Selasa, 21 Oktober 2014

Happy Depavali buat kawan kawan yang beragama hidup.

Happy Devali, waktu untuk kita membuktikan semangat Muhibah yang dipupuk selama ini akan berkek.

Jangan percaya dengan puak ekstremis- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat Malaysia untuk tidak terpedaya dengan pandangan puak ekstremis dalam perjalanan mereka untuk mencapai matlamat bersama. Beliau berkata mereka perlu berupaya mengatasi segelintir pihak yang mensensasikan pandangan sempit dan berpuak, dengan memperakui dan bertegas dengan komitmen mereka terhadap satu sama lain. "Apa yang akan menjadikan Malaysia kekal kuat dan stabil bukannya segelintir pihak yang berkata sesuatu untuk memecah-belahkan kita tetapi sejumlah besar mereka yang melakukan pelbagai perkara untuk menyatukan kita," kata Najib dalam perutusan Deepavali 2014. Perdana menteri mengambil perhatian rakyat Malaysia membawa bersama-sama adat resam dan tradisi unik mereka untuk melengkapi struktur masyarakat dan bekerja keras dan melakukan pengorbanan untuk menjadikan negara berada pada tahapnya sekarang. "Semua ini dapat dilakukan kerana semua rakyat Malaysia berkongsi aspirasi serupa untuk hidup dalam harmoni dan sejahtera dengan satu sama lain," katanya. "Pastinya, kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dalam perjalanan kita untuk mencapai matlamat bersama kita, tetapi kita perlu ingat kita mempunyai ramuan yang sama untuk berjaya. "Ramuan berkenaan adalah rasa cinta kepada negara Malaysia kita, rasa sayang sesama kita sebagai rakyat Malaysia dan bersikap sederhana dalam apa juga yang kita lakukan," kata Najib. Perdana menteri berkata formula kejayaan Malaysia diperakui bukan sahaja oleh negara-negara jiran malah oleh dunia. Manifestasi terkini dalam perkara ini, katanya adalah kejayaan besar negara yang diundi menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu baru-baru ini. "Kejayaan kita menduduki kerusi itu membuktikan penghormatan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, dan pendekatan sederhana kita dalam menangani cabaran dalam negara, serantau dan antarabangsa," katanya. Mengucapkan "Deepavali Vaalthukal" (Selamat Hari Deepavali) kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu, Najib menggesa agar salam persahabatan dihulurkan kepada satu sama lain sempena perayaan ini dan sekali lagi, pastikan rakyat dan negara ini terus harmoni dan makmur. "Tatkala kita berkongsi kegembiraan menyambut Deepavali bersama-sama, mari kita mengingatkan diri kita sendiri Pesta Cahaya ini menyatukan kita untuk menuju masa depan bersama-sama dengan harapan dan impian kita. "Saya menggesa masyarakat India untuk meneruskan kerjasama mereka dengan kerajaan berasaskan 'nambikei' (kepercayaan). Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk memastikan cahaya dan harapan sampai kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat," katanya. – Bernama

PKNS nafi MB disiasat SPRM

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menafikan laporan media mengenai dakwaan kononnya Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (gambar) disiasat berhubung salah laku rasuah. Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim dalam satu kenyataan berkata perbadanan tersebut tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh Azmin ketika memegang jawatan sebagai Anggota Perbadanan PKNS. Katanya, bagaimanapun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak membuat siasatan malah PKNS bersedia memberikan kerjasama. Beliau berkata, PKNS merupakan organisasi yang mengamalkan tadbir urus korporat terbaik dan merupakan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pertama menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) seperti yang dilaksanakan syarikat dan agensi kerajaan. Baru-baru ini beberapa media tempatan melaporkan SPRM menyiasat Azmin berhubung dakwaan salah guna dana semasa memegang jawatan tersebut. Tuduhan penyalahgunaan dana itu dikatakan berlaku dalam satu urusniaga melibatkan Projek Pembangunan PJ Sentral. – Bernama

Pesta sentuh anjing: Jakim bimbang budaya baru menghina Islam

Tindakan pihak penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru dan boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam. "Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi," ujar Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan. Justeru, jelasnya peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafie. Berikut kenyataan penuh beliau. Pertama sekali Jakim ingin membuat teguran kepada pihak penganjur yang telah mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah. Hal ini sekaligus telah menimbulkan keresahan awam khasnya di kalangan umat Islam kerana secara jelas telah menyanggah pegangan mazhab dan ‘uruf/ adat di Malaysia. Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam. Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja. Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya. Justeru, tindakan pihak penganjur adalah dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru dan boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam. Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafie. Pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah. Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Malah anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ehsan dan dijaga kebajikannya. Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan. Jakim telah mengulas lanjut isu berhubung kedudukan anjing dalam Islam serta hukum berkaitannya melalui portal fatwa Jakim di www.e-fatwa.gov.my. Kedua, Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian. Dalam perkara ini, Jakim bercadang untuk memanggil pihak penganjur bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya. -

SPR sudah mula kerja kerja awal persempadanan semula kawasan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan kerja pentadbiran bagi Kajian Semula Persempadanan di seluruh negara. Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata kerja itu melibatkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan pertambahan bilangan pengundi semasa. "(Langkah) seterusnya menyediakan draf laporan awal Kajian Semula Persempadanan sebelum syor persempadanan dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri," katanya. Abdul Ghani berkata Kajian Semula Persempadanan yang terakhir bagi Semenanjung dan Sabah adalah pada 2003 dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tempoh lat (selang) lapan tahun sepatutnya berakhir pada 2011. Dalam tahun yang sama (2013), tempoh lat lapan tahun bagi negeri Sarawak juga berakhir. Katanya, pada pertengahan 2011, SPR memutuskan untuk memulakan kajian tersebut secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013. "Justeru, SPR menetapkan untuk menjalankan urusan kajian semula secara serentak bagi negeri Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak," katanya. Menurut Abdul Ghani, laporan syor kajian semula yang dikemukakan akan dipamerkan selama sebulan di tempat-tempat terpilih, selepas SPR mewartakan notis persempadanan tersebut dan menyiarkannya di dalam sekurang-kurangnya sebuah akhbar tempatan. "Tempoh bermulanya dua tahun Kajian Semula Persempadanan adalah dari tarikh pewartaan notis ini," katanya. Semasa ia dipamerkan, representasi bantahan boleh dibuat oleh pihak berkepentingan iaitu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau 100 orang atau lebih pemilih berdaftar yang nama mereka berada di dalam daftar pemilih semasa bahagian pilihan raya berkenaan, katanya. "SPR akan mengadakan Siasatan Tempatan ke atas bantahan yang diterima dan jika terdapat sebarang pindaan ke atas syor kajian semula, maka syor itu akan dipamerkan buat kali kedua selama sebulan. "Proses Siasatan Tempatan untuk kali kedua akan dilaksanakan jika masih terdapat representasi bantahan terhadap pindaan itu," katanya. Abdul Ghani berkata berdasarkan hasil Siasatan Tempatan kali kedua itu, SPR akan menyediakan laporan akhir Kajian Semula Persempadanan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. Dalam menyediakan syor kajian semula berkenaan, beliau berkata SPR sentiasa mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan pelbagai pihak dan melihat secara keseluruhan persempadanan bahagian pilihan raya yang terdapat di seluruh negara. "Oleh itu tidak timbul soal penentuan bahagian pilihan raya yang berasaskan etnik atau memihak kepada mana-mana parti politik. "SPR hanya membuat syor persempadanan semula, sama ada berlaku pertambahan atau pengurangan bahagian pilihan raya adalah ditentukan oleh kelulusan Dewan Rakyat," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2014 janjikan yang terbaik

Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung 25 hingga 29 November ini menjanjikan suasana serta kemudahan terbaik kepada semua pihak khususnya pengamal media yang akan berkampung sepanjang perhimpunan agung UMNO yang akan berlangsung bulan depan. Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Wira Ab Rauf Yusoh berkata kaedah penambahbaikan pada tahun ini mengambil kira beberapa pandangan dan perkara yang telah dilontarkan pelbagai pihak tahun lepas. “Pihak urusetia telah mengambil langkah-langkah baru bagi melicinkan lagi perhimpunan agung UMNO pada tahun ini. Langkah pertama kita akan adakan sebuah ‘base hospital’ sementara di Laman Merdeka, Aras 4 bagi memudahkan sebarang urusan kesihatan. “Selain itu kita juga akan mewujudkan ruang khas untuk saluran televisyen mengadakan sudut mereka sendiri sepanjang perhimpunan agung UMNO berlangsung bagi memberi pilihan kepada para perwakilan serta pemerhati dapat mengikuti perkembangan mengikut saluran kegemaran masing-masing. “Jadi kita akan lihat perkembangan baru ini dan insyaallah ianya akan memberikan kemudahan kepada semua perwakilan serta pemerhati yang akan hadir pada perhimpunan agung UMNO nanti. Malah kita juga membuat beberapa penambahbaikan kepada pengamal media baik media arus perdana mahupun media siber bagi memastikan mereka dapat membuat liputan terbaik sepanjang perhimpunan itu berlangsung,” katanya di sini hari ini. Mesyuarat Penyelarasan Media Terdahulu sebelum itu, Datuk Wira Ab Rauf mengadakan mesyuarat serta lawatan tapak bersama wakil-wakil media di Dewan Tun Dr Ismail bagi membincangkan segala pandangan bagi melicinkan operasi media pada perhimpunan agung UMNO 2014. Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan diadakan pada 25 – 29 November hadapan dengan dimulakan oleh Forum Antarabangsa pada 24-25 November. Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang akan dimulakan sebagaimana lazimnya dengan Taklimat Presiden pada 25 November dan perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan berlangsung pada sebelah malam. Pada hari berikutnya persidangan pergerakan sayap akan berjalan dengan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO pada sebelah malamnya. Kemudian pada 27– 29 Nov, Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dan jamuan makan malam akan diadakan pada malam 27 Nov. Datuk Ab Rauf turut memaklumkan kemungkinan akan diadakan malam selawat perdana yang akan diketuai Habib Sheikh Abdul Qodir As Segaff. “Perkara ini masih dalam perbincangan dan sama-sama kita doakan agar kita dapat laksanakan perkara ini,“ ujarnya. -MediaUMNO

Harga RON 95 kekal sehingga Jun tahun depan- Ahmad Maslan

Harga petrol RON 95 mungkin kekal pada kadar RM2.30 seliter sehingga Jun tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Beliau berkata rasionalisasi subsidi petrol mungkin tidak akan dibuat sehingga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan sistem pengkhususan pemberian subsidi petrol kepada golongan sasaran pada Jun 2015. "Perincian bagi sistem ini masih lagi di peringkat kajian. Setakat ini, apa yang diberitahu kepada saya ialah sistem yang bakal dilaksanakan ini akan dimuatkan dalam MyKad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2014, di sini hari ini. Ahmad berkata sistem tersebut akan turut dilaksanakan ke atas pengguna diesel pada Januari depan, seperti pengumuman yang dibuat oleh Ketua Setiausaha KPDNKK baru-baru ini. "Bagi subsidi diesel, saya difahamkan setakat ini sistem tersebut bakal dimuatkan dalam kad 'fleet' para pengguna," katanya, sambil menambah bahawa cadangan ini mungkin akan berubah disebabkan jangka masa yang masih panjang. Ahmad berkata KPDNKK telah membuka Permohonan Cadangan (RFP) untuk pelaksanaan sistem subsidi petrol, yang menilai dari segi pendapatan individu dan hak milik kenderaan tersebut. Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kewangan telah membuat permohonan bertulis kepada KPDNKK untuk menukar terma 'caj perkhidmatan' yang dikenakan oleh sesetengah restoran dan hotel, kepada 'caj restoran' atau "caj hotel'. Beliau berkata langkah ini wajar dalam memastikan rakyat tidak terkeliru dengan terma tersebut dan menyangka bahawa kadar 10 peratus yang dikenakan ke atas bayaran tersebut diambil oleh kerajaan. "Caj perkhidmatan diambil oleh restoran dan hotel. Ia bukan cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan," katanya.

Kedah tumpu usaha tingkatkan pengeluaran padi MB Mukhriz

Kerajaan negeri Kedah memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran padi demi pembangunan serta kelangsungan industri padi dan beras sekali gus memastikan bekalan makanan negara terjamin. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pada masa ini pihaknya agak bimbang kerana peratusan padi yang dibekalkan Kedah ke seluruh negara berada pada tahap 31 hingga 32 peratus sahaja. "Kita hendak tingkatkan (pengeluaran padi) sekurang-kurangnya sampai 35 peratus dan saya lihat kita tidak ada pilihan selain daripada menggunakan teknologi terbaharu untuk tingkatkan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di Taman Jubli Emas dekat sini hari ini. Beliau berkata, kawasan sawah yang mengalami masalah tanah jerlus juga boleh dipulihkan bagi menambah keluasan kawasan penanaman padi. Katanya, sawah yang diusahakan secara persendirian pula perlu berusaha meningkatkan hasil kerana kebanyakan mereka hanya menuai 3 tan metrik padi sehektar berbanding 6 tan metrik padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Mukhriz berkata, dalam usaha meningkatkan hasil padi, para petani juga perlulah memastikan kualiti tanaman mereka terus berada pada tahap yang baik kerana padi atau beras yang dikeluarkan Kedah terkenal kerana bermutu tinggi. "Kita nak pertahankan kedudukan (bermutu tinggi) itu sambil pada waktu sama nak tingkatkan kuantiti padi," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata penghasilan padi secara mini-estet atau estet padi, adalah langkah penambahbaikan atau transformasi yang perlu dilakukan bagi menjamin sektor penamanan padi terus berdaya maju dan produktif. Katanya, langkah lain ialah dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan/Belian Padi dan Kilang Padi yang beroperasi secara lebih sistematik. Sementara itu, katanya, pembelian padi mulai Musim 1/2014 juga mematuhi harga baharu yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,200 bagi satu tan metrik, berbanding RM1,050 sebelum ini. "Ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin untuk membela nasib rakyat supaya pendapatan petani meningkat sesuai dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini. "Petani pula perlu berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran sejajar dengan peningkatan harga tersebut," katanya.

Kempen pegang anjing: Nik Aziz sifatkan manusia ada kepala tapi tak ada otak

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang terbabit dalam kempen belai anjing atau 'I Want To Touch A Dog' adalah seperti manusia yang tidak berotak. "Orang seperti ini hanya mempunyai kepala saja tapi di dalamnya tidak mempunyai otak. Tidak boleh digunakan untuk berfikir. "Malah dalam kepala mereka itu juga penuh dengan ulat. Perkara ini tidak munasabah langsung terutama membabitkan orang Islam," katanya berucap pada majlis sempena Pentadbiran Kelantan 24 Tahun di Kota Bahru petang Selasa. Beliau mengulas mengenai kempen belai anjing yang diadakan di Selangor, Ahad, yang membabitkan penyertaan orang Islam yang menyentuh dan memeluk anjing. Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, umat Islam yang terbabit itu sebenarnya hendak mencari sesuatu yang memberi balasan teruk di akhirat nanti. "Perkara seperti ini amat mustahak untuk ditangkis oleh umat Islam di negara ini sebelum ia menjadi satu budaya yang boleh memusnahkan kesucian Islam nanti. "Saya berharap perkara ini dapat ditangkis secara rasional supaya ia tidak menggugat keharmonian di negara ini," katanya dipetik BH. Nik Aziz berharap pemimpin keluarga, masyarakat serta negara beragama Islam memberi keutamaan dalam menjaga kesucian agama Islam. Sebelum ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengucapkan tahniah kepada penganjur dan orang ramai yang hadir pada satu acara yang membolehkan pengunjung, termasuk umat Islam, menyentuh anjing itu. Dalam kemas kini status Twitternya, beliau menyindir Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang sebelum ini pernah menyebut bahawa 'kempen sentuh anjing' itu sangat janggal. “Islam juga mengenai belas kasihan. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang datang,” tulis Nurul Izzah. Namun, Fathul Bari membalas status itu dengan mengatakan: “YB Nurul Izzah, umat Islam sokong kempen ‘ihsan’ ke atas haiwan, termasuk anjing. Cuma kempen ‘touch (a) dog’ (sentuh anjing) sangat janggal,” katanya. Melalui interaksi terkini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyindir Fathul Bari dengan berkongsi paparan skrin gambar surat, dipercayai daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais). “Untuk ‘haters’ (mereka yang tidak suka) di luar sana, termasuk Ustaz Fathul Bari, acara termasuk tazkirah ringkas oleh ustaz (Mais),” katanya. Kemudian Fathul Bari membalas: “YB Nurul Izzah, jangan emosi. Saya hanya sebut ‘sangat janggal’. Jangan bimbang OK. Saya tidak setuju konsep tersebut dan itu adalah hak saya memberikan pendapat.”