Selasa, 5 Mac 2013

RAKYAT SOKONG OP DAULAT

Hampir 20 minit jet pejuang F18 dan Hawk membedil sekitar Kampung Tanduo di timur Sabah hari ini selepas pasukan keselamatan bertekad tiada lagi pilihan setelah usaha penyelesaian tanpa pertumpahan darah isu pencerobohan pengganas Sulu ke atas wilayah berdaulat Malaysia selama 21 hari tidak mendatangkan hasil. Hampir empat jam kemudian Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengumumkan Op Daulat melibatkan serangan udara dan darat 'menepati objektifnya'. Beliau bagaimanapun sehingga lewat petang ini tidak mengumumkan bilangan musuh yang terbunuh, cedera atau ditangkap.
Reaksi spontan rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat menyokong tindakan Malaysia itu dalam menjaga kedaulatan negara.
Malah, ada yang mendesak kerajaan Filipina menyerahkan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai 'Sultan Sulu' untuk dibicarakan di negara ini kerana dipercayai telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia. Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar misalnya berkata, desakan itu wajar kerana walaupun Jamalul Kiram III tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu dan berada di Filipina, dia boleh dianggap bersubahat berdasarkan sokongan yang ditunjukkan melalui beberapa kenyataannya. Op Daulat yang dilancar pasukan polis dan tentera yang bermula seawal 7 pagi itu, kini diteruskan dengan gerak gempur melalui darat bagi memburu dan menangkap anggota kumpulan pengganas dari Sulu yang menceroboh Lahad Datu. Serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk itu, diikuti serangan mortar dan gerak gempur melalui darat. Tiga letupan kuat diikuti beberapa letupan kecil didengari di kawasan itu selepas setengah jam bunyi jet pejuang memenuhi ruang udara kawasan berkenaan. Serangan pasukan keselamatan yang bertumpu di kawasan seluas empat kilometer Kampung Tanduo itu disifatkan Ismail sebagai berjaya mencapai objektif yang ditetapkan operasi itu. Beliau berkata, sejak serangan dimulakan, pasukan keselamatan negara mendapat tentangan apabila pihak musuh melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan tentera. "Tiada kecederaan atau kematian di pihak anggota keselamatan," katanya. Kumpulan bersenjata dan berpakaian ala tentera itu yang menaiki bot pancung mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu pada 12 Februari lepas. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata kerajaan mesti mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya. "Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bimbangkan keselamatan mereka," katanya. Ismail pada sidang akhbar pukul 4 petang ini berkata Op Daulat itu masih berjalan kerana polis percaya masih ada anggota kumpulan itu di kampung berkenaan. Tindakan susulan dan penggeledahan rumah ke rumah dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera. Katanya, semangat dan moral pasukan keselamatan terus membara untuk menyelesaikan misi dengan jaya demi kedaulatan negara berkat sokongan dan dorongan kuat rakyat Malaysia. Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mod Zin pula berkata, selain semangat tinggi yang ditunjukkan anggota tentera, seperkara lagi yang begitu membanggakan ialah kerjasama erat yang terjalin antara pasukan polis dan tentera dalam operasi pembersihan di Kampung Tanduo melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan. Sementara itu, polis menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar dan membuat sebarang andaian mengenai operasi itu khususnya berkenaan jumlah kematian atau mereka yang cedera. "Berita-berita yang tidak tepat ini boleh jejaskan operasi yang sedang berjalan," katanya yang meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana serangan dalam 'Op Daulat' itu hanya melibatkan Kampung Tanduo. Ismail berkata, serangan ofensif itu perlu diambil pasukan keselamatan dalam mempertahan keselamatan negara dan memastikan keamanan dan ketenteraman di Sabah tidak tergugat. - Bernama

PENCEROBOH SULU PENGANAS

Malaysia menganggap pencerobo bersenjata Sulu yang membunuh lapan anggota keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, sebagai pengganas, dan ini turut dikongsi Setiausaha Luar Filipina Albert F. Del Rosario. “Setiausaha Rosario bersetuju kumpulan ini patut dilabelkan sebagai pengganas,” kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (gambar) dalam kenyataan hari ini. Kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di ibu negara Malaysia ini malam tadi untuk membincangkan perkembangan yang berlaku di kedua-dua pekan di Sabah itu. “Kita menghargai pendirian kerajaan Filipina dan Presiden Benigno Aquino yang menggesa kumpulan Sulu itu menyerah diri dan pulang kepada keluarga dan rumah masing-masing di Filipina. “Kumpulan itu bagaimanapun memilih untuk mengabaikan seruan itu,” kata Menteri Luar Malaysia itu. Mengenai hasrat Manila supaya anggota kumpulan itu didakwa di mahkamah Filipina, Anifah berkata Malaysia perlu mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang yang mereka akan didakwa, dan untuk undang-undang itu dikaji oleh Peguam Negara Malaysia. “Setiausaha Rosario memberi jaminan bahawa kerajaan Filipina akan membawa kumpulan Sulu yang terlibat dengan keganasan di Lahad Datu dan Semporna ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang. “Saya juga menekankan bahawa tindakan perlu dikenakan terhadap Jamalul Kiram ke atas pelbagai kenyataan beliau yang membangkitkan perasaan kebencian dan kemarahan,” kata Anifah yang merujuk kepada Jamalul Kiram yang mendakwa kononnya beliau ‘Sultan Sulu’. Katanya Rosario memaklumkan kepadanya bahawa kerajaan Filipina mengecam tindakan penceroboh tersebut. “Beliau memanjangkan ucapan takziah kepada anggota keluarga keselamatan yang terkorban dan juga kepada rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

JAMALUL KIRAM III BUKAN SULTAN SULU

“Banyak pihak mendakwa mereka pewaris kesultanan itu tetapi saya adalah pewaris yang sah,” demikian kata Ampun Muedzul-Lail Tan Kiram kepada sebuah portal berita online pada 22 Februari 2013 lepas, sebagai merujuk kepada Jamalul Kiram III. Kenyataan Ampun Muedzul betul. Memang terlalu ramai orang yang mendakwa diri mereka merupakan Sultan Sulu yang sah, sekurang-kurangnya ada 9 individu yang mengaku sebagai pewaris sebenar Kesultanan Sulu. Menariknya lagi kesemua 9 individu termasuk Jamalul Kiram III mahu dipanggil sebagai Sultan Sulu dan telah melalui upacara penabalan dan mempunyai pengikut masing-masing, yang menariknya tiada seorang pun di kalangan 9 Sultan Sulu ini yang memiliki tanah jajahan atau wilayah pemerintahan sendiri. Jamalul Kiram III, merupakan salah seorang daripada 9 individu tersebut kini terlibat secara langsung mengarahkan sekumpulan 200 orang pengikutnya yang didakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu untuk menceroboh Lahad Datu, Sabah. Kumpulan warga Filipina yang diketuai oleh adiknya, Agbimuddin Kiram itu bertanggungjawab membunuh 8 orang anggota keselamatan Malaysia dalam dua pertempuran di Lahad Datu dan Kampung Srijaya, Simunul, Sampoerna yang turut mengakibatkan 18 orang pengikutnya terbunuh. Mereka mula menceroboh Sabah sejak 9 Februari 2013 lalu dengan matlamat untuk menuntut hak ke atas Sabah yang didakwa milik Kesultanan Sulu serta turut mendesak Kerajaan Malaysia tidak menghantar pendatang Filipina keturunan Sulu pulang ke negara asal. Sudahlah datang secara kurang ajar kemudian tunjuk lagak samseng menuntut pemerintahan ke atas Sabah, memang memalukan orang Sulu. Sewajarnya kumpulan pengikut Jamalul Kiram III ini kita gelarkan sahaja sebagai pengganas Sulu. Rentetan pencerobohan yang berlaku sejak 4 minggu lalu itu menyebabkan satu persoalan sering menerjah ke akal dan minda kita minda ramai tertanya-tanya siapakah Jamalul Kiram III dan benarkah dirinya adalah Sultan Sulu yang sebenar-benarnya? Jamalul Kiram III sebetulnya bukanlah waris Kesultanan Sulu yang sah disebabkan dirinya bukanlah berasal dari darah zuriat hakiki Sultan Sulu kerana keturunan keluarga Kiram tidak lagi diterima oleh rakyatnya setelah dianggap sebagai sebagai tali barut kepada Amerika Syarikat. Peristiwa pembunuhan sejumlah 4,000 orang Sulu dari keluarga Datu & Syarif Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu sekitar tahun 1906 dulu adalah hasil kerja Amerika Syarikat selepas mendapat restu Sultan Jamalul Kiram II (1884-1936) yakni Sultan Sulu terakhir dari keturunan keluarga Kiram di Jolo, Sulu. Semenjak kejadian pembunuhan tersebut, rata-rata orang Sulu Tausuq menentang Sultan mereka dan tidak lagi mengiktiraf mana-mana keturunan keluarga Kiram untuk memimpin mereka. Kini dengan wujudnya sekurang-kurang 9 orang individu dari pelbagai keturunan yang juga mengaku sebagai waris sah Kesultanan Sulu, maka bertambahlah keraguan ramai untuk mempercayai Jamalul Kiram III sebagai satu-satunya waris yang sah. Tambah menjelikkan orang Sulu sama ada yang tinggal di Filipina mahupun di Sabah bila mana tatkala Jamalul Kiram III sibuk mendabik dada sebagai Sultan Sulu, di masa yang sama adiknya Esmail Kiram II pula turut mengaku merupakan pewaris sah Kesultanan Sulu. Memalukan. SUMBER UMNO ONLINE

KENYATAAN PM ISU LAHAD DATU

SEJAK pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada Februari 12, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah. Pihak polis telah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius. Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah. Pada hari Jumaat lepas mereka telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut menyebabkan dua anggota kita terbunuh, sehari kemudian enam lagi anggota polis dibunuh oleh penceroboh di Semporna. Setelah serangan yang pertama, saya telah menegaskan bahawa penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan pihak berkuasa negara ini akan bertindak. Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkatkan perjuangan penyelesaian konflik scara perundingan, usaha kita menggelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya. Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka. Kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga marurah dan kedaultan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat. Pada jam 7pagi ini pasukan keselamatan telah melancarkan serangan di Kampung Tanduo. - Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri

TUDUHAN TERHADAP KERAJAAN CUKUP KEJI- PM

Perbuatan menuduh peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara kerajaan adalah perbuatan yang cukup keji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau yang sedih kejadian pencerobohan itu telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan terkorban, berkata manusia yang tergamak berkata sedemikian adalah mereka yang tidak mempunyai perasaan dan tidak berhati perut. "Apabila ada kumpulan yang menceroboh bumi Malaysia di Sabah, gugurnya perwira-perwira, kehilangan nyawa, yang paling sedih dan yang menyayat hati saya apabila saya terpaksa pergi ke lapangan terbang untuk menerima jenazah wira-wira negara.
"Apabila saya berdepan dengan balu-balu, anak-anak mereka, saya cukup sedih. Ada seorang balu kehilangan suami dalam keadaan dia mengandung sebulan, ada anak (berumur) lima hingga enam tahun yang tidak tahu apa, dia beritahu saya bapa kena bom seolah-olah bapa dia akan muncul semula. Inilah kisah-kisah yang menyedihkan saya.
"Tetapi ada juga orang yang tergamak menuduh ini satu sandiwara kerajaan. Saya tak tahu apa saya nak kata kepada manusia seperti ini. Manusia yang tergamak cakap macam itu, takde perasaan dan hati perut, satu perbuatan yang cukup keji. Sebab itulah, kita perlu menolak orang seperti ini," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

TIDAK ANGGOTA KITA TERBUNUH- HISHAM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal hari ini. "Alhamdulillah jelas tiada kecederaan langsung (di pihak anggota keselamatan). "Tapi dalam konteks pihak musuh, itu kita kena tunggu kerana sekarang ini masih dalam operasi," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Lahad Datu hari ini. Tinjauan Bernama di pekan Chenderawasih yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Felda Sahabat 16 tengah hari ini mendapati beberapa ambulans bergerak di sekitar kawasan itu. Selepas serangan ofensif pada pukul 7 pagi ini, sekitar kawasan itu kini tenang dan terdapat banyak sekatan jalan raya di sepanjang jalan ke pekan dan menuju ke Kampung Tanduo. Bagaimanapun, bunyi deruan helikopter masih kedengaran di ruang udara kawasan itu dan di perairan pula kelihatan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pasukan tentera menggunakan tiga jet pejuang F18 dan lima Hawk dalam serangan ofensif terhadap perkampungan yang menjadi kawasan pihak penceroboh. Beliau berkata inilah adalah kali pertama operasi bersama antara ATM dan PDRM dan pihaknya sedang menjalankan usaha untuk menambah kekuatan anggota di kawasan itu. "Apa yang ingin kami khabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kepercayaan yang diberi kepada ATM untuk lakukan operasi sebaik ini dan untuk pertahankan negara telah memberi keberhasilan," katanya. Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memberikan bantuan kemanusiaan, antaranya keperluan bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Tanduo bagi memastikan mereka tidak menghadapi kesulitan. Beliau berkata hubungan antara Malaysia dan Filipina tidak terjejas berikutan insiden itu kerana ia hanya membabitkan sekelompok rakyat Filipina yang tidak mendapat restu daripada kerajaan negara itu. "Apa yang penting hubungan yang baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina tetap dipertahankan," katanya. Sementara itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah melalui talian 088-318555, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu (089-881255) atau IPD Semporna (089-782020) untuk sebarang pertanyaan. - Bernama