Rabu, 29 Oktober 2014

Kerajaan tidak tanggung hutang 1MDB-PM Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang hutang atau bayaran faedah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya syarikat itu jatuh bankrap. Perdana menteri berkata, hanya pinjaman bernilai RM5.8 bilion sahaja yang menerima 'jaminan jelas' kerajaan Malaysia. "1MDB tidak menerima jaminan dari kerajaan bagi pinjaman lain. "Sepertimana syarikat lain yang tertakluk di bawah Akta Syarikat, 1MDB juga mempunyai liabiliti terhad dan selain daripada pinjaman atau bon yang menerima jaminan kerajaan, hal kewangan 1MDB tidak termasuk dalam kiraan kontinjen liabiliti kerajaan. Keadaan kewangan syarikat adalah tanggungan syarikat itu sendiri," katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu sama ada kerajaan terpaksa menanggung beban hutang RM38 bilion 1MDB jika syarikat itu muflis. Najib menjelaskan hutang 1MDB pada tahun berakhir 31 Mac 2013 adalah sebanyak RM36.25 bilion. Perdana menteri berkata, 1MDB mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi bon yang diterbitkan. Selain itu katanya, syarikat itu sentiasa melakukan 'due dilligence' kewangan dan teknikal yang sepenuhnya sebelum membuat keputusan bagi melabur dalam sesuatu projek. "Setakat ini, 1MDB tidak pernah terlepas daripada memenuhi obligasi jadual pembiayaan kewangannya. Kedudukan kewangan 1MDB tetap kukuh disokong oleh aset strategik yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti di samping mempunyai peluang pertumbuhan yang utuh," kata Najib. – Bernama

Perlantikan Gopal Sri Ram bertentangan dengan Majls Peguam

Badan Peguam Malaysia perlu menjelaskan mengapa Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram dibenarkan mewakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan kes sodominya. Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata perkara itu bertentangan dengan usul badan peguam itu pada mesyuarat agung tahunannya awal tahun ini. Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim-hakim mahkamah lebih tinggi yang bersara dilarang dari mewakili anak guam di mahkamah. Menurut Tan, jika amalan sedemikian dibenarkan ia mungkin memberi kesan ‘intimidasi’ terhadap hakim mahkamah, dan lebih buruk lagi, ia memberi persepsi bahawa hakim bersara/peguam berkenaan dan anak guamnya memiliki kelebihan ke atas peguam lain. “Pemuda Gerakan menggesa badan peguam itu menjelaskan sama ada dalam hal ini terdapat pengecualian istimewa buat Anwar,” katanya. Bagaimanapun, pada September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seseorang hakim Mahkamah Tinggi yang bersara boleh bertindak sebagai peguam dalam kes sivil. Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rauf Sharif memutuskan bahawa ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak (seseorang) meraih sumber pendapatan.

Konvensyen UMNO Selangor Sabtu ini

UMNO Selangor akan menganjurkan satu konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk membincangkan isu berkaitan situasi politik di negeri ini. Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen bertema ‘Bersama Melaksanakan Transformasi’ itu termasuk mengenai isu memenangi hati pengundi serta isu dan cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Beliau juga akan menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Menawan Selangor pada PRU 14, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Konvensyen itu adalah kemuncak kepada program dan aktiviti UMNO Selangor sepanjang tahun ini seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti. Noh, yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang, berkata UMNO Selangor mengundang Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan konvensyen itu. “Seramai 1,500 peserta terdiri daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian, anggota Kelab Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) dijangka menghadiri konvensyen ini,” katanya.

Tindakan tegas terhadap pelajar langgar undang undang

Pergerakan Puteri UMNO menggesa pengurusan Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan tegas dan adil ke atas pelajar yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang universiti tersebut. Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tanpa tindakan seumpama itu dibimbangi kepimpinan universiti tersebut dilihat atau dianggap lemah oleh masyarakat dan pelajar universiti berkenaan. “Perkara yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pelajar tidak seharusnya berlaku kerana mereka hanya pelajar yang pastinya menjunjung peraturan demi masa depan mereka sebagai pelajar. “Kerana itu, kejadian yang berlaku di UM malam Isnin lalu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada isu disiplin pelajar supaya keputusan yang bakal dibuat telus dan adil,” katanya. Beliau mengulas mengenai tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menganjurkan Program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor, UM Isnin lalu. Katanya, isu pelajar dalam politik di universiti sehingga melanggar peraturan amat tidak wajar berlaku, sekiranya ditangani lebih awal imej universiti berkenaan tidak mungkin tercalar seperti hari ini. “Lebih memburukkan keadaan apabila penganjur program membawa masuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam universiti itu yang jelas bertujuan membantu mencapai matlamat agenda peribadi pemimpin tersebut. “Program malam itu telah disalahguna apabila lebih dilihat sebagai platform menghasut dan cuba mengeksploitasi pelajar ke jalanan untuk menyokong politik peribadi ketua pembangkang itu. “Ia juga membuktikan Anwar tidak peduli kesusahan orang awam lain yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan itu,” katanya. wpid-img_24328543535808Tambahnya, insiden yang berlaku melibatkan segelintir pelajar UM itu sekaligus memalukan seluruh warga universiti termasuk ALUMNI yang pernah menimba ilmu di institusi berkenaan. Puteri UMNO amat kesal sekiranya kebebasan berpolitik dalam kalangan pelajar disalaherti oleh masyakat dan disalahguna ini kerana pelajar merupakan generasi masa depan negara yang bertanggungjawab membawa negara ke arah perpaduan. – MediaUMNO