Ahad, 27 April 2014

Malaysia Boleh mampu beri inspirasi kepada negara lain- Obama

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah. "Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'. "Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad. Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini. "Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia. Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri. "Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika," kata beliau. Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka. Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan - seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan - bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan. "Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat 'bekerjasama' yang saya fikir kebanyakan anda amalkan," kata beliau. Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim. Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan. Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara. Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan. "Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan," kata beliau. Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda. "Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras. "Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat," kata beliau. Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi. Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu. "Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku. Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan. YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.

Pertingatkan hubungan dikalangan golongan muda antara Amerika Syarikat dan Malaysia

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata pentadbiran beliau ingin mempertingkat hubungan antara rakyat dengan rakyat, terutama dalam kalangan golongan muda, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia. Obama berkata AS dan Malaysia kini menjalin kerjasama lebih rapat pelbagai bidang selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepakat untuk memperluas hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keselamatan dan perdagangan ketika Najib melawat Washington kira-kira empat tahun lepas. Dalam kenyataan bersama dengan Najib selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan bersempena lawatan bersejarahnya ke Malaysia, Obama berkata beliau gembira kerana kedua-dua negara kini menyusun pelbagai usaha melalui perkongsian komprehensif. Beliau berharap perkongsian Malaysia-Amerika akan berkembang ke arah mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, terutama dalam kalangan golongan muda. "Pemuda-Pemudi Amerika dan Malaysia kaya dengan potensi dan kami ingin sama-sama mempertingkat usaha membuka lebih banyak peluang kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, gender atau bahasa," katanya. Obama berkata beliau dan Najib bersetuju melanjutkan program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) untuk beberapa tahun lagi. "Syukur kerana program ini mencatat kejayaan besar dalam membawa anak muda Amerika ke Malaysia bagi mengajar Bahasa Inggeris," katanya sambil menyuarakan harapan agar golongan muda Amerika boleh berkongsi perspektif beliau yang dibesarkan di rantau Asia Tenggara. Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Obama berkata mereka bersetuju bahawa isu yang menjadi kepentingan Malaysia perlu diselesai segera bagi membolehkan satu persetujuan komprehensif dicapai. Beliau berkata mereka akan menyertai beberapa pemimpin perniagaan menandatangani tiga perjanjian perdagangan bernilai lebih US$1 bilion (RM3.2 bilion) melibatkan perdagangan dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara. Obama berkata melalui perkongsian komprehensif, Malaysia dan AS akan memperluas kerjasama bidang keselamatan dan mempertingkat keselamatan maritim serta kestabilan serantau. "Kami amat bersetuju dengan pandangan ASEAN dan Malaysia bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara aman, tanpa ugutan, dan semua negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa," katanya. Beliau berkata Amerika berharap dapat menjalin kerjasama dengan negara ini dalam isu keselamatan dan maritim apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015. Obama sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang pertama oleh presiden Amerika sejak hampir 50 tahun lepas.