Sabtu, 12 Julai 2014

Misi pencarian MH370-kerajaan sediakan bajet khas

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berlepas ke China minggu depan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Yang Chuangtang bagi membincangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang kini memasuki fasa kedua. Beliau berkata walaupun perbelanjaan operasi SAR itu tidak termasuk dalam Bajet 2015 yang akan diumumkan pada Oktober ini, namun kerajaan tetap menyediakan bajet khas bagi menyelesaikan insiden itu. "Saya rasa bajet itu lain, MH370 adalah satu insiden yang kita ambil berat dan bagaimana kita dapat selesaikan dengan secepat mungkin. "Sebelum ini pun kita telah mengumumkan aset-aset yang baru yang dihantar kepada Australia untuk membantu dalam operasi ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bajet 2015 di ibu pejabat MCA, di sini, hari ini. Selain itu katanya, beliau kemudiannya akan berlepas ke Australia pada Ogos ini untuk tujuan sama. "Kita akan pastikan kerjasama Australia, China dan 26 negara ini terus komited mencari pesawat MH370 yang hilang itu. Sementara itu, Tiong Lai berkata kementeriannya akan memainkan peranan yang lebih penting dalam Bajet 2015 untuk merangsang pembangunan ekonomi negara. "Kementerian Pengangkutan adalah kementerian ekonomi, kita perlu merangsang pembangunan lebih banyak di Pelabuhan dan Lapangan Terbang dan ia telah mengikat ekonomi kita antara lebih 7.5 hingga 11 kali ganda. "Jadi pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang adalah satu pembangunan penting untuk majukan ekonomi negara kita," katanya lagi. Sumber: Sinar Harian

Kerajaan Pusat komited bantu Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat amat komited untuk menambah sumbangan kepada Sabah melalui kaedah yang difikirkan sesuai tanpa menjejaskan pembangunan industri minyak di negeri ini. Sebagai langkah serta merta, beliau mengumumkan bahawa Petronas bersetuju menambah sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) kepada Sabah terutama dalam bidang pendidikan termasuk menyediakan kemudahan sekolah luar bandar, penyediaan latihan kemahiran teknikal serta bantuan biasiswa kepada pelajar universiti. "Kalau kita nak berjaya secara berterusan, kita mesti ada keupayaan. Soalnya bukan untuk mendapatkan kontrak kerajaan semata-mata. Ia bukan tentang memberi kontrak tetapi tentang memberi nilai. "Dalam persaingan ekonomi hari ini, nilai kreatif menentukan kejayaan kita secara berterusan. Kita akan menambahkan keupayaan rakyat Sabah," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di sini malam Sabtu. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Najib berkata hubungan erat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah selain sumbangan Sabah bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) menang pada setiap pilihan raya memudahkan kedua-dua pihak membincangkan isu-isu berbangkit termasuk tuntutan tambahan royalti minyak. Beliau berkata Musa juga tidak pernah berdiam diri berhubung isu royalti minyak untuk Sabah dan sering bertanya kepada beliau bagaimana Sabah boleh memperoleh lebih banyak daripada pembangunan industri minyak dan gas. "Oleh itu, kalau ada apa-apa perkara berbangkit dari semasa ke semasa, tentu sekali kita boleh merundingkan perkara ini. Tidak semestinya kita bertempik di luar, tidak semestinya kita bawa usul ke Dewan Undangan Negeri. "Atas isu royalti minyak, kerajaan negeri Sabah tetap prihatin dalam hal ini. Saya boleh sahkan perkara ini," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengarahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memberi taklimat khas kepada kerajaan negeri Sabah dan menteri-menteri kerajaan Persekutuan dari Sabah berhubung isu itu bagi membolehkan mereka memahaminya dari sudut penambahan pendapatan untuk Sabah. "Percayalah kita melakukan yang terbaik untuk Sabah. Hakikatnya yang perlu kita fahami ialah peruntukan yang diterima Sabah melalui kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan jika dicampur perbelanjaan pembangunan dan operasi, ia adalah tiga kali ganda daripada 20 peratus royalti minyak yang disebut-sebut dan dicanang oleh parti-parti pembangkang," jelas beliau. Najib berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah juga sedang menimbang usaha dan bentuk bantuan untuk negeri ini dan akan mengumumkannya kelak. Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti komponen BN di Sabah supaya tetap berpegang kepada konsep perkongsian kuasa dan semangat BN serta membuat keputusan secara konsensus bagi memastikan BN terus utuh di negeri ini. Beliau berkata pemimpin parti-parti komponen BN perlu sedia duduk semeja dan mendengar pendapat mengenai sebarang permasalahan manakala wakil rakyat BN sama ada di peringkat negeri atau Parlimen haruslah adil dalam soal pengagihan bantuan. Sekiranya pemimpin parti-parti komponen BN bersifat adil dan inklusif dalam soal pengagihan bantuan, katanya keadaan itu akan memberi kekuatan berterusan kepada BN di Sabah. Mengenai masa depan Sabah, Najib berkata beliau yakin Sabah yang diterajui BN mempunyai masa depan yang cerah dan cukup baik untuk terus maju.

GST- kenaikan harga barang hanya "one-off"

Kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan hanya bersifat 'one-off' dan akan kembali stabil dalam masa setahun. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata berdasarkan kajian, kadar kenaikan juga agak kecil iaitu sekitar 1.4 hingga 1.8 peratus. "Bukannya tiada peningkatan langsung. Berdasarkan kajian ada sedikit peningkatan dan peningkatan ini kembali stabil dalam masa setahun," katanya di sini. Khazali ditemui Bernama selepas menyampaikan ucapan menutup Persidangan GST Kebangsaan anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis. Mengulas lanjut, beliau berkata sehubungan itu gaya hidup pengguna tidak akan berubah dengan pelaksanaan GST tersebut. "Jabatan Kastam telah melakukan simulasi untuk menguji impak GST terhadap orang ramai dan mendapati peniaga tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga secara melampau," katanya. Ini kerana katanya peniaga boleh menuntut kembali cukai enam peratus yang dibayar itu daripada kerajaan. Beliau juga mengingatkan peniaga bahawa mereka boleh didakwa menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan jika menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya. Dalam sidang Dewan Negara pada 5 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memaklumkan daripada 689 barangan yang dikategorikan sebagai barangan dikenakan GST, sebanyak 287 mengalami penurunan harga, 329 kekal, 255 sedang disemak dan hanya 73 mengalami kenaikan. Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu, bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus. -- BERNAMA

Anggota Polis Marin terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul, Semporna

Seorang anggota Pasukan Polis Marin terbunuh manakala seorang lagi hilang dipercayai diculik, apabila pasukan keselamatan itu diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam tadi. Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata kumpulan itu yang menggunakan senjata berat membuat serangan hendap terhadap pasukan keselamatan negara pada pukul 11.10 malam. "Anggota yang terbunuh berpangkat koperal dan yang hilang ialah konstabel. Kita tidak boleh dedahkan identiti mereka untuk menjaga sensitiviti keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran. Beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah menyasarkan pasukan keselamatan negara susulan peningkatan penguatkuasaan di kawasan itu dengan ramai suspek ditangkap. "Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota dari semua agensi keselamatan kita di kawasan Esscom agar lebih berhati-hati dan sentiasa siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Tun M gesa rakyat Malaysia hulur bantuan ke Gaza walaupun kecil

Rakyat Malaysia perlu terus menghulurkan bantuan, walaupun dalam nilai yang kecil bagi membantu penduduk Gaza, Palestin yang semakin menderita ditindas Israel, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) berkata bantuan itu mampu meringankan beban serta membolehkan rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup. "Kita (PGPF) ada wujudkan tabung Gaza melalui internet untuk orang ramai salurkan sumbangan...walaupun RM1, semua kita terima. "Setakat hari ini, kita telah kumpul RM500,000 dan dengan sumbangan ini kita akan bantu penduduk Gaza bagi meringankan beban mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)- Malaysia Is Not For Sale', terbitan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Karangkraf di sini. Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Mohd Nizam Mahshar. Dr Mahathir berkata PGPF akan berusaha meminta pertolongan dari negara-negara jiran Palestin untuk membawa masuk pelbagai bentuk bantuan seperti wang dan bekalan ubat-ubatan supaya dapat disalurkan kepada rakyat Palestin. "Seperti yang kita maklum terdapat beberapa sekatan tertentu untuk membawa bantuan ini, kalau boleh kita nak hantar pada negara jiran Palestin (untuk disalurkan pada rakyat Palestin) tetapi itu terpulang pada negara jiran tersebut untuk bantu atau tidak," katanya. Israel telah melancarkan serangan darat ke Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan' sejak Selasa lepas. Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.