Khamis, 26 Jun 2014

Perkasa desak CEO Petronas letak jawatan

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas meletak jawatan selepas kenyataan bahawa hasil minyak dan gas "bukan milik Bumiputera semata-mata" baru-baru ini. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata kejayaan Petronas adalah hasil daripada usaha keras Bumiputera membangunkan syarikat minyak negara tersebut sejak ia ditubuhkan. "Bila perbandingan dibuat mengenai Bumiputera, ia seolah-olah dosa besar. "Mereka (Petronas) yang berjaya sejak awal dahulu kerana layanan istimewa yang diberikan. Kalau dia (Shamsul) bising, berhenti sajalah," kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh hari ini. Walaupun Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak menyatakan secara khusus mengenai Bumiputera, Ibrahim berkata pelaksanaan polisi Petronas mesti selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan. "Walaupun dalam Akta Pembangunan Petroleum tidak ada menyebut ia milik Bumiputera tapi ia ditulis semula (overwrite) selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan," katanya. "Ia mesti selari dengan polisi kerajaan.‎" Sementara itu, pengerusi Kluster Minyak & Gas Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Tengku Putra Tengku Ahmad juga berkata Petronas berjaya kerana ia dibina orang Melayu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri minyak. Mengenai tuduhan campur tangan orang sekeliling Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ibrahim menggesa supaya Shamsul Azhar menjelaskan isu tersebut. "Siapa individu di sekeliling yang dimaksudkan itu? "Kami harap beliau jelas dan dedahkan siapa yang mengganggu urusan seperti didakwanya," kata Ibrahim. Ibrahim juga membangkitkan prestasi Shamsul Azhar yang disifatkannya penuh kontroversi susulan kritikan khususnya daripada kumpulan peniaga Bumiputera. "Sebelum beliau (Shamsul Azhar) ketuai Petronas, ketika Tan Sri Hassan Merican (bekas CEO) jadi presiden, tidak banyak isu dibangkitkan dan Petronas bergerak maju dengan baik. "Tapi Shamsul Azhar ini, sentiasa menimbulkan isu," kata Ibrahim. Ibrahim juga mendesak supaya Petronas telus dengan mendedahkan semua senarai kontraktor yang mendapat kontrak dengan mereka, serta menjemput untuk berdialog. "Demi ketelusan, saya desak Petronas dedah senarai mereka yang diberikan projek," kata beliau. Shamsul dalam wawancara akhbar perniagaan The Edge baru-baru ini berkata, minyak dan gas bukan milik orang Melayu dan Bumiputera semata-mata tetapi semua rakyat Malaysia, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Shamsul berkata, syarikat minyak itu mengamalkan kecekapan dan meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global. "Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki. "Keputusan kewangan menunjukkan keadaan sebenar, ia amat baik. Tidak seperti orang luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga orang daripada kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan sesuatu perkara menjadi susah,” katanya. Wawancara yang bertajuk “Adakah kami tidak berminat pada kecekapan” itu dibuat sebagai mengulas khabar angin menyatakan Shamsul akan meletak jawatan. Dalam wawancara itu, beliau berkata, sebahagian transformasi Petronas adalah untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu dunia korporat Malaysia daripada segi profesionalisme. -

Penjawat awam Terengganu perlu sedia hadapi Transformasi Terengganu Baru (TTB)

Penjawat awam perlu di negeri ini perlu bersedia dengan tiga cabaran awal yang perlu dihadapi untuk merealisasikan Transformasi Terengganu Baru (TTB) demi manfaat rakyat dan masa depan yang lebih gemilang. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif berkata, cabaran pertama ialah pengurusan pentadbiran yang baik dengan memantapkan lagi sistem penyampaian sedia ada supaya lebih kemas dengan memberi tumpuan kepada prosedur setiap jabatan. "Ini bagi mengelakkan sebarang ketirisan, kesilapan manusia dan paling utama ialah memastikan sebarang bentuk perkhidmatan yang kita beri kepada rakyat sampai kepada sasaran. "Cabaran kedua ialah pengamalan pendekatan yang bersifat inklusif di mana selera dan kehendak rakyat juga semakin kompleks dan pelbagai, apatah lagi dengan kehadiran generasi Y dan Generasi Alpha serta ledakan teknologi maklumat melalui penggunaan media sosial," katanya. Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas pertama beliau bersama warga Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Osman Muda. Ahmad Razif berkata, cabaran ketiga untuk penjawat awam ialah menjadikan agama sebagai wadah penyatuan dan mereka perlu berpegang kepada agama dalam setiap tindakan untuk menjamin kesejahteraan. Beliau turut menyarankan agar semua program kerajaan selepas ini dimulakan dengan tazkirah agama dan menjemput penceramah atau pakar motivasi secara bulanan.

Khalid Ibrahim tewas di Kuala Selangor

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor selepas ditewaskan oleh bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam pada pemilihan semula parti itu pada Sabtu lalu. Dalam pemilihan semula Sabtu lalu, Manickavasagam memperoleh majoriti undi sebanyak 186 selepas mendapat 701 undi berbanding Abdul Khalid dengan 515 undi. Walaupun Manickavasagam bukan calon pilihan namun penggantungannya selama beberapa minggu selepas beliau lantang menentang politik wang didakwa melibatkan pesaingnya itu ternyata memberi kelebihan kepadanya. Namun penggantungan keahliannya lebih bermakna apabila beliau kembali dalam pertandingan dan meraih kemenangan dengan mendapat sokongan luar biasa selepas akar umbi hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid. Abdul Khalid bagaimanapun berjaya mendapat jumlah undi yang banyak bagi jawatan Timbalan Presiden berbanding penyandangnya, Mohamed Azmin Ali. Anggota PKR Cabang Kuala Selangor memberikan Abdul Khalid 517 undi, manakala Azmin dan Datuk Saifuddin Nasution masing-masing menerima 440 dan 50 undi.

Felda perlu memasarkan produk ke pentas dunia- PM Najib

Peneroka Felda perlu memandang dunia sebagai pentas untuk memasarkan produk mereka dan tidak lagi bergantung kepada pasaran tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis. Untuk mencapai tahap antarabangsa itu, beliau meminta peneroka Felda menggunakan teknologi tinggi, inovasi dan kreativiti dalam penghasilan produk-produk mereka. "Felda tidak lagi boleh berada dalam lingkungan terbatas seperti dahulu tetapi perlu bergerak ke depan untuk menguasai pasaran antarabangsa menerusi penggunaan teknologi dan inovasi," katanya ketika merasmikan "Sentuhan Kasih", program terbaru Felda di Felda Tenggaroh 3 di sini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Menurut Najib, Felda tidak lagi boleh bergantung kepada pembukaan tanah besar-besaran tetapi perlu beralih kepada teknologi untuk produktiviti produk yang lebih tinggi membabitkan kawasan tanah lebih kecil. Najib berkata, di bawah program "Sentuhan Kasih", Felda akan bekerjasama dengan beberapa syarikat seperti Iris Corporation Berhad untuk mengaplikasikan teknologi tinggi dalam bidang pertanian bagi dipraktikkan oleh peneroka. Katanya antara projek pertanian yang sedang diusahakan di bawah program terbabit adalah penanaman buahan-buahan seperti Rock Melon, sayur-sayuran, ternakan ikan air tawar dan ternakan ayam kampung. Perdana Menteri berkata di bawah program itu, Felda turut bekerjasama dengan sebuah syarikat daripada Korea Selatan menternak ikan Sturgeon bagi menghasilkan "Caviar" untuk pasaran antarabangsa. Beliau berkata penternakan ikan Sturgeon adalah unik dan memiliki potensi besar. Najib berkata, beliau memberitahu Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai program ternakan ikan Sturgeon dan penghasilan Caviar di Malaysia ketika bertemu pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). "Presiden Putin secara bergurau memberitahu usaha Malaysia itu (ternak ikan Sturgeon dan hasilkan Caviar) akan memecahkan dominasi sejak sekian lama Rusia dalam industri itu," katanya. Sementara itu, Mohd Isa dalam ucapannya berkata, program Sentuhan Kasih merupakan projek pertanian bersepadu yang menggunakan teknologi moden dan melibatkan generasi baharu peneroka Felda. Katanya program itu melibatkan tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti dan selesa, pertanian bersepadu berteknologi moden dan komponen infrastruktur moden. Bermula Oktober tahun lepas, katanya, sebanyak 100 peserta telah melapor diri untuk menyertai program Sentuhan Kasih bertempat di Felda Tenggaroh 3 dan program itu akan diperluaskan ke 12 wilayah Felda seluruh negara. Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Iris Corporation, perpindahan kepakaran dan teknologi dijangka dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun. Sementara itu, Mohd Isa dalam ucapannya berkata, program Sentuhan Kasih merupakan projek pertanian bersepadu yang menggunakan teknologi moden dan melibatkan generasi baharu peneroka Felda. Katanya program itu melibatkan tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti dan selesa, pertanian bersepadu berteknologi moden dan komponen infrastruktur moden. Bermula Oktober tahun lepas, katanya, sebanyak 100 peserta telah melapor diri untuk menyertai program Sentuhan Kasih bertempat di Felda Tenggaroh 3 dan program itu akan diperluaskan ke 12 wilayah Felda seluruh negara. Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Iris Corporation, perpindahan kepakaran dan teknologi dijangka dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun.

Perlantikan anggota kabinet baru melengkapkan konsep pengkongsian kuasa

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan semula wakil MCA dan Gerakan dalam jemaah menteri melengkapkan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan Barisan Nasional (BN). Beliau berkata pelantikan lima pemimpin MCA dan seorang dari Gerakan itu juga akan menghakis tanggapan masyarakat Cina kononnya kerajaan meminggirkan suara parti yang mewakili kaum itu. "Cuma konsep perkongsian kuasa yang diamalkan sejak sekian lama itu terbantut seketika dengan keputusan MCA untuk tidak menyertai kerajaan selepas pilihan raya umum lalu. "Namun, dengan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam akan memastikan tiada lagi pihak yang mendakwa tidak ada penambahbaikan dalam membawa suara masyarakat Cina dalam kerajaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan I-Kad untuk pelajar antarabangsa di sini Khamis. Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Peljaran kedua Datuk Seri Idris Jusoh. Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala tiga naib presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Timbalan Menteri Pemmbangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata pelantikan itu merupakan satu cabaran kepada mereka untuk bekerja lebih keras memperkukuh kedudukan MCA dan Gerakan dalam memperjuangkan nasib masyarakat Cina dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Ini permulaan yang baik, dan masyarakat Cina harus ambil isyarat bahawa suara mereka kini boleh diketengahkan melalui parti politik sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan, termasuk perdana menteri dengan pelantikan tersebut, katanya. Berhubung saiz kabinet yang dianggap besar, Muhyiddin berkata perkara iu tidak dapat dielakkan kerana sebelum ini wakil MCA dan Gerakan tidak berada dalam barisan kerajaan. "Isu kabinet yang besar tidak dapat dielak, cuma saya berharap menteri dan timbalan menteri yang dilantik dapat bekerja keras bagi melepasi tahap keupayaan melalui sumbangan yang disasarkan rakyat," katanya. Berhubung isu kontrak pemberian projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa Pengarah Strategik PKR sebagai tidak telus, Muhyiddin berkata Kabinet dalam mesyuaratnya semalam telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk memberi penjelasan segera bagi menjawab tuduhan itu. "Walaupun pihak UiTM telah mengeluarkan kenyataan penjelasan tetapi jemaah menteri putuskan supaya Wahid Omar beri penjelasan terperinci, mungkin ada perkara yang tidak difahami Rafizi tentang konsep, asas atau model yang digunakan dalam projek itu," katanya. Sebelum ini, Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajudin Abdul Rahman mempunyai pegangan minoriti dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah, Perak, mengulangi perkara sama bahawa setiap konsesi syarikat yang membangunkan cawangan universiti itu mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.

MH370 -Kawasan carian beralih jauh ke selatan Lautan Hindi

Kawasan pencarian baharu bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang telah hilang 111 hari, hari ini, akan beralih jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi, satu usaha yang akan dimuktamadkan dalam masa setahun. Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata kawasan carian yang diperhalusi adalah kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai kawasan 'arka ketujuh' (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit), yang dipercayai oleh pakar dan pihak berkuasa sebagai tempat berakhirnya Penerbangan MH370. Ia adalah kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal, berkomunikasi kali terakhir dengan satelit Inmarsat sebelum ia hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Operasi pencarian itu akan diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), kata Truss dalam sidang akhbar di Canberra hari ini yang disiarkan secara langsung. Menjelaskan berhubung bagaimana kawasan carian baharu itu diperoleh, beliau menjelaskan para pakar telah menganalisis lebih lanjut data komunikasi satelit - maklumat yang pada mulanya tidak berkemampuan untuk mengesan sebuah pesawat - dan melaksanakan pengiraan yang sangat rumit. "Kawasan keutamaan baharu masih ditumpukan di arka ketujuh di mana pesawat itu berhubung kali terakhir dengan satelit namun kami kini mengalih perhatian kami ke sebuah kawasan yang jauh di selatan di sepanjang arka itu berdasarkan kepada pengiraan ini," katanya. Truss menjelaskan pada masa ini kajian 'bathymetric' atau pemetaan dasar laut di kawasan pencarian baharu dijalankan oleh kapal Zhu Kezhen dari China dan Fugro Equator yang diikat kontrak oleh Australia. Operasi bermula "satu atau dua minggu lalu", katanya sambil memberitahu ia akan siap dalam tempoh tiga bulan. "Pencarian secara komprehensif di dasar laut akan bermula Ogos selepas kajian bathymetric selesai, dan ia dijangka selesai dalam masa 12 bulan," kata Truss. Beliau berkata kedalaman kawasan carian baharu itu adalah sekitar tiga hingga lima kilometer. Sementara itu, ketua pesuruhjaya ATSB Martin Dolan menyatakan bahawa MH370 mungkin "diterbangkan secara autopilot" sebelum pesawat itu kehabisan bahan bakar dan laluan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi. Dolan berkata ATSB juga akan menggunakan khidmat kepakaran pertubuhan bagi menjalankan pencarian di dasar laut. Beliau berkata antara peralatan yang diperlukan bagi misi itu ialah 'towed sonar', kenderaan autonomus dasar laut, yang dipasang dengan sonar dan juga peralatan imejan optik dengan resolusi yang sesuai untuk mengenal pasti pesawat atau kawasan serpihan. Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di Selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika. Pada 29 Mei, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) menolak kawasan sekitar isyarat akustik dikesan di Selatan Lautan Hindi pada awal April sebagai tempat berakhirnya MH370.

KDN tidak tolak kemungkinan ada usaha mengaktifkan kembali kumpulan pengganas sulu

Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan kekerapan kes penculikan yang terjadi di timur Sabah merupakan rancangan tokoh tertentu di selatan Filipina mengaktifkan kembali kumpulan pengganas Sulu. Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setelah anggota militan itu berkurangan susulan digempur pasukan keselamatan Malaysia selepas menceroboh Lahad Datu, Sabah sebelum ini, mungkin penculikan telah dijadikan aktiviti terbaharu bagi membiayai kegiatan kumpulan itu. "Saya fikir ada tokoh tertentu di selatan Filipina yang cuba menghidupkan pasukan pengganas Sulu yang berkurangan, namun kita mempunyai kerjasama baik dengan pasukan keselamatan Filipina untuk memastikan tiada kebangkitan semula kumpulan pengganas ini," katanya. Beliau mengulas tentang kemungkinan wujudnya dalang yang cuba menghidupkan kembali kumpulan itu selepas penahanan enam individu, termasuk seorang wanita, disyaki pengganas Sulu di sekitar daerah Kunak, Sabah semalam. Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran I-CARD untuk pelajar antarabangsa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata penahanan itu bukan satu langkah jangka pendek, malah senarai mereka yang disyaki sebenarnya lebih ramai daripada yang diumumkan. Katanya jika operasi pembendungan tidak dilakukan sekarang, beliau khuatir mereka yang berkenaan akan menggunakan pendekatan tertentu, antaranya menculik mangsa baharu bukan sahaja untuk membiayai aktiviti kumpulan itu tetapi lebih berat ia dipercayai untuk melakukan beberapa aktiviti yang akan mendatangkan kesan tidak baik kepada negara. "Pemantauan telah dilakukan, manakala pihak polis sedang menjejaki serta memburu senarai yang disyaki, dan masyarakat akan diberitahu sebarang perkembangannya berhubung apa yang dilakukan pasukan polis," kata Ahmad Zahid. Selain wanita, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam berkata seorang anggota polis berpangkat koperal turut ditahan dalam satu operasi khas oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) itu. Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).