungan yang perlu dibaiki atau diganti dan kementerian sedang berusaha menyelesaikan masalah itu. "Salah satu cara adalah apabila ada pembangunan baharu, kita minta pemaju membuat sistem pembetungan yang besar untuk laluan air dan kita harap ini akan dapat mengurangkan kos DBKL untuk mengganti seluruh sistem pembetungan nanti," katanya.

Kerajaan belum potuskan harga baru petrol RON 95

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung harga petrol RON95 walaupun harga RON97 turun kepada RM2.55 seliter. Beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada keadaan semasa termasuk melihat hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada akhir bulan ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan yang dibuat kerajaan akan mengambil kira kepentingan rakyat di negara ini. "Sama ada ia (RON95) akan diturunkan ini bergantung kepada keadaan semasa...jadi kalau memerlukan kita buat keputusan sama ada popular atau tidak popular, kita tunggulah pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Petronas Penapisan Melaka di Sungai Udang di sini, hari ini. Harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara turun 20 sen seliter kepada RM2.55 seliter daripada RM2.75 seliter berkuat kuasa 12 tengah malam tadi. Harga runcit RON97 ditentukan oleh 'apungan terurus' dan harga akan berubah mengikut kuasa pasaran. Dalam perkembangan lain, Hasan berkata pihaknya sedang mengkaji untuk memperluaskan penggunaan diesel Euro 5 ke seluruh negara berikutan respons positif daripada pengusaha dan pemilik lori dengan pengenalan penggunaan bahan api itu di sekitar Johor Baharu baru-baru ini. Beliau berkata penggunaan bahan api itu bukan sahaja membantu pemilik dan pemandu lori Malaysia daripada dikenakan denda berikutan peraturan ketat pihak berkuasa Singapura berhubung pelepasan asap diesel, malah ia menyumbang kepada alam sekitar yang lebih baik. Diesel Euro 5 mula dilancarkan oleh Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) pada Rabu lepas membabitkan empat stesen minyak miliknya di kawasan Rawat dan Rehat (R&R

Kerajaan belum membuat keputusan menaikkan kadar tol tahun depan

Kerajaan belum membuat keputusan sama ada akan menaikkan kadar tol pada tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. Beliau berkata bagaimanapun kementerian itu telah memohon peruntukan berjumlah RM558.69 juta di bawah Bajet 2015 untuk bayaran pampasan kepada 20 syarikat konsesi lebuh raya sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tersebut pada tahun depan. "Ini adalah prosedur biasa untuk permohonan bajet supaya peruntukan tersedia sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan tol," katanya kepada pemberita di ruang legar bangunan Parlimen di sini Rabu. Beliau memberi penjelasan tersebut berikutan laporan media Rabu yang menyebut tiada sebarang kenaikan tol pada tahun depan. Selasa, dalam ucapan penggulungan Bajet 2015 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, timbalan beliau, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyatakan kerajaan dijangka membayar sebanyak RM558.69 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tol di 20 lebuh raya tahun depan. Fadillah menjelaskan, dalam jawapan penggulungan oleh timbalannya itu, tidak ada disebut tentang sama ada kadar tol dinaikkan pada tahun depan, dan keputusan untuk menaikkan kadar tol bergantung kepada laporan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang akan dibentangkan kepada Kabinet. "Setelah keputusan dicapai, maka barulah kerajaan akan umumkan sama ada tol naik atau tidak," katanya. Beliau berkata sekiranya berlaku kenaikan tol, maka syarikat konsesi lebuh raya tidak perlu dibayar pampasan dan kementerian itu bercadang menggunakan peruntukan yang diluluskan itu untuk projek pembangunan yang lain di bawah kementerian tersebut. "Bagaimanapun kita perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menggunakan peruntukan itu untuk tujuan lain kerana ia diluluskan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya. "Jika ia diluluskan oleh Kementerian Kewangan, maka barulah kita boleh menggunakan peruntukan itu untuk projek lain termasuk membina jalan raya, atau menyelenggara jalan," katanya.

Kerajaan tidak tunduk kepada mana mana pihak untuk turunkan harga petrol

Kerajaan tidak boleh mengikut kehendak mana-mana individu dan parti politik dalam membuat keputusan untuk menurunkan harga petrol di negara ini. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata keputusan menurunkan harga petrol itu hanya boleh dibuat sekiranya harga minyak mentah turun ke paras lebih rendah di pasaran dunia. "Kita bukan buat keputusan berdasarkan demonstrasi atau mana-mana desakan... kita buat keputusan apa yang betul dan baik untuk rakyat dan jika pembangkang mahu mengadakan demonstrasi (desak turunkan harga petrol diturunkan) itu terpulang pada mereka. "Keputusan menurunkan harga petrol dibuat berdasarkan data dan fakta, sekiranya OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) memutuskan supaya pengeluaran minyak dikurangkan, harga minyak dunia pasti akan naik...jadi mereka (pembangkang) mahu buat demonstrasi untuk apa?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli bahawa parti itu akan mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga petrol menjelang tarikh demonstrasi itu. "Jika berlaku penurunan harga minyak mentah dunia di bawah tahap subsidi (kerajaan), saya sendiri akan mencadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya turunkan harga petrol berkadaran dengan harga minyak dunia," katanya. Mengulas mengenai harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara yang turun 20 sen seliter kepada RM2.55 seliter daripada RM2.75 seliter berkuat kuasa tengah malam tadi, Ahmad berkata langkah itu selaras dengan penurunan harga pasaran bahan api itu di pasaran dunia. Jelasnya, harga runcit RON97 tidak ditentukan oleh subsidi kerajaan sebaliknya mengikut 'apungan terurus' dan harga akan berubah mengikut kuasa pasaran.BERNAMA

PKR Sarawak sokong usaha Ketua Menteri hapuskan rasuah

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak pada Rabu menyatakan penghargaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang memberi sokongan penuh terhadap inisiatif Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk menghapus rasuah di negeri ini. Pengerusi BNBBC Sarawak, Abdullah Saidol berkata walaupun PKR Sarawak mempunyai pendirian politik yang berbeza, mereka wajar diberi penghargaan kerana bersependapat dengan Ketua Menteri untuk melihat Sarawak bebas rasuah. "Sokongan mereka kepada Ketua Menteri (dalam hal rasuah) memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya," kata beliau pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini. Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang turut hadir di sidang akhbar itu berkata mereka memberi sokongan kerana perbuatan tidak bermoral seperti rasuah merupakan "barah" dalam masyarakat. "Rasuah adalah penyebab yang melemahkan institusi sosial dan penguatkuasaan terhadap kegiatan haram di negeri kita tidak akan berkesan kerana rasuah," ujar beliau.

PAU: Perwakilan tidak perrnah dihalang untuk tegur dan kritik pemimpin-Khairy

Perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno tidak pernah dihalang daripada mengkritik kepimpinan parti ketika mengambil bahagian dalam perbahasan, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Sebaliknya, beliau berkata amalan yang dipraktikkan sejak sekian lama itu tetap akan diteruskan pada perhimpunan akan datang berlandaskan budaya dan adab orang Melayu. "Kita tidak pernah tutup ruang perbahasan, malah saya tak pernah dengar ucapan yang tidak ada teguran kepada pemimpin dalam Perhimpunan Agung Umno. Kritikan tetap menjadi amalan namun secara sopan, dan bersopan tidak semestinya bermaksud kritikan itu tidak dirasai langsung," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan beberapa penganalisis politik bahawa perwakilan Umno perlu berani bersuara dan menegur sebarang kepincangan dalam parti, bukannya sekadar memberi pujian melambung kepada pemimpin ketika berbahas pada perhimpunan yang akan bermula pada Selasa depan itu. Khairy memberikan ulasannya itu pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Institut Automatif Malaysia (MAI) di sini Rabu. Perjanjian itu membolehkan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mengikuti program latihan Sijil Profesional Pimpinan Industri, iaitu penempatan latihan di tempat kerja di bawah MAI yang mana akhirnya MAI akan memastikan 100 peratus pelatih memperoleh pekerjaan dalam bidang automotif dengan gaji yang lebih tinggi. Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pembahas boleh lantang dalam kritikan mereka, namun tidak perlu sampai menjadi 'kurang ajar' kepada parti selain perlu sentiasa sedar bahawa Umno adalah sebuah parti Melayu. "Kita parti Melayu, kita ada budaya, nak sampaikan teguran mesti dengan cara yang tepat dan baik...maknanya tetap sampai kepada pemimpin," katanya. Bagi memastikan perbahasan dan kritikan yang dibuat adalah berkualiti, beliau mengingatkan perwakilan yang ingin berbahas supaya membuat kajian terhadap isu yang ingin dibahaskan terlebih dahulu supaya Perhimpunan Agung Umno terus kekal sebagai perhimpunan agung parti politik terbaik. Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 Nov ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pegawai Malaysia akan ke Belanda bincang peranan pasukan penyiasat MH17

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan ke Amsterdam, Belanda pada 3 Dis ini untuk berbincang mengenai peranan pasukan penyiasat Malaysia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17. Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan dengan pihak penyiasat Belanda ialah untuk memasukkan penyertaan pasukan penyiasat Malaysia ke dalam pasukan penyiasat antarabangsa yang ditubuhkan bagi menyiasat nahas tersebut. "Buat masa ini, kita (Malaysia) tidak ada lagi dalam pasukan siasatan bersama, sebaliknya hanya sebagai peserta. Kita mesti dimasukkan ke dalam pasukan siasatan bersama ini," katanya selepas menghadiri persidangan perundangan, peraturan dan keadilan jenayah di sini Rabu. Ketika ini Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia berada dalam pasukan penyiasatan antarabangsa tersebut. Penyertaan Malaysia di dalam pasukan penyiasatan antarabangsa telah dipersetujui Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semasa beliau melawat Malaysia awal bulan ini. Pesawat MH17 terhempas di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai lepas dipercayai ditembak jatuh ketika membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur. Sejumlah 43 rakyat Malaysia turut berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu.