Selasa, 7 Julai 2015

Pembangkang cuba menangguk di air keruh-Ahmad Zahid

Tindakan pembangkang mengadakan pertemuan tergempar dengan semua ahli Parlimen kononnya untuk membincangkan isu semasa adalah bertujuan menangguk di air yang keruh dan mengganggu kestabilan politik negara. Ahmad Zahid Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu hanya berhasrat mengeruhkan lagi keadaan di sebalik pelbagai tuduhan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurutnya, Ahli Parlimen BN tetap akan bersama-sama Perdana Menteri untuk menerajui negara ketika beliau ditohmah dengan pelbagai tuduhan palsu. “Dari segi perundang­an, memang ada asas untuk memanggil pertemuan itu tetapi bagi saya tidak ada keperluan berbuat demikian,” katanya kepada laman portal BNBBC.my hari ini. Beliau mengulas hasrat Wan Azizah yang juga Presiden PKR untuk mengadakan pertemuan tergempar di bangunan Parlimen esok bagi membincangkan hala tuju politik negara termasuk dakwaan WSJ terhadap Perdana Menteri. Dalam pada itu, mengulas mengenai ura-ura pakatan pembangkang yang baharu ekoran krisis antara Pas dengan DAP, Ahmad Zahid berkata, kerjasama pakatan pembangkang selama ini sememangnya telah dijangka bakal terle­rai. “Pakatan tidak berasaskan ideologi, jauh sekali falsafah politik. Itu hanya cubaan seperti dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pakatan pembangkang. Ia hanya cubaan yang akan berakhir dengan kehancuran,” katanya. Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu, sebuah pakatan baharu akan wujud dalam kalangan parti pembangkang ekoran terputusnya kerjasama politik antara DAP dengan Pas.

Jangan buat spekulasi mengenai akaun PM- Ismail Sabri

Semua pihak diminta tidak mewujudkan 'perbicaraan' di media, melakukan spekulasi mahupun membuat sebarang kesimpulan sebelum pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyaluran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri mengumumkan hasil siasatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata setakat ini dakwaan yang timbul adalah berdasarkan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report dan tindakan membuat kesimpulan atau menghakimi sebelum selesai akan mewujudkan perbicaraan di media. "Kalau di mahkamah dokumen yang didedahkan di media sosial tidak boleh diterima. "Pasukan petugas khas telah pun dibentuk dan mereka sedang melakukan siasatan, lebih baik semua pihak menunggu keputusan siasatan tersebut. Hasil siasatan pasukan petugas tersebut boleh kita anggap sebagai sumber yang boleh dipercayai," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kementeriannya di sini Selasa. Ismail Sabri berkata demikian apabila diminta mengulas laporan beberapa portal hari ini berhubung penyiaran dokumen oleh Wall Street Journal yang didakwa merupakan penyaluran dana ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Minggu lalu sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia memulakan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun Perdana Menteri. Tambah Ismail Sabri, selagi siasatan (oleh pasukan petugas khas) belum selesai dan hasil belum diumumkan semua pihak masih belum boleh menerima apa-apa laporan media sebagai maklumat yang sahih dan sah. "Saya pun tidak pasti sama ada akaun yang didedahkan ialah akaun peribadi Perdana Menteri atau siapa punya akaun sebab yang disiasat bukan Perdana Menteri. Yang disiasat ialah syarikat yang dituduh menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. "Semua pihak perlu berlaku adil. Bila buat spekulasi dan kesimpulan mungkin akan mengganggu siasatan. Jadi beri peluang kepada pasukan petugas khas menyiasat. Itu yang terbaik," katanya lagi.BERNAMA

Khairy selar Rafizi

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menyelar tindakan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli yang mengaitkan anggota Pemuda UMNO dalam dakwaan pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). "Apa logik yang Rafizi pakai? Contohnya A kenal B, B buat satu kesalahan yang tidak ada kaitan dengan A langsung tetapi oleh kerana A kenal B, dia pun tiba-tiba salah," katanya ketika ditemui media di Majlis Berbuka Puasa Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini hari ini. Dilaporkan dalam sebuah portal hari ini, Rafizi, yang juga Setiausaha Agung Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), mengaitkan penglibatan lima anggota Pemuda UMNO dalam pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu hartanah 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street. Rafizi juga mengaitkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dalam skandal ketirisan pembelian hartanah MARA itu. Ketika ditemui media, Khairul berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Rafizi tidak memohon maaf atas dakwaan itu. Dilaporkan, Rafizi cuba mengaitkan Pemuda UMNO dalam sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftar di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI) dalam pembelian hartanah di Australia itu.

Ahli UMNO perlu bertenang-Tengku Adnan

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menasihati anggota parti itu supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai provokasi yang dilontarkan oleh mereka yang menangguk di air keruh. Beliau berkata anggota UMNO perlu berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan Presiden UMNO. "Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini," katanya dalam kenyataan di sini Selasa. Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota UMNO perlu terus memberi sokongan padu kepada presiden parti itu, serta memberikannya ruang untuk memikirkan tindakan sewajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Anggota UMNO perlu teruskan fokus perjuangan parti itu selaras dengan gerak kerja yang telah diatur, katanya. "Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka, malah sikap mereka yang gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi," katanya. Tengku Adnan berharap anggota UMNO dapat terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur. Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik. 1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib. Sehubungan itu, banyak pihak menggesa perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia. Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu. Katanya perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.BERNAMA

Salam Ramadan buat semua...

Salam Ramadan buat semua,sudah lama tidak muncul disini kerana kekangan masa dan waktu diruang untuk memcari rezeki sesuap nasi menampung keluarga dan seringkali dengan masa yang terhad hanya singgah di laman Facebook dan twitter saja. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan menjelang hari hari terakhir Ramadan kita mampu meluangkan masa mencari malam malam yang menjanjikan 1000 bulan. Sama sama kita memohon akan ditemui kesempatan. Salam Ramadan dan moga kita temui Malam Lailatulqadar..,