Jumaat, 7 November 2014

SPAD akan berkenal sistem kad prabayar untuk bas awam

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan sistem kad prabayar untuk perkhidmatan bas awam pada Mac tahun depan kata Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar). Beliau berkata sebagai permulaan sistem itu akan dilaksanakan di lima ibu negeri iaitu Kuching, Sarawak; Kangar, Perlis; Seremban, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Ipoh, Perak. "Ini merupakan antara langkah kerajaan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Terminal Bas Amanjaya di sini, hari Jumaat. Syed Hamid berkata tender hanya akan diberikan kepada perkhidmatan syarikat bas yang memiliki bas paling banyak di kawasan terlibat. "Tujuan kita gunakan sistem itu adalah untuk menjadikan perjalanan menggunakan pengangkutan awam lebih mudah kerana penumpang tidak perlu menukar wang kecil untuk membayar tambang bas," katanya. Syed Hamid berkata teknologi baharu diperlukan dalam usaha kerajaan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di negara ini. Katanya kerajaan akan memberi peruntukan kepada pengendali bas terpilih untuk melaksanakan sistem itu yang hanya melibatkan laluan yang ditetapkan. "Kita menerima kembali peruntukan yang diberikan melalui kad prabayar yang akan dibeli oleh penumpang bas," katanya. Beliau berkata percubaan menggunakan kad prabayar itu dilakukan di Kelantan tahun lepas dan penerimaan terhadap penggunaannya amat menggalakkan. – Bernama

Isu fatwa bukan pendirian PAS Selangor

Tindakan tiga anggota Parlimen PAS yang mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkenaan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama di negeri itu, bukan pendirian parti itu. Pesuruhjaya PAS negeri, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan hari Jumaat menegaskan tindakan mereka itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. "Tindakan anggota Parlimen PAS tersebut telah dibuat tanpa berbincang dengan PAS Selangor walaupun kami mengadakan pertemuan mingguan bersama wakil-wakil rakyat pada setiap pagi Rabu. "Wakil-wakil rakyat tidak sepatutnya bertindak bersendirian kerana mereka bertanding dalam pilihan raya umum atas tiket parti dan bukan tiket individu, perbuatan mereka akan dilaporkan kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya," katanya. Semalam, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata Sisters In Islam (SIS) tidak seharusnya dituduh menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme kerana mereka berhujah menggunakan ajaran Islam. Khalid dilaporkan berkata fatwa yang diwartakan oleh majlis fatwa juga gagal memperincikan maksud liberalisme dan pluralisme. Sebelum ini, dua anggota Parlimen iaitu Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Datuk Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penerangan jelas mengenai takrifan tersebut. Baru-baru ini, SIS dilaporkan mahu memohon semakan kehakiman mengenai fatwa itu yang mengisytiharkan pertubuhan itu membawa fahaman sesat iaitu liberalisme dan pluralisme.

Mahkamah tangguh keputusan rayuan kes liwat Anwar

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sabitan bagi kesalahan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan. Beliau turut melanjutkan tempoh ikat jamin Anwar sebanyak RM10,000 sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi itu. Pendengaran rayuan berlangsung selama lapan hari bermula 28 Okt. Empat lagi hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan ketua pembangkang itu. Jika Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. Pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan didengar jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. Pendengaran rayuan itu, yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Okt, berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujah panjang lebar serta banyak rujukan kes undang-undang. Terdahulu, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam mewakili Anwar, menggulung hujah pihak pembelaan. Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, Gobind Singh Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin. Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu dan beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan. Pihak pembelaan berusaha membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan bagi kesalahan meliwat manakala pendakwaan meminta mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya. Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari atas alasan ia tidak pasti 100 peratus berkaitan integriti sampel yang diambil bagi ujian DNA membabitkan individu yang didakwa menjadi mangsa. Mahkamah itu memutuskan sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya berkaitan sampel berkenaan, yang dibuat berdasarkan keterangan dua saksi pakar pembelaan. Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000. Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April 1999. Bagaimanapun, setelah meringkuk hampir enam tahun dalam penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad (kemudian menjadi Ketua Hakim Negara)) mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Anwar bagi pertuduhan meliwat Azizan dalam keputusan majoriti 2-1. Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar manakala Hakim Datin Paduka Rahman Hussein sebaliknya. Bagaimanapun, Abdul Hamid yang menulis penghakiman majoriti itu berkata para hakim berkenaan mendapati Anwar dan seorang lagi tertuduh yang juga adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja 'terlibat dengan kegiatan homoseksual', oleh itu, mereka terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan liwat yang didakwa itu memang berlaku.BERNAMA

RMK 11 transformasi terakhir menjadikan Malaysia negara maju- PM Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentang pada Mei depan merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Perdana Menteri berkata bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan akan memberi keutamaan kepada projek-projek berimpak tinggi dengan kos yang rendah selain memastikan pelaksanaan yang cekap dan pantas. "Di samping itu, pendekatan-pendekatan yang telah diutarakan dalam Bajet 2015 yang bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat di mana saya telah membahagikan pengurusan ekonomi kita kepada dua bahagian yakni 'capital economy' (ekonomi modal) dan 'people economy' (ekonomi rakyat)," katanya. Beliau berkata demikian dalam siaran radio Perdana Menteri yang dimuat naik dalam laman web najibrazak.com pada Jumaat. Najib juga yakin negara berada di landasan yang tepat dan berpandangan positif bahawa Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020 berbekalkan pendekatan yang telah dirancang itu. Pada 10 Okt, Perdana Menteri membentangkan Bajet 2015 yang memperuntukkan RM273.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, yang dianggap pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia. RMK-11 akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020.