Jumaat, 27 Ogos 2010

Tindakan tegas terhadap menghasut -PM



Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memberi amaran tegas tiada pihak di negara ini yang terkecuali daripada tindakan undang-undang berhubung isu membangkitkan sensitiviti perkauman.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas tanpa sebarang pengecualian akan tetap diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melafazkan ungkapan berbaur perkauman termasuk menggugat kepentingan negara dan tindakan merosakkan harta benda termasuk gereja dan surau.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO memandang serius penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) tertentu yang tidak tepat bertujuan membakar sentimen seolah-olah tindakan yang diambil kerajaan berdasarkan kepada pertimbangan kaum.

“Jangan sesiapa putar belit ini mengikut sudut perkauman seolah-olah kita melakukan pendakwaan terpilih dalam hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri merujuk kepada isu keluarga tiga remaja Cina yang ditahan kerana menyimbah cat dan melempar botol arak di Surau Taman Pulai Impian, Sikamat, Negeri Sembilan yang tampil semalam memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan yang dilakukan anak-anak mereka itu.

Hari ini, tiga remaja itu yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak Seremban mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Tawar Khidmat



Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan akan memberi sokongan dan berkhidmat kepada UMNO, termasuk memenangi pilihan raya umum selaras hasrat ahli-ahlinya membantu parti yang telah banyak berjasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat memberitahu, kelab tersebut ditubuhkan dengan objektif utama ialah memastikan hubungan antara pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah bersara ini tidak terputus ikatannya dengan UMNO biarpun perkhidmatannya dalam kerajaan telah tamat.

“Sebelum ini, kita adalah pembuat dasar dan pelaksana paling utama termasuk memainkan peranan sebagai penasihat kepada pimpinan-pemimpin atasan jadi kita tidak mahu putus hubungan dengan kerajaan setelah bersara dan juga hubungan sesama ahli rapat dan mereka terus menyokong kerajaan,” katanya kepada UMNO-online, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi .

Selain itu, Ase berkata, antara tujuan penubuhan kelab tersebut adalah untuk memastikan sokongan sepenuhnya kakitangan perkhidmatan awam kepada kerajaan.

“Kita adalah abang-abang dan kakak-kakak mereka dalam perkhidmatan awam dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan supaya mereka patuh kepada kerajaan yang mentadbir,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai pesara tentunya mempunyai kualiti masa, tenaga kerja dan sumber yang boleh membantu kepada kepimpinan negara.

“Kami sedia menawarkan diri bagi membantu UMNO dan juga pemimpin-pemimpinnya bagi meringankan beban dan memudahkan urusan-urusan di Ibu Pejabat UMNO supaya menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kita betul-betul telah mendapat sokongan dan matlamat untuk menang dapat dicapai sepenuhnya.”

Kelab yang ditubuhkan sejak Februari lalu telah mempunyai keanggotaan seramai 300 orang dan dijangka akan bertambah selaras dengan konteks jalinan hubungan berpanjangan dengan beribu-ribu pesara kanan kerajaan.

“Kita amat berterima kasih kerana Perdana Menteri kerana memahami dan memberi sokongan selain turut memberikan cadangan terhadap beberapa program yang boleh kita laksanakan,” tambahnya.

Pelancaran secara rasmi kelab ini akan dibuat menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, Oktober depan di Seri Perdana sebagai simbolik menunjukkan hubungan akrab anggota pesara pegawai kanan kerajaan dengan pentadbir negara.

“Pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, kita juga akan turut serta dan terlibat sebagai pemerhati,” katanya.

Kelab tersebut aktif dengan pelbagai program selain telah mengadakan mesyuarat agungnya bersama exco dan mempunyai wakil di setiap negeri kecuali Sarawak. – MediaUMNO

Demonstrasi di Indonesia perbuatan upahan- Najib



Tindakan memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu merupakan perbuatan sekumpulan penunjuk perasaan upahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana di Indonesia terdapat kumpulan penunjuk perasaan yang diupah oleh pihak-pihak tertentu jika timbul satu-satu isu.

Beliau percaya dalang yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi tersebut mahu merenggangkan hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Saya tidak hairan kerana di Indonesia ada kumpulan upahan. Kita mesti bezakan bahawa ini adalah tindakan yang diupah oleh pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan kita dengan kerajaan Indonesia.

“Saya tidak anggap ini sebagai mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia malah hubungan kita dengan Indonesia sangat baik dan sangat erat. Kita amat selesa dengan hubungan ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ekoran kejadian tersebut, pasukan keselamatan Indonesia telah mempertingkatkan kawalan di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Bagaimanapun ia tetap berulang semalam apabila kumpulan itu terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di kawasan kedutaan tersebut.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu sambil berteriak ‘Ganyang Malaysia’ bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di sempadan perairan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan supaya tidak ada sesiapa yang sengaja merosakkan hubungan antara kepimpinan Malaysia dan Indonesia.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai amat meresahkan rakyat Malaysia, beliau menegaskan, tujuan penunjuk perasaan adalah untuk mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara ini.

“Itulah niat sebenar mereka. Mereka mahu kita bertindak balas, menimbulkan kemarahan supaya hubungan kita dan Indonesia menjadi renggang. Oleh itu kita jangan terperangkap dengan permainan ini.

“Di peringkat Kabinet kita telah membincangkan isu ini dan kita juga telah memanggil Duta Indonesia di Malaysia dan kita telah meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah kawalan lebih ketat bagi menghindarkan perkara seperti ini berulang,’’ ujarnya.

MP Serdang beri 'tazkirah' -Sultan Selangor murka



Sultan Selangor amat murka dan dukacita terhadap tindakan sebuah surau di Kajang yang membenarkan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memberikan 'tazkirah' di situ Ahad lalu, kata pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, setelah memanggil pihak pengurusan surau itu memberikan penjelasan pada hari ini, Mais mendapati bahawa ucapan oleh Teo di dalam dewan solat di Surau Al-Huda, Kajang berlaku seperti dilaporkan.

Sehubungan itu, tambahnya, Mais diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap surau itu, termasuk mengambil alih surau dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta kerana insiden itu jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

"MAIS memandang serius berhubung isu ini memandangkan ini merupakan kes kedua seumpanya yang melibatkan ahli politik dan orang bukan Islam memberikan ucapan di dalam masjid/surau di negeri Selangor," kata Mohamad Adzib.

Sementara itu, Mohamad Adzib berkata, Mais juga akan memberikan surat amaran kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulangi lagi.

"Mais juga mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama dan tidak menggunakan masjid/surau," katan Mohamad Adzib.

"Pihak Mais juga menggesa supaya semua pihak termasuk parti-parti politik agar lebih sensitif kepada perasaan umat Islam amnya dan hendaklah menjunjung titah perintah DYMM Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di negeri Selangor."

NOTA: Itulah akibatnya apabila politik sudah menguasai diri, pihak yang tamatkan kuasa sanggup melanggar perintah dari pada pihak yang berkuasa dan pihak yang taksub pula mula mengenepikan tata susila dan tidak sensitif kepada perasan umat Islam.

Dan apabila kenyataan bantahan dibuat, akan dicap resis dan sebagainya sedangkan jelas apa yang dilakunya bercanggah dengan peraturan agama dan tata susila.

Seharusnya dalam menangani isu ini pihak yang bertanggungjawab harus bertindak tegas tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

Yang sampai satu hari nanti, Islam akan dipermainkan sebegitu rupa kerana kerakusan untuk berkuasa semata-mata.