Selasa, 11 November 2014

Hukuman sebat egen haram bawa masuk PATI

Kementerian Dalam Negeri mencadangkan agar hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas ejen haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin (Pati) ke negara ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan memberi pengajaran kepada golongan itu yang sebelum ini dilihat tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan. "Denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah ini tidak setimpal. Oleh sebab itu, hukuman sebat secara mendatori mesti dibuat selain menambah kadar denda sedia ada bagi memastikan pesalah-pesalah ini serik melakukan kesalahan," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan Program Ruang Bicara Bernama TV di sini malam tadi. Tambah beliau, hukuman serupa juga perlu dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha mesin judi haram yang didapati masih berdegil untuk beroperasi setelah diserbu beberapa kali oleh penguatkuasa. "Dengan pelaburan dan pendapatan yang diperoleh, pengusaha-pengusaha ini tidak kisah membayar sejumlah denda kepada penguat kuasa kerana dalam sehari mereka boleh mengaut keuntungan RM100,000 hingga RM200,000. "Itu sebab saya rasakan hukuman sebat berkesan tetapi kemudian ia juga harus diikuti unsur-unsur pencegahan seperti mengasimilasikan kesedaran dalam kalangan rakyat pelbagai kategori," katanya. Ditanya mengenai isu Cameron Highlands yang dibanjiri Pati, Ahmad Zahid berkata, KDN akan menjejaki ejen-ejen yang membekal kumpulan Pati tersebut sehingga ke lubang cacing. - Bernama

Kerajaan belum putuskan tarikh untuk isytihar status MH370

Tiada sebarang tarikh ditetapkan dan diputuskan kerajaan untuk mengisytihar status pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang masih hilang sejak lapan bulan lepas. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata ini kerana kerajaan masih lagi menjalankan rundingan berterusan dengan kerajaan China dalam membuat pengisytiharan sama ada pesawat itu hilang dan sebagainya. "Kerjasama erat kedua-dua kerajaan masih lagi berjalan. Malah pencarian masih dilakukan sehingga kini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini. Pengarah Komersial MAS, Hugh Dunleavy baru-baru ini dipetik sebagai berkata bahawa syarikat itu sedang menunggu bagi penerbangan MH370 diisytiharkan secara rasmi hilang supaya pampasan boleh diuruskan bagi waris penumpang. Mengulas mengenai perkara itu, MAS dalam satu kenyataan semalam memberitahu, itu cuma luahan pendapat peribadi dan sebarang tindakan sentiasa berpandukan nasihat pasukan teknikal yang bertanggungjawab bagi operasi pencarian. Ab Aziz berkata siasatan mengenai kehilangan misteri pesawat itu masih lagi dijalankan dan segala perkembangan akan dimaklumkan apabila penyiasat menemui sebarang petunjuk dan maklumat baru. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 malam 8 Mac. Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi. Dalam perkembangan lain, Ab Aziz berkata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad tersalah penggunaan perkataan ketika membuat kenyataan bahawa agensi itu sasarkan 5,000 orang ramai mati menjelang 2020 di jalan raya. "KP Pengarah salah penggunaan bahasa. Patut guna kemalangan maut dan bukannya orang mati," katanya ketika diminta jelaskan kenyataan itu yang menjadi viral di media sosial. Ab Aziz turut mengulas mengenai ketegasan operasi penguatkuasaan JPJ terhadap cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi sejak kebelakangan ini. Beliau menegaskan operasi itu adalah supaya JPJ dan Polis Diraja Malaysia mampu mengesan pesalah undang-undang dengan lebih mudah dan efisien serta bukannya ingin menyusahkan mana-mana pihak. Beliau turut menarik perhatian JPJ dalam proses mengkaji nombor pendaftaran kenderaan yang standard dan nasional untuk diguna pakai kesemua pihak di negara ini. "Ini dalam peringkat kajian kerana ia akan memberi kesan kepada sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam perkara ini. Sebarang keputusan akan diumumkan kelak," katanya.

Kecelaruan identiti perlu ditangani- Tun M

Kecelaruan identiti yang berlaku dalam masyarakat kini adalah masalah semasa yang perlu ditangani secara baik oleh semua pihak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata masalah kecelaruan identiti itu tidak terlalu menonjol dalam masyarakat dahulu namun ia semakin menular pada masa ini. "Sebab itu kita dapati ada orang yang nampak macam wanita tapi dia sebenarnya lelaki, ada pula yang sebaliknya. Jadi, pakaian yang dia pakai ini, kita kata ini pakaian lelaki tetapi sekarang, lelaki perempuan semua pakai semacam (sama), semua pakai seluar, semua pakai jeans. "Ini masalah semasa ... dulu tidak ada masalah. Dulu kita tahu orang perempuan macam ini, orang lelaki macam ini, tapi sekarang dah berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 di sini, pada Selasa. Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang mengetuai panel tiga hakim membuat ketetapan itu, selepas membenarkan rayuan tiga lelaki untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu. Sidang kemuncak tiga hari itu bermula pada Selasa bertemakan 'Negara Madani dan Perspektif Islam'.BERNAMA

Kerajaan pantau dana rakyat Malaysia yang disalur ke keluar negara

Kerajaan sentiasa memantau dana daripada rakyat Malaysia yang disalurkan ke luar negara termasuk ke negara bergolak seperti Syria. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemantauan aktiviti membabitkan penyaluran dana asing dibuat melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA). Beliau berkata agensi kerajaan yang lain yang memantau ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanhaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bank Negara dan agensi penguatkuasaan lain. Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd di sini pada Selasa. Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dana yang dikumpul menerusi laman sosial seperti Facebook bagi tujuan kebajikan yang akan disalurkan kepada negara bergolak seperti Syria. Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan juga mengetahui tentang beberapa akaun yang dibuka bukan di negara yang bergolak seperti Syria sahaja tetapi di beberapa buah negara jiran ataupun negara lain. Oleh itu, beliau berkata melalui AMLA, pihaknya dapat menggunakan langkah-langkah pencegahan termasuklah langkah pemantauan melalui saluran media sosial dan saluran maklumat melalui siber untuk mengetahui ke mana dana ini disalurkan. Dalam perkembangan lain, beliau turut menggalakkan agar pakaian seragam dapat dibekalkan dari segi bahannya menerusi pengeluar-pengeluar tekstil tempatan. "Ini adalah bagi menentukan bahawa pertukaran wang asing tidak banyak mengalir keluar. Pengusaha dan pengilang serta pengeluar bahan-bahan pakaian seragam juga perlu bersedia untuk melakukan pelaburan kerana kita tahu industri ini biarpun amat kompetitif tapi pasaran agak meluas. Pasukan-pasukan beruniform dan bahagian penguatkuasa jabatan dan agensi penguatkuasaan termasuk rakyat tempatan mempunyai potensi besar bagi menggunakan industri tempatan dalam menghasilkan pakaian seragam," katanya.BERNAMA

Majikan dinasihatkan jangan guna agen untuk dapatkan pekerja asing

Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta majikan tempatan supaya tidak menggunakan khidmat ejen bagi mendapatkan perkhidmatan pekerja asing. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka perlu membuat permohonan terus kepada KDN bagi mengelak risiko ditipu ejen yang tidak bertanggungjawab. "Ejen ini pandai, selepas sahaja memperoleh bayaran daripada majikan, mereka tidak membayar levi atau apa bentuk bayaran untuk memperoleh permit pekerja asing ini. "Inilah yang menyebabkan pekerja yang halal jadi haram, yang tamat tempoh juga jadi haram ...tetapi pekerja diseludup merupakan permasalahan yang besar kepada KDN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd di sini pada Selasa. Ahmad Zahid turut ditanya berhubung isu Cameron Highlands yang dibanjiri pendatang tanpa izin (PATI). Beliau memberi amaran keras kepada majikan supaya tidak mengambil pekerja asing yang memegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian). " ...Mereka tidak boleh bekerja tapi ada permintaan terhadap mereka. Ejen ini menawarkan tenaga kerja kepada majikan yang tidak dapat kelulusan bagi penerokaan tanah secara haram. "Sehingga kini 141 pemegang kad UNHCR telah ditahan oleh Imigresen di Cameron Highlands," katanya. Beliau berkata bagi menangani masalah PATI, pihak berkuasa negeri dan tempatan, termasuk Pejabat Tanah, perlu memaklumkan segera kepada pihak penguatkuasa seperti polis mahupun Jabatan Imigresen. Bagaimanapun, bahagian penguatkuasa Imigresen pula perlu berkuat kuasa tanpa bermusim dengan menjalankan tindakan sepanjang tahun, termasuk pada hari perayaan, katanya. Ahmad Zahid juga mencadangkan penggunaan kamera CCTV berdefinisi tinggi di kawasan panas bagi memantau aktiviti jenayah. "Penangkapan boleh dibuat dalam dua hingga tiga jam menerusi CCTV. Kita harap kita boleh menggunakan teknik kepolisan moden dari luar negara. "Saya berharap dalam Rancangan Malaysia ke-11 nanti kerajaan dapat memberi peruntukan besar bagi mempertingkat pemantauan, pencegahan dan pembanterasan jenayah," katanya. Ahmad Zahid, yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Interpol ke-83 di Monaco baru-baru ini, berkata perkara yang dibincang termasuk kerjasama antara negara anggota dalam usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah. BERNAMA

PAU: Umno terima 755 usul-Hishammuddin

Ibu Pejabat Umno telah menerima sebanyak 755 usul daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang melibatkan 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas. Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata daripada 638 usul untuk rujukan, 121 usul menyentuh soal pendidikan, diikuti 87 politik, 81 pindaan perlembagaan parti, 74 agama, 67 ekonomi, 170 isu sosial, dan 38 lain-lain usul. Antara usul yang dijangka mendominasi Perhimpunan Agung Umno kali ini termasuk kos sara hidup, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam, pindaan perlembagaan parti dan Akta Hasutan 1948. Persidangan meja bulat akan diadakan esok bagi membincangkan dan mengupas secara terperinci usul-usul yang dikemukakan oleh akar umbi untuk dibahaskan pada perhimpunan kali ini, katanya pada sidang media di sini, Selasa. Perhimpunan Agung Umno 2014 akan bermula dari 25 hingga 29 Nov ini. Hishammudin berkata Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Kerja Tertinggi Umno menubuhkan satu pasukan khas sebagai pendekatan bagi mengendalikan usul-usul yang dikemukakan oleh semua bahagian di seluruh negara. Beliau berkata pasukan khas itu akan menyemak semua usul untuk tindakan selanjutnya daripada pihak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan. Katanya ini merupakan penambahbaikkan bagi memastikan pemantauan, susulan serta perkembangan terhadap usul yang dikemukakan diperingkat akar umbi dapat dilakukan segera. "Ini adalah cara bagaimana, roh dan semangat kita untuk lebih inklusif dan lebih demokratik," katanya.