Jumaat, 13 Mei 2016

PRK KUALA KANGSAR- PERAK SUDAH ADA SENARAI CALON

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tidak timbul soal sama ada calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar adalah anak setempat atau orang luar. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu berkata keutamaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk meletakkan calon yang boleh diterima serta disukai pengundi sekali gus dapat membawa kemenangan besar kepada parti. "Kita telah mendapat senarai (calon) serta maklum balas daripada pelbagai pihak sama ada dari peringkat akar umbi dan parti mengenai cadangan nama yang hendak dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Tidak timbul soal calon setempat atau tidak kerana pada tahap ini kita memfokuskan kepada calon yang boleh diterima, calon yang dikenali dan disukai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak di sini, hari ini. Katanya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Najib selaku Pengerusi BN yang akan membuat keputusan mengenai calon PRK Parlimen Kuala Kangsar berdasarkan prinsip 'musyawarah' yang diamalkan oleh BN. Menteri Besar Perak itu berkata BN tidak akan melakukan pemilihan calon hanya berdasarkan kepada pilihan individu semata-mata. "Saya ingin tegaskan, BN sentiasa membuat penilaian berdasarkan kepada maklum balas oleh rakyat yang berada di kawasan berkenaan (kawasan pilihan raya). Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Turut terkorban dalam nahas itu anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Noriah Kasnon. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala penamaan calon pada 5 Jun. Pada pilihan raya umum ke-13, Wan Mohammad Khair-il Anuar yang mewakili BN menang dengan majoriti 1,082 undi, mengalahkan calon PAS Khalif Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.BERNAMA

PRK KUALA KANGSAR, SUNGAI BESAR- BN LETAK CALON WINNABLE DAN LIKEABLE

Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon. "Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun. Kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas. Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar masing-masing dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Katanya, beliau pula akan bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua bahagian PRK berkenaan dengan dibantu Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Menurut Ahmad Zahid, persaingan sengit dijangka berlaku bagi kedua-dua kerusi pilihan raya itu memandangkan penyandang terdahulu memenangi kawasan itu dengan majoriti undi yang kecil. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi. Katanya BN menjangkakan dan mengalu-alukan pertandingan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua keadaan. "Apa yang lebih penting ialah pengalaman pilihan raya lalu yang cukup mengajar kedua-dua kawasan apabila memperoleh kemenangan yang marginal. Ini menunjukkan bahawa semua bentuk permasalahan dalaman harus diselesaikan sebelum penamaan calon. "Selain sejauh mana kekuatan pihak lawan, lebih penting ialah soal dan faktor kekuatan dalaman yang perlu dibina semula bagi meraih kemenangan dan memperoleh majoriti tinggi bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu," katanya. Ahmad Zahid berkata jentera BN telah menyusun kerja awal di peringkat pusat daerah mengundi di kedua-dua kerusi Parlimen dan beliau sendiri akan turun padang memastikan ia berjalan lancar serta mengikut perancangan.

GENAP 100 HARI PENTADBIRAN- BASHAH JANJI TERUSKAN PEMBANGUNAN UNTUK RAKYAT

Genap 100 hari pentadbiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam, beliau mahu memastikan segala bentuk pembangunan di negeri itu diteruskan demi kesejahteraan rakyat. Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada 4 Feb lalu berkata kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan di Kedah yang melibatkan semua bidang berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan. "Pembangunan melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, pelancongan dan ekonomi, jadi kita ingin pastikan semua perancangan yang sedia ada disusun dengan rapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan. "Semua janji yang telah diberikan akan ditunaikan termasuklah Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap yang dijangka akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan Projek Perumahan Taman Berjaya dan sumbangan amal kepada 100 pelajar sekolah di sekitar Pendang. Beliau berkata perancangan pembangunan itu perlu diteruskan kerana kelewatan dalam projek pembangunan boleh menyebabkan Kedah ketinggalan dengan negeri-negeri lain. "Saya bimbang Kedah akan tertinggal di belakang dan tidak mampu bersaing dengan negeri lain jadi saya ingin mengajak rakyat untuk bersama-sama dalam membangun dan menentukan kejayaan negeri," katanya. Tambahnya, tempoh 100 hari itu bukan penentu kejayaannya dalam mentadbir Kedah dan dia berharap rakyat dapat memberi ruang untuknya terus memajukan negeri dalam tempoh berbakikan dua tahun sebelum PRU14.

Rabu, 20 April 2016

MALAYSIA TIDAK PERLU CAMPUR TANGAN ASING UNTUK MENENTU HALA TUJU NEGARA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak memerlukan campur tangan asing untuk mencorak dan menentukan hala tuju negara. Beliau berkata urusan dalam negara selayaknya ditentukan oleh rakyat sendiri kerana formula itu telah terbukti berjaya. "Kita jangan minta orang asing campur tangan dalam hal urusan kita. Biarlah urusan dalam negera ditentukan oleh rakyat sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Amanah Saham Malaysia (MASM) 2016 di Stadium Mini Tapah. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Najib memberikan contoh Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan antara institusi yang boleh dibanggakan kerana bukan sahaja berjaya memiliki pelbagai hartanah di kawasan tertentu dalam negara, malah di seberang laut. "Inilah (PNB) salah satu kejayaan kita selama ini yang boleh kita banggakan, (hartanah) yang dulunya dimiliki oleh orang asing di London dan sebagainya sekarang ini dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata contoh kejayaan Malaysia yang dibentuk mengikut acuan tersendiri adalah Malaysia Airport Holdings Bhd (MABH) yang menjadi pemilik penuh dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha GGokcen di Istanbul, Turki. "Lapangan terbang ini telah mencatat pertumbuhan yang paling pantas di Eropah selama lima tahun berturut-turut," katanya. Selain itu perdana menteri berkata Malaysia perlu mempunyai strategi tersendiri untuk menjadi juara di peringkat rantau serta global dan bukannya hanya memikirkan soal tempatan. "Inilah intipati kepada perjuangan kita, tetapi akhirnya kita mesti kembali tentukan destini kepada perjuangan dan masa depan sendiri," katanya. MASM 2016 yang bertemakan 'Pelaburan 360 PNB' berlangsung selama sembilan hari mulai hari ini dan pelbagai pameran serta aktiviti pendidikan pelaburan disediakan kepada para pengunjung.

SPRM TAHAN BEKAS SUB BERKAITAN KES PENGUBAHAN WANG HARAM

Bekas setiausaha bahagian sebuah kementerian, yang sebelum ini didakwa berkaitan kes salah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan kes pengubahan wang haram. Turut ditahan bersama suspek dipercayai berkaitan pengubahan wang haram bernilai lebih RM17 juta ialah tiga individu termasuk sepasang suami isteri. Menurut sumber SPRM, kesemua mereka yang berusia antara 35 dan 57 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini antara pukul 3.30 petang dan 6.30 petang. Tiga individu itu merupakan kontraktor dan pemilik syarikat. Sumber itu berkata, suspek dijangka didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, esok. Bekas setiausaha bahagian kementerian itu merupakan antara sembilan individu yang disiasat oleh SPRM berhubung sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Selasa, 19 April 2016

TAHNIAH DATO SRI JOHARI BAHAROM

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum mendahului senarai 201 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini. Beliau antara 11 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat peringkat pertama itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang diiringi Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Selain Mohd Johari, turut menerima SSAP ialah Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali, Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad, Pengarah Urusan Seri Omega Private & International School Datuk Dr Ooi Chun Yen dan Pengasas Kumpulan Perniagaan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd Datuk Md Sharif Shamsuddin. Penerima lain SSAP ialah Pengarah Eksekutif Boustead Holdings Berhad Datuk Ghazali Mohd Ali, Pengarah EN Tie Enterprise Sdn Bhd Datuk Lum Ik Kin, Pengarah WM Development Sdn Bhd Datuk Tan Them Hing, Pengarah Urusan Ho Hup Company Sdn Bhd Datuk Mohamad Nasir Abdul Rahim, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Datuk Azlan Meah Ahmad Meah dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kuantan Datuk A Selvakumar. Lima individu dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah (DSAP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Anggota Lembaga Maahad Tahfiz Pahang Datuk Mahadiah Mohamad, Pengarah Urusan Bahagian Anika Sdn Bhd Datuk Abu Bakar A.Rashid, Setiausaha Bahagian Dasar, Saraan dan Pengurusan Kementerian Kewangan Malaysia Siti Fatimah Daud dan Pengarah Super Coach Holiday Sdn BHd Teo Chooi Seng. Seramai 49 orang pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk termasuk Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Yusoff HM Hanif, Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara Amarjeet Singh, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Mohd Sukari Ab Hamid. Turut menerima DIMP ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional L Gandesan, Pengarah Perikanan Pahang Adnan Hussain, Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Pengarah Jabatan Imigresen Johor Rohaizi Bahari, Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) Tenaga Nasional Berhad Datuk Nor Azman Mufti@Jaafar dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya. Presiden Persekutuan Hoki Kazakhstan Berikkazy Seksenbayev, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad John Chong Eng Chuan, Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Prince Court Medical Centre Dr Azmil Farid Zabir, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro Khairul Anwar Salleh, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Bedah Urologi, Jabatan Urologi Universiti Putra Malaysia Dr Khairul Asri Mohd Ghani dan Pakar Perubatan Am Hospital Miri Dr Fam Tem Lom juga dikurniakan DIMP.
Turut menerima DIMP ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Dasar Sumber Manusia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman DCP Raja Musa Raja Razak, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dr Mohammad Razin Kamarulzaman, Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman SAC Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus. Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia Norashikin Abd Ghani, Pengurus Besar Kumpulan Perladangan FELCRA Bhd Abd Muis Damuri, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Melayu Malaysia Khairul Walid Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering Sdn Bhd Hazwan Alif Abdul Rahman juga dikurniakan DIMP. Sultan Ahmad Shah turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Ahmad Shah (SAP) kepada 10 penerima, Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 33 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 9 penerima dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 43 penerima. Selain itu, seramai 11 orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 15 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 15 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

CEPATKAN PERLANTIKAN ANGGOTA PANEL PENILAIAN SPRM

Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan supaya mempercepatkan pelantikan anggota Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah lembaga itu. Beliau berkata panel berkenaan adalah sebahagian daripada fungsi pemantauan SPRM, oleh itu, pelantikan berkenaan penting bagi mengelak sebarang kesan negatif terhadap suruhanjaya itu. "Kami agak bimbang dan ingin menggesa kerajaan supaya membuat pelantikan itu secepat mungkin supaya SPRM boleh meneruskan tugas dan fungsinya," kata pengerusi lembaga penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kepada Bernama di sini, Selasa. Jawatan dalam kedua-dua panel itu belum diisi sejak 24 Feb lepas setelah anggota panel sebelum ini menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing. Pada masa ini, belum ada pelantikan dibuat bagi kedua-dua panel itu. "Hari ini, laporan tahunan kami dibentangkan tetapi malangnya, kedua-dua panel itu tidak wujud," kata beliau. Tunku Aziz berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh melantik semula anggota lama atau melantik anggota baharu bagi kedua-dua panel itu. "Sebab itulah, pelantikan anggota panel berkenaan penting," katanya sambil memberitahu jika pelantikan itu dilewatkan, kebebasan SPRM mungkin dikompromi. SPRM mempunyai lima panel bebas merangkumi Lembaga Penasihat, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.BERNAMA

DAKWAAN THE WALL STREET JOURNAL PALSU

Dakwaan The Wall Street Journal yang melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu. Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad berkata Najib secara konsisten menyatakan dana itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi. "Selepas siasatan menyeluruh, ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa. Terbaru, Menteri Luar Arab Saudi mengesahkan ia adalah sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, dan negara itu sudah menganggap isu berkenaan selesai. "Ini adalah pembohongan yang gagal digunakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggugat kerajaan yang dipilih secara demokrasi," katanya dalam kenyataan di sini malam ini. Tengku Sharifuddin berkata Dr Mahathir mahu menyelamatkan karier politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengatasi kepentingan nasional.BERNAMA

UMNO DENGAN PAS PERLU BERSATU DEMI ISLAM

Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik. Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran. "Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing. "Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di sini, hari ini. Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain. Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam. Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran. Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam. Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada persidangan itu boleh diadakan di Malaysia.BERNAMA

Sabtu, 16 April 2016

POLIS BUKA KERTAS SIASATAN TERHADAP TUN MAHATHIR

Polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia. "Tun Mahathir adalah negarawan yang dihormati. Kita minta dia menghormati perlembagaan Persekutuan dan jangan cuba menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh ditakrif mengancam demokrasi berparlimen di Malaysia," katanya. Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada perbincangan meja bulat dan bengkel permasalahan sempadan di Mess Pegawai Kanan Polis Perlis di sini, hari ini yang dihadiri pegawai kanan polis dari seluruh negara. Program sehari itu dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man. Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat pihak tertentu terhadap Dr Mahathir yang sering mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PENGUNDI SARAWAK DIGESA TOLAK CALON KELAWAR PADA MUSIM BUAH

Rakyat Sarawak diminta menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sentiasa turun padang bagi menyelesaikan pelbagai masalah penduduk tanpa mengira waktu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata penduduk memerlukan wakil rakyat yang mampu menyelami keperluan dan melihat nasib 'anak buah' di kawasan tanpa mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak. Katanya rata-rata pemimpin pembangkang bersikap bagaikan 'kelawar pada musim buah' yang turun padang hanya pada musim pilihan raya dan menghilangkan diri selepas itu. Pemimpin ini hanya tunjuk muka ketika musim pilihan raya dan tinggalkan kawasan itu selepas pilihan raya berakhir tanpa membawa apa-apa pembangunan," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Linchang, Entawa, dekat sini Sabtu. "Mereka (pemimpin pembangkang) berkokok di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat tetapi tiada pembangunan dibawa, itu sebabnya kita harus mendokong dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang terbukti sentiasa turun padang, bukan hanya ketika pilihan raya sahaja," tambahnya. Hadir sama, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat yang juga Anggota Parlimen Sri Aman dan juga penyandang kerusi DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis. Ahmad Zahid berkata kesinambungan pimpinan kerajaan pusat dan negeri akan memacu pembangunan berterusan di Sarawak. Beliau menyeru penduduk Sarawak memberi mandat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan BN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini bagi meneruskan pelbagai rancangan pembangunan negeri. "Peluang harus diberikan kepada Tok Nan (Adenan). Walaupun kurang dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, lebih 50 projek, prinsip dan perancangan dilaksanakan. Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang komited," katanya. Selain itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga komited dalam membangunkan negeri Sarawak dengan memberi peruntukan dalam pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai lebih RM16 bilion. -- BERNAMA

Jumaat, 15 April 2016

ZAKIR NAIK ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPAPA TIMBALAN PERDANA MENTERI

Pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pertemuan kira-kira 30 minit itu berlangsung di pejabat timbalan perdana menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memuat naik gambar pertemuan tersebut di laman Twitter miliknya. Sebelum pertemuan itu, Dr Zakir menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perdana Putra. Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah 2013 kini dalam rangka jelajah ceramah umumnya di beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur. Sebelum ini, kehadirannya di Malaysia untuk menyampaikan ceramah agama telah didakwa oleh beberapa pihak sebagai menggugat ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain. Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan pembatalan syarahannya bertajuk 'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka, Ahad ini, agar tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama. Bagaimanapun, sehari selepas itu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan membenarkan Dr Zakir meneruskan ceramahnya itu yang dijadualkan di Universiti Teknikal Malaysia (UteM) di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya. Pengasas Islamic Research Foundation (IRF) itu, yang merupakan seorang doktor perubatan, sering menyampaikan ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia.

Khamis, 14 April 2016

LARANGAN MASUK SARAWAK BUKAN HANYA KEPADA PEMBANGKANG

Kerajaan negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Beliau berkata insiden empat individu dilarang memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini menunjukkan sekatan itu bukan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang semata-mata. Menurutnya individu yang dilarang oleh Jabatan Imigresen negeri untuk masuk ke negeri itu terbabit dalam perhimpunan 'baju merah' di Kuala Lumpur pada 16 Sept tahun lepas dan kebetulan mereka adalah ahli UMNO. "Ini adalah jawapan kepada dakwaan Chong bahawa kami hanya menyekat ahli-ahli pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kumpulan syarikat Rimbunan Hijau di sini. Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri itu mengamalkan sikap berat sebelah kerana ia hanya melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke negeri itu. Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen LTAK pada jam 11.30 pagi. Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim. Kesemua individu berkenaan dikatakan datang ke negeri itu bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dijadual pada 7 Mei ini.BERNAMA

ARAB SAUDI SAHKAN SUMBANGAN DERMA KEPADA PM NAJIB DATANG DARI NEGARA ITU

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir hari ini mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memang datang daripada negara itu. "Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku. "Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis. Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.BERNAMA

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK 7 MEI- SPR

ke- Pilihanraya umum negeri Sarawak akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April 2016. Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April. "Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu hari ini, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu. Katanya pilihan raya negeri (PRN-11)akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016. PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. Mohd Hashim berkata 1,879 buah premis akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 2,959 saluran/tempat mengundi dan seramai 20,811 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini. Beliau berkata SPR bersetuju melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN, di samping menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya khusus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen. "Pilihan raya ini dianggar memerlukan belanjawan sebanyak RM135.6 juta," katanya. Mohd Hashim berkata SPR juga melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan perhatian perjalanan proses PRN bermula daripada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. Beliau berkata para pemerhati itu dilantik dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi. "Pemerhati rasmi yang dilantik akan diberikan pas pemerhati, baju dan topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian itu. "Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN Ke-11," katanya. Apabila ditanya mengenai penentuan tarikh-tarikh penting itu, Mohd Hashim berkata pelbagai aspek diambil kira termasuk penggunaan premis dan juga 'hari-hari besar' di Sarawak supaya ia tidak bertindih. Beliau berkata banyak tarikh-tarikh utama PRN disebarkan media namun ia hanya sekadar ramalan penganalisis politik.BERNAMA

Selasa, 12 April 2016

VETERAN UMNO GESA TUN M DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG UNDANG

Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara. Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri. "Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar. Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional. "Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini. "Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.BERNAMA

SPR MESYUARAT KHAMIS TENTUKAN TARIKH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11. Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat akan diadakan di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di sini pada pukul 9.30 pagi dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh bagi hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya itu, katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata pengerusi SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu. Pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas. Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata Sarawak kini di bawah kerajaan sementara mengikut Perlembagaan Negeri apabila terbubarnya DUN Sarawak hari ini. "Kerajaan sementara akan meneruskan urusan dan berfungsi seperti kerajaan negeri. Tidak banyak beza. "Namun begitu, kerajaan sementara tidak boleh meluluskan apa-apa projek," katanya kepada Bernama dan RTM di pejabatnya di sini. Mengikut Artikel 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, Asfia berkata dewan akan bersidang dalam tempoh 120 hari bermula dari hari ini. Dalam tempoh ini, beliau berkata kedudukan ketua menteri dan Jemaah Menteri kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

ISU JATUHKAN MB JOHOR, HALIMAH SADIQUE NAFI TERBABIT

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Halimah berkata beliau tidak faham bagaimana timbulnya 'cerita-cerita' tidak betul itu sekali gus menyifatkan ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor. "Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul. "Kami timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan. "Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan," katanya. Anggota Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn, di sini hari ini. Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar. Halimah berkata kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini. Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat. "Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerakkan untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor," katanya.BERNAMA

Khamis, 7 April 2016

KES 1MDB PENGAJARAN KEPADA KERAJAAN- SALLEH

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) harus menjadi pengajaran kepada kerajaan. Beliau berkata kerajaan memerlukan pengurus yang profesional, kompeten dan berpengalaman apabila menguruskan wang pembayar cukai. "Telah banyak kali kita menyaksikan kerugian akibat kelemahan keputusan. Untuk mendepani cabaran, kita perlu menyerahkan tugas itu kepada orang yang berkelayakan. Dan ini harus menjadi strategi yang diamalkan," kata beliau menerusi catatan dalam blog terbaharunya (sskeruak.blogspot.my) di sini, Khamis malam. Hari ini, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu "kurang memuaskan" menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat. Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014. Salleh berkata PAC tidak berkhidmat dengan kerajaan tetapi ia mewakili Parlimen dan anggotanya terdiri daripada kerajaan dan pembangkang. Beliau menjelaskan laporan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali terdapat konsenses daripada semua anggota PAC dengan sebulat suara mencapai kesepakatan bahawa dapatan laporan itu adalah faktual dan tidak boleh dipersoalkan. Sementara itu, beliau berkata tidak ada bukti mengenai apa-apa aktiviti jenayah, wang RM42 bilion wang 1MDB tidak hilang dan RM2.6 bilion daripada wang 1MDB tidak dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Apa yang disebut hanyalah dakwaan pengurusan yang tidak cekap dan andaian bahawa pasti Perdana Menteri sedar tentang perkara ini, dan walaupun jika tidak sedar, beliau juga harus bertanggungjawab," katanya. Salleh berkata memikul bertanggungjawab bagi pengurusan yang tidak cekap atau kelemahan keputusan perniagaan adalah jauh menyimpang daripada dakwaan mencuri berbilion-bilion wang pembayar cukai untuk kegunaan peribadi. "Perwaja, Proton, kerugian Forex RM30 bilion, Maminco, dan banyak lagi, semuanya ialah kes sama ada kelemahan pengurusan atau keputusan perniagaan yang tidak bijak. Tetapi tiada siapa yang diminta dipenjarakan kerana mencuri melibatkan wang pembayar cukai wang," katanya. Beliau berkata Najib telah "dibicarakan" dalam media dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum. Salleh berkata di bawah Najib, perbahasan dan kebebasan bersuara dibenarkan dengan lebih meluas daripada masa lalu dan meminta rakyat Malaysia membezakan antara kebebasan bersuara dan fitnah.BERNAMA

VETERAN UMNO MINTA PM NAJIB JANGAN LAYAN TUDUHAN KAITKAN 1MDB

Veteran Umno Malaysia (Veteran) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak lagi melayan sebarang tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata laporan yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini jelas mendapati perdana menteri tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat berkenaan, termasuk dakwaan bertanggungjawab dengan kehilangan wang RM42 bilion dan tuduhan menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi. Mustapha berkata pihaknya sememangnya menunggu laporan dan pengesahan PAC yang diketuai Datuk Hassan Arifin itu. "Veteran yakin, laporan PAC yang keanggotaannya terdiri dari wakil-wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah telus dan tidak boleh dibeli atau disogok. Oleh itu, tidak ada sebab keputusan itu harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang rasional, kecuali mereka yang tidak mahu mengalah dan mahu menegak benang basah serta berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa perdana menteri untuk tidak lagi membazir masa melayan kerenah mereka yang memang berniat jahat dan cuba menjatuhkan beliau dengan secara tidak sah dan tidak mengikut lunas saluran demokrasi. "Sekiranya selepas laporan PAC ini masih ada pihak yang masih menuduh Najib terlibat dengan kehilangan wang 1MDB dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, Veteran mahu supaya Najib mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka," katanya. Mustapha berkata pihaknya juga mahu laporan PAC itu diperjelaskan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pihak termasuk media. Justeru, katanya, pihak terlibat termasuk menteri-menteri, ketua jabatan dan pemimpin BN perlu turun padang untuk memperjelaskan keputusan PAC itu. "Tindakan ini perlu dilakukan bukan untuk membersihkan nama Najib tetapi untuk membersihkan nama kerajaan yang tercemar dengan tuduhan dan fitnah liar oleh pembangkang dan mereka yang mahu Najib dijatuhkan sebagai ketua kerajaan," katanya.

WANITA UMNO JOHOR TOLAK DAKWAAN ADA USAHA JATUHKAN MB

Pergerakan Wanita Umno Johor pada Khamis menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan adanya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Ketua Wanita Umno Negeri Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata seluruh kepimpinan Wanita Umno Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar. Menurutnya, Mohamed Khaled bukan sahaja dilihat sebagai Menteri Besar yang berjaya membawa perubahan dan kemajuan dalam pentadbiran tetapi juga kepada pengurusan kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai aspek untuk kepentingan rakyat dan bangsa Johor. "Menteri Besar Johor juga telah berjaya membawa perpaduan dan permuafakatan di kalangan pimpinan Umno pelbagai lapisan dan peringkat. (Jadi) tidak perlulah kita melayan isu-isu yang boleh melemahkan jentera dan parti. Saya menyeru seluruh ahli Wanita Umno pelbagai peringkat terus bekerja keras membantu Menteri Besar Johor dalam menangani permasalahan dan menjaga kebajikan rakyat seterusnya memastikan pengukuhan parti dipertahankan demi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Khamis. Sharifah Azizah berkata Johor dengan cara dan acuan tersendiri pastinya memerlukan lebih banyak sentuhan ajaib daripada Menteri Besar Johor bagi melakar kejayaan bangsa Johor kini dan masa hadapan. "Rekod cemerlang ditunjukkan Mohamed Khaled selama ini menjadikan tiada sebab untuk beliau digantikan dengan orang lain. Wanita Umno berharap rakyat menolak dengan sekeras-kerasnya adu domba yang cuba dikaitkan di antara Mohamed Khaled dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau. Wanita UMNO Johor yakin jalinan persahabatan dan keakraban Mohamed Khaled dan Najib amat erat malahan hala tuju kepimpinan Menteri Besar Johor hari ini seiring dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan pusat. Sementara itu, Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim pula menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pukat terlabuh, ikan tak dapat'. "Kami dari Pergerakan Pemuda Umno Johor ingin menegaskan bahawa sebarang gerakan bagi menukar Menteri Besar Johor adalah satu perkara yang mengarut dan membazir masa," katanya dalam satu kenyataan berasingan. Menurut Hahasrin, di bawah pentadbiran Mohamed Khaled negeri Johor terus maju dan menghasilkan pendapatan ekonomi negeri progresif dan hasilnya menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) Johor mencatatkan pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai RM93.7 billion pada tahun 2014 sahaja. "Selain itu, banyak perkara yang mensejahterakan dan mengutamakan rakyat telah banyak dijalankan. Ini dapat dilihat menerusi Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat," kata Hahasrin sambil menambah Pergerakan Pemuda Umno Johor tetap teguh bersama-sama Menteri Besar Johor. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Md Jais Sarday pula berkata barisan kepimpinan kerajaan Negeri Johor dan Umno Johor akan terus mendokong kepimpinan Mohamed Khaled dalam menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan semua sahabat, rakan serta seluruh rakyat Johor yang berdiri teguh bersama Menteri Besar kita," katanya menerusi akaun Facebook rasminya. Semalam, sebuah portal melaporkan adanya gerakan untuk menggantikan Mohamed Khaled.

KENYATAAN PENGERUSI PAC MENGENAI ISU 1MDB

Kenyataan Media YB Dato’ Hasan bin Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen
1) Hari ini, PAC membentangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu. 2) PAC yang dianggotai 14 Ahli Parlimen sembilan ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada Kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) 3) PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB. 4) PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. 5) Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB. 6) PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini. 7) PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang. 8) PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini 9)Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil. Dato’ Hasan bin Arifin Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Merangkap Ahli Parlimen Rompin

LAPORAN PAC BUKTI TUDUHAN TERHADAP PM TIDAK BENAR

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB membuktikan tuduhan yang mengatakan ada 'tangan ghaib' yang memperoleh faedah atau pengarahan terhadap sesuatu transaksi adalah tidak benar. "Laporan ini jelas menunjukkan keadaan adalah sebaliknya," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri. "Penelitian harus dibuat terhadap syor-syor yang telah dibuat jawatankuasa ini termasuk badan-badan penguatkuasaan yang perlu melakukan siasatan terhadap mantan ketua pegawai eksekutif yang telah menguruskan badan (1MDB) ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti disyor oleh PAC. PAC membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB di Dewan Rakyat. Antara syornya ialah meminta pihak berkuasa supaya menyiasat bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan. Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata laporan PAC harus diterima sebagai laporan rasmi dan tidak dijadikan polemik politik. "Dengan ini, saya harap perkara ini (laporan) tidak jadi polemik politik sebaliknya diterima sebagai satu laporan rasmi yang dibuat oleh PAC di mana lantikan ini dibuat oleh Jawatankuasa Hak yang telah ditentukan oleh anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang," katanya. "Mereka (PAC) tentunya telah meneliti terdapat urusniaga yang dijalankan tidak berdasarkan peraturan urusniaga yang memerlukan daya keuntungan sesuatu projek itu dan dalam perkara ini serahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan," katanya.BERNAMA

KERAJAAN AMBIL LANGKAH SEGERA SELESAIKAN MASALAH 1MDB-PAC

Kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mula timbul pada November 2014, menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). PAC dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di Parlimen di sini Khamis, berkata pada Januari 2015, pengurusan tertinggi baharu syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu telah dibawa masuk. "Selepas itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menumpukan perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah syarikat. "Suatu kajian strategik telah dilaksanakan dan rumusan dibentangkan pada Februari 2015. Susulan itu, 1MDB dan MKD telah membentangkan pelan rasionalisasi kepada Jemaah Menteri pada 29 Mei 2015," menurut laporan jawatankuasa Parlimen itu. Menurut laporan setebal 106 muka surat itu, sehingga Januari 2016, aset 1MDB adalah RM53 bilion melebihi hutang RM50 bilion. Pada 4 Mac 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat dwipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen. PAC dipengerusikan anggota Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin manakala naib pengerusinya ialah anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw. Ahli-ahli jawatankuasanya yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen BN, dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.BERNAMA

LAPORAN PAC-42 BILION TIDAK HILANG DARIPADA 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB. "Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu. "Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Najib berkata kini sudah jelas bahawa dakwaan dilemparkan Dr Mahathir terhadap 1MDB didorong oleh kepentingan peribadi, "bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan". Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Kabinet pada Mac 2015 untuk meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB susulan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap 1MDB, seperti dakwaan Dr Mahathir bahawa RM42 bilion telah hilang. "Untuk memastikan ketelusan proses ini, kami juga telah mengarahkan supaya dapatan-dapatan itu dihantar untuk semakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang - sebuah badan dwipartisan yang turut dianggotai anggota Parlimen pembangkang," katanya. Najib berkata selepas melalui proses yang lengkap dan menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan laporan mengandungi dapatan-dapatannya di Parlimen. "Laporan ini mewakili konsensus oleh anggota PAC, dan dapatan-dapatannya adalah berdasarkan fakta dan beratus-ratus jam menyemak dan menyiasat. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana mengeluarkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad. "Selepas membacanya, saya mendapati laporan PAC menunjukkan bahawa RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB, seperti didakwa oleh Tun Mahathir," katanya. Najib berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap "pelan ekonomi dan memperkukuhkan ekonomi - yang terus menunjukkan daya tahan dalam berdepan cabaran-cabaran global".

MARA DISKAUN 50 PERATUS PINJAMAN BAGI PELAJAR YANG GAGAL

Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran MARA yang gagal dalam pengajian mereka, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa. Annuar berkata tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan. "Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis. Pada sidang media itu, Annuar berkata peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah diberi tawaran diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun. Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik. "Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000," katanya. Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka. Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal Mara http://insentif50.mara.gov.my dan dibuka sehingga 31 Dis tahun ini sahaja. "Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun," katanya. Beliau berkata MARA adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar menyamakannya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memang meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar. "Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun MARA ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat," katanya.

Selasa, 5 April 2016

LTAT AMBIL TINDAKAN UNDANG UNDANG TERHADAP RAFIZI

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli berhubung dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung PKR itu terhadap LTAT. Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata: "Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT. "Sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Antara dakwaan Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan, ialah berhubung pembayaran gratuiti kepada pencarum LTAT. Mohd Anwar berkata adalah tidak munasabah untuk Rafizi membandingkan jumlah pembayaran gratuiti yang dibuat sepanjang tahun dengan baki tunai pada akhir 2014. "Sepanjang 2014, LTAT telah membuat pembayaran pengeluaran caruman berjumlah RM982.9 juta kepada pencarum yang tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," jelasnya. Sehubungan itu, beliau berkata baki akhir tahun bagi 2014 berjumlah RM561.5 juta adalah baki setelah LTAT membuat semua bayaran termasuk bayaran kepada para pencarum yang mengeluarkan caruman di sepanjang tahun berkenaan. Selain itu, Mohd Anwar berkata LTAT juga telah menerima dan menyemak senarai 110 pencarum daripada Rafizi yang didakwanya tidak menerima bayaran gratuiti masing-masing. Daripada jumlah itu, Mohd Anwar berkata LTAT telah membuat pembayaran kepada 70 pencarum; kegagalan pengesahan cap jari dan telah dihubungi (seorang pencarum); dokumen diterima daripada Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kementerian Pertahanan pada 4 April 2016 (23 pencarum) serta dokumen belum diterima UGAT (16 pencarum). "LTAT ingin menekankan dan menjelaskan sekali lagi bahawa semua pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan termasuk semua 70 yang disebut di atas, telah, dan akan terus diuruskan, dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dan diluluskan daripada UGAT. "Permohonan-permohonan seperti ini diterima dan dibayar secara berterusan sepanjang tahun," katanya. Berhubung kelewatan bayaran daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) bagi projek penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), Mohd Anwar berkata: "Sehingga kini, pembayaran oleh 1MDB kepada PPHM telah dibuat, dan PPHM yang menjadi kontraktor 'turnkey' untuk 1MDB projek PUKL pula telah membayar semua sub kontraktor atas jumlah yang ditetapkan mengikut kontrak." Mohd Anwar berkata akaun LTAT juga diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen.BERNAMA

BN DEDAH DOKUMAN TANAH DI TAMAN MANGGIS PULAU PINANG

Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan dokumen perjanjian jual beli mengaitkan plot tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang yang menimbulkan kontroversi yang dijual kepada pihak ketiga. Ketika mendedahkan perjanjian itu di sini hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata dokumen itu menunjukkan bahawa Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Sdn Bhd telah menjual saham tanah itu kepada pihak ketiga. Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata perjanjian bertarikh 11 Nov tahun lepas, juga menunjukkan bahawa harga pembelian transaksi sub-jualan itu ialah RM70,643,628. Tanpa mendedahkan identiti "pihak ketiga", beliau menarik perhatian bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menafikan yang tanah itu dijual kepada pihak ketiga. "Tetapi apa yang beliau (Lim) tidak mendedahkan ialah tanah itu sekarang dipegang oleh KLIDC dan penjualan sahamnya (KLIDC) mempunyai kesan yang sama seperti juga menjual tanah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini. Pada 24 Mac, Lim menolak dakwaan bahawa tanah di Taman Manggis - yang dikatakan untuk pembangunan projek perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dijual kepada pihak ketiga dan tanah itu masih di bawah KLIDC seperti dinyatakan dalam geran tanah. Isu berhubung tanah Taman Manggis dan banglo yang dibeli oleh Lim bermula apabila perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah membuat penilaian ke atas hartanah RM2.8 juta itu kerana mendakwa harga semasa adalah melebihi RM3 juta. Abdul Rahman berkata, perjanjian meliputi penjualan antara lain berhubung-kait antara satu sama lain melibatkan penjualan KLIDC dan Victoria International Medical Centre Sdn Bhd, masing-masing pada harga RM18,643,628 dan RM52,000,000, dan syarikat yang terlibat dimiliki oleh Datuk Tang Yong Chew dan isterinya. "Apabila dibaca pada masa yang sama, kedua-dua perjanjian nampaknya melibatkan penjualan Medical Centre dan projek Hotel dengan aset teras ialah tanah di Taman Manggis," kata beliau. Projek di kawasan tanah itu kini ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada beberapa pihak. Walaupun penjualan tanah di Taman Manggis adalah lebih rendah daripada harga pasaran, Abdul Rahman berkata, tanah itu kemudian dijual semula oleh KLIDC kepada pihak ketiga bagi RM70.6 juta, dengan keuntungan diunjurkan sebanyak RM59 juta, walaupun teras projek belum dibangunkan. Beliau berkata tanah itu asalnya dijual kepada KLIDC pada 6 Jun, 2010 apabila Kerajaan Pulau Pinang menawarkannya di bawah permintaan kontroversi untuk proses cadangan pada harga RM11.55 juta atau RM232 untuk sekaki persegi, harga yang kebanyakan pihak percaya adalah lebih rendah daripada nilai pasaran pada masa itu. Abdul Rahman turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai transaksi tersebut dan sama ada ia telah memberi kelulusan. Selain itu, Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan pasukannya untuk mengemukakan perjanjian jual beli dan dokumen lain yang berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis hari ini. "Kami berharap dokumen tersebut akan membantu mereka untuk melaksanakan tugas, tanpa takut atau memihak," katanya. Kepada satu soalan, Abdul Rahman berkata, keputusan Kerajaan Pulau Pinang untuk membina projek perumahan kos rendah pada plot tanah yang lebih luas di Jalan S. P. Chelliah, di pusat bandar, adalah sama sekali berbeza daripada rancangan awal di Taman Manggis. "Di S. P. Chelliah, satu unit berharga RM72,000 manakala unit PPRT dijual pada harga RM35,000, walaupun kos pembinaan melebihi RM100,000, dengan kadar sewa RM100 sebulan. Harga di S. P. Chelliah adalah dua kali ganda dan ia tidak memenuhi permintaan golongan miskin tegar," jelas beliau. Tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang mulanya telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik tetapi rancangan untuk PPRT digantikan dengan cadangan untuk projek pembangunan bercampur pada 2005. Lim berkata kerajaan negeri mendapati keluasan tanah di Taman Manggis (lebih satu ekar tanah) tidak sesuai untuk perumahan kos rendah, dan telah memindahkan projek perumahan mampu milik ke tanah yang lebih 10 kali lebih besar di Jalan S. P. Chellilah. -- BERNAMA

KERAJAAN TERUS SOKONG MARA TERAJU ASPIRASI MELAYU

Kerajaan akan terus menyokong visi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menerajui aspirasi Melayu dan Bumiputera menjadi kuasa besar dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pemilikan ekuiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata selepas 50 tahun penubuhan MARA, institusi itu telah memainkan peranan penting terhadap pembangunan sosioekonomi negara dan setakat ini MARA sudah memperkasa lebih daripada 4 juta Bumiputera melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi. Dalam catatan terbaru di blog beliau, Najib berkata, sejarah penubuhan MARA, adalah sesuatu yang amat dekat dan peribadi buat dirinya. Diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri (kemudian Perdana Menteri kedua) yang juga ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1965 dan digazetkan pada tahun berikutnya, beliau berkata, MARA mula mengorak langkah mengangkat martabat bangsa dan menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera. "MARA membesar bersama-sama Malaysia. Selepas kita mencapai kemerdekaan, MARA adalah antara institusi yang telah mentransformasikan dan menaik taraf kehidupan Bumiputera secara berterusan," katanya. Dari segi keusahawanan, beliau berkata MARA sentiasa tanpa gagal memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dengan bantuan kewangan, latihan kemahiran dan juga bantuan dari segi pembangunan infrastruktur. Malah, hanya melalui pelaksanaan Pelan Strategik MARA 2011-2015, institusi ini telah mendidik lebih 80,000 usahawan ke arah kejayaan, katanya. Selain keusahawanan, MARA juga memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan. "Buktinya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara, telah melahirkan banyak tenaga kerja, pakar industri dan profesional," kata Najib. Mengambil contoh beberapa individu seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengasas bersama AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan ketua pegawai eksekutif Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly, beliau berkata, mereka ini adalah antara sebahagian graduan MARA yang berjaya dan kini menjadi tokoh industri. MARA turut menghasilkan generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk pendidikan di dalam dan luar negara. Katanya, MARA telah menaja 75,000 anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi. "Saya yakin dan percaya, MARA akan terus melahirkan bakat berkualiti Melayu dan Bumiputera yang mampu membanggakan negara, agama dan bangsa. "Pada masa sama, saya harap mereka yang telah mendapat manfaat dan kini berjaya melalui bantuan MARA akan kembali menyumbang kepada generasi Melayu dan Bumiputera seterusnya," katanya. Dari segi ekonomi, Perdana Menteri berkata MARA juga menubuhkan anak syarikat seperti MARA Liner Sdn Bhd, MARA Incorporated Sdn Bhd, Pelaburan MARA Bhd dan Asia Aerospace City bagi menjana kewangan mampan. Najib berkata sempena sambutan ulang tahun MARA yang ke-50 semalam, ia (MARA) mengumumkan akan menstruktur semula semua anak syarikatnya yang akan diletakkan di bawah MARA Corporation Bhd (MARA Corp) dengan modal berbayar RM1.4 bilion, manakala Rural Capital Bhd, sebuah institusi kewangan khusus bagi membantu usahawan, juga akan ditubuhkan. Selain itu, beliau juga berkata, sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini.

RAFIZI DITAHAN DI BAWAH AKTA RAHSIA RASMI

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitter miliknya mengesahkan penahanan Ahli Parlimen Pandan itu. "@PDRMsia sahkan bahawa YB Rafizi Ramli telah ditahan sebentar tadi, di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972," katanya. Difahamkan, Rafizi ditahan kira-kira 6.20 petang sejurus keluar dari bangunan Parlimen. Semalam, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT. Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dakwaan Rafizi itu adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.

Isnin, 4 April 2016

PEMBANGKANG SERANG PERIBADI PM NAJIB KERANA USAHA JATUHKAN KERAJAAN GAGAL

Pembangkang menggunakan strategi menyerang kepimpinan dan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjatuhkan kerajaan setelah pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini menemui jalan buntu. Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata taktik kotor itu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas mereka gagal mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan Barisan Nasional (BN). Kini mereka menyerang kepimpinan dan peribadi perdana menteri pula dengan pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun telah diputuskan beliau tidak terbabit, katanya. "Mereka mengasak dengan pelbagai isu bertujuan untuk mempengaruhi rakyat agar membenci kerajaan dan pemimpin BN dengan harapan mereka boleh menang pada PRU ke-14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan UMNO cawangan Temerloh di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata lebih malang lagi apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut terperangkap dengan mainan politik yang dilakukan oleh pembangkang apabila bersekongkol dengan mereka mengadakan Deklarasi Mahathir. Ismail Sabri berkata bekas presiden parti itu dilihat sudah tidak boleh mengawal tindakannya sehingga 'bersahabat' dengan pembangkang sedangkan sebelum ini beliau sendiri mencemuh pemimpin dan dasar politik yang diperjuangkan oleh pembangkang. "Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap pembangkang kerana apa saja yang dilakukan perdana menteri untuk kebaikan rakyat dan negara semuanya salah pada pandangan mereka," katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sengaja menimbulkan pelbagai isu untuk menghancurkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pemimpin dan anggota parti kembali merapatkan saf dan terus bersatu demi keamanan dan kesejahteraan negara.

SEBUAH UNIVERSITI MARA BAKAL DITUBUH-PM NAJIB

Sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi telah memberi kelulusan bagi penubuhan Institusi berkenaan. "MARA (Majlis Amanah Rakyat) sudah ada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), maka untuk bidang bukan-TVET (latihan pendidikan teknikal dan vokasional), sebuah universiti MARA juga akan diwujudkan, maka ramai pelajar kita dapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti ini," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perdana 50 tahun MARA di sini, Isnin. Penubuhan universiti berkenaan merupakan beberapa perkara penting diumumkan Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-50 MARA bagi menentukan hala tuju baharu agensi itu selain memperkemaskannya untuk mendepani 50 tahun akan datang. Perdana Menteri turut mengumumkan perubahan nama Yayasan Pelajaran MARA kepada Yayasan MARA untuk memperluaskan bantuan kepada pelbagai kumpulan sasar. "Maknanya, dahulu Yayasan Pelajaran MARA tanggung jawab sosialnya cuma terhad kepada bidang pelajaran, tetapi bila kita ubah nama, dengan dana terkumpul sebanyak RM800 juta, jadi MARA boleh beri bantuan lain seperti bantuan kebajikan waktu banjir dan sebagainya," katanya. Najib juga berkata Jalan Semarang yang menempatkan Menara MARA di sini juga akan ditukar kepada Jalan MARA sebagai satu simbol kewujudan MARA. Sementara itu, Perdana Menteri berkata kegemilangan MARA selama 50 tahun kewujudannya berkait rapat dengan kegemilangan Umno sebagai parti pemerintah di negara ini. Menurutnya MARA sebagai agensi yang memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera berkemungkinan tidak akan wujud tanpa Umno. "MARA lahir daripada perut siapa? Umno. Jadi tanpa Umnio, tak mungkin MARA akan terus wujud. "Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) cakap MARA akan terus wujud selagi ada bulan dan matahari. Tetapi saya akan kata MARA akan wujud selagi Umno berkuasa," katanya. Sehubungan itu, Najib berkata Umno sebagai parti yang mempertahankan MARA perlu terus dipelihara. "Sebab itu kita perlu jaga Umno, jaga MARA dan tidak duduk sebaris dengan orang yang mengkhianati Umno," katanya. Najib turut menyifatkan hubungan antara Umno dan MARA sebagai tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. "Hubungan yang kita sifatkan sebagai simbiotik antara satu sama lain, seperti aur dan tebing. Maka komitmen kita, kelangsungan kedua-dua institusi ini sebati dengan perjuangan kita," katanya.

Khamis, 31 Mac 2016

KENYATAAN BERKENAAN WALL STREET JOURNAL OLEH SETIAUSAHA AKHBAR Y.A.B PERDANA MENTERI

KENYATAAN BERKENAAN WALL STREET JOURNAL OLEH SETIAUSAHA AKHBAR Y.A.B PERDANA MENTERI 31 Mac 2016
Hari ini, untuk pertama kalinya, Wall Street Journal akhirnya terpaksa mengakui bahawa sebahagian daripada dana yang disalurkan kepada Y.A.B Perdana Menteri adalah dari Saudi Arabia. WSJ mengambil masa hampir setahun menafikan bahawa dana tersebut adalah daripada Saudi Arabia dan membuat serangan balas terhadap mereka yang tidak menyebelahi pihak mereka. Ini termasuklah Peguam Negara yang juga menjadi mangsa keadaan mereka setelah kerja keras beliau yang terpaksa melakukan pelbagai penyiasatan menyeluruh ke atas bukti-bukti, termasuklah bukti pemindahan atas talian serta menjalankan temubual khusus bersama keluarga diRaja Saudi yang akhirnya memihak kepada Y.A.B Perdana Menteri, bahawa dana tersebut adalah bersumberkan daripada keluarga diraja Saudi Arabia. Walaupun bukti-bukti siasatan daripada pihak berkuasa negara dan pengakuan daripada Menteri Luar Saudi Arabia telah mengukuhkan lagi bahawa kebenaran berpihak kepada Y.A.B Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, namun ini tidak cukup untuk menyekat serangan berniat jahat WSJ terhadap kredibiliti Perdana Menteri. Ini sekaligus menunjukkan bahawa WSJ bersifat berat sebelah dalam menyampaikan laporannya, dan membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas kerana ianya bukanlah berniat untuk memberikan fakta. Malahan, laporan palsu tersebut seolah-olah menjadi tunjang kepada kempen Anti-Najib yang diketuai oleh Tun Mahathir. Kegagalan mereka untuk menerima fakta bahawa dana tersebut adalah bersumberkan daripada keluarga diraja Saudi Arabia seperti yang dibuktikan melalui siasatan lengkap dan pengakuan khas, menyebabkan mereka semakin teruja untuk mengaibkan pihak yang benar sebagai cara menutup kesilapan yang telah mereka lakukan. Namun, hari ini adalah titik tolak yang menjadi pemangkin untuk WSJ akhirnya bakal berkata benar dan mengakui bahawa selama ini mereka telah berada di pihak yang salah dan bahawa laporan mereka adalah tidak berasas sama sekali. DATUK SERI TENGKU SARIFFUDIN SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA Y.A.B PERDANA MENTERI Diterjemah oleh : KKMM

ISU DERMA RM2.6 BILION TIDAK BOLEH DIBAHAS DI DEWAN RAKYAT

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memutuskan bahawa isu derma politik RM2.6 bilion tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia adalah sub judice. Dalam notanya kepada semua Anggota Parlimen, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira suatu semakan kehakiman yang difailkan oleh Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Mac lepas. Keputusan itu turut mengambil kira suatu writ saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Mac lepas. "Setelah menimbangkan isu yang dibangkitkan, saya berpandangan bahawa perkara ini adalah di dalam timbangan mahkamah (sub judice), yang sekiranya dibincangkan, boleh merosakkan kepentingan pihak-pihak terlibat dalam writ saman tersebut," katanya. Majlis Peguam membuat permohonan semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib berhubung dana RM2.6 bilion dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka. "Writ saman itu secara khususnya merujuk kepada isu berkaitan dengan RM2.6 bilion. Dalam hal ini, isu tersebut telah menjadi perkara yang tertakluk kepada timbangan mahkamah sama sebagaimana prinsip yang terpakai bagi semakan kehakiman yang difailkan terhadap Peguam Negara," kata Pandikar Amin. Keputusan itu, katanya, selaras dengan peraturan Mesyuarat 23(1)(g) yang memperuntukkan apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah tidak boleh ditanya di Dewan Rakyat. Ia juga selaras dengan Peraturan Mesyuarat 36(2) bahawa sesuatu perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah tidak boleh dibahaskan sekiranya Pengerusi berpandangan ia boleh menjejaskan dan merosakkan kepentigan pihak-pihak yang terlibat. Pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas, beberapa Anggota Parlimen pembangkang telah membangkitkan rasa tidak puas hati mereka kerana tidak dibenarkan membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat. Antaranya ialah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuat keputusan berhubung perkara itu.BERNAMA

TUN M LEPASKAN JAWATAN SEBAGAI PENGERUSI PROTON

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PROTON Holdings Bhd, jawatan yang dipegangnya sejak Jun 2014. Tokoh yang menjadi pencetus idea pewujudan pembuat kereta nasional pertama itu menamatkan semua gesaan dan spekulasi supaya beliau melepaskan jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan. Kira-kira tiga minggu lalu, beliau dipecat sebagai Penasihat Petronas, jawatan yang dilantik sejak beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003. Ia adalah keputusan sebulat suara Kabinet berikutan beliau dikatakan tidak lagi menyokong kerajaan sekarang disebabkan beberapa tindakannya. Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Petronas telah mengeluarkan satu kenyataan yang ia menyokong sebarang keputusan yang diambil kerajaan kerana pelantikan itu adalah hak kerajaan. Dr Mahathir hari ini telah mencatat satu kenyataan di blognya, Che Det, yang beliau juga telah melepaskan jawatan sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas. Beliau juga telah meletak jawatan sebagai Penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Tioman, yang disandangnya sejak November 2003. Sementara itu, berikutan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi PROTON, Dr Mahathir juga akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh PROTON, yang mengeluarkan kereta sports berprestasi tinggi bertaraf dunia. PROTON telah mengeluarkan satu kenyataan, menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada komitmen Dr Mahathir sebagai pengerusi sejak 2014 dan penasihat sejak 2003 serta mengiktiraf peranannya sebagai pencetus idea syarikat kereta nasional itu. Dr Mahathir yang telah menjadi Perdana Menteri Malaysia mulai 1981 hingga 2003 amat berminat kepada teknologi di mana beliau berkata, ia perlu memenuhi kepentingan awam sebagai satu cara masyarakat memperbaiki diri dan juga dunia.

LEBUHRAYA DASH BUKAN MILIK KRONI BN

Gerakan Sokong Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) menolak dakwaan projek itu milik kroni Barisan Nasional (BN) seperti didakwa banyak pihak termasuk NGO ‘Say No To DASH’. Timbalan Pengerusi Gerakan Sokong DASH, Adlan Abdul Razak, berkata DASH adalah milik pemegang saham Pemodalan Nasional Berhad (PNB). “DASH akan diuruskan oleh Prolintas, satu anak syarikat milik sepenuhnya PNB yang secara tak langsung dimiliki oleh kesemua pemegang saham amanah yang ditadbir urus oleh PNB, termasuklah ASB, ASM, ASN, ASW2020,” katanya kepada FMT. Adlan pada masa sama meminta pihak Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor supaya tidak melayan desakan yang dibuat kumpulan ‘ Say No To DASH’ yang didakwa melakukan pelbagai perbohongan untuk kepentingan meraka yang tidak mewakili suara majoriti rakyat yang menyokong projek tersebut. “Kita menyeru agar kerajaan negeri terus tidak mempedulikan golongan yang terus menerus berbohong bagi menegakkan agenda mereka tersendiri. DASH menawarkan penyelesaian kepada majoriti penduduk dan melengkapkan pelan pembangunan kerajaan negeri Selangor. “Majoriti penduduk dan pengguna di Persiaran Mohktar Dahari, Jalan Subang, Jalan Airport, Jalan Kuala Selangor Sungai Buloh, Persiaran Surian, NKVE, Kota Damansara, SPRINT, Ara Damansara, akan beroleh penyelesaian kepada masalah yang telah menghantui kami sejak sekian lama,” katanya. Pihaknya juga kesal dengan tindakan segelintir penduduk di Damansara Perdana yang terus menerus berbohong bagi meraih sokongan dengan membuat pelbagai dakwaan bagi membantah pembinaan lebuhraya DASH. “Kita difahamkan data-data yang ada di semua pejabat agensi persekutuan dan negeri jelas menyatakan semua ketetapan EIA dan TIA telah dipatuhi dan juga membuktikan bahawa jarak lebuhraya (dengan penepatan) tersebut adalah 13m, melebihi jarak yang ditetapkan di bawah undang-undang,” katanya. Sebelum ini, kumpulan penentang pembinaan lebuhraya DASH mendakwa Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali bersekongkol dengan kerajaan BN untuk melaksanakan projek tersebut, malah turut menuduh wujudnya usul rasuah