Khamis, 8 Mei 2014

Perhimpunan Agung UMNO dipinda pada 25 hingga 29 November

Tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan penghujung Oktober telah dipinda kepada tarikh 25 hingga 29 November depan. Setiausaha-Agung-UMNO-BN-Tengku-Adnan-Tengku-Mansor-Parlimen-Putrajaya-Menteri-Wilayah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut akan bermula sebagaimana biasa iaitu Taklimat Presiden pada 25 November yang kemudiannya akan diikuti oleh perasmian Perhimpunan Agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya. Seterusnya Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan berlangsung pada keesokan harinya iaitu 26 November dan diikuti dengan persidangan perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula pada 27 November. Bagi Perhimpunan Agung UMNO, perwakilan yang layak hadir selaras dengan Fasal 8.4 Perlembagaan UMNO adalah seperti berikut : 1. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap. 2. Ahli-ahli Majlis Tertinggi. 3. Wakil yang dipilih oleh Perwakilan Tahunan Bahagian sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima ratus (500) orang ahli dengan syarat bilangan wakil-wakil itu tidak lebih dari tujuh (7) orang dari satu Bahagian termasuk Bahagian yang Jawatankuasanya sedang digantung jika Bahagian itu boleh mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian dengan sempurna. 4. Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri dan Setiausaha Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagiannya. Mereka ini yang menjadi Ahli Majlis Tertinggi berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Bahagian. 5. Tidak lebih daripada sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Wanita, sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Pemuda dan sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Puteri yang dipilih oleh Perhimpunan Agung Pergerakan masing-masing. Manakala bagi Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita/Pemuda/Puteri selaras Fasal 9.2 Peraturan Pergerakan, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita/Pemuda/Puteri hendaklah terdiri daripada : 1. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap jika mereka adalah Ketua Pergerakan Bahagian, mereka boleh melantik ganti ke Perhimpunan Agung Pergerakan masing-masing. 2 Jawatankuasa Pergerakan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia. – MediaUMNO

Kabinet tidak buat keputusan memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi

Kabinet tiada membuat keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata tiada perubahan dasar kerajaan berhubung borang itu. "Kami ada bincang perkara ini tetapi keputusannya adalah mengekalkan amalan dan dasar sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Umno Taiping di sini Khamis. Najib mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun sebagai berkata jemaah menteri telah memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah. Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan Entulu akan membuat kenyataan memohon maaf atas kesilapan kenyataan semalam. "Dari segi perangkaan, kita perlu kepada perkara ini (ruangan kaum). Kalau tidak, kita tidak ada perangkaan (kaum)," katanya. Najib menjelaskan bahawa perangkaan kaum itu perlu bagi memudahkan kerajaan memantau kemajuan setiap kaum di negara ini. "Kalau ada mana-mana kaum yang ketinggalan, itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk lakukan apa-apa yang patut supaya kekayaan dan peluang dalam negara kita lebih seimbang," katanya.

Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 31 Mei, Penamaan Calon 19 Mei

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 31 Mei dengan penamaan calon pada 19 Mei, manakala pengundian awal 27 Mei, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2013 yang diwartakan pada 30 April 2014 dan dikemaskinikan sehingga 1 Mei 2014. "Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka dengan 35 untuk pengundian biasa yang mempunyai 120 saluran dan satu pusat untuk pengundian awal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan kerusi berkenaan di sini hari ini. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. Abdul Aziz berkata Dewan Sekolah Menengah Seri Perak, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan juga penjumlahan undi. "Kos untuk PRK kali ini ialah kira-kira RM1.4 juta dan seramai 957 petugas akan dilantik," katanya. Katanya 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara. "Bagi pecahan kaum pula seramai 23,301 terdiri daripada pengundi Melayu, 25,310 pengundi Cina manakala pengundi India seramai 11,468," katanya. Beliau berkata daftar pemilih berkenaan akan mula dijual pada 17 Mei depan. Pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas SPR SEMAK NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai tarikh sama. Abdul Aziz berkata bagi kategori umur pula, pengundi berumur antara 30 hingga 39 adalah paling ramai iaitu 12,365 orang. "Terdapat juga pengundi yang melebihi umur 100 tahun iaitu seramai 45 orang," katanya. Abdul Aziz berkata bagi tujuan keselamatan, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya. "Seperti biasa hanya pemerhati rasmi yang dilantik sahaja dibenarkan untuk membuat pemerhatian di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan penjumlahan undi," katanya. -- BERNAMA

Umno parti dinamik yang mampu lakukan transformasi- Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno adalah sebuah parti dinamik yang mampu melakukan adaptasi dan transformasi mengikut peredaran masa dan persekitaran baharu. Presiden Umno itu berkata dalam usia yang menjangkau 68 tahun, Umno masih relevan, unggul dan gagah. "Buktinya kekuatan Umno menyerlah dalam pilihan raya umum lepas yang mana kerusi (Parlimen) bertambah kepada 88. (Kerjasama) DAP, PAS dan PKR hanya memperoleh 89 kerusi namun (Umno) satu sahaja boleh memenangi 88 kerusi," katanya ketika berucap semasa merasmikan Rumah Umno Taiping di sini, Khamis. Sebagai sebuah parti yang telah lama ditubuhkan, Najib berkata Umno juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran dan permasalahan. "Kita perlu sedar proses pembaharuan, penambahbaikan, muhasabah kepada diri kita perlu dilakukan sepanjang masa supaya Umno tetap relevan pada setiap zaman," katanya. Najib berkata prinsip perjuangan dan idealisme Umno untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara tidak pernah berubah sejak ditubuhkan. Mengenai Rumah Umno Taiping, Najib berkata beliau berharap bangunan yang diimpikan sejak 40 tahun lepas itu digunakan sebaik-baiknya untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan di kalangan anggota parti sesuai dengan nama yang diberikan iaitu "Rumah Umno". Beliau mahu bangunan empat tingkat yang terletak di Jalan Kota, di sini bukan sahaja digunakan sebagai pejabat Umno sebaliknya turut dimanfaatkan sebagai tempat percambahan fikiran. Najib berkata bangunan baharu itu diharap memberi inspirasi kepada anggota parti untuk bekerja lebih kuat bagi menjamin kejayaan Umno pada masa akan datang. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.