Khamis, 29 Mei 2014

Sultan Johor titah kaji rayuan ambil kembali Batu Putih

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor supaya menubuhkan sebuah pasukan khas supaya mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh. Sultan Ibrahim bertitah langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan sini Khamis. Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi. Baginda bertitah pembangunan itu yang akan memberikan impak besar terhadap ekonomi Johor sepatutnya turut memberi faedah kepada rakyat Johor. Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja. "Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah baginda. Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara alam sekitar negeri Johor. Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan. Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta bahawa mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan terpaksa bekerja pada hari Jumaat. Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik masing-masing. Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas. "Saya ingatkan pikullah amanah yang diberikan rakyat dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti politik," titah baginda.

PM Najib beri penghormatan terakhir kepada Almahrum Sultan Azlan Shah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Khamis memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, yang mangkat Rabu. Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, tiba di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada 9 pagi dan akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan enam hari yang bermula Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Beliau diiringi Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut bertemu kerabat diraja Perak untuk merafak sembah ucapan takziah atas kemangkatan baginda. Istiadat penghormatan terakhir dimulakan dengan kumpulan orang awam dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi sebelum disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing dari 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari. Ini diiikuti Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan dari 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang. Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar. Jenazah baginda kini disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. Baginda memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984.

Agensi pemantau subsidi diesel perlu dirombak besar besaran- PAC

Agensi-agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab memantau subsidi diesel perlu dirombak secara besar-besaran dalam usaha membanteras penyeludupan diesel ke negara jiran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed. Nur Jazlan berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada pengurusan tertinggi agensi-agensi berkenaan dan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan segera. "Jenayah ini bukan baharu dan melihat daripada statistik yang dikeluarkan SPRM, penguatkuasaan dijalankan sejak lima tahun lalu, tetapi kegiatan penyeludupan terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan malam ini. Beliau berkata kerajaan perlu memikirkan mekanisme baru dalam membanteras gejala itu termasuk mewajibkan semua pegawai dan kakitangan agensi penguatkuasaan mengisytiharkan harta mereka secara berkala. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu atau Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir berkata perubahan harus dilakukan supaya struktur ekonomi ditingkatkan setimpal dengan perubahan taraf hidup semasa khususnya kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan layak. Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara.

Raja Nazrin Shah diisytihar Sultan Perak yang baru

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada Khamis diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pengisyitharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membuat pengumuman itu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, pada pukul 3.15 petang. Raja Nazrin, 58, kini dikenali sebagai Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Sultan Nazrin, yang merupakan putera sulung Sultan Azlan Shah, menggantikan ayahanda bagindanya yang mangkat semalam. Sultan Nazrin kemudian melafazkan sumpah yang berbunyi: "Adalah kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah." Setelah melafazkan sumpah, baginda menurunkan tandatangan di atas surat sumpah disusuli laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh para hadrin. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, sebelum Sultan Nazrin meletakkan tangan dan mengucup keranda Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya disempurnakan pemakaman jenazah. Istiadat pengisytiharan pelantikan Sultan Perak yang baharu disempurnakan sejurus selesai sesi penghormatan terakhir pada pukul 3 petang. Dewan Negara Perak yang bersidang semalam telah memperkenankan pelantikan Sultan Perak yang baharu. Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar hari ini. BERNAMA

Rabu, 28 Mei 2014

Etika berpakaian perlu dipatuhi ketika memberi penghormatan terakhir

Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan berpakaian. Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, lelaki Islam perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan kain putih atau riben selebar satu inci. Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan dililit kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju tangan kiri. Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam. Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri. Penghormatan terakhir oleh orang ramai dibuka mulai pukul 11 pagi hingga 2 petang pada Khamis di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari Rabu pada usia 86 tahun. Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada Khamis.

Tarikh PRK Teluk Intan kekal 31 May

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan akan diteruskan mengikut tarikh yang diwartakan iaitu pada 31 Mei ini. Keputusan itu adalah selaras dengan kehendak undang-undang SPR, kata Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan di sini, hari ini. Setiausaha-SPR-Abdul-Ghani-Salleh-Mesyuarat-Tarikh-PRK Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah pada 1.30 tengah hari tadi. Almarhum berusia 86 tahun dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. Abdul Ghani menasihatkan semua yang terlibat dalam PRK Teluk Intan terutamanya parti-parti politik yang bertanding supaya menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku semasa berkempen. “Adalah disarankan semua pihak agar berkempen mengikut kehendak undang-undang, peraturan-peraturan dan tata etika pilihan raya tanpa menimbulkan isu-isu yang sensitif yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak,” katanya.

Kemangkatan Almahrum DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah....

Sultan Azlan Shah raja berilmu dan tokoh perundangan yang dikagumi- Khusairi

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang raja berilmu dan berjiwa rakyat selain dikenali sebagai tokoh perundangan yang dikagumi, kata Ketua Penerangan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib. Beliau berkata kemangkatan Sultan Azlan Shah amat dirasai oleh rakyat jelata kerana baginda merupakan seorang raja yang mengambil berat tentang permasalahan mereka. "Semasa hayatnya, setiap tahun baginda mengadakan sambutan majlis berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan. Cuma, sejak tahun lepas baginda tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. Almarhum berusia 86 tahun. Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohammad berkata sepanjang hayatnya, Almarhum telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerajaan Perak. "Sultan merupakan tempat kita bernaung dan baginda banyak memberi nasihat kepada kerajaaan negeri. Baginda selalu membimbing dan menegur kepada kerajaan negeri sekiranya perlu," katanya. Ketua Pergerakan Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim berkata Almarhum seorang tokoh perundangan yang sangat disegani berdasarkan kepada penghakiman baginda yang amat bernas. "Baginda seorang yang penting dalam bidang undang-undang... baginda bukan sahaja seorang sultan yang begitu pengasih kepada rakyat bahkan seorang sultan yang berilmu," katanya. Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak Mohd Zamri Mustajab pula berkata Almarhum sangat dekat di hati rakyat terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli sehingga menganggap masyarakat itu adalah 'anak emas'. "Sepanjang saya berkhidmat di bawah jabatan itu selama 10 tahun sehingga bertukar pada September lepas, jabatan itu adalah yang paling hampir dengan baginda. "Kenangan semasa baginda merasmikan Kompleks Orang Asli di Sungai Siput empat tahun lepas tidak mungkin saya lupakan," katanya. Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming turut merafak takziah kepada keluarga diraja Perak di atas kemangkatan baginda. "Pemergian Tuanku merupakan satu kehilangan yang besar kepada Perak amnya dan rakyat jelata seluruh negara kerana baginda juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong. "Jasa Tuanku dikenang di atas kebijaksanaan baginda khususnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara...," katanya. Sementara itu, Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Annuar Zaini berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang tegas dan amat teliti. "Baginda seorang sultan yang mempunyai intelektual yang cukup tinggi dan terhormat. Baginda juga seorang yang cukup teliti dan berhati-hati dalam berkata-kata," katanya. Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lam Pau Yin pula tidak dapat melupakan pengalamannya membuat liputan acara-acara Sultan Azlan Shah termasuk upacara perkahwinan anakanda-anakanda baginda. -- BERNAMA

Kemangkatan Sultan Perak satu kehilangan besar buat rakyat

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Perak dan rakyat jelata seluruh negara. Beliau mewakili kerajaan dan rakyat Kedah merafak sembah takziah terhadap seluruh kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Almarhum Sultan Perak. "Almarhum adalah seorang yang penyayang, berhemah tinggi dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat khususnya rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan. "Semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri rahmat ke atas Almarhum Paduka Seri Sultan dan menempatkan roh Almarhum bersama golongan solihin," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi. Baginda mangkat pada 1.30 tengah hari dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. Almarhum berusia 86 tahun. Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merafak takziah kepada kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah. "Sembah takziah atas kemangkatan Al Marhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izuddin Shah. "Al-Fatihah," kata Menteri Besar menerusi Twitter beliau di sini, Rabu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat, Al Fatihah.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pukul 1.30 tengah hari Rabu, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis, umum Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. Penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi Khamis manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang. Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari Rabu, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari. "Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM, Rabu. Zambry juga mengisytiharkan KHamis cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan pemakaman Almarhum Sultan. "Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. "Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para anbiya, syuhada dan solihin," katanya dengan sebak. Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.BERNAMA

Selasa, 27 Mei 2014

MH370- DCA keluarkan data mentah, bakal terungkai misteri?..

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan. Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat. Berdasarkan nota yang amat bersifat teknikal ini, semua masa adalah dalam Masa Universal (UTC) dan jadual yang disertakan adalah dalam bentuk fail log boleh dibaca yang dirakam di stesen bumi untuk berkomunikasi dengan terminal bagi MH370 dari 16:00 hinggalah ke cubaan Handshake Request (Log On Interrogation) terakhir pada 01:16 UTC. Nota itu juga menyebut bahawa beberapa lajur yang tidak mengandungi maklumat material, dibuang daripada jadual bagi tujuan pembacaan. Menurut laporan, 19 Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta DCA berbincang dengan Inmarsat tentang pengeluaran data mentah Inmarsat untuk tatapan umum. Sejak itu, Inmarsat dan DCA mengambil langkah untuk membolehkan log data komunikasi dan pemerihalan teknikal tentang analisis berkenaan, dikeluarkan. Semalam, Hishammuddin berkata keputusan untuk mengeluarkan data Inmarsat yang belum diproses itu dibuat untuk memenuhi permintaan anggota keluarga penumpang serta anak kapal MH370 dan data itu juga boleh digunakan pakar dari seluruh dunia bagi tujuan analisis. Awal bulan ini, mereka meminta pihak berkuasa mengeluarkan data berkenaan bagi membolehkannya dikaji dari segi ketepatan oleh pakar. Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pada 12.41 tengah malam. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – Bernama

65 ribu guru bahasa inggeris akan dilatih

Kementerian Pendidikan berhasrat melatih semula sehingga 65,000 guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang bagi meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seramai 5,000 orang guru Bahasa Inggeris sudah dilatih semula tahun lepas manakala 20,000 lagi pada tahun ini. "Kita gerakkan hasrat ini tahun lepas seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan rendah dan menengah kita," katanya. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014, di sini, Selasa. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengetua STF Kamisah Aziz. Muhyiddin berkata penguasaan Bahasa Inggeris oleh anak-anak menjadi penekanan ibu bapa ketika ini dan sering dibincangkan tentang kepentingannya oleh masyarakat negara ini. Beliau berkata, kementerian dalam pada itu juga berhasrat untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik yang merangkumi keperibadian sahsiah dan beretika tinggi dengan tidak semata-mata sekadar mencapai kecemerlangan akademik. "Dalam dunia serba mencabar ketika ini, ilmu sahaja tidak memadai sekiranya ia tidak digandingkan dengan sikap bertanggungjawab dan akhlak yang mulia supaya dapat memberi sumbangan kepada negara," katanya. Berhubung STF, Timbalan Perdana Menteri memuji kejayaan sekolah terbabit muncul Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan menerima tujuh Anugerah Platinum dan tiga Anugerah Perak. STF turut menerima Anugerah Emas hasil pencapaian semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas yang menurutnya kejayaan itu dicapai hasil dorongan yang disumbang oleh guru, ibu bapa dan komuniti. Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM7.7 juta yang akan disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas bagi membina sebuah dewan serbaguna baharu dan blok asrama empat tingkat bagi menampung keperluan pelajar STF.

PRK Teluk Intan- PAS sokong calon sokong hudud kerana politik-TPM

Tindakan PAS menyokong kempen calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Perak adalah disebabkan desakan politik meskipun ternyata calon itu menolak hudud, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pakatan pembangkang tidak lagi berpegang kepada prinsip masing-masing. "Ini satu desakan politik, walaupun banyak percanggahan bukan sahaja ketika PRK namun ia berlaku sebelum-sebelum ini dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat, bukan hanya dari segi percanggahan hukum, ia termasuk dasar-dasar lain. "Ini perkongsian tidak teguh kerana pasal ada kepentingan politik dan bagi saya ia bukan sesuatu yang menghairankan. Walaupun calon itu menentang hudud, dia tetap disokong Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kerana soal prinsip bukan lagi menjadi satu pegangan utama, katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran negeri Johor di sini Selasa. Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan Abdul Hadi yang turun padang menyokong kempen calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud meskipun wanita itu dengan secara terang-terangan menolak hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mendengar taklimat lebih sejam daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar tentang pembangunan negeri Johor. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Selain itu, Muhyiddin turut menyelar pembangkang yang memutarbelitkan fakta kononnya calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong mahu menerima jawatan senator sekiranya dilantik. "Saya menghormati pandangan Datuk Mah yang tidak mahu dilantik selaku senator kerana jika beliau mahu, sebelum ini sudah boleh dilantik. "Namun, beliau lebih berminat bekerja untuk parti dan komuniti masyarakat Cina dan beliau tidak memikirkan soal perjawatannya. Kita mahukan beliau menang dan mana tahu akan dilantik oleh Perdana Menteri dalam barisan kabinet kelak," katanya. Mengulas tentang 56.04 peratus keluar mengundi pada PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata ia mengejutkan kerana peratus keluar mengundi itu paling rendah dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini. Bagaimanapun, beliau berharap rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi pada PRK Teluk Intan 31 Mei ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.

Jakim digesa heret Cadbury ke mahkamah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta bertindak lebih tegas dengan mengheret pengilang coklat Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd ke mahkamah ekoran daripada penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya. Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata tindakan tersebut wajar bagi memastikan perkara seumpama tidak berulang. "Sekadar nasihat dan amaran tidak cukup, mereka perlu dibawa ke mahkamah supaya perkara ini dapat dijadikan tauladan kepada pengilang lain," katanya dalam sidang media di sini, Selasa. Saharuddin juga berkata pihak Cadbury perlu membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam serta menarik balik semua variasi coklat keluaran syarikatnya daripada pasaran kerana dikhuatiri dikeluarkan menggunakan mesin yang sama. Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil langkah mengemas kini hab halal di negara ini supaya tiada keraguan dalam kalangan pengguna terutamanya umat Islam terhadap sijil dan logo halal Malaysia. "Malaysia dikenali sebagai hab halal utama dan terkenal di peringkat global, Jakim merupakan satu-satunya badan yang berkuasa dalam bidang halal, akan tetapi bila berlaku perkara seperti ini pengguna akan hilang kepercayaan terhadap institusi halal negara kita," katanya. Beliau turut mencadangkan Jakim menjalankan pemantauan dengan lebih kerap terhadap pengilang-pengilang bukan Islam termasuk bagi produk kosmetik. Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA khinzir iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1). -- BERNAMA

Isnin, 26 Mei 2014

Premis yang masih menjual coklat Cadbury ada DNA babi boleh didenda

Premis yang masih menjual dua jenis coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porcine), boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Mohd Roslan Mahayudin berkata hukuman itu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, tidak kira sama ada penjual di peringkat runcit, pengedar atau pengilang. "Bagi sesebuah pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM 250,000," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin. Roslan berkata mana-mana pihak yang masih menjual coklat berkenaan sewajarnya memulangkan kembali kepada pihak pembekal dan pengilang. Katanya arahan juga telah dikeluarkan kepada pejabat cawangan KPDNKK di seluruh negara untuk bergerak memantau penjualan coklat itu termasuk di kedai-kedai bebas cukai di lapangan terbang. Menurutnya KPDNKK akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pemeriksaan. "Kami telah menurunkan kuasa kepada 212 pegawai Jakim di seluruh negara dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk penguatkuasaan berhubung halal ini," katanya. Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel coklat Cadbury, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam, dikesan mengandungi DNA (Asid Deoksiribonukliek) khinzir. Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat itu.

Bajet 2015 dijangka dibentang Oktober depan

Bajet 2015 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata Bajet 2015 penting memandangkan ia merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), yang menyediakan peruntukan untuk program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit. "Ia juga akan membantu memastikan peralihan lancar kepada Rancangan Malaysia ke-11 yang menyediakan dorongan akhir dalam mentransformasikan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," kata Najib yang juga Menteri Kewangan sebelum mempengerusikan mesyuarat perundingan Bajet 2015, di sini Isnin. Tema perundingan bajet tahun ini ialah 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat'. "Dalam meningkatkan usaha bagi memastikan ekonomi terus berkembang, kami juga komited melihat agenda reformasi fiskal tidak dipinggirkan. "Saya akan terus menyediakan (belanjawan) pengembangan, namun tidak mengetepikan defisit negara. "Kerajaan menjangkakan dapat mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun ini dan mencapai belanjawan seimbang pada 2020," kata perdana menteri. Najib juga berkata Jawatankuasa Dasar Fiskal yang juga memantau semua aspek pengurusan fiskal dalam negara, sudah bertemu beberapa kali sejak penubuhannya pada Jun 2013. "Jawatankuasa itu sudah berbincang secara mendalam mengenai beberapa langkah fiskal, termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi," katanya. Najib juga berkata jawatankuasa itu merancang menyediakan rangka kerja fiskal jangka sederhana yang akan mengetengahkan strategi bagi memastikan kemampanan fiskal jangka sederhana dan jangka panjang. Selain itu, Najib berkata kerajaan memberi perhatian serius ke atas cadangan Ketua Audit Negara bagi menambah baik perbelanjaan kerajaan. "Untuk itu, kami sedang mengambil pendekatan menyeluruh dalam memastikan pengurusan kewangan berhemat. "Sebarang salah laku dan kelemahan pentadbiran kerajaan juga akan ditangani secara berkesan," kata Perdana Menteri.

Ahad, 25 Mei 2014

JPJ- Tidak ada operasi cermin gelap buat masa ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan melaksanakan operasi cermin gelap secara besar-besaran buat masa ini, namun operasi berkala tetap dilakukan seperti biasa. Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad turut menafikan mereka tidak membenarkan langsung penggunaan cermin gelap pada kenderaan. "JPJ hanya mahu mahu memastikan semua penggunaan cermin gelap itu diluluskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan, itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Dun Kuang di sini hari ini. Beliau mengulas kerisauan orang ramai berhubung operasi cermin gelap secara besar-besaran bermula 16 Jun ini, seperti yang diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM). PDRM sebelum ini dilapor memberi tempoh sehingga 15 Jun untuk pemilik menukar atau menanggalkan lapisan penebat haba yang terlalu gelap pada cermin kenderaan masing-masing-masing atau berdepan kompaun RM300. Tempoh yang sama juga diberi kepada pemilik kenderaan menukar nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi. Ditanya kemungkinan undang-undang berkaitan cermin gelap akan dipinda, Ismail berkata perkara itu akan dikaji secara menyeluruh dalam satu bengkel khas bermula 2 Jun ini di Shah Alam. "Semua pihak berkepentingan akan menyertai bengkel itu, contohnya PDRM akan tengok dari aspek jenayah mengenai tahap kegelapan yang sesuai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula akan tengok dari segi kalau gelap sangat ditakuti aktiviti yang tidak diingini di dalam kereta boleh berlaku, mengenai cuaca panas pun ada kebenarannya, jadi isu ini akan dikaji secara menyeluruh supaya keputusan yang dibuat nanti dapat memenuhi kehendak semua pihak," katanya. -

Piala Thomas-PM bangga walaupun kita tewas

Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan pasukan badminton negara yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia meskipun gagal menamatkan penantian 22 tahun negara untuk menjulang Piala Thomas. "Kita tetap bersatu dalam kemenangan mahupun kekalahan. Saya bangga dengan pasukan PialaThomas negara. Kita cuba lagi dan tahniah kepada Jepun," kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitter, Ahad. Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan Jepun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2014 di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, India, Ahad malam. Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, ketika dihubungi penyampai berita sukan TV1 RTM Jasni Shafie, menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia walaupun mereka bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi piala berkenaan. Rosmah, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata beliau berasa bangga kerana pemain Malaysia bermain bermati-matian terutama pemain perseorangan terakhir Daren Liew. "Apapun kita tak putus asa. Saya rasa rakyat Malaysia setuju dengan saya. Mereka telah bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh. Kita tunggu empat tahun lagi dan cuba dapatkan Piala Thomas untuk Malaysia, insya-Allah," katanya. Ditanya sama ada Perdana Menteri juga menonton siaran langsung perlawanan itu bersama beliau, Rosmah berkata mereka sekeluarga sempat menonton pusingan awal perlawanan akhir berkenaan sebelum Najib perlu menghadiri satu acara di luar. "Saya patut iringi beliau... saya sudah sikat rambut dan pakai baju tapi bila tengok ada peluang (untuk menang), saya tunggu lagi. "Akhir sekali Datuk (Najib) telefon cakap tak payah pergi sebab diapun dah nak balik," katanya. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan turut merakam ucapan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana menunjukkan semangat yang juang tinggi. "Saya berbangga dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia juga turut berasa bangga dengan semangat juang tinggi yang telah ditunjukkan pasukan Malaysia pada malam ini. Mereka telah bertarung habis-habisan walaupun tidak dapat merangkul Piala Thomas," katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi semangat dan sokongan jitu kepada pasukan negara. "Insya-Allah, dengan usaha dan sokongan berterusan, saya percaya kejayaan akan menanti kita dan harapan untuk membawa kembali Piala Thomas akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi," katanya. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pula mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia. "Walaupun tak berjaya bawa pulang #ThomasCup2014 tapi kami tetap berbangga. Omedetou Nippon!" katanya.

Calon tolak hudud menang PKR Bukit Jelutong

DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini, namun dengan majoriti berkurangan iaitu 37,659 undi. Calon DAP Ramkarpal Singh Deo, 38, yang merupakan anak ketiga mendiang Karpal Singh, memperoleh 41,242 undi, menewaskan tiga lagi calon iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi dan dua calon BEBAS iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi). Sebanyak 539 kertas undi ditolak. Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kapten (B) Anuar Yahya di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Pinang di sini. Huan, Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek hilang wang deposit. Anuar berkata daripada 82,431 pengundi berdaftar, hanya 56.04 peratus atau 46,099 pengundi yang keluar mengundi. Jumlah majoriti undi yang diperoleh Ramkarpal Singh berkurangan sebanyak 5,047 undi atau 11.8 peratus berbanding jumlah yang diperoleh mendiang ayahnya. Pada pilihan raya umum lepas, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi. Pilihan raya kecil itu, yang menyaksikan pertembungan empat penjuru, diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam nahas jalan raya pada 17 April lepas.

Khamis, 22 Mei 2014

Tuduh Melayu Celaka-Pemuda UMNO kecam ADUN DAP

Pergerakan Pemuda Umno mengecam keras tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer yang mengaku tidak akan memohon maaf atas kenyataannya "pemimpin Umno celaka" dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang Selasa lepas. Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai seorang Adun, Rayer secara terang menggunakan imuniti dengan mengeluarkan kata-kata kesat itu kerana mengetahui tidak akan dikenakan tindakan. "Sebagai seorang wakil rakyat, tindakan dan keceluparan itu tidak harus dilakukan kerana rakyat boleh menilai integriti seseorang pemimpin," katanya. Jelas Khairy, apa yang pelik wakil rakyat DAP itu tidak pula mahu mengulangi perkataan itu terhadap para pemimpin dan penyokong Umno di luar Dun Pulau Pinang. "Jadi, kita boleh simpulkan wakil rakyat itu gemar melakukan 'keberanian terpilih' atau bahasa mudahnya, seorang penakut," tambah beliau. Khairy berkata sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno beliau menyokong penuh tindakan Pemuda Umno Negeri Pulau Pinang yang membantah tindakan Rayer. Ia perlu terus dilakukan bagi memberi tekanan dan memastikan Rayer menarik balik kenyataannya itu, katanya. "Kami cabar Rayer supaya mengulangi kata-kata kesat itu terhadap para pemimpin Umno secara terbuka di luar dewan di hadapan kami," tambah beliau. Pada masa yang sama, Khairy mengingatkan ahli Pemuda Umno supaya mengikut landasan undang-undang dan tidak menceroboh sidang Dun atau membahayakan keselamatan awam dalam membuat sebarang bantahan. Tindakan menceroboh Dewan (Undangan Negeri) tetap salah, katanya. Semalam 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dun Pulau Pinang mengecam tindakan Rayer yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin Umno sebagai 'celaka' ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Laporan media semalam menyebut Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata kenyataan itu amat keterlaluan, biadab dan tidak sepatutnya diungkap oleh seorang wakil rakyat yang juga peguam kerana pertuturan sebegitu mencemar kedudukan beliau. Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Michael Lee dalam satu kenyataan berkata Umno dan BN perlu menunjukkan yang mereka jauh lebih beradab dan membuktikan tuduhan dilemparkan terhadap mereka adalah tidak berasas. "Ini boleh dilakukan dengan membuat bantahan menerusi undang-undang, mengadakan protes secara aman mengikut undang-undang, secara rasional, secara berhemah dan menyerahkan memorandum kepada DAP. "Kita juga boleh meminta untuk mengadakan pertemuan untuk menyatakan rasa kesal kita atau mengeluarkan kenyataan media untuk membantah penghinaan itu. Tetapi pastinya bukannya dengan cara memberikan ugutan secara fizikal, menimbulkan kekecohan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian," katanya. - Bernama

Sarawak layak jadi negeri maju tahun depan

Sarawak layak mencapai status negeri maju menjelang akhir tahun depan berdasarkan pendapatan per kapita yang dijangka dicapai menjelang tempoh itu, kata Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berkata kemajuan ekonomi yang dinikmati Sarawak sekarang telah membolehkan rakyat menyaksikan pembangunan dilaksanakan hampir di setiap pelusuk negeri ini. "Saya fikir menjelang akhir 2015, kita akan mencapai pendapatan per kapita yang melayakkan kita menjadi negeri maju," kata beliau ketika berucap pada majlis penghargaan buat dirinya, 'Malam Tokoh Wawasan Terbilang', di sini malam Rabu. Menurutnya menjelang 2030, Sarawak akan menjalani transformasi berikutnya dalam konteks struktur ekonomi dan rombakan bakat tenaga kerjanya. "Perancangan asas telah disediakan dan kawasan perladangan kita telah meningkat kepada lebih dua juta hektar sebagai pelaburan kepada rakyat dengan pendidikan lebih baik akan dilaksanakan di kawasan luar bandar dan memperoleh pendapatan setaraf di bandar," kata beliau. Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata wawasan Taib yang berpandangan jauh telah membolehkan Sarawak mencapai tahap kemajuan sekarang. Menurutnya Taib menumpukan lebih 50 tahun daripada hidupnya untuk memastikan kehidupan rakyat Sarawak berubah menjadi lebih baik. "Beliau (Taib) memanfaatkan sepenuhnya hidup beliau. Setahun dalam hidupnya adalah bersamaan 10 tahun bagi orang biasa," kata Adenan.ERNAMA

Alumni UITM gesa hentikan universiti itu sebagai mainan politik

Persatuan Alumni UiTM Malaysia melancarkan satu deklarasi khas menggesa semua pihak berhenti menjadikan universiti itu sebagai 'mainan politik' mereka. Setiausaha Agung persatuan itu, Shukri Ishak berkata 'Deklarasi Shah Alam: Sumpah Anak Pribumi' terhasil berikutan saban hari semakin banyak pihak tidak bertanggungjawab cuba menggugat kedudukan UiTM. Beliau berkata universiti yang paling banyak menghasilkan graduan Melayu dan Bumiputera dalam kelasnya sejak 58 tahun, kini sering diguna serta dipermainkan 'orang politik' demi mencapai agenda tersendiri. "Kami melancarkan deklarasi ini sebagai peringatan kepada semua masyarakat bahawa kami akan menentang mana-mana pihak yang cuba mempertikai dan menggugat kedudukan UiTM malah menganggap mereka sebagai penderhaka dan musuh negara. "Deklarasi ini juga sebagai amaran kepada orang di luar sana bahawa jika ada yang cuba meniupkan api perkauman terhadap UiTM, kami tidak teragak-agak untuk bangun dan bertindak dalam apa jua cara bagi mempertahan institusi ini," katanya kepada pemberita Khamis. Ketika ditanya sama ada deklarasi itu dibuat berikutan kenyataan calon pilihan raya kecil Teluk Intan dari parti DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, yang lantang mempertikai kedudukan UiTM, Shukri berkata ia tidak merujuk kepada bekas penuntut berkenaan sebaliknya merangkumi segenap lapisan masyarakat. "Dyana Sofya hanya kes terbaharu sedangkan banyak lagi pihak yang pernah menggugat martabat dan menggunakan UiTM demi agenda politik mereka, namun kita tidak mahulah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya. Beliau berkata deklarasi itu juga harus menjadi rujukan kepada lebih 570,000 alumni UiTM seluruh negara supaya berjuang mempertahan martabat universiti berkenaan supaya isu seperti Dyana Sofya tidak menjadi barah yang terus memburukkan nama baik UiTM.

MH370- China tidak pernah biarkan Malaysia bersendirian

China telah berjanji tidak akan membiarkan Malaysia menghadapi insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lepas secara bersendirian. Duta China di Malaysia, Huang Huikang berkata China komited untuk membantu serta percaya usaha Malaysia dalam menangani situasi berkenaan yang disifatkan sebagai komitmen konsisten dari awal lagi. "Hubungan kami tidak pernah terjejas dengan sebarang insiden tunggal yang tidak diduga, malah menerusi kerjasama dalam menangani insiden itu, hubungan kami menjadi lebih rapat dan kukuh. "Ini sekali lagi membuktikan kawan sebenar adalah kawan yang membantu ketika dalam kesusahan," katanya pada takilmat media sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia di sini, hari ini. MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac. Dua pertiga daripada penumpang yang menaiki pesawat jenis Boeing 777-200ER itu adalah warga China. "Jika anda melihat kemajuan yang dicapai dalam menangani insiden itu, daripada awal lagi kerajaan China dan rakyatnya berdiri teguh bersama Malaysia," katanya. Huang berkata China telah menganjurkan operasi mencari dan menyelamat antarabangsa berskala besar dengan mengerakkan beberapa satelit, kapal laut dan pesawat. Beliau berkata China telah berusah keras untuk menangani insiden kehilangan MH370 kerana dua pertiga daripada penumpang adalah warganegara mereka. "Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan China..tidak kira berapa banyak perbelanjaan yang dikeluarkan, kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu Malaysia," katanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat China dari 27 Mei hingga 1 Jun ini bagi memperingati sambutan ulang tahun itu. Huang berkata kerajaan China telah memberi banyak perhatian kerana lawatan itu akan terus meningkatkan persefahaman dan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu.

Rabu, 21 Mei 2014

Pendirian PAS sokong calon DAP tolak hudud dipersoal

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mempersoal sokongan dan pendirian PAS terhadap calon Melayu DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, yang menolak undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini. "Kita hendak tanya PAS sekarang, adakah kamu (PAS) akan sokong calon DAP itu (Dyana Sofya pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan)," katanya pada majlis santai bersama belia di Kampung Padang Tembak di sini, malam Rabu. Beliau berkata tindakan PAS menyokong calon DAP itu yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan menunjukkan parti itu hanya bertopengkan Islam untuk menutup perjuangan sebenarnya terhadap kuasa dan kepentingan politik parti. "Sekarang orang Melayu bertanding atas tiket DAP yang menolak hudud PAS, menjadikan PAS ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong," katanya. Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Dyana Sofya berikrar untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dikemukakan di Parlimen untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan. Peguam muda itu dilaporkan berkata beliau akan berpegang pada ikrar itu jika dipilih mewakili Parlimen Teluk Intan. Sementara itu, pada program Santai Minda di Kampung Sungai Kerawai di sini, Ahmad Shabery membidas PAS sebagai hanya memakai topeng Islam sedangkan hakikatnya ia bukan parti Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam di negara ini. Beliau berkata PAS tidak mempunyai prinsip dan ideologi yang tetap selain sentiasa meracuni pemikiran dan memecahbelahkan rakyat terutamanya yang beragama Islam demi kepentingan politik mereka. Menurutnya sehingga kini, PAS gagal melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan sedangkan Umno dan Barisan Nasional menerima pengiktirafan kerana menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan terbaik di dunia oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara lain. "PAS tidak dapat menerima hakikat itu kerana pemikiran politik mereka yang sempit," katanya. PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dicabar calon DAP Dyana Sofya.

Kenyataan pemimpin DAP Pulau Pinang biadap

Umno Pulau Pinang menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan Adun Seri Delima, RSN Rayer daripada DAP yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemimpin Umno pada sidangan Dun semalam. Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kenyataan itu amat keterlaluan, biadab dan tidak sepatutnya diungkap oleh seorang wakil rakyat yang juga peguam kerana pertuturan sebegitu mencemar kedudukan beliau. "Walaupun Adun diberi perlindungan imuniti dalam Dun, ia tidak sepatutnya digunakan untuk melempar kata-kata kesat dan keterlaluan, lagi pun pertuturan sebegitu amat memalukan dan mencemar kedudukan beliau sebagai seorang penggubal dan pengamal undang-undang. "Rayer juga perlu sedar bahawa setiap kata-kata kesat dan menghina yang diungkapkan beliau dengan tujuan untuk mengguris serta menyakitkan hati pemimpin dan ahli-ahli Umno akan mengundang tindak balas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) DUN Pulau Pinang mengecam tindakan Rayer yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin Umno sebagai 'celaka' ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Zainal Abidin berkata Rayer juga tidak sepatutnya menggunakan kesempatan dan ruang berbahas di Dun untuk tujuan berkempen bagi pihak DAP yang terlibat dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Beliau berkata Adun Seri Delima itu seharusnya menumpu kepada membahaskan isu-isu yang memberi kepentingan langsung kepada rakyat Pulau Pinang dan tidak berdrama atau mencari populariti politik semata-mata. "Umno Pulau Pinang berpandangan Rayer tidak ikhlas dan tidak jujur dalam menjaga hubungan antara rakyat Pulau Pinang khususnya dan rakyat Malaysia amnya, beliau nampaknya terperangkap dengan tabiat buruk menggunakan kesempatan yang ada untuk membangkitkan kemarahan dan tindak balas ahli-ahli Umno," katanya. Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang Datuk Jahara Abdul Hamid dalam sidang akhbar petang ini, berkata keceluparan Rayer itu sememangnya tidak patut dilakukan oleh seorang wakil rakyat memandangkan ia mampu membangkitkan kemarahan seluruh ahli Umno. "Sebab itu kami (10 Adun BN) minta ketetapan melalui Dun supaya Rayer menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kepada semua ahli Umno tetapi memandangkan beliau tiada (tidak hadir sidang Dun) petang ini, perkara ini akan dibawa esok. "Bukan tujuan kami untuk membuat huru-hara tetapi mahu menyatakan pendirian yang tidak boleh menerima kata-kata kesat yang menjatuhkan perjuangan Umno," katanya. - Bernama

Penyelewengan petrol dan diesel berada di tahap serius-SPRM

Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius. Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu. "Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit," katanya. Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksi majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, hari ini. Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang. Menurut Azam ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah. Katanya pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu. Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam. Sebelum itu, Yaakop berkata pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telahpun didakwa di mahkamah. Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam. SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka. - Bernama

MIDA jangka pelaburan industri aeroangkasa sebanyak RM387.3 juta tahun ini

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan pelaburan dalam industri aeroangkasa tempatan melebihi pelaburan tahun lepas sebanyak RM387.3 juta berikutan beberapa projek lagi menunggu kelulusan. Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkilangan (Bukan-Sumber) Datuk Wan Hashim Wan Jusoh berkata sejumlah RM55.9 juta diluluskan untuk industri itu pada suku pertama tahun ini. Beliau berkata pelaburan itu adalah menerusi dua syarikat asing. "Kami sedang berbincang dengan syarikat antarabangsa lain yang berminat melabur dalam industri aeroangkasa di sini," katanya pada taklimat media mengenai industri aeroangkasa Malaysia Rabu. Sehingga Mac 2014, 62 syarikat melabur sejumlah RM11.7 bilion dalam industri aeroangkasa, dengan 28 daripadanya dalam kegiatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dan 34 dalam perkilangan. Wan Hashim berkata 35,280 pesawat akan diserahkan ke seluruh dunia antara 2013 dan 2032. Sejumlah 12,820 daripada jumlah pesawat itu akan diserahkan di rantau Asia Pasifik dalam tempoh itu, katanya. Industri aeroangkasa negara dijangka berubah menjadi penggiat aeroangkasa dinamis serantau dan antarabangsa menjelang 2015, sejajar Pelan Tindakan Aeroangkasa Negara yang dilancarkan pada Disember 1996. Wan Hashim berkata pelan tindakan aeroangkasa baharu akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun hadapan ketika Pameran Pertunjukan Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi. "Ia sedang dirundingkan dengan golongan berkepentingan. Kita sedang meninjau isu dan cabaran, di samping cadangan untuk rancangan jangka sederhana dan jangka panjang," katanya.BERNAMA

Selasa, 20 Mei 2014

PRK Teluk Intan dan Bukit Gelugor medan DAP buktikan rakyat tolak hudud PAS

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan, bakal menjadi medan pungutan suara parti DAP untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap cadangan pelaksanaan hudud oleh sekutunya PAS. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata jika DAP menang ia jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak hudud. "Itu merupakan satu pertentangan ideologi terpaksa PAS pikul serta membayangkan sikap tidak berprinsip PAS untuk melaksanakan hukum hudud," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi terkini PRK di Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Keadaan itu juga, katanya, jelas menunjukkan perjuangan PAS dalam hukum hudud tidak ada kena mengena dengan Islam dan lebih menjurus kepada perjuangan politik. PRK Bukit Gelugor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Ramkarpal Singh dengan Datuk Huan Cheng Guan daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) serta dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan. Sementara di PRK Teluk Intan, pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Shabery berkata, penduduk kawasan berkenaan perlu berfikir tentang kepentingan mereka terlebih dahulu sebelum memilih pemimpin. "Ini bukan pilihan raya umum tetapi PRK untuk memilih wakil mereka, sudah tentu perkara yang paling diutamakan adalah siapa yang boleh bekerja," katanya. Katanya pengundi perlu bersikap praktikal dan melihat wakil pemimpin yang dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan.Bernama

ADUN DAP Seri Delima dikecam gelar Melayu celaka

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengecam tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer daripada DAP yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin Umno sebagai 'celaka'. Rayer ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969. "Celaka-celaka UMNO ini kurang ajar, biadab dan selalu mengapi-apikan dengan membawa sepanduk memainkan isu rasis peristiwa 13 Mei. Celaka mereka," katanya. Kenyataan Adun DAP itu telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati wakil rakyat BN dan menuntut beliau menarik balik perkataan 'celaka' itu yang dilihat mencemar dewan. Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata kenyataan Rayer itu adalah keterlaluan dan telah melanggar peraturan dewan. "Jika Yang Berhormat Seri Delima mahu menzahir rasa marah ia bukan dalam dewan yang mulia ini. Sebagai ahli dewan, Yang Berhormat perlu mematuhi peraturan dewan iatu Perkara 46 yang menyebut setiap ahli dewan dilarang menggunakan perkataan yang menyakitkan hati dan sentuh peribadi pihak tertentu. "Sepatutnya Seri Delima tidak perlu gunakan perkataan kesat seperti celaka. Justeru, saya mohon pertimbangan Speaker menangani perkara ini kerana jika ia dibenarkan, perkataan seumpama ini akan mula digunakan dalam dewan," katanya. Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) kemudiannya bangun mencelah dan meminta Adun DAP itu menarik balik perkataan 'celaka'. Speaker Datuk Law Choo Kiang kemudiannya menegur Rayer dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulangi perkataan kesat itu. Sementara itu, dalam sidang akhbar, Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid mahu Law bertegas dalam mengendalikan sidang DUN supaya anggota dewan tidak mudah mengguna dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung. Beliau berkata selain sebagai menghormati kemuliaan dewan, ketegasan itu juga penting memandangkan penggunaan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung adalah melanggar peraturan DUN. "Sememangnya apa yang diperkatakan oleh Adun Seri Delima (R.S.N Rayer) menyalahi peraturan, menggunakan kata-kata kesat kepada orang yang tidak ada di dalam dewan, memang menyakitkan hati," katanya. Adun Penaga Mohd Zain Ahmad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu menyifatkan tindakan Adun DAP itu adalah provokasi supaya Adun BN melatah. "Apa yang diperkatakan oleh Rayer tidak relevan langsung dengan persidangan DUN, oleh itu kami mahu Speaker dapat pastikan Rayer tidak buat lagi perkara seperti itu," katanya.

Bekas Mufti Perlis bebas tuduhan mengajar tanpa tauliah

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jabatan Agama Islam (JAIS) lima tahun lalu. Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap Mohd Asri, 42. "Selepas memperhalusi keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," kata hakim itu di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini. Dalam penghakimannya, Shaiful Azli berkata mahkamah mendapati keterangan enam saksi pendakwaan tidak dapat memastikan apa yang diucapkan tertuduh sedangkan kesemua saksi itu merupakan pegawai yang terbabit secara langsung dalam serbuan berkenaan. Beliau berkata serbuan yang dilakukan terlalu cepat untuk menangkap tertuduh tanpa menunggu terlebih dulu untuk membuat pemerhatian secara lebih terperinci, menyebabkan potensi untuk menyatakan tertuduh berada di khalayak ramai terlalu jauh dan asing. "Secara kumulatif, tertuduh sedang mengajar ajaran agama Islam namun perkara berkaitan tidak dapat dijelaskan oleh saksi-saksi sedangkan ia merupakan elemen utama pertuduhan. "Mahkamah merasakan tidak selamat untuk membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mahkamah tidak boleh membuat anggapan fakta atau tekaan semata-mata," kata Shaiful Azli. Hakim itu berkata mahkamah berpendapat keterangan saksi-saksi itu tidak lengkap dan lemah kerana hanya bergantung kepada keadaan semasa, sedangkan pasukan yang terbabit adalah ramai, antaranya saksi mata dan telinga. Beliau juga sempat menasihatkan agensi siasatan dan pihak berkuasa supaya menjalankan sebarang serbuan secara lebih efektif dan cermat. Pada 18 Nov 2009, Mohd Asri didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kediaman di Taman Sri Ukay, Ampang di sini antara 8.10 malam dan 9.45 malam pada 1 Nov 2009 mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyafarain Mat Yusoff manakala Mohd Asri diwakili peguam Kamar Ainiah Kamaruszaman. Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Asri yang ditemani isterinya melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu. Beliau berharap pihak berkuasa agama yang terbabit lebih berhati-hati dalam membuat sebarang serbuan dan penahanan. "Tauliah ada keperluannya kalau seseorang itu tiada latar belakang agama, bagi kes ini mustahil pihak JAIS tidak mengetahui saya pernah jadi mufti dan saya juga pernah jadi anggota Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Kembalikan semula Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu Sunnah Wal Jama'ah

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ulama dan ilmuan Islam di negara ini supaya berusaha mengembalikan semula kedudukan Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu Ahli Sunnah Wal Jama'ah di rantau ini. Beliau berkata negara ini pernah menjadi wilayah ilmu Islam dalam pelbagai bidang seperti ilmu Kalam dan Aqidah; Fiqah; Tasawuf serta pemikiran dan falsafah mengikut aliran beberapa Imam termasuk Imam Abu Hasan Asy'ari, Imam al-Syafi'i dan Imam al-Ghazali. "Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah perlu terus diperkukuh dan diperkasakan di Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan seminar Pencerahan Tasawur Ahli Sunnah Wal Jama'ah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini Selasa. Muhyiddin menarik perhatian bahawa apabila berkata ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia, merupakan asas penting kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara ini. Katanya, aliran itu merupakan faktor yang mendidik umat Islam di negara ini supaya mengamalkan nilai-nilai kesederhanaan serta mengelakkan tindakan melampau dalam hubungan antara kaum dan agama. Muhyiddin berkata kerajaan komited untuk memastikan usaha dakwah dan tarbiah di Malaysia dapat diperluas dan diperkukuh dalam memberi kesedaran serta pencerahan kepada umat Islam mengenai ajaran Islam sebenar berpandukan Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Katanya, bagi merealisasikan matlamat itu, kerajaan sentiasa bersedia bekerjasama dan menyalurkan bantuan kepada ulama, institusi dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan. "Adalah diharapkan institusi dakwah dan NGO Islam dapat memainkan peranan penting sebagai rakan negara dalam usaha memelihara serta memperteguh akidah umat Islam di Malaysia. "Saya percaya usaha dakwah dan tarbiah yang berterusan dapat membina sebuah masyarakat yang beriman, berakhlak dan bertakwa, ciri penting sebuah masyarakat serta negara yang diredai Allah," katanya. Muhyiddin menegaskan di samping memberi pencerahan dan memperkasa ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah, masyarakat Islam juga perlu diberi kefahaman tentang ancaman fahaman serta falsafah pasca modenisme terutama liberalisme dan pluralisme.

MB Terengganu sedia kerjasama dengan sesiapa yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Beliau turut mengakui tidak mempuyai masalah jika jawatan itu diberikan kepada orang lain dan akan bekerjasama dengan individu yang dilantik demi memajukan Umno. "Kita serahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara itu kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti. "Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Sukan Malaysia (Sukma) kepada Kontinjen Terengganu lewat Isnin malam. Menurutnya lebih mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui Umno Terengganu. Beliau berkata perpaduan dalam saat-saat begini amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15. Ahmad Razif berkata demikian ketika mengulas cadangan sebuah kolum akhbar tempatan Ahad lepas yang mengaitkan nama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai calon yang sesuai untuk jawatan itu. Namun Ahmad Shabery ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu berpendapat, jawatan tersebut seharusnya dipegang oleh seorang Menteri Besar bagi membolehkan pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar. Sementara itu Ahmad Razif berkata buat sementara waktu beliau memangku dua portfolio iaitu portfolio asalnya iaitu selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi,Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri. Beliau juga memangku portfolio yang dipegang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri. Ahmad Razif berkata portfolio itu akan dipangkunya sehingga lantikan Exco baharu dibuat dan ketika ini, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara itu sebelum mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memohon perkenan.

Isnin, 19 Mei 2014

PRK Teluk Intan- DAP letak calon Melayu untuk mengaburi orang Melayu

Tindakan DAP meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan tindakan 'hiasan luaran' parti itu bagi mengaburi mata orang Melayu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata tidak mustahil ramai orang Melayu akan menyokong calon DAP itu kerana sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu mudah tertipu dengan tindakan seperti itu. "Tindakan itu hanya hiasan luaran sahaja tiada harapan apa-apa (diletakkan kepada calon itu), kalau dia (calon itu) menang dia menanglah," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin. Terdahulu, beliau berucap pada program Chancellor's Talk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan. PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong. Dr Mahathir turut meluahkan kekecewaan apabila calon yang diletakkan DAP itu datang daripada keluarga yang menyokong perjuangan Umno sejak sekian lama. "Kalau datang daripada keluarga pembangkang tak jadi apa pasal sejak kecil diajar benci Umno...kalau anak orang Umno depa tak cakap kat anak depa pasal apa Umno ni ada sejarah Umno semua, jadi bila dia besar dia bebaslah nak buat apa sahaja," katanya.

SPRM dedah ada pegawai penguatkuasa punyai simpanan RM1.5 juta hasil penyelewengan diesel subsidi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan terdapat kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai simpanan RM1.5 juta hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya telah pun mendapat perintah untuk menyita akaun berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. "Terdapat juga kes pegawai penguat kuasa dikesan membeli lori, semata-mata untuk menjalankan aktiviti seludup diesel," katanya pada sidang media mengenai kes penyeludupan diesel, di sini Isnin. Beliau berkata walaupun ia bukan tanggungjawab SPRM untuk menangani kes penyeludupan diesel namun suruhanjaya itu melihat kes berkenaan daripada sudut rasuah. Katanya sejak 2010 sehingga kini, sebanyak 90 kes penyeludupan diesel telah disiasat dan telah menyebabkan kerajaan kerugian hampir RM50 juta. Mohd Shukri berharap setiap kementerian yang terbabit dapat memastikan bahagian penguat kuasa yang menjaga minyak diesel menjalankan tangungjawab dengan amanah. "Saya tidak mahu kata mana-mana kementerian yang terlibat, ambillah tangungjawab masing-masing, siapa makan cili dia rasa pedas," katanya. Selain itu beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar pemberian diesel bersubsidi bagi mengekang kes penyeludupan. "Cadangan itu pernah dinyatakan SPRM sebelum ini dan pihaknya bersedia untuk membantu dalam memberikan sebarang bentuk idea," katanya.BERNAMA

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu mestilah MB

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu mestilah dipegang oleh Menteri Besar bagi membolehkan pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar. Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata beliau berpendapat perjalanan politik di sesebuah negeri akan tempang sekiranya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dipegang oleh Menteri Besar. "Menteri Besar tidak dapat menjalankan tugas dengan baik jika dia tidak mempunyai 'kuasa memerintah' dari segi mengarah, mengawal dan membangunkan visinya sekiranya tiada pegangan pada politik. Begitu juga yang pegang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, jika dia tiada kedudukan dalam kerajaan sedangkan kerajaan itu adalah Barisan Nasional, dia juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Perfileman 2014 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang di sini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (I) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed, Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan dan Ketua Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah kolum di akhbar tempatan semalam yang menyebut Ahmad Shabery calon sesuai mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, yang kosong ekoran peletakan jawatan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said minggu lepas. Menteri Besar Terengganu yang baharu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau mahu Finas diperkasakan untuk membantu perkembangan industri perfileman tempatan. "Saya minta mereka (Finas) juga lihat sekiranya akta sedia ada dapat dibuat pindaan supaya agensi itu dapat memberikan perkembangan yang lebih baik dari segi amalan-amalan terbaik. "Lihat industri seni Korea yang telah berkembang, 20 tahun dulu tiada yang mahu melihat cerita mereka, tetapi kini dengan penceritaan dan sinematografi yang baik mampu menjadikan filem itu menarik," katanya. Pada majlis sama, Ahmad Shabery turut menyampaikan dana bantuan persatuan penggiat filem berjumlah RM300,000 kepada 27 wakil persatuan perfileman tempatan, bertujuan membantu penggiat seni perfileman menghasilkan karya lebih bermutu.

Ahad, 18 Mei 2014

GST- RM8 bilion cukai dijangka dapat dikutip tahun depan

Lebih RM8 bilion cukai yang sepatutnya dijelaskan oleh peniaga, pembekal dan pengilang setiap tahun dapat dikutip dengan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April tahun depan. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri turut yakin pelbagai taktik yang diguna untuk mengelak daripada membayar cukai selama ini tidak lagi berkesan dengan penguatkuasaan GST. Katanya melalui GST kerajaan dapat mengatasi kelemahan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan menghapuskan cukai bertindih, berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan menjadi lebih mahal daripada sepatutnya. "Melalui GST, jika mereka cuba mengelak membayar cukai, perbuatan mereka pasti akan dapat dikesan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo, Jalan Muar di sini hari ini. Sehubungan itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata rakyat tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan sistem GST tersebut kerana cukai berkenaan adalah untuk menjaga kepentingan mereka. Hamim turut menolak andaian sesetengah pihak bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang. Pada masa ini katanya, kerajaan menghadapi cabaran yang besar dalam memberi penjelasan kepada rakyat ekoran tindakan pembangkang yang mengelirukan mereka berhubung sistem GST. Bagaimanapun usaha sedang dijalankan bagi menangani persepsi buruk yang ditabur oleh pembangkang untuk menghasut rakyat supaya membantah pelaksanaan sistem percukaian tersebut. "GST merupakan sistem percukaian terbaik dan ini jelas berdasarkan kepada kajian terhadap 140 negara di dunia yang telah melaksanakannya sejak sekian lama," katanya. Beliau juga meminta rakyat tidak terkeliru dengan dakwaan pembangkang kerana bukan semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai itu antaranya buku, ubat-ubatan dan syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000. Pelaksanaan GST berkadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas. GST akan menggantikan SST yang pada masa ini berkadar keseluruhan 16 peratus. - Bernama

MH370- Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu-Tun M

Pengeluar pesawat yang digunakan Malaysia Airlines (MAS), Boeing Corporation perlu memberi penjelasan tentang sistem pendaratan automatik yang terdapat pada pesawat Boeing 777 seperti yang dilaporkan The Flightglobal.com. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam entri blog terbarunya berkata, beliau tidak dapat membayangkan juruterbang yang mengendalikan MH370 membuat pendaratan yang licin di lautan yang ‘ganas’ dan kemudiannya tenggelam begitu saja. Beliau juga menyebut adalah tidak adil kesalahan insiden kehilangan MH370 hanya diletakkan kepada Malaysia dan MAS. “Boeing harus menjelaskan tentang sistem yang dipanggil pendaratan automatik anti keganasan ini. “Seseorang menyembunyikan sesuatu. Tidak adil kesalahan itu ditanggung Malaysia dan MAS sahaja,” katanya yang dipetik melalui entri bertajuk ‘Boeing Technology-What Goes Up Must Come Down’, hari ini. Menurutnya, sesebuah pesawat boleh terbang dan berada di udara untuk satu-satu tempoh masa tetapi ia tetap perlu turun ke bawah sama ada selamat mendarat atau kemalangan. “Tapi, pesawat tidak terus hilang. Tidak pada masa sekarang dengan kemajuan sistem komunikasi, radio, satelit dan kamera tanpa filem yang beroperasi tidak putus dan kapasiti simpanan yang besar. “Sistem komunikasi dan GPS pastinya telah dilumpuhkan, jika tidak, stesen pasti boleh menghubungi dan mengesan pesawat berkenaa,” katanya. Tun Mahathir menyentuh mengenai maklumat yang diperoleh daripada carian di Internet iaitu Boeing telah menerima paten Amerika Syarikat (AS) bagi sistem kawalan pemanduan automatik. “Carian di Internet mendedahkan, Boeing menerima paten AS pada 2006 bagi sistem yang sekali diaktifkan ia akan menghilangkan kawalan pemaduan juruterbang dan mendarat di lokasi yang ditentukan sistem itu. “The Flightglobal.com melalui sebuah artikel ditulis John Croft dengan dateline Washington DC (1 Dis 2006) menyebut, ‘pemanduan automatik yang tidak boleh diganggu atau pintas akan diaktifkan, sama ada oleh juruterbang, alat pengesan dalam kapal ataupun dikawal radio atau satelit yang dihubungkan oleh agensi kerajaan seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA), jika terdapat ancaman pengganas untuk mengambil alih kokpit’. “Jelas Boeing dan beberapa agensi mempunyai keupayaan untuk mengambil alih kawalan penerbangan,” tegasnya. Katanya, pencarian debris, kesan tumpahan minyak atau mendengar bunyi ‘ping’ dari kotak hitam hanya membazir masa dan wang. “Ini bukan kejadian nahas biasa selepas kehabisan bahan bakar. Pesawat itu ada di mana-mana mungkin tanpa pengetahuan MAS,” katanya.

MB Terengganu iktiraf peranan media

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempelawa pengamal media memberi cadangan dan idea baharu dalam aspek penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan negeri ini berjalan lancar. Beliau berkata pengamal media adalah antara golongan yang sering turun padang dan terawal dalam mengetahui permasalahan dihadapi rakyat dalam pelbagai urusan harian mereka. "Justeru marilah bersama-sama kita bekerjasama ke arah pembangunan Terengganu yang lebih maju dengan keseimbangan menyeluruh dengan kebajikan rakyat terus diutamakan. "Saya sangat berharap pengamal media di negeri ini terus membuat laporan tepat dan berkualiti dan saya sendiri akan berusaha memberi kerjasama yang diperlukan anda semua," katanya ketika berucap di majlis mesra media anjuran Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sini malam tadi yang dihadiri 300 pengamal media di negeri ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Presiden KAWAT Ayob Mamat. Ahmad Razif turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan dengan baik sepanjang krisis politik negeri ini minggu lalu. "Fokus kita semua selepas ini ialah untuk menang semula di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang kita kalah dan mengekalkan kemenangan di kerusi Dun sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. "Saya adalah menteri besar ke-14 dan kebetulan akan menghadapi PRU14, lupakan semua yang berlaku, kita semua rapatkan barisan untuk capai impian yang satu demi kemenangan yang diimpikan," katanya. - Bernama

Kastam dikorporat tahun hadapan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan dikorporatkan pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Beliau berkata langkah tersebut amat baik dalam usaha meningkatkan produktiviti anggota Kastam. "Hasil cukai yang dikutip turut bertambah dan akan disumbangkan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Kastam (Penguatkuasaan) bernilai RM13.02 juta di Tanjung Dawai dekat sini Ahad. Beliau berkata kajian mengenai perkara itu telah siap dan pindaan beberapa akta berkaitan cukai dibuat dan akan dibentang di Parlimen Oktober depan. Katanya, jabatan itu mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selepas dikorporatkan berjaya menyumbang hasil begitu tinggi kepada negara. Mohd Irwan berkata tahun lepas Kastam menyumbang hasil kepada negara sebanyak RM33.12 bilion dan sasaran pada tahun ini sebanyak RM36 bilion. Sementara itu Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata sebanyak 55 syarikat kecil yang telah membeli perisian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal menerima subsidi kerajaan sebanyak RM1,000. Perisian tersebut untuk pengiraan harga barangan yang dikenakan GST. "Mereka yang beli perisian ini perlu memaklumkan kepada SME Corp sebelum mendapat kelulusan untuk subsidi itu. "Kita harap lebih banyak syarikat kecil memohon untuk mendapatkan perisian itu," katanya. Peruntukan sebanyak RM150 juta disediakan kerajaan untuk subsidi RM1,000 kepada setiap syarikat kecil dan sederhana bagi mengemas kini sistem perakaunan syarikat mereka. Pelancaran subsidi itu dijangka dilakukan pada Jun atau Julai ini sebelum kerajaan menguatkuasa GST mulai April tahun depan.