Selasa, 4 November 2014

1MDB boleh bina rumah di Air Hitam- LIm Guan Eng

1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya boleh membina rumah mampu milik di tanah seluas 94 hektar yang dibelinya di Air Itam, Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng. Beliau berkata rancangan 1MDB yang diumumkan selepas membeli tanah itu adalah untuk membina 9,999 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik. "Saya beri amaran kepada 1MDB bahawa kami tidak akan membenarkannya membina selain daripada rumah mampu milik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di sini pada Selasa. Guan Eng berkata 1MDB juga tidak akan dibenarkan memindah mereka yang menduduki tanah itu, tanpa dibayar pampasan sewajarnya. Bagaimanapun, kata Lim setakat ini 1MDB tidak memohon kelulusan perancangan bagi sebarang projek di tanah itu. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita bulan lepas bahawa selain membina rumah kos rendah dan rumah mampu milik, 1MDB juga bercadang menggunakan tanah itu bagi tujuan pembangunan lain untuk menjana nilai lebih tinggi bagi tanah yang dibelinya. 1MDB membeli tanah itu pada harga RM1.38 bilion dan berjanji membina 9,999 unit rumah mampu milik. Sementara itu, setiausaha politik Lim, Wong Hon Wai, yang turut hadir, mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak melabur atau memiliki sebarang saham dalam Wet World Wild (WWW) Adventure Park di Batu Ferringhi. Katanya projek itu merupakan inisiatif persendirian dan kerajaan negeri hanya memainkan peranannya sebagai pemudah cara untuk syarikat terbabit membina taman berkenaan. WWW Adventure Park ditutup bulan lepas, hanya 10 bulan selepas ia dibuka berikutan ombak kuat pada fasa awal 'super-moon' bulan lepas, yang menyebabkan beberapa struktur dan peralatan taman itu dihanyutkan ke pantai dan ditimbusi pasir di pantai Batu Ferringhi.

Najib akan bertukar pandangan dengan PM Belanda mengenai perkembangan MH17

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte dijangka bertukar-tukar pandangan dan maklumat tentang perkembangan terkini berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh sempena lawatan rasmi sehari Rutte ke Malaysia pada Rabu. Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Selasa berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia yang terlibat dengan penyiasatan nahas itu selepas pertemuan mereka. Perdana Menteri akan menyambut ketibaan Rutte di Putrajaya pada Rabu dalam lawatan bagi membalas kunjungan Najib ke Belanda pada Julai. Dalam kunjungan pertamanya ke Malaysia itu, Rutte akan diiringi para pegawai kanan Kementerian Luar Belanda. Penerbangan MH17 terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat malang itu membawa 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia. Semua rakyat negara ini yang menjadi mangsa, telah dikenal pasti. Kenyataan itu berkata lawatan Rutte memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pendapat tentang perkara dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Lawatan itu juga dijangka meningkatkan hubungan baik dua hala sedia ada antara Malaysia dan Belanda, kata kenyataan itu.BERNAMA

Anwar sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan "Lelaki Y" bukan miliknya

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan bahawa profil tidak dikenali 'Lelaki Y' yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan miliknya, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa. Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan tidak pernah menjelaskan mengapa sampel air mani Anwar ditemui dalam dubur Mohd Saiful. "Dia sepatutnya bersedia menjalani ujian DNAnya sendiri jika air mani itu bukan miliknya. Dia boleh melakukan ujian DNA itu secara diam-diam di Australia atau Eropah," katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabit kesalahan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar boleh menyerahkan hasil ujian DNAnya di peringkat Mahkamah Tinggi sebagai bahan bukti tambahan pihak pembelaan. Mahkamah Rayuan telah mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan. Prosiding mendengar rayuan, yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujahan yang panjang lebar. Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada pensabitan kerana kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan pensabitan dan hukuman penjara ke atasnya. Empat lagi hakim yang bersidang dalam barisan panel hakim Mahkamah Persekutuan itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Bagi menyanggah dakwaan Anwar bahawa tuduhan liwat itu ialah berupa satu konspirasi, Muhammad Shafee berhujah bahawa ia dakwaan semata-mata kerana langsung tidak logik dan sukar untuk mempercayainya. Mengenai calitan tinggi rektal yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful Bukhari yang menunjukkan kehadiran DNA Anwar, Muhammad Shafee berkata "Bagaimana DNA perayu boleh berada di situ pada kedalaman 4 sm (dalam rektum pengadu) dan ia sepatutnya dijawab oleh perayu." Beliau juga mempersoalkan mengapa air mani Anwar dijumpai pada seluar dalam Mohd Saiful Bukhari berwarna kelabu yang dipakai oleh pengadu pada hari dia diperiksa seorang doktor Pusrawi dan semasa membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, dua hari selepas insiden liwat itu didakwa berlaku. Ketua pendakwaan itu juga mempertikaikan hujah pihak pembelaan bahawa calitan kapas yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful berada dalam "keadaan tidak tercemar" selepas 56 jam insiden itu berlaku sebelum ia sampai di jabatan kimia. Beliau meneruskan hujahnya bahawa pihak pendakwaan tidak pernah berkata sampel itu berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi perkataan itu terkandung dalam keterangan pakar asing Dr Brian McDonald yang menjadi saksi pihak pembelaan. Muhammad Shafee juga berhujah bahawa sebuah mahkamah di Australia telah memutuskan bahawa walaupun McDonald ialah seorang pakar mengenai DNA, kenyataan dan keterangannya tidak boleh menjadi asas sandaran. "Malah Mahkamah Rayuan ketika menyabitkan perayu, dalam penghakimannya menyatakan bahawa keterangan McDonald sebagai 'pakar yang hanya pandai berteori'" kata beliau. Beliau juga menarik perhatian kepada satu kes pembunuhan di Australia apabila sampel DNA diambil selepas lebih 13 tahun tetapi DNA masih boleh dibaca dan pelakunya telah disabitkan kesalahan. Muhammad Shafee berkata ahli kimia Dr Seah Lay Hong, dalam keterangannya, tidak berkata bahawa sampel berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi bacaan DNA adalah cukup baik. "Ahli kimia itu dapat membaca DNA dan kemerosotan sampel itu tidak harus dipersoalkan," kata beliau.

Anwar sepatutnya memanggil saksi alibinya- Shafie Abdullah

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan dia tidak berada di unit kondominium apabila dakwaan liwat antara beliau dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan berlaku, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar, melalui peguam caranya, telah menyenaraikan 13 nama termasuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium, dua pembantu rumah dan seorang profesor. "Tetapi tidak seorangpun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibinya bahawa dia tidak berada di kondominium pada masa itu. "Mohd Saiful mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kehadiran perayu di unit kondominium. Terserah baginya (Anwar) untuk mencabar keterangan Mohd Saiful dengan memanggil saksi-saksi alibinya," kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Muhammad Shafee berkata mahkamah boleh membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap Anwar kerana gagal memanggil saksi-saksi yang menjadi alibinya. Beliau selanjutnya berhujah bahawa menjadi kewajipan undang-undang untuk ketua pembangkang itu menangkis andaian bahawa dia berada di unit kondominium itu pada hari insiden liwat itu dikatakan berlaku. Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi statutori bagi Anwar untuk memanggil saksi-saksi ini memandangkan pihak pembelaan telah memfailkan notis alibi. Muhammad Shafee juga berhujah bahawa Anwar, ketika memberi keterangan di kandang saksi, berkata alasan untuk dia tidak memanggil saksi-saksi alibi adalah sah dan munasabah tetapi pihak pendakwaan berpendapat bahawa alasan itu tidak masuk akal. Beliau berhujah bahawa Anwar tidak mengemukakan keterangan mengikut versinya mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 26 Jun, 2008 di unit kondominium itu dan terdapat bukti kukuh mengenai kehadiran perayu apabila rakaman CCTV menunjukkan perayu tiba dan meninggalkan tempat itu selepas insiden. Oleh itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa kegagalan Anwar menafikan atau mencabar keterangan pihak pendakwaan membawa pengertian bahawa dia mengaku tentang fakta-fakta yang dikemukakan berdasarkan bukti. "Ini sememangnya, pasti akan menjadi bukti yang kukuh terhadapnya berikutan ketiadaan saksi-saksi alibi ini," kata beliau. Perbicaraan bersambung pada Khamis. Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Prosiding mendengar rayuan, yang mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar. Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan atas kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya. Empat orang lagi hakim dalam barisan panel Mahkamah Persekutuan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Jika rayuan Anwar ditolak, beliau boleh terlucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) bagi Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang MP boleh hilang kelayakan jika dihukum penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000. Ini merupakan pertuduhan liwat yang kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000. Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar untuk menjalani hukuman selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi telah mensabitkan Anwar atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama hampir enam tahun atas kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004, apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atasnya atas pertuduhan meliwat Azizan, berdasarkan keputusan majoriti 2-1.BERNAMA