Selasa, 18 November 2014

Projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu tahun depan- Aziz Kaprawi

Projek menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu dijangka dilaksanakan tahun depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. Beliau berkata projek naik taraf landasan dari 1.3 kilometer kepada 1.8 kilometer itu akan dilaksana di kawasan tanah rizab lapangan terbang seluas 153.7 hektar. "Apabia siap nanti, lapangan terbang ini mampu mengendalikan pesawat yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di lapangan terbang itu di sini pada Selasa. Aziz berkata projek bernilai RM50 juta di bawah Bajet 2015 itu akan hanya bermula selepas masalah perkampungan setinggan di kawasan terbabit diselesaikan terlebih dahulu. "Saya difahamkan kira-kira 5,000 penduduk menetap di kawasan projek berkenaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengendalikan proses pemindahan penduduk berkenaan," katanya. Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali berkata kerja menaik taraf landasan berkenaan tidak akan dimulakan selagi penempatan semula penduduk di enam kampung terbabit tidak selesai. "Sebagai langkah awal, kami akan mengadakan mesyuarat bersama penduduk yang terlibat pada minggu hadapan," katanya. Turut hadir Anggota Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansur dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Mohd Yusof Apdal.

Kedah tumpu pembinaan rumah RM200,000 ke bawah

Kerajaan Kedah memberi tumpuan kepada usaha pembinaan rumah berharga di bawah RM200,000 seunit bagi memastikan projek perumahan yang dijalankan benar-benar melibatkan rumah mampu milik. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, dan Pembangunan Insan negeri Badrul Hisham Hashim berkata secara keseluruhan rumah yang paling banyak dirancang pembinaannnya adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 seunit kerana dirasakan rumah-rumah berkenaan adalah yang paling banyak permintaan. Katanya dasar perumahan kerajaan negeri memang menyasarkan kepada rumah mampu milik dan rumah kos rendah bagi memastikan rumah yang dibina adalah yang diperlukan dan mampu dibeli oleh rakyat. "Sasaran kita bagi tahun 2013 dan 2014 adalah untuk membina 6,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah setahun. Bagi tahun 2013, kita berjaya bina 4,811 rumah dan untuk tahun 2014, hingga kini kita dah bina lebih 10,000 rumah. Jadi sasaran 6,000 setahun itu dah tercapai," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa. Katanya kerajaan negeri juga akan cuba mendapat kerjasama kerajaan pusat dalam membina rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada pemaju swasta. Beliau berkata ketika ini masalah yang mungkin timbul adalah soal pinjaman untuk membeli rumah yang di luar bidang kuasa kerajaan negeri. "Kerajaan negeri tiada kuasa dalam soal pinjaman...kita takde kuasa. Ia adalah polisi di peringkat kerajaan pusat dan bank," katanya. Sementara itu, Badrul Hisham berkata beliau akan melihat semula kepada prosedur perumahan seperti kebenaran merancang dan penyerahan pelan bagi mengelakkan proses birokrasi menjadi halangan kepada pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah. "Banyak rungutan daripada pemaju adalah berkenaan kelulusan lambat. Kita nak percepatkan kelulusan. Tak nak birokrasi terlalu banyak. Kita perlu bina banyak rumah (mampu milik) di Kedah," katanya. Sementara itu, Badrul Hisham berkata beliau akan meminta Pejabat Kewangan Negeri untuk mengkaji semula peruntukan yang diterima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan, yang beliau anggap tidak memadai dengan jalan yang perlu diselenggara. "Jalan-jalan yang diselenggara PBT adalah jalan-jalan di kawasan pekan dan taman, jalan yang diguna ramai penduduk. Mintak pejabat kewangan tengok berdasarkan panjang jalan seperti yang didaftar dalam Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia). Kita mahu ia diselaraskan lebih mendalam supaya PBT dapat haknya. Kalau tak cukup peruntukan itu, PBT terbeban kena cari peruntukan lain untuk menyelenggara jalan," katanya.

Tanah rizab Melayu di Johor meningkat- MB Khaled

Peningkatan tanah rizab Melayu di Johor sejak merdeka membuktikan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan tanah rizab Melayu selama ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau berkata kawasan tanah rizab Melayu di kawasan Iskandar Malaysia yang merangkumi daerah Johor Baharu dan sebahagian Kulaijaya meningkat 12 kali ganda kepada keluasan 23,517.37 hektar sehingga September ini berbanding sebelum merdeka iaitu 1,921.44 hektar. “Dengan data peningkatan keluasan tanah rizab Melayu ini, maka, ia secara tidak langsung menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan tanggungjawab untuk mempertahan dan memperluaskan tanah rizab Melayu,” katanya. Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram), Ayub Jamil (BN-Rengit) dan A.Aziz Ismail (BN-Senggarang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, Nusajaya, hari ini. Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan untuk mempertahankan tanah rizab Melayu dan ia merupakan agenda utama kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau. Menjawab soalan tambahan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Senggarang), Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menguatkuasakan tindakan perampasan tanah rizab Melayu yang sudah bertukar tangan kepada bukan Melayu melalui pengambilalihan pemegang saham atau pemilikan syarikat. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohamad berkata kerajaan negeri merangka Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 bagi menekankan program keselamatan jalan raya. Menjawab soalan Chew Peck Choo (DAP-Yong Peng), katanya antara yang terkandung dalam pelan berkenaan adalah pendidikan dan langkah-langkah psikologi dalam menangani isu keselamatan jalan raya serta mengurangkan kecuaian manusia dengan menggabungkan kepakaran teknologi seperti kamera perangkap had laju. “Program-program keselamatan jalan raya ini akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat,” katanya. Beliau berkata antara penyebab kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah kerana kecuaian dan sikap pengguna jalan raya sendiri iaitu akibat memotong kenderaan, terbabas sendiri, melanggar belakang kenderaan, keluar dan masuk simpang jalan, melawan arus serta menukar lorong secara tidak berhemah.

Dakwaan kemiskinan Melayu Pulau Pinang diwarisi dari kepimpinan BN tidak berasas

Dakwaan kemiskinan masyarakat Melayu di Pulau Pinang diwarisi daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah satu tuduhan tidak berasas dan bersifat perkauman, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau turut kecewa apabila segala dakwaan kelemahan di Pulau Pinang dikaitkan dengan kepimpinan BN terdahulu, tetapi kejayaan yang dibawa BN tidak pula dinyatakan langsung. “Kenapa cakap bahawa masalah Melayu di Pulau Pinang diwarisi pemerintahan BN? Kenapa tidak cakap kejayaan Cina di Pulau Pinang adalah kejayaan BN? Ia adalah satu kenyataan yang tidak adil. “Ia satu kenyataan memperlihatkan kecetekan pemikiran dan beliau bersifat ‘bias’ (berat sebelah) dan perkauman,” katanya ketika diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Anggota Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mengaitkan kemiskinan masyarakat Melayu Pulau Pinang dengan BN. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini. Ahmad Shabery berkata kenyataan Zairil itu seolah-olah berselindung di sebalik dasar meritokrasi tetapi berfikiran perkauman. “‘Racist without racism’ merupakan satu perkara yang perlu diteliti kerana ia berlaku di mana-mana sahaja. Dia tak kata dia mengamalkan perkauman tetapi di sebalik kata-kata bahawa saya tak mahu perkauman itu ada unsur perkauman dalam kata-kata dan dasar yang dipelopori,” katanya.

SPRM tidak perlu menunggu arahan untuk ambil tindakan dalam kes penerokaan haram di Cameron Highland

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu arahan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Beliau yakin SPRM sebagai badan bebas akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit mengikut peruntukan undang-undang. "SPRM adalah badan bebas, jadi mereka akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Kami (kerajaan) tidak perlu memberi apa-apa arahan (kepada SPRM)," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat arahan pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada 48 pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di ibu pejabat Jabatan Perhilitan, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof. Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilaporkan sebagai berkata, badan itu sedang menyiasat dua pegawai tinggi kerajaan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang. Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi itu hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka. Sebelum itu, Ali dalam ucapannya menyeru jabatan-jabatan terlibat dalam aktiviti penguatkuasaan perhutanan supaya melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara proaktif melalui kolaborasi dengan JPSM bagi memastikan tugas itu dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh. "Saya percaya dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan, pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi khususnya yang melibatkan bidang penguatkuasaan. "Saya difahamkan JPSM sedang dalam tindakan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi aspek penguatkuasaan hutan bagi memastikan sumber alam semula jadi negara ini dalam keadaan terjaga dan diuruskan dengan baik," katanya.BERNAMA

70 peratus pengguna puashati dengan pengangkutan awam di Lembah Kelang- SPAD

Kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012 hingga 2013, menunjukkan sebanyak 71 peratus daripada pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan operator-operator pengangkutan awam di Lembah Klang. Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perangkaan yang dicatat untuk kesemua jenis pengangkutan awam itu menunjukkan pihaknya cemerlang dan komited dalam usaha memperbaiki serta memajukan sistem pengangkutan awam darat khususnya di kawasan bandar. "Bagaimanapun, dalam melaksanakan komitmen itu, kita tidak pernah meminggir perkhidmatan awam darat di luar bandar kerana kita tahu kawasan luar bandar turut menyumbang kesan limpahan ekononomi kepada negara," kata beliau. Syed Hamid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2014 bertajuk: 'The Future of Our Cities - Thinking Ahead Building Together', di sini hari ini. Katanya, untuk mengekalkan kesinambungan itu (kepuasan pengguna), SPAD akan mempertimbang beberapa langkah lagi pada masa akan datang termasuk mengkaji keperluan untuk menggunakan keretapi yang berkonsepkan "keretapi atas jalan" dalam kawasan bandar. "Memang ada cadangan untuk 'train' jenis ini tetapi kita kena tunggu reaksi dan jawapan daripada kerajaan," katanya. Terdahulu, dalam ucaptamanya, Syed Hamid berkata masa depan bandaraya Asean banyak bergantung dan dibentuk oleh mobiliti dan kecekapan pengangkutan awam daratnya. Dua faktor ini memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara, katanya. "Tidak ada negara yang meningkat dari status berpendapatan rendah ke berpendapatan sederhana/tinggi tanpa memiliki pengangkutan awam darat yang signifikan dan dinamik. "Oleh itu, adalah penting bagi kita sekarang memberi keutamaan kepada pelaburan pengangkutan awam, daripada memberi keutamaan kepada membina jalan raya demi hubungan pengangkutan dan menyelesaikan kesesakan," kata beliau.

Cameron Highland kekal sebagai lokasi pelancongan

Status tanah tinggi Cameron Highlands di Pahang sebagai kawasan pelancongan tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak semata-mata kerana kes tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan kerajaan akan terus mengekalkan kawasan tanah tinggi itu sebagai tempat pelancongan sama ada domestik mahupun luar negara. "Tidak perlu disahkan (Cameron Highlands) oleh sesiapa pun, ia memang tempat pelancongan, saya tidak faham kenapa ia dikatakan tidak sesuai, ia kerana perbuatan manusia dan kawasan itu telah disalah guna. "Dia bukan pakar dalam perkara ini dan kita akan tetap terus menjadi pusat pelancong Malaysia dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran eEolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia di Muzium Negara, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) R Ramakrishnan yang mendakwa tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pelancongan berikutan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh, baru-baru ini. Katanya juga, tanah tersebut tidak sesuai untuk aktiviti pertanian disebabkan tidak selari dengan garis panduan Kementerian Pertanian iaitu di bawah 25 darjah (kecerunan). Dalam pada itu, Mohamed Nazri mengakui insiden tanah runtuh tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan kedatangan pelancong asing ke pusat peranginan tersebut. "Buat masa ini kedua-dua pelancong domestik dan luar negara sebab Cameron Highlands merupakan destinasi pelancongan sangat popular terutamanya untuk merasakan hawa dingin di atas sana yang sekarang tidak lagi dingin. "Berlakunya tanah runtuh yang mendapat liputan berita luas, seluruh dunia tahu, sudah tentu pelancong luar negara juga akan ambil maklum perkara ini, kalau ke Malaysia, mereka tidak akan pergi ke Cameron Highlands, ini satu perkara yang amat mendukacitakan," katanya lagi.

GST- Peniaga ambil kesempatan akan didakwa-Ahmad Bashah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjamin peniaga yang mengambil kesempatan atas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan menaikkan harga barangan sesuka hati akan didakwa. Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, seramai 2,300 pegawai bakal bertugas bagi mengawal perkara tersebut. "Insya-ALLAH, kementerian sudah ada 1,800 anggota penguatkuasaan untuk memastikan apabila GST ini telah dilaksanakan dan penambahan pwgawai penguatkuasaan juga telah diluluskan oleh kabinet jumlahnya hampir 500 orang. "Jadi, jumlahnya lebih kurang 2,300 pegawai penguatkuasa yang akan pastikan apabila GST ini dilaksanakan pada April tahun depan, masalah yang disebut YB itu akan kita tangani," katanya kepada Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR, Datuk Mohd Idris Jusi, hari ini. Menurutnya, pihaknya sedar bahawa akan ada peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan apabila GST dilaksanakan untuk mengaut keuntungan lebih. "Memang kita tahu kesempatan ini akan diambil oleh peniaga-peniaga yang mahu mencari keuntungan cepat ataupun lebih. "Tapi kita akan buat kawalan dan pendakwaan akan dibuat terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST ini," katanya. Sebelum itu, Mohd Idris meminta jaminan kerajaan agar senarai barangan dikecualikan GST tidak berubah selagi cukai itu dilaksanakan. "Boleh tak kementerian beri jaminan bahawa senarai itu tidak akan berubah-ubah? Tambah boleh, kurang jangan. Selagi GST dilaksanakan, selagi ada bulan dan mentari. "Kedua, boleh tak kementerian kekang kenaikan harga barang, memastikan bahawa barang-barang kawalan, yang dikecualikan GST itu tidak dinaikkan sewenang-wenangnya," katanya. Ahmad Bashah sempat berkata bahawa pihaknya tidak dapat menjamin bahawa tidak akan berlaku perubahan tersebut. "Sekiranya YB meminta kerajaan jamin agar harga barang ini tidak berubah, cuma jaminan yang minta ini (harga) jangan naik. Turun itu berubah juga. Jadi, kalau dah naik tak turun, macam mana nak berubah. "Jadi, sebab itu, jaminan untuk pastikan barang ini tidak berubah, tidak mungkin kerana sekiranya harga barang itu turun, itu sudah berubah dari harga itu," katanya. Mohd Idris mencelah dengan mengatakan, "Datuk Seri, harga tak pernah turun."

Pembangkang sukar gugat politik Sarawak- Adenan Satim

Perpaduan di Sarawak akan terus kukuh walaupun ada cubaan oleh pembangkang untuk menggugatnya atas isu ikrar integriti yang cuba digembar-gemburkan mereka, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini Selasa. Beliau berkata menteri dan menteri muda Sarawak sememangnya akan menandatangani ikrar itu, tetapi adalah tidak adil bagi pembangkang menuduh kononnya ada sesuatu yang cuba mereka sembunyikan, menyebabkan ikrar itu tidak ditandatangani. "Sebarang cubaan oleh pembangkang untuk melaga-lagakan saya dan anggota Kabinet saya akan gagal dan akan sentiasa gagal. Kami bukannya bodoh untuk mendengar (tuduhan-tuduhan) mereka. Kami berpegang kepada perpaduan Kabinet," katanya pada sidang akhbar di sini. Adenan berkata anggota-anggota Kabinet negeri akan menandatangani ikrar itu selepas semua jabatan kerajaan negeri, badan-badan berkanun dan syarikat serta anak syarikat yang berkaitan telah menandatangani ikrar integriti masing-masing yang telah diperakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Untuk mendapatkan perakuan terhadap ikrar-ikrar itu, katanya, badan-badan kerajaan itu perlu melalui suatu proses yang dipantau oleh SPRM dan beliau berharap proses ini akan disegerakan sebelum dipanjangkan kepada menteri-menteri dan menteri muda. Sementara itu, Adenan berkata beberapa catatan dalam media sosial telah menyalahtafsir ucapan beliau semasa merasmikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang melibatkan agensi kerajaan, pemegang lesen pembalakan dan kontraktor di sini semalam. Menurutnya, beliau tidak ada menyebut yang pemenang lesen pembalakan terlibat dengan rasuah tetapi lebih kepada menasihatkan mereka supaya memantau kegiatan kontraktor mereka, subkontraktor, pengurus kem dan pekerja di lapangan. Kenyataan beliau "jangan cuba main-main dengan saya" ditujukan kepada individu yang terbabit dengan kegiatan pembalakan haram di Sarawak serta kepada pegawai penguat kuasa yang memudahkan kegiatan itu. Mengenai pendiriannya tidak mengeluarkan sebarang lesen pembalakan baharu, beliau menjelaskan bahawa ini tidak termasuk lesen pendudukan (OT) atau surat hak milik sementara (PL) yang dikeluarkan untuk kerja penebangan di tanah persendirian atau tanah adat (NCR) yang telah diiktiraf bagi tujuan penanaman.