Isnin, 19 Mei 2014

PRK Teluk Intan- DAP letak calon Melayu untuk mengaburi orang Melayu

Tindakan DAP meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan tindakan 'hiasan luaran' parti itu bagi mengaburi mata orang Melayu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata tidak mustahil ramai orang Melayu akan menyokong calon DAP itu kerana sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu mudah tertipu dengan tindakan seperti itu. "Tindakan itu hanya hiasan luaran sahaja tiada harapan apa-apa (diletakkan kepada calon itu), kalau dia (calon itu) menang dia menanglah," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin. Terdahulu, beliau berucap pada program Chancellor's Talk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan. PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong. Dr Mahathir turut meluahkan kekecewaan apabila calon yang diletakkan DAP itu datang daripada keluarga yang menyokong perjuangan Umno sejak sekian lama. "Kalau datang daripada keluarga pembangkang tak jadi apa pasal sejak kecil diajar benci Umno...kalau anak orang Umno depa tak cakap kat anak depa pasal apa Umno ni ada sejarah Umno semua, jadi bila dia besar dia bebaslah nak buat apa sahaja," katanya.

SPRM dedah ada pegawai penguatkuasa punyai simpanan RM1.5 juta hasil penyelewengan diesel subsidi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan terdapat kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai simpanan RM1.5 juta hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya telah pun mendapat perintah untuk menyita akaun berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. "Terdapat juga kes pegawai penguat kuasa dikesan membeli lori, semata-mata untuk menjalankan aktiviti seludup diesel," katanya pada sidang media mengenai kes penyeludupan diesel, di sini Isnin. Beliau berkata walaupun ia bukan tanggungjawab SPRM untuk menangani kes penyeludupan diesel namun suruhanjaya itu melihat kes berkenaan daripada sudut rasuah. Katanya sejak 2010 sehingga kini, sebanyak 90 kes penyeludupan diesel telah disiasat dan telah menyebabkan kerajaan kerugian hampir RM50 juta. Mohd Shukri berharap setiap kementerian yang terbabit dapat memastikan bahagian penguat kuasa yang menjaga minyak diesel menjalankan tangungjawab dengan amanah. "Saya tidak mahu kata mana-mana kementerian yang terlibat, ambillah tangungjawab masing-masing, siapa makan cili dia rasa pedas," katanya. Selain itu beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar pemberian diesel bersubsidi bagi mengekang kes penyeludupan. "Cadangan itu pernah dinyatakan SPRM sebelum ini dan pihaknya bersedia untuk membantu dalam memberikan sebarang bentuk idea," katanya.BERNAMA

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu mestilah MB

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu mestilah dipegang oleh Menteri Besar bagi membolehkan pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar. Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata beliau berpendapat perjalanan politik di sesebuah negeri akan tempang sekiranya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dipegang oleh Menteri Besar. "Menteri Besar tidak dapat menjalankan tugas dengan baik jika dia tidak mempunyai 'kuasa memerintah' dari segi mengarah, mengawal dan membangunkan visinya sekiranya tiada pegangan pada politik. Begitu juga yang pegang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, jika dia tiada kedudukan dalam kerajaan sedangkan kerajaan itu adalah Barisan Nasional, dia juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Perfileman 2014 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang di sini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (I) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed, Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan dan Ketua Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah kolum di akhbar tempatan semalam yang menyebut Ahmad Shabery calon sesuai mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, yang kosong ekoran peletakan jawatan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said minggu lepas. Menteri Besar Terengganu yang baharu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau mahu Finas diperkasakan untuk membantu perkembangan industri perfileman tempatan. "Saya minta mereka (Finas) juga lihat sekiranya akta sedia ada dapat dibuat pindaan supaya agensi itu dapat memberikan perkembangan yang lebih baik dari segi amalan-amalan terbaik. "Lihat industri seni Korea yang telah berkembang, 20 tahun dulu tiada yang mahu melihat cerita mereka, tetapi kini dengan penceritaan dan sinematografi yang baik mampu menjadikan filem itu menarik," katanya. Pada majlis sama, Ahmad Shabery turut menyampaikan dana bantuan persatuan penggiat filem berjumlah RM300,000 kepada 27 wakil persatuan perfileman tempatan, bertujuan membantu penggiat seni perfileman menghasilkan karya lebih bermutu.