Khamis, 15 Mei 2014

PRK Teluk Intan: Wanita BN kekalkan tradisi kempen rumah ke rumah

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali 'menakluki' Parlimen Teluk Intan sekaligus menepis dakwaan kononnya kawasan itu kubu pembangkang, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata ini berdasarkan analisis pergerakan itu terhadap keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang yang menunjukkan berlaku peningkatan sokongan para pengundi kepada BN termasuk kawasan peti undi yang diandaikan milik pembangkang. "Analisis yang merekodkan trend positif itu terus menjadi semangat dan kekuatan kepada Pergerakan Wanita BN untuk bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan parti untuk kerusi Parlimen Teluk Intan," katanya kepada pemberita sebelum bermesyuarat bersama-sama jentera Wanita BN Parlimen Teluk Intan di sini Khamis. Bagi menghadapi cabaran di Teluk Intan, beliau berkata Wanita BN mengekalkan strategi tradisi yang menjadi kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi iaitu melalui pendekatan turun ke setiap rumah serta sentuhan dari hati ke hati. Pendekatan itu digerakkan jentera Wanita BN bukan hanya untuk mendapat sokongan golongan wanita malah ia juga berkesan untuk semua lapisan pengundi, katanya. "Sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, Wanita BN tidak pernah mengamalkan sikap sambil lewa. Kami tetap terus pergi rumah ke rumah dan bercerita mengapa pemilih patut mengundi BN...sentuhan Wanita ini adalah nadi BN," katanya. Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata BN berharap pengundi memberi peluang kepada parti itu di Teluk Intan selepas pembangkang yang cuba membawa perubahan gagal menunaikan janji mereka. Beliau berkata kemenangan BN di Teluk Intan merupakan kesinambungan kemantapan kerajaan negeri dan pusat yang dipimpin oleh parti itu. "Pengundi di Teluk Intan memerlukan kepimpinan BN kerana banyak janji pembangkang yang tidak ditunaikan. Ini peluang kepada masyarakat Teluk Intan untuk menentukan janji pembangunan pembangkang itu diambil alih oleh BN," katanya. Pilihan raya kecil Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. Pada pilihan raya umum Ke-13, Seah menewaskan calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. ` Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei disusuli dengan hari pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

Ahmad Said ikrar sokong penuh MB baru

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata beliau akan membantu Ahmad Razif selagi berkhidmat sebagai wakil rakyat. "Saya akan jaga kawasan Kemaman dan kawasan saya. Kalau dulu saya jaga seluruh negeri, sekarang saya jaga Kemamanlah. Saya akan bantu," kata Ahmad pada sidang media di kediamannya di Teluk Kalong di sini. Ahmad, 57, berkata beliau akan terus berbakti kepada Umno bersandarkan penglibatannya yang cukup lama dalam parti itu, sejak berusia 19 tahun. "Saya akan bantu. Anda bayangkan masa dulu kita kalah (dalam pemerintahan PAS 1999-2004), saya jelajah satu negeri untuk memenangkan Umno, beri ceramah siang malam," katanya. Mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melihatnya sebagai pengkhianat Umno, Ahmad menegaskan: "Soal pengkhianat tak timbul. Ini soal perjuangan...kerana sayangkan Umno saya kembali semula. Kalau saya pengkhianat, lama dah saya bergabung dengan PAS." Beliau mendakwa ada didatangi beberapa anggota PAS yang memujuknya menyertai parti itu, namun menolak pelawaan berkenaan. Terengganu menjadi tumpuan apabila Ahmad dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan menteri besar, Isnin lepas. Pada hari yang sama, Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu. Susulan itu, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas. Bagaimanapun Roslee dilaporkan telah kembali kepada Umno pada Selasa, disusuli Ahmad dan Ghazali Rabu.

Krisis Terengganu pengajaran buat kepimpinan negeri-PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemelut politik Terengganu sebagai satu pengajaran yang memberi kesempatan untuk memperkukuh barisan kepimpinan Barisan Nasional di negeri itu. Najib yang juga Presiden Umno, berkata perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik. "Perkara ini berlaku kerana ada sedikit tidak faham pada keadaan tertentu tetapi kita leraikan dalam masa yang singkat. "Saya harap apa yang dilalui sebagai satu pengajaran dan satu kesempatan bagi kita memperkukuh barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu dan lebih mantap untuk terus berjuang dan memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat," katanya pada sidang media di sini Khamis. Sebelum itu, beliau merasmikan Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ahmad pada Isnin lepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu. Pada sebelah malamnya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahmad pada hari yang sama kemudian mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas diikuti dengan Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam. Najib mengucapkan penghargaan kepada Ahmad, Ghazali dan Roslee atas semangat yang mereka tunjukkan iaitu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Adun BN Terengganu yang telah melafazkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan Ahmad Razif," katanya. Najib berkata beliau juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad pada Sabtu ini di Teluk Kalong, Kemaman. Ditanya mengenai apa yang membuatkan Ahmad kembali ke pangkuan Umno, Najib berkata kemelut itu selesai dengan baik apabila beliau mendengar penjelasan sebenar daripada Ahmad melalui perbualan telefon. "Memang tarikh kenduri tidak dimaklumkan kepada saya dan (Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Kami berdua fikir bahawa kenduri pada 10 Mei lalu sudah selesai. Kami tidak diberitahu pada Sabtu ini ada satu lagi majlis. "Inilah menjadi punca berikutan komunikasi tidak jelas...semua ini dapat diatasi apabila mendengar penjelasan sebenarnya," katanya. Najib berkata Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau terlalu cinta pada Umno dan tidak boleh tinggalkan parti tunjang BN itu. "Saya hendak melahirkan penghargaan saya kepada beliau dan selepas ini kita terus berjuang bersama," kata perdana menteri. Najib mengakui pada mula-mula beliau terperanjat mendengar khabar mengenai tindakan Ahmad untuk keluar parti. "Saya rasa bahawa pada kesudahannya beliau akan sedar bahawa sebagai anggota parti, kita tertakluk pada disiplin parti dan kita mesti meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya. Apabila ditanya kemelut politik Terengganu akan menjadi panduan bagi Umno menghadapi cabaran pada masa akan datang, Najib berkata setiap situasi berbeza. "Yang penting adalah memastikan nilai disiplin dalam parti dan ini mesti kita pelihara dan perkukuhkan. "Mana-mana parti tidak ada disiplin, tidak akan berjaya," katanya.